Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 24

"AKU menyesal dengan pertemuan kita ni, Qarizh."

Seringkali ayat itu bermain di pendengarannya. Berulang-ulang kali tanpa henti. Dan setiap ulangan ayat itu diselang-seli dengan air matanya yang mengalir tanpa dia sedar. Anak matanya terpaku pada batu nisan yang tertera nama seorang insan yang sangat dia kasihi sejak kecil lagi. Sayangnya bagaikan menatang minyak yang penuh.

Tengku Qasrina Najihah binti Tengku Muzaphar.

Qasrina tidak dapat diselamatkan kerana mengalami pendarahan yang sangat banyak. Adiknya itu meninggal dunia sebaik saja dia menjejakkan kaki ke dalam bangunan hospital itu bersama Airiel dan anak-anak buahnya.

"Kenapa tinggalkan aku seorang diri di sini, dik? Aku rindukan kau. Aku sayangkan kau." Teresak-esak Qarizh melepaskan tangisannya. Hanya dia seorang saja yang berada di tanah perkuburan ketika ini. Anak-anak buahnya yang lain setia menunggu di luar tanah perkuburan.

Kelibat Indira Callista langsung tidak nampak sejak dari tadi. Qarizh sedar semua yang terjadi ini adalah salah sikapnya sendiri. Sama sekali dia tidak mampu memaafkan dirinya. Dia lewat menyelamatkan Qasrina. Di hadapan matanya sendiri, Qasrina ditembak oleh Yazir.

"Sampai mati aku tak akan maafkan orang yang dah bunuh adik aku." Tergeleng-geleng kepalanya seraya kedua-dua belah tangannya digenggam sehingga uratnya menegang.

Selepas beberapa minit, dia berperang dengan perasaannya sendiri. Punggung diangkat lalu menyusun langkah meninggalkan kubur arwah Qasrina dengan perasaan penuh amarah. Dadanya berombak sedikit laju. Dia mendekati anak-anak buahnya dengan garis-garis kerutan pada dahi.

"Macam mana dengan lelaki tak guna tu?" soal Qarizh kepada Saif. Matanya ditunakkan ke arah lelaki yang muda dua tahun daripadanya itu.

Saif menoleh ke sisi. Kepala diangguk sekali. "Dia masih dalam keadaan tidak sedarkan diri. Doktor beritahu yang dia koma. Banyak luka dalam pada tubuhnya. Ada beberapa saraf yang gagal berfungsi."

"Bermakna sekarang ni, dia tak mati lagi?"

Saif angguk sekali. "Ya, bos."

"Aku nak kau terus pantau lelaki tu sampai dia bangun. Dia ada hutang yang perlu dilangsaikan. Dia dah libatkan nyawa orang yang aku sayang. Jangan harap dia akan bahagia dengan kehidupan dia yang seterusnya nanti."

Saif angguk sekali lagi. Akur dengan arahan yang diberikan.

"Qar, aku minta maaf sebab tak datang tolong kau semalam," ujar Airiel sambil mencengkam lembut bahu sepupunya itu. Sungguh dia berasa simpati dengan Qarizh yang baru saja kehilangan adik tersayang. Sepupunya sendiri yang boleh dikatakan rapat juga.

Qarizh hanya mendiamkan diri. Kini, dia hanya ada Airiel. Papa, mama dan Qasrina sudah pun meninggalkan dirinya bersendirian di muka bumi ini. Entah macam mana dia hendak meneruskan hidup tanpa Qasrina. 23 tahun dia menjaga Qasrina dengan penuh kasih sayang. Kini, adiknya sudah tiada lagi bersamanya.

"Indira macam mana?" soal Airiel.

"Dia benci aku. Dia dah tak nak ada apa-apa hubungan dengan aku. Dia anggap aku pembunuh kepada arwah Aldi dengan isteri dia. Bukan aku yang bunuh dia. Bukan aku, Riel!" Qarizh melepaskan geram. Penumbuknya disasarkan ke arah badan kereta sehingga berdentum bunyinya.

"Sabar, Qar. Benda ni terjadi dengan begitu pantas. Mungkin Indira masih dalam keadaan terkejut. Entah apa si tolol tu buat dekat dia sampai dia jadi macam tu."

Qarizh diam. Mungkin bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Airiel. Indira sendiri pernah berjanji tak akan meninggalkan dirinya. Jadi, gadis itu harus menunaikan janjinya. Dia terlalu cintakan Indira. Mana mungkin dia boleh meneruskan hidup tanpa adanya Indira di sisinya. Sudahlah Qasrina meninggalkannya. Tak akan Indira pun sama hendak meninggalkannya?

"Aku nak jumpa Izz nanti. Aku kena bela diri aku. Aku tahu malam tu salah aku sebab marah dan halau Aldi. Tapi bukan aku yang bunuh dia! Tak tergamak aku nak bunuh orang yang aku sayang. Orang yang sudah aku anggap seperti keluarga aku sendiri."

Airiel menganggukkan kepalanya. Faham apa yang Qarizh sampaikan. "Tak apalah. Sekarang ni, kita balik. Kau kena berehat. Muka kau nampak sangat letih. Nanti kita bincangkan lagi."

Qarizh akur. Sebelum menolak tubuhnya masuk ke dalam perut kereta, sempat dia mengerling ke arah kubur Qasrina. Sayu saja pandangannya. Hatinya dipalu dengan perasaan penuh sebak. Berat hatinya hendak meninggalkan si adik.

"Aku minta maaf, Qas. Aku bukan abang yang terbaik untuk kau. Tapi kasih dan sayang aku pada kau tak akan pernah pudar. Aku akan menziarahi kau lagi nanti. Tenanglah kau di sana, adikku Tengku Qasrina Najihah," gumamnya perlahan dengan nada suaranya sedikit serak. Menahan sebak.

BEBERAPA kali dia bermundar-mandir di ruangan menunggu. Dadanya dihempas debaran yang hebat. Takut. Marah. Semua perasaan menjadi satu menyebabkan hatinya disarat dengan keperitan. Matanya dibawa pejam sesaat sebelum dicelikkan semula.

"Aunty," tegur Doktor Hazkarl.

Tengku Yasmin menoleh ke arah doktor itu. Terbias wajahnya yang sarat dengan perasaan risau. "Haz, macam mana dengan Yaz?"

Hazkarl menggelengkan kepalanya sekali. "Maaf, aunty. Yazir masih tak sedarkan diri. Terlalu banyak luka yang dalam. Ada darah beku. Dia terpaksa menjalani pembedahan."

Yasmin bungkam. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat sehingga urat hijau menimbul. Sungguh dia tidak dapat menerima satu-satunya permata hatinya kini dalam keadaan berisiko.

"Haz, tolong aunty. Buat apa saja, asalkan Yaz sedar semula."

Hazkarl hanya menganggukkan kepalanya sekali. "Haz akan cuba, aunty."

"Jangan hampakan aunty, Haz. Aunty tahu Haz seorang doktor pakar yang profesional. Aunty merayu sangat. Aunty ada Yazir aje sekarang ni."

"Haz faham aunty. Yazir pun satu-satunya kawan baik Haz yang Haz ada. Haz akan cuba sebaik mungkin. Haz minta diri dulu, aunty."

Yazmin sekadar menganggukkan kepalanya. Dia menghenyakkan punggungnya di atas kerusi ruangan menunggu. Beberapa kali dia meraup wajahnya. Jantungnya masih lagi berdetak laju. Masih terngiang-ngiang lagi bayangan Yazir terbaring di atas lantai tingkat atas dalam keadaan tubuhnya berlumuran darah sehingga membanjiri lantai.

"Aku tak akan biarkan kau hidup bahagia, Qarizh. Kau dengan mak kau sama je. Menyusahkan hidup aku. Mak dengan bapak kau aku dah singkirkan. Adik kau pun dah masuk dalam tanah. Tinggal kau aje, Tengku Qarizh Nadim. Selamanya aku tak akan mengaku yang kau keluarga aku. Keturunan kau semuanya keturunan perampas!"

"Yasmin..."

Yasmin mendongakkan wajahnya. Kelihatan satu susuk tubuh yang sangat dibencinya dari dulu. Tak pernah sedikit pun dia menerima lelaki itu di dalam hidupnya. Wujudnya Yazir di muka bumi ini pun bukan satu kerelaannya.

"Kau buat apa dekat sini?" soal Yasmin dengan nada suaranya tertahan-tahan. Dia sedar yang dirinya berada di hospital. Harus mengawal emosinya ketika ini.

"Abang dapat tahu yang Yazir masuk hospital," ujar Harun dengan nada perlahan. Sudah lama dia tidak bertentang mata dengan bekas isterinya ini. Hampir bertahun-tahun juga sejak dia berpindah ke England kerana urusan kerjanya di sana. Sekali gus membawa diri yang penuh duka lara.

"Bukan urusan kau."

"Dia anak abang juga."

"Baru sekarang kau nak mengaku dia anak kau? Bukan kau sendiri umumkan pada keluarga kau yang Yazir bukan anak kau. Yazir anak luar nikah."

Harun terdiam. Dia akui dia banyak salah dengan Yasmin dan Yazir. Perkahwinan mereka juga bukan kerana saling dalam kerelaan. Tetapi, aturan keluarga. Kerana tidak dapat menerima dirinya dipaksa berkahwin dengan Yasmin, wanita itu didera fizikal dan mentalnya sehingga wujudnya Yazir ke dunia ini. Ketika usia Yazir enam tahun, dia menfitnah dan menceraikan Yasmin di hadapan keluarganya sendiri. Sudahnya, Yasmin dan Yazir dihalau oleh keluarganya bagaikan anjing kurap.

"Tak payahlah kau nak tayang muka simpati kau tu. Aku dah bahagia dengan kehidupan aku. Yazir masuk hospital atau apa-apa pun bukan masalah kau. Dia anak aku. Bukan anak kau."

"Abang minta maaf, Min. Abang akui yang abang berdosa dengan Min dan Yazir. Beri abang peluang kedua? Abang akan jaga korang."

Yasmin tertawa kecil. Mengejek bunyi tawanya. Dia menggelengkan kepala. "Apa benda yang kau merepek ni, Harun? Jangan kau nak buat lawak waktu-waktu macam ni." Punggung diangkat. Tidak betah dia mahu berhadapan dengan bekas suaminya itu lama-lama. Boleh pecah jantung dia macam ni. Habis kalau dia gagal mengawal emosinya.

"Jangan ganggu kehidupan aku dengan Yazir. Sampai mati pun aku tak akan pernah lupa apa yang pernah kau buat dekat aku. Masa depan aku hancur disebabkan kau. Kau tak layak jadi ayah kepada Yazir. Dia dah biasa dengan kehidupannya tanpa seorang ayah."

"Yasmin..." Harun cuba meraih simpati Yasmin. Namun, wanita itu sudah pun pergi meninggalkannya seorang diri di ruangan menunggu itu. Perlahan air matanya mengalir.

Macam mana nak dia nak tebus kesilapannya dulu?

Sungguh dia dah berubah. Dia sudah sedar akan dosanya itu.

SEJAK dari pagi tadi, dia langsung tidak keluar dari bilik. Apa yang berlaku selama beberapa hari ini menganggu emosinya. Situasi demi situasi yang berlaku seringkali bermain dalam mindanya. Bagaikan rakaman ulang tayang. Sehingga satu masa, dia melepaskan jeritan kuat sampaikan membaling semua barang yang berhampiran dengannya. Alana sendiri pun takut mahu mendekati ibu saudaranya itu.

"Kalau apa-apa jadi pada Qas, maafkan Qas. Qas sayangkan akak. Qas dah anggap akak macam keluarga Qas sendiri. Kalau Qas tak ada, tolong jagakan abang untuk Qas. Dia dah tak ada sesiapa."

Air mata Indira mengalir deras. Momen dia bersama Qasrina ditayang semula. Gelak-tawa mereka bersama masih jelas kedengaran. Hatinya sebak. "Qas... kenapa kau tinggalkan akak? Kau merajuk dengan akak ke? Kau berkecil hati dengan akak ke? Sebab tu kau pergi. Akak minta maaf. Akak tak niat nak tuduh kau macam tu. Emosi akak bercelaru masa tu. Baliklah Qas..."

"Arghhhh!" Indira melepaskan jeritan kuat. Rambutnya diramas-ramas kasar sehingga serabai. Air matanya tidak berhenti mengalir. Beberapa biji bantal yang berada dekat dengannya dibaling ke pintu.

"Ya Allah, adik!" Izz terkejut tatkala dia menolak pintu bilik Indira sekali gus bantal terbang sehingga keluar dari bilik. Alana yang berada di belakangnya turut terkejut.

"Angah! Qasrina mana? Dia datang tak? Adik nak minta maaf dekat dia. Semua salah adik! Dia mati sebab adik!" jerit Indira bagaikan mahu terkeluar anak tekaknya.

"Mengucap, dik. Sabar. Ya Allah, jangan macam ni..." Izz cuba menarik tubuh Indira ke dalam dakapannya tetapi meleset. Gadis itu laju berdiri kemudian berlari ke luar bilik. Menjerit-jerit bagaikan orang hilang kewarasan akal.

"Mama...," panggil Alana perlahan. Tetapi panggilannya tidak disahut oleh Indira.

"Indira Callista! Ya Allah, ingat Allah!" ujar Izz dengan nada suaranya sedikit ditinggikan. Tubuh adiknya dikunci di dalam dakapannya.

"Hisk... hisk..." Indira terkulai lemah di dalam pelukan abangnya sekali gus teresak-esak menangis. Kepala digeleng beberapa kali.

Kizo dan beberapa anak buah yang lain hanya memerhati dari meja makan. Hendak masuk campur takut mengeruhkan lagi keadaan. Ditambah pula, Indira dalam keadaan seperti itu. Tekanan tinggi.

"Sabar, dik. Jangan buat angah risau macam ni. Angah tak nak adik sakit macam dulu lagi. Tolonglah, kuatkan semangat. Kita kena terima apa yang sudah tertulis."

Indira menggelengkan kepalanya. Berulang-ulang kali sehingga tidak sedarkan diri. Hampir saja tubuhnya mahu jatuh terduduk. Tetapi sempat ditahan oleh Izz.

"Ya Allah, Indira..."

Kizo membantu Izz membaringkan tubuh Indira di atas sofa berangkai tiga. Dia menyuruh salah seorang anak buah Izz untuk mengambil sebesen air dengan sehelai tuala kecil untuk diletakkan di atas dahi gadis itu.

"Apa aku nak buat sekarang ni, Kizo? Aku takut penyakit lama dia menyerang kembali. Aku tak sangka seteruk ini dia kena." Izz terduduk lemah di atas sofa bertentangan dengan Indira. Wajahnya diraup beberapa kali. Rambutnya diramas kasar.

"Kau kena bertenang. Kau kena tahu Indira sekarang tanggung macam-macam kesakitan. Dia kena perkosa tanpa rela. Dadah dalam badan dia pun masih aktif lagi. Sebab tu dia jadi macam ni. Fikiran dia kacau. Kau sebagai abang kena hidupkan semula semangat dia. Aku ada cadangan untuk kau. Tapi aku tak pasti kau nak ikut atau tidak."

Izz mendongakkan kepalanya. Wajah Kizo dipandang dengan penuh tanda tanya. "Apa dia?"

"Pindah." Ringkas saja jawapan yang diberikan oleh Kizo.

"Pindah? Ke mana?"

"Pindah ke tempat yang boleh Indira lupakan apa yang terjadi. Bawa dia berubat sekali. Jalani rawatan psikologi. Supaya penyakit dia ni tak melarat. Sekarang ni, sakit dia melibatkan mental."

Izz terdiam sejenak. Lambat-lambat dia menganggukkan kepalanya. Faham apa yang dimaksudkan oleh Kizo sebentar tadi. "Kalau macam tu, aku akan bawa Indira ke Indonesia. Dekat sana, aku ada kenalan. Senang sikit."

Kizo menganggukkan kepalanya.

"Kau ikut sekali?"

"Aku tak pasti. Mungkin ikut. Tapi tak sama hari. Aku nak pulihkan semula sistem kumpulan kita. Memandangkan musuh utama kita tu terlantar dekat hospital. Secara automatik sistem kumpulan dia tengah lemah sekarang ni."

"Kau yakin ke, sepupu Qarizh tu ketua musuh?"

Kizo tidak menjawab soalan Izz. Dia berdiam diri dalam beberapa saat.

"Itu aku masih lagi cari tahu. Apa yang aku tahu sekarang, sepupu Qarizh tu memang musuh utama kita. Ada kaitan sejak arwah Ilman hidup lagi. Adik aku tengah siasat lagi. Kau tunggu sajalah. Nanti aku akan maklumkan pada kau. Sekarang ni, fokus dekat Indira. Dia perlukan kau. Aku akan ambil alih tanggungjawab kau dalam kumpulan ni."

"Terima kasih, Kizo. Memang patut pun along aku rapat dengan kau. Dah buat kau macam keluarga dia sendiri."

Kizo hanya senyum tipis. Kepala diangguk sekali. "Sampai bila pun aku tak akan mampu balas jasa along kau tu. Ini saja yang aku mampu buat selagi aku masih bernyawa."

Izz angguk sekali. Alana yang duduk di sebelahnya ditarik duduk di atas ribanya. Rambut anak saudaranya itu diusap lembut. "Lana tolong ayah ngah jaga mama, ya? Mama tengah sakit sekarang ni."

Alana menganggukkan kepalanya. Matanya merenung Indira yang terbaring tidak sedarkan diri di atas sofa. Sedih dia melihat keadaan ibu saudaranya itu.

"Lana tolong ayah ngah jaga mama. Lana rindu mama..."

Kizo dan Izz saling berpandangan. Kasihan pada Alana yang merindui Indira sejak kes Indira hilang diculik.

"Nanti aku uruskan tiket dan kelengkapan kau dekat Indonesia sana. Nanti beritahu aku dekat mana kau nak duduk," ujar Kizo.

"Baiklah." Izz menganggukkan kepalanya sekali.

Maafkan angah, dik. Angah buat semua ni demi adik. Tak ada niat nak pisahkan adik dengan Qarizh. Angah tahu adik sayangkan Qarizh. Buat masa ni, angah tak nak kau rapat dengan dia dulu. Angah takut musuh-musuh semua attack adik. Tengoklah apa yang dia orang buat dekat adik. Sampai penyakit adik datang semula. Angah langsung tak boleh nak terima.


Previous: BEM 23
Next: BEM 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza