Home Novel Thriller/Aksi CODE NAME: RYZEN
CODE NAME: RYZEN
Angel_k20
29/7/2020 15:09:11
50,158
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 3

"AKU suruh kau ambil selabu bawang putih, bukannya buah labu. Ni serai aku suruh kau titik siap-siap, yang kau bawa serumpun terus ni kenapa?" Mak Cik Bedah bercekak pinggang. Geram betul dia dengan Shaurin!

"Sorry, mak cik," jawab Shaurin selamba. Tak hormat orang tua? Hei, ini sudah cukup bagus dia bagi kata maaf.

Mendengar jawapan pendek Shaurin dalam bahasa asing yang tidak pernah singgah di pendengarannya, Mak Cik Bedah terlongo sendiri. Eh, bahasa makhluk asing mana pula yang budak ini guna?

"So... so...?" Mak Cik Bedah mengerut-ngerut muka. Apa hal keras sangat lidahnya mahu menyebut perkataan itu?

Shaurin tertawa sendiri. Aduh mak cik, boleh tak jangan dibuat muka berkerut macam tu? Sudahlah buruk, hodoh pula. Ada ke patut bukan sekadar berkerut muka, terjelir-jelir pula lidah mahu menyebut perkataan "sorry".

"Kau gelakkan aku ya Rin?" Mak Cik Bedah mendengus kasar. Lengan bajunya disingsing melepasi siku, menampakkan gelang emas yang dipakai.

Shaurin menggeleng perlahan sambil mengulum senyum seraya menghabiskan sisa ketawa. Aduhai, sejak hari pertama dia sampai di sini, memang ketawa saja kerjanya.

Penduduk Kampung Tok Riuk di Pulau Batu Terbelah ini memanglah sejenis happy go lucky. Berbeza betul dengan keadaan penduduk di kampung sebelah yang seperti cimpanzi tercekik tulang ikan. Namun itulah, air yang tenang jangan disangka tiada buaya.

Baik penduduk kampung ini ataupun kampung sebelah, sebetulnya mereka ini sudah letih ke hidup? Jika tidak, kenapa dia si ejen paling cemerlang dihantar untuk membantu ejen dua kali lagi cemerlang daripadanya untuk menyelesaikan kes dadah dalam kalangan penduduk kampung?

"Hah, termenung. Labu bawang putih tu maksudnya bawang putih yang tak dipecahkan dalam bentuk ulas macam ni." Mak Cik Bedah mengambil beberapa ulas dan juga labu bawang putih lalu menunjukkan kepada Shaurin.

"Ooo..." Shaurin mengangguk faham. Tidaklah dia berasa malu melainkan itu ialah ilmu baharu baginya. Dia kan tak pernah masuk dapur. Dalam hidupnya, dari kecil sehinggalah besar, semua keperluannya disediakan oleh pembantu rumah.

Dia anak emas yang lahir-lahir saja sudah didodoi di dalam buaian yang diperbuat daripada emas. Untung hidupnya kaya bermandi wang ringgit, namun malang juga nasibnya apabila dia tidaklah kaya dengan kasih sayang hakiki.

Teringatkan itu, Shaurin hanya mampu memandang dengan perasaan penuh cemburu akan kemesraan berkeluarga dalam kalangan penduduk kampung. Walaupun tidaklah kaya wang ringgit dan makan pakai pun seadanya, mereka kaya dengan kegembiraan berkeluarga.

"Eh, termenung lagi budak ni. Ni dengar tak mak cik ajar ni?" Mak Cik Bedah menjengilkan matanya kepada Shaurin yang seperti terleka sahaja melihatnya menitik serai.

"Mak cik ajar apa?" Tersengih-sengih, Shaurin menggaru kepalanya yang tidak gatal dan muka tidak bersalahnya juga ditayangkan.

"Sabar sajalah aku dengan kau ni Rin." Mak Cik Bedah menggeleng kepala.

"Ni tengok cara menitik serai. Kau faham tak titik tu apa? Titik serai tu maksudnya kau ketuk serai tu macam ni," tunjuk Mak Cik Bedah lalu dengan menggunakan batu lesung, dia mengetuk batang serai sehingga pecah dan menampakkan urat-urat batang.

"Nampak tak? Inilah namanya menitik serai," ajar Mak Cik Bedah.

Sekali lagi, Shaurin mengangguk-angguk. Okey, dia sudah faham apa itu labu bawang putih dan serai dititik. Namun, masalahnya sekarang ialah kenapa dia perlu basuh ayam pula? Gelilah!



RYZEN menapak masuk ke dalam pejabat sekolah di tingkat tiga sekolah tersebut. Sederhana saja dekorasinya. Yalah, sekolah kampung kan, di pulau pula. Mahu pergi ke pulau ini saja pun sudah memakan masa, tidak dikira lagi dengan jauhnya berjalan untuk masuk ke kampung.

"Assalamualaikum. Saya Cikgu Harraz, cikgu baru di sekolah ini. Pengetua ada?" tanya Ryzen kepada seorang kerani yang sedang mengasah kuku.

Kenapalah warga sekolah ini sangat pelik? Jika mengasah kuku tangan tak apalah, ini mengasah kuku kaki di tempat awam. Aduhlah, mereka semua ini tak belajar adab ke?

"Ada, abang. Eh, cikgu," jawab si kerani sambil tersengih-sengih.

Ryzen perhatikan lagi makhluk bumi ciptaan Allah di depannya itu. Bulu mata kerani itu, ya Allah, panjang betul bulu mata palsunya. Melentik-lentik tiap kali berkelip. Mulut pula ya Rabbi, merahnya! Bertamadun ke tidak warga sekolah ini? Ini kalau di bandar, mahu dibuang kerja terus. Merinding bulu roma Ryzen melihat kerani tersebut.

Lelaki pondan ada di mana-mana. Baik di bandar mahupun kampung, penyakit kecelaruan identiti tetap melanda masyarakat. Lelaki terperangkap dalam jasad wanita, itu hujah mereka. Namun, sedarkah mereka bahawa usahkan menukar jantina, meniru lagak berlainan jantina dengan sengaja pun adalah haram?

Atas bawah Ryzen perhatikan kerani yang bertag nama "Sohok" tersebut. Nasib baik saja lelaki ini masih berpakaian lelaki. Jika tidak, mahu dia ketuk kepala Sohok dengan fail keras dan humban jatuh ke bawah.

"Cikgu, silakan masuk ke bilik pengetua," jemput Sohok dengan ekspresi muka tetap seperti tadi.

Tanpa mempedulikan lagi Sohok si sotong, Ryzen bergegas masuk ke bilik pengetua setelah mengetuk pintu dan mendapat jawapan balas. Harapnya, pengetua sekolah ini tidak pelik seperti si jaga dan kerani di meja depan. Seram!

"Silakan duduk, Cikgu Harraz," pelawa pengetua lalu memakai cermin matanya.

Wajah pengetua macam... itu dia, masya-Allah. Mahu sahaja Ryzen menjerit akibat terlalu terkejut. Kenapa? Kenapa? Kenapa? Kenapa nasibnya jadi begini ya Allah? Memang sah pertukarannya ke sekolah ini semuanya angkara pengetua!

"Pak imam." Ryzen melayangkan sengihan.

Aduhai Pak Imam Saleh, kenapalah pak imam buat surprise party macam ini sekali? Tanjat boboy, tahu?

"Maaflah cikgu, tapi saya betul-betul perlukan bantuan cikgu di sekolah ni. Cikgu kan famous sebab berjaya bongkarkan ladang ketum Tok Dalang di kampung sebelah." Pak Imam Saleh berjeda.

"Jadinya, saya dah kawtim dengan Pak Lebai Leman, guru besar sekolah cikgu sebelum ni yang saya nak pinjam cikgu sekejap aje," sambung Pak Imam Saleh sambil tersengih-sengih.

Itu dia Pak Imam Saleh sudah mula masuk ke mod bergurau. Sekejap ke pak? Biasanya kalau sekejap, maksudnya lama. Pak imam kan suka terbalikkan ayat. Sudahnya, Ryzen menyambut sengihan Pak Imam Saleh atau pengetua sekolah ini dengan sengihan semakin lebar.

Pak Imam Saleh dan Pak Lebai Leman, kedua-dua adik beradik kembar tidak seiras tersebut sememangnya sehati sejiwa ke kenakannya? Tuan Azam, kenapalah tuan hantar dia ke pulau penuh misteri nusantara ini? Tolonglah, dia tak rela!

"Baiklah, pak imam. Eh, pengetua. Sorry." Ryzen mengakurkan saja arahan tersebut. Tak apalah, kerja kerana Allah akan dapat pahala.

"Bagus," kata Pak Imam Saleh. Lantas, dia menghulurkan tangannya untuk berjabat tangan dengan Ryzen.

Ryzen pula dalam terpaksa tanpa rela, tersenyum sahaja menyambut jabatan tangan tersebut. Bertahanlah, dia boleh lakukannya di sekolah ini. Berusahalah, Ryzen!

"Oh ya, kamu akan mengajar subjek Sejarah," beritahu Pak Imam Saleh pula sambil melayangkan sengihan buat kali kedua. Kali ini, lebih lebar sengihannya.

Oh. My. God. Ryzen rasa seperti mahu kembali bergayut di pokok!

Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angel_k20