Home Novel Thriller/Aksi Bidadari Encik Mafia (Completed)
BEM 46

SEKEJAP dia baring, sekejap dia duduk. Dia sudah tidak tahu hendak berbuat apa lagi. Dirinya dikurung oleh lelaki tua yang mempunyai kaitan dengan Yazir. Mati akal dia begini. Takkan dia nak menyerah diri begitu saja. Qarizh pasti sedang mencarinya ketika ini.

Krek...

Laju saja dia mengangkat tubuhnya dari terus berbaring di atas katil apabila terdengar bunyi pintu bilik dibuka. Kelihatan susuk tubuh Tengku Harun baru saja melepasi pintu biliknya dengan riak wajah yang sukar ditafsirkan. Dia mula rasa tidak sedap hati.

"Ikut saya."

"Ke mana?" Tak semudah itu, dia mahu mendengar kata. Banyak cantik nak mengarah dia itu dan ini. Fikir dia siapa?

"Jangan banyak bertanya kalau rasa diri tu nak selamat. Ikut sajalah." Dingin Tengku Harun. Anak matanya tajam merenung ke arah Indira.

Bibir diketap kuat. Dia kena follow the flowlah nampak gayanya ni. Demi mahu meloloskan diri dari bahana Yazir. Entah-entah sekarang ni, dia kena menghadap si lelaki tak guna tu lagi. Masak dia macam ni. Ke dia kena berlakon supaya lelaki itu tidak menggunakan kekerasan nanti? Mungkin itu jalan yang terbaik. Dia kena bermain dengan sandiwara ini.

"Sebelum tu, tukar baju ni. Saya tunggu dekat bawah. Jangan pernah terniat nak lari. Lagi teruk nanti akan kena." Tahu-tahu saja yang gadis itu berfikir mahu melarikan diri. Lihat dari air muka Indira, dia tahu gadis itu merancang mahu melarikan diri daripadanya. Jangan haraplah dia nak lepaskan. Ini saja peluang yang dia ada untuk mengambil hati Yazir semula.

Indira sekadar menganggukkan kepalanya. Mod lakonan sudah pun dihidupkan. Segera dia mengambil pakaian tersebut dan melangkah masuk ke dalam kamar mandi. Rambutnya yang sedikit serabai disisirkan menggunakan jari-jemari. Pastinya dia perlu nampak kemas dan cantik. Barulah lakonan dia menjadi nanti.

15 MINIT berlalu, barulah dia menapak keluar dari kamar mandi. Segera dia membawa langkah menuruni anak tangga ke tingkat bawah. Boleh tahan mewah rumah Tengku Harun ni. Memang kategori orang kayangan.

"Dah siap?"

Indira angguk. Kelihatan Tengku Harun sedang membetulkan kedua-dua belah lengan baju kemejanya. Nampak segak walaupun sudah berusia.

"Saya akan bawa Indira berjumpa dengan Yazir. Saya tak nak dengar apa-apa yang keluar dari mulut Indira sekarang ni. Apa yang saya nak, Indira ikut apa saja kehendak Yazir supaya dia tak bertindak keras pada Indira. Harap Indira faham."

Indira mencebik kecil. Berputar bebola matanya. Ikutkan hati, mahu saja dia mengeluarkan aksinya yang sudah lama dipendam. Tapi dia tidak mahu bertindak terburu-buru. Dia kena rancang dengan lebih baik agar dapat menemui jalan keluar. Selagi tak bertentang mata dengan Si Yazir, selagi itu hatinya tidak berasa tenang. Dia kena berani. Kalau takut, pasti lelaki itu akan anggap dia seorang yang lemah.

Indira Callista bukan seorang yang lemah. Dia pernah selamatkan Qarizh daripada pembuli. Pernah melawan lelaki menggunakan kudrat kewanitaannya. Hanya disebabkan kisah silam dua tahun yang lalu membuatkan dia menjadi trauma. Sedaya-upaya dia akan mengembalikan Indira yang lama. Kalau tidak, selamanya kehidupannya dikacau oleh manusia bertopengkan syaitan itu. Dia kena balik ke pangkuan Qarizh.

YASMIN memerhatikan saja Yazir yang dari tadi tidak duduk diam. Mundar-mandir di ruang tamu. Mentang-mentang dah tak perlukan tongkat. Laju saja langkah anak bujangnya itu. Yasmin perasaan perangai Yazir tidak lagi seperti dulu. Anak lelakinya itu memang benar-benar tekad mahukan Indira. Dia sendiri tidak dapat nak menjangka apa rancangan Yazir selepas ini. Sekarang ni, mereka sedang menunggu kehadiran Harun bersama dengan gadis pujaan Yazir itu.

"Yes! Tu bunyi ekzos kereta dia." Laju Yazir berlari ke arah pintu utama rumah. Dah serupa kanak-kanak yang sedang menunggu kepulangan bapanya. Situasi itu langsung tidak pernah dirasai oleh Yazir. Kasihan....

Yasmin hanya pandang saja. Terbit rasa kasihan di dalam hatinya melihat Yazir begitu. Yalah, anaknya membesar tanpa kasih sayang seorang ayah. Dihalau. Dicaci. Memang susah dia hendak lupakan kejadian itu. Walaupun sudah bertahun-tahun lamanya. Kehadiran Harun kembali ke dirinya dan Yazir membuatkan dia berasa rimas. Pada masa yang sama, dia terharu dengan kesungguhan Harun yang mahukan mereka bersatu semula. Sampai satu masa, dia buntu. Perlu ke dia berikan Harun peluang kedua? Atau peluang terakhir?

"Sayang, I miss you!" Yazir teruja melihat susuk tubuh pengarang jantungnya yang berada di belakang Harun.

Mahu saja Indira membuat muka jelak. Balik-balik kena hadap muka yang sama. Kalau muka Qarizh tak apa juga. Sedap sikit mata memandang. Ini muka miang tahap gaban. Rasa nak tenyeh-tenyeh aje dengan cili padi. Biar tahu nak insaf.

"Hai..." Acuh tidak acuh saja Indira menjawab. Dia kena bersandiwara ketika ini. Ikutkan saja selagi dia boleh ikut. Sesekali dia akan cari jalan keluar dari tempat ini. Jangan haraplah dia nak bertahan lama dekat sini. Dia kena balik.

"You rindu I tak, sayang?" Yazir menarik kedua-dua belah tangan Indira sebelum bibirnya menyentuh kekura tangan gadis itu.

Indira menahan sebal di dalam hati. Mahu saja dia angkat tangan dan hinggap ke pipi Yazir. Tapi dia masih bersabar. Dalam hati, tak sudah-sudah meminta maaf pada Qarizh.

"Arr... ya. Aku penatlah diri lama-lama. Aku nak duduk." Macam tak masuk akal saja. Padahal dalam kereta dah duduk. Tapi disebabkan rimas dengan tindakan romantis Yazir itu. Terpaksalah dia mereka alasan yang tak berapa nak munasabah.

"Oh, sorry. I lupa you baru aje baik. Mehlah, duduk. Nanti kita makan sama-sama, ya. I nak you spend time dengan I. I tak nak you balik pada Qarizh lagi. Tu je yang I nak. Dan I akan pastikan you akan bahagia dengan I. Hidup you dah tak macam sekarang ni. Okey?"

Indira sekadar menganggukkan kepala. Suka hati dialah nak cakap apa pun. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri saja. Diekori langkah Yazir sehingga ke ruang tamu. Yasmin diam tidak berkutik. Langsung tidak menegur Indira yang sudah pun melabuhkan duduk di atas sofa bertentangan dengannya.

Yazir tersenyum-senyum. Persis orang hilang kewarasan akal. Dilihatnya Indira dengan mata yang berbintang-bintang. Teringat kisah dua tahun yang lalu. Sungguh dia rindukan sentuhan itu. Agak-agaknya kalau dia buat lagi seperti dulu, Indira akan menurut tak? Dia sendiri terkejut dengan perubahan Indira yang tidak melawan. Bahkan disentuh tangan pun langsung tidak kisah. Apa yang Harun pesan sampaikan Indira mengikut kata?

"Terima kasih ayah sebab bawa Dira balik ke pangkuan Yaz semula," ucap Yazir. Langsung tidak kekok menyebut panggilan 'ayah'. Mungkin terlalu teruja.

Harun memandang dengan pandangan yang tidak percaya. Telinga dia salah dengarkah? Atau memang benar Yazir memanggilnya dengan panggilan 'ayah'? Yasmin turut terkejut mendengarnya.

"Yaz panggil...."

Yazir menganggukkan kepalanya. "Yaz tak pernah mungkir janji. Ayah dah buat Indira nakkan Yaz. Sekarang Dira dah ada depan Yaz. Yaz rasa happy sangat!" Dipeluknya tubuh Harun dengan erat. Matanya dibawa pejam buat seketika. Baru dia rasa bagaimana memeluk tubuh seseorang yang digelar ayah.

Harun sebak. Namun ditahan. Tidak mahu Yazir perasan akan perubahan air mukanya. Perlahan tangannya membalas pelukan Yazir. Dia turut memejamkan mata. Begini nikmatnya memeluk anak kandung. Hatinya dipalu dengan perasaan pilu. Bodohnya dia kerana mengikut ego dan nafsu. Entah bagaimana Yasmin membesarkan Yazir seorang diri dalam keadaan bersusah-payah. Memang wajar pun, wanita itu susah untuk menerima dirinya semula.

Indira menyampah melihat adegan di hadapan matanya itu. Meluat. Penuh dengan sandiwara. Semuanya nak ikut kepala sendiri saja. Habis tu, dia? Tak ada perasaan dan hati ke? Macamlah dia tak kenal Yazir tu macam mana. Kehendak diturut memanglah jadi baik. Cuba kehendak dia tak ditunaikan, mahu tsunami rumah ini dibuatnya. Habis semua disapunya tanpa sedar. Orang kalau dah marah, apa pun boleh jadi. Syaitan jentik sikit saja. Manusia saja yang lebih-lebih.

KIZO melepaskan dengusan kasar. Pintu wad ditutup. Sebal hati dengan perangai adik tirinya yang seorang itu. Langsung tak mendengar kata. Boleh pula dia berganding dengan Qarizh untuk keluar dari hospital. Memang suka mencipta masalah. Satu hal pula dia nak kena hadap Izz.

"Adik kau bawa Qar keluar dari hospital ke? Jantan tu memang nak kena dengan aku. Sudahlah belum pulih sepenuhnya. Boleh pula dia main belasah keluar aje. Apa-apa jadi aku jugak yang kena. Sudahlah Dira tak jumpa-jumpa lagi. Serabut fikiran aku!" amuk Izz. Hampir saja dia mahu melepaskan tumbukan pada dinding hospital.

"Aku minta maaf, Izz. Aku dah pesan dekat adik aku tu. Tapi entahlah. Batu apa yang duduk dalam kepala otak dia tu. Degil sangat. Kau jangan risaulah. Qar tu macam kau tak kenal. Dia mana tahu erti sakit tu apa. Dia nak cari Dira tu sendiri. Isteri dia, kan? Risaulah tu."

Izz menunduk. Cuba menahan amarah yang semakin berbuku di hati. Dia bukan marah kerana Qarizh lari dari hospital. Tetapi marah pada Yazir yang tidak pernah kenal erti serik. Agaknya nak tikam lidah tu dengan pisau belati baru nak sedarkan diri. Memang tak boleh jadi. Kali ni, jangan haraplah dia akan lepaskan mamat tu. Sampai lubang cacing dia akan cari.

Hilmi yang mendengar di sebalik dinding, mengetap bibirnya. Timbul rasa risau di benak hati. Dia terfikirkan keadaan Haura ketika ini. Hanya Qarizh dan Haura. Musuhnya bukan seorang. Ramai. Apa-apa boleh terjadi pada Haura. Kalau Qarizh tu, dia yakin lelaki itu pandai menjaga diri. Keluar masuk hospital banyak kali pun, tetap sama. Tengku Qarizh Nadim tak pernah kenal erti berputus asa.

"Haura... kenapa Haura risikokan diri Haura. Haura buat abang risau," gumam Hilmi.

"Kau jangan nak risau pasal adik aku, Hilmi. Dia ada aku dengan Saif. Aku kenal adik aku. Aku tak nak kau rapat sangat dengan dia. Kau bernasib baik aku tak belasah kau sampai mampus. Kenangkan kau anak buah Qarizh. Qarizh tu adik ipar Izz. Kalau tidak, memang teruk aku kerjakan. Kau memang tak tahu malu langsung. Tak ada rasa bersyukur dapat ketua yang baik dengan kau. Kau dengan Adiyan sama je. Kalau aku dapat anak buah macam korang ni, memang dah lama aku tamatkan riwayat korang."

Entah bila masa Kizo berada di belakangnya pun, dia tidak sedar. Mujur dia tidak melatah. Perlahan dia memusingkan tubuhnya ke belakang.

"Saya dah berubah, bang. Saya takkan balik ke jalan tu semula. Qar dah bagi saya peluang...."

"Manusia suka buang peluang yang ada. Orang macam kau ni tak layak diberi peluang. Mengkhianati kumpulan sendiri. Kau biarkan Dira kena rogol dengan Yazir. Kau memang tak guna. Kau rasa aku nak ke terima kau masuk dalam keluarga aku, hmm? Takkan sama sekali, Hilmi Nazran. Kau tu tak ubah macam barang spare part aje."

Pedih hati Hilmi dihina sebegitu oleh Kizo. Dia tahu salah dia. Dan dia tak layak nak bersama dengan Haura. Kerana itu, dia memujuk hatinya untuk tidak terus berharap pada gadis itu.

"Saya hanya anggap Haura macam adik saya sendiri saja. Tak lebih dari itu."

Kizo tersenyum senget. Kepala diangguk sekali. "Baguslah kalau kau sedar diri. Aku tak larang kau nak kawan dia. Tapi aku larang sekeras-kerasnya kalau kau ada hati dengan dia. Sampai bila pun, aku takkan bagi. Aku nak kau ingat sampai mati," ujar Kizo dengan penuh nada angkuh sebelum dia melangkah pergi meninggalkan Hilmi seorang diri di situ.

"Maafkan abang, Haura...," rintih Hilmi sambil menundukkan kepalanya. 


Previous: BEM 45
Next: BEM 47

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh nurshaza