Home Novel Thriller/Aksi CODE NAME: RYZEN
CODE NAME: RYZEN
Angel_k20
29/7/2020 15:09:11
50,158
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 2

"TAUKE, tauke!" jerit Sohok sambil berlari kencang ke arah ketuanya.

Tauke Cincau yang terdengar jeritan ayu lagi sopan daripada anak buahnya mendengus kasar. Sohok ni nak apa lagi? Nama saja macam jantan, tetapi perangai lembut macam sotong. Boleh tak kalau berlari tu tak terkepit-kepit?

"Tauke!" Sohok melepaskan lelahnya di hadapan Tauke Cincau. Peluh yang merenik di dahi dikesat perlahan dengan menggunakan sapu tangan berwarna merah jambu.

"Apa lagi yang tak kenanya, Sohok?" Tauke Cincau menggeram. Mahu saja dibalunnya anak buahnya yang seorang ini jika tidak difikirkan yang Sohok ialah pengikut setianya.

"Tok Dalang kampung seberang nak jumpa tauke," beritahu Sohok.

"Habis tu? Biar ajelah orang tua tu jumpa aku." Tauke Cincau kembali meneruskan kerjanya mengukir kayu untuk dibuat anak patung yang terbengkalai.

"Tapi." Sohok serba salah.

"Apa lagi tapi-tapi?" Naik seoktaf, Tauke Cincau menghempas kasar kayu anak patung ke atas meja.

"Ladang ketum kita kena serbu," beritahu Sohok takut-takut.

"Apa?" Bergegar meja ditepuk kuat oleh Tauke Cincau. Habis habuk kayu jatuh bertaburan, manakala pahat dan tukul pula beralih tempat. Efek hentaman tangan kekar si Tauke Cincau sememangnya padu.

"Kenapa kau tak bagi tahu aku awal-awal?" tempik Tauke Cincau di muka Sohok sehingga terpercik air liur.

"Aku bagi tahulah ni. Tu sebab Tok Dalang nak jumpa tauke." Sohok diam menikus.

Tauke Cincau mendengus kasar. Misai lentiknya diurut kasar. Kepalanya yang sedia licin turut diusap kasar sampai bersinar-sinar dipanah cahaya matahari. Serius betul masalah yang mereka semua hadapi sekarang ini. Hish, tak guna betul. Siapalah punya angkara?

"Tauke." Takut-takut, Sohok menentang pandangan tajam taukenya.

"Aku tahu siapa yang bagi info pasal ketum kita kepada pihak polis," beritahu Sohok serba salah. Sesekali, dia tersengih-sengih sambil menggaru-garu telinga.

"Siapa?" soal Tauke Cincau sepatah.

"Cikgu kampung sebelah." Sohok menunduk menekur lantai.

"Tak guna!" Tauke Cincau semakin geram.

"Kau perhatikan lagi gerak-geri cikgu tu. Ingat, apa-apa hal beritahu aku terus." Mengendur suara, Tauke Cincau mengambil kayu patungnya lantas bersedia menyambung kembali kerja mengukir.

"Kalau perlu bunuh, bunuh. Aku tak nak ada lalat yang cuba gagalkan kerja aku," perintahnya tegas.

"Baik, tauke." Sohok menunduk-nunduk lalu terus keluar dari bengkel pembuatan anak patung si ketuanya.

Fuh, bapak seram sih mahu menghadap si Tauke Cincau. Dia, Sohok atau nama glamournya "So Hot" pun boleh terkecut urat berani apabila berdepan dengan mamat "Ching Chow" ketuanya!



HARI yang diharap tidak pernah terjadi, akhirnya tiba jua. Ryzen kini terpacak teguh di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Tiang Riuk. Kenapalah nama sekolah ini pelik sangat? Sudahlah nama sekolah pelik, warganya pun nampak pelik.

"Cikgu Harraz?" Sambil membetul-betulkan cermin mata yang longgar di atas batang hidung, seorang pengawal keselamatan atau dipanggil "jaga" sekolah mendekatkan mukanya ke muka Ryzen.

"Ya, saya," jawab Ryzen dengan muka berkerut.

'Pergi jauh-jauhlah. Busuk tahu bau rokok?' Perasaan Ryzen menyebal, namun si jaga semakin menyeringai galak lagi kepadanya seraya menampakkan giginya yang kuning dan berkarat.

Ryzen menjauhkan mukanya daripada si jaga. Huh, inilah akibatnya jika merokok. Sudahlah busuk, hodoh pula. Luaran hodoh, dalaman pun lagi hodoh. Badan itu, sudah berapa banyak kerosakan yang berlaku akibat rokok?

"Di mana pejabat sekolah, pak?" soal Ryzen.

"Tingkat tiga, tu," beritahu si jaga sambil menunjuk ke arah pejabat.

"Baik, terima kasih." Terburu-buru Ryzen mengucapkan terima kasih lalu dia bergegas menuju ke pejabat.

Mahu melarikan diri daripada si jaga sebenarnya. Tak tahan bau busuk rokok, itu yang setepatnya. Perokok inilah, sudah tua-tua pun tak reti insaf lagi ke? Kasihan anak bini di rumah, hidup dengan bakal pembunuh mereka sendiri.

Ryzen memandang bangunan tiga tingkat di depannya. Boleh tahan tinggi pejabat sekolah ini. Jauh berbeza dengan pejabat di sekolah rendah tempatnya mengajar sebelum ini.

Dalam perjalanan menuju ke pejabat, Ryzen dapat mendengar suara jeritan kecil penuh gedik singgah ke gegendang telinganya. Sejak dahulu sehingga kini, memanglah adat di kebanyakan sekolah tidak berubah.

Cikgu kacak menjadi sebutan dan pujaan, cikgu tidak berapa "ada rupa" menjadi bahan kejian dan momokan. Apa nak jadi kepada anak bangsa pelapis negara ini? Kata permata negara, tapi alih-alih menjadi batu kerak di bawah bumi. Kesian betul hidup pendidik zaman sekarang.

"Wuu... ada cikgu barulah. Woi, hensem siot bruh!" jerit si pelajar perempuan sambil terkinja-kinja di dalam kelas.

"Hensem sia cikgu baru. Hot stuff Mr. Cool. Pakwe aku tu!" Terdengar lagi sipi-sipi di pendengarannya suara jeritan pelajar perempuan.

'Nampak gaya tak lama aku di sini. Sekejap lagi confirm musuh akan munculkan diri.' Hati Ryzen berkata sendiri.

Dia maksudkan pelajar lelaki di situ. Dengan adanya dia si cikgu yang dikatakan kacak oleh pelajar perempuan, maka kebarangkalian untuk pelajar lelaki membencinya agak tinggi. Ya, lelaki mana saja suka orang perempuan yang disukai menyukai lelaki lain.

Bertabahlah, Ryzen! Tanpa mempedulikan lagi jeritan histeria para pelajar perempuan yang menjerit-jerit bagaikan kerasukan cikgu baharu di sepanjang kelas yang dilaluinya, Ryzen terus menapak tenang ke pejabat.



"RIN, ambilkan mak cik bawang merah lima ulas, bawang putih selabu, halia seruas, dan asam gelugur dua keping. Lepas tu, dua batang serai tu tolong titik siap-siap ya," arah Mak Cik Bedah kepada Shaurin yang sedang elok termenung di hadapan kuah gulai.

'Aiseh, what the...' Shaurin melepaskan keluhan dalam hati.

Bahan dapur yang dipinta oleh Mak Bedah diambil dan dicari mengikut kuantiti. Namun, apabila sampai kepada giliran selabu bawang putih dan serai perlu dititik, dia mula termangu sendirian. Oh tidak, apa bendanya itu?

"Lamanya kau ambil bahan-bahan tu Rin oii..." Suara Mak Cik Bedah sudah naik seoktaf.

Dua kali, Shaurin termangu-mangu. Dia tahulah apa benda itu bawang putih, tapi selabu itu pula apa? Oh, Mak Cik Bedah maksudkan buah labu kot? Ah, lantaklah! Tanpa membuang masa, dia mengambil bawang putih dan buah labu lantas dimasukkannya ke dalam bakul.

'Oh ya, serai dititik. Aish!' Shaurin memejam mata lalu mengepal penumbuk.

Apa hal susah sangat memasak ni? Ingin saja dia surrender dan balik ke markas, tetapi apabila teringatkan yang ini ialah amanah yang dititipkan oleh si ketua kepadanya, dia terpaksa akur. Lagipun kata Tuan Azam, partner dia akan mula bertugas di sekolah hari ini.

"Rin!" panggil Mak Cik Bedah lagi.

"Ya, mak cik. Sekejap Rin datang." Terkocoh-kocoh Shaurin menyambar sahaja serai yang berada di depan matanya.

Serai satu titik? Ah, satu titik ke dua titik ke, hentam sajalah. Reda sajalah kena bebel dengan tukang masak kantin. Dia tidak pandai memasak, okey? Seperti diduga, Mak Cik Bedah mula membuka langkah silat.

"Shaurin!" tempik Mak Cik Bedah sekuat hati.

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angel_k20