Home Novel Thriller/Aksi CODE NAME: RYZEN
CODE NAME: RYZEN
Angel_k20
29/7/2020 15:09:11
50,158
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 1

RYZEN melepaskan keluhan berat. Berat seberatnya masalah yang diletakkan di atas pundaknya. Aduh, kenapa mesti dia yang perlu hadap semua ini? Dia tak rela, tolonglah tuan!

"Cikgu, kenapa cikgu bergayut di atas pokok tu? Cikgu nak kawan dengan monyet ke?" Kedengaran suara bertanya daripada seorang kanak-kanak.

Ryzen mencelikkan matanya lalu memandang ke bawah. Posisinya yang tergantung di pokok seperti kelawar tidur memang mengundang tawa daripada beberapa orang kanak-kanak yang lalu-lalang di situ.

"Ya, cikgu nak kawan dengan mereka. Itu, cimpanzi pun ada," jawab Ryzen, sarkastik.

"Hahahaha!" Beberapa orang kanak-kanak tersebut berjemaah mentertawakannya.

Melihat itu, Ryzen menarik nafas panjang. Suka hati merekalah, dia sudah tak kisah. Apa yang dia kisahkan sekarang ialah, apa yang dia perlu buat untuk halang ibu bapa anak-anak muridnya daripada terus terjerumus ke dalam kancah dadah durjana.

Stres dia memikirkannya. Semakin dinasihati semakin bebal fikiran mereka. Nasib baik saja mereka semua masih menghormatinya sebagai guru. Jika tidak, dengan dia sekali mereka balun.

"Cikgu tak sakit ke bergayut lama-lama atas pokok? Alah cikgu tolonglah turun..." Seorang kanak-kanak perempuan bergigi rongak pula menyuruhnya turun.

"Siti, mak kau dah panggil tu. Pergilah balik." Ryzen mengelak. Apa kesnya budak-budak ini cari dia sampai ke atas pokok?

"Siti!" Dari kejauhan, suara soprano diva kampung singgah ke gegendang telinga mereka semua.

Itu dia, kan dia dah cakap? Sudahnya, terkedek-kedek Siti berlari balik ke rumah. Comel saja lagak budak kecil berbaju kurung berkain senteng tersebut berlari pulang.

'Mesti takut kena piat telinga dengan Mak Leha kan? Balik sajalah Siti, cikgu tak nak tengok kau hilang sebelah cuping telinga nanti,' desis hati Ryzen.

"Cikgu, kami pun nak balik dulu." Beramai-ramai, budak-budak tersebut melambai kepada Ryzen sambil tersengih-sengih.

Bye, selamat malam budak. Aman sikit dunianya apabila mereka semua balik ke rumah. Biarkan sajalah dia bermuram durja di atas pokok ini, jangan kisahkan dia. Dia sudah berasa macam mahu mati. Penat sangat nak hadap semua masalah ini. Dia...

"Masya-Allah ya Rabbi ya Kareem ya Razzaq ya Fattah ya 'Alim. Lailahaillallah Muhammadur Rasulullah. Cikgu Harraz Zayne, cikgu buat apa atas pokok tu?" Mengucap panjang Pak Lebai Leman melihat "kelawar" besar tergantung di dahan pokok.

"Mengenang nasib diri, pak lebai," jawab Ryzen lemah.

"Kamu ni kan, ya Rabbi, cubalah bawa bertendang. Eh, bertenang. Apa yang kamu takutkan sangat terpaksa berpindah mengajar di sekolah menengah sebelah tu aje?" soal Pak Lebai Leman sambil menggeleng.

Mendengar bebelan tersebut, Ryzen membongkokkan badannya lalu mencapai dahan pokok. Lantas, kakinya diturunkan dan dalam posisi tangan di dahan, Ryzen melepaskan pegangannya. Dia mendarat dengan selamat di atas tanah. Habuk dahan pokok yang terlekat di telapak tangan ditepuk-tepuk kasar lalu dengan sopan, dia menyalami tangan Pak Lebai Leman.

"Maaf, pak lebai. Saya terlalu ikut perasaan," ujarnya sambil tersengih-sengih.

Ya, betullah. Bukannya dia terpaksa berpindah mengajar ke sekolah luar kampung itu pun, cuma kena berpindah ke sekolah menengah yang terletak bersebelahan dengan sekolah rendah di tempatnya mengajar sekarang. Itu pun nak kecoh ke, Ryzen?

"Aish kamu ni cikgu, ada-ada ajelah. Dah, jom kita ke surau. Kejap lagi masuk waktu maghrib." Pak Lebai Leman menepuk-nepuk perlahan belakang badan Ryzen.

"Baik, pak lebai," akur Ryzen.

"Malam ni kamu jadi imam," beritahu Pak Lebai Leman seraya menayangkan sengihan lebar.

'Pak lebai, bukan ke kita dah kawtim dengan Pak Imam Saleh yang aku hanya akan jadi imam solat subuh aje? Aduh, mengambil kesempatan betullah pak-pak berdua ni!' Ryzen mengeluh dalam hati.

"Dah dahlah tu buat muka. Cimpanzi belakang rumah pak lagi cantik dari muka tak rela kamu tu," tegur Pak Lebai Leman.

"Yalah, pak lebai." Ryzen mengunci mulut lalu tanpa sepatah kata, dia mengikut saja langkah kaki Pak Lebai Leman ke surau.

Sedihnya hidup dia, seorang perisik dari agensi rahsia berkod nama Ryzen. Sudahlah terpaksa menjadi guru di sekolah rendah di kawasan pedalaman, kini terpaksa pula bertukar ke sekolah menengah di sebelah sekolah rendah tempatnya mengajar.

Tak adil betul. Kenapa dia mesti menjadi guru? Padahal, boleh aje kalau dia dihantar bertugas ke lapangan yang lebih mencabar. Sebut saja ke mana, dia pasti terima. Sudahnya, Ryzen hanya mampu reda.



"MAK CIK, saya nak keropok tiga!" jerit seorang pelajar.

"Donat satu, mak cik!" tingkah seorang pelajar lagi.

"Kau janganlah tolak aku. Aku yang datang dulu kan?" marah seorang pelajar lain pula.

"Mak cik!" jerit yang lain lagi.

Bam!

Bunyi hentakan di meja pembayaran terus menyenyapkan mereka semua. Figura seorang gadis berusia dalam lingkungan 25 tahun yang berbadan kurus, berkulit cerah tapi muka gelap macam kena sunburn tak hilang-hilang, ada tahi lalat di pipi, bertudung bawal lipat tepi dan berkaca mata bulat berbingkai tebal sedang menahan marah sedikit sebanyak mendatangkan gerun dalam diri.

"Beratur." Dingin, si gadis memerintah.

Ajaibnya, semua pelajar yang bersesak-sesak berebut membeli makanan serta-merta beratur dalam barisan. Mak Cik Aisberg, itu gelaran yang diperoleh olehnya, si Shaurin.

Shaurin tersenyum kemenangan dalam hati. Tak guna punya bos, kenapalah dia kena undercover di sekolah? Kalau jadi cikgu tak apalah. Ini, tak. Mak cik kantin? Ya Allah, tak pasal-pasal pula setiap hari sebelum pergi bertugas, dia terpaksa berpakaian sememeh.

Urgh, sangat annoying. Dia yang tak pernah pegang sudip apatah lagi kuali, terpaksa mengisar lada kering? Dia yang langsung tidak mengenal mana satu halia dan mana satu lengkuas, terpaksa memasak ayam masak merah? Ya Allah, dugaan apakah ini?

"Mak cik, saya nak karipap dua biji, bingka ubi satu, dan kuih topi satu. Berapa ya?" soal seorang pelajar perempuan sambil tangannya kalut menyeluk poket baju kurung sekolah.

"Seringgit setengah." Laju Shaurin menjawab. Tak payah kira dengan jari, semua jawapan sudah ada dalam kepala.

"Wah, lajunya mak cik kira. Saya ingat mak cik tak sekolah macam Mak Cik Bedah." Si pelajar di hadapannya bertepuk tangan. Kagum barangkali.

Shaurin menarik senyuman nipis. Memanglah dia mengira cepat, sebab angka dan nombor itu kacang saja baginya. Yang budak ini pergi bandingkan dirinya dengan Mak Cik Bedah tu kenapa? Sampainya hati engkau mengata emak sendiri, budak!

"Next!" panggil Shaurin dingin.

"Fuyoo... mak cik pandai English," puji pula pelajar seterusnya yang membeli.

Kala ini, mahu aje Shaurin tendang ketua jabatan yang menghantarnya ke sini jauh ke planet Pluto agar sebalnya terpadam. Dia tak suka dipanggil mak cik, tahu? Stres!

Previous: Bab 5b
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angel_k20