Suasana di pejabat tempat Zayn bekerja bingit dengan suara pekerja-pekerja yang mulanya ceria kemudian bertukar gundah. Menyedari keadaan semakin tidak terkawal, Miss Chin, seorang gadis tinggi lampai merangkap setiausaha Encik Khan, pantas membawa sebuah Ipad memasuki bilik Encik Khan. Encik Khan yang leka menaip sesuatu tersentak apabila mendengar pintu biliknya diketuk.
"Masuk", mendengar arahan Encik Khan, Miss Chin pantas menguak pintu bilik tersebut.
"Tuan, Ipad ni untuk tuan", dia meletakkan Ipad tersebut di atas meja. Encik Khan hanya memandang pelik.
"Untuk saya ?"
"Ya, tuan"
"Okay", tanpa membuang masa, Encik Khan mengambil Ipad tersebut.
"Selamat pagi, Khan. Kenal aku ? Aku dapat tahu yang kau dah arahkan budak-budak kau untuk kacau kerja aku. Tak cukup dengan kerja, kau pun cuba nak rosakkan hidup aku. Aku tahu kau pun cari password tu. Tak apa. Tujuan kita sama. Aku akan pastikan aku jumpa dulu sebelum kau. Dan kau ingat, Khan, aku tak jemu untuk membunuh orang-orang yang cuba nak kacau kerja aku"
Encik Khan hanya membisu mendengar kata-kata berbaur ugutan yang dilemparkan oleh Kidil. Dia tidak takut secara zahirnya, namun rasa sedikit tercabar apabila diprovokasi sebegitu rupa.
Miss Chin yang berlagak tenang sedari tadi pantas berkerut dan berpeluh dingin. Rasa tidak sedap hatinya melihat semua ini. Patutlah pagi tadi semua rakan sepejabatnya riuh apabila melihat ipad yang tertera "Mesej cinta daripada SH". Hurmmmm, cintalah sangat. Sangat.
"Chin, awak buang je Ipad ni. Jangan ambil berat sangat tentang mesej tadi. Anggap sahaja awak tidak pernah terima"
"Tapi tuan ...", kaca mata berbentuk bulat yang terletak elok di wajahnya disentuh.
"Arahan rasmi daripada saya"
"Tuan, benda macam ni ... kita patut suruh staff kita berjaga-jaga. Lagi-lagi Zayn"
"Awak ni tak faham bahasa ke ? Kalau saya kata buang, buanglah. Tak payah nak sibuk. Saya tahu nak buat kerja saya. Kerja awak cuma ikut arahan saya. Susah sangat ke ?"
"Tuan, saya rasa ..."
BOOM !!!
Belum sempat Miss Chin membalas, Ipad yang terletak di atas meja meletup. Akibat dari letupan tadi menyebabkan beberapa helai kertas kerja di meja Encik Khan terbakar dek kerana terkena percikan api. Wajah Miss Chin yang mulus tanpa cela terluka sedikit di bahagian pipi kirinya. Kepalanya terhantuk kerana terjatuh dan ... dia kini semakin mamai.
---
"Goal !!!", Zayn dan seluruh pelanggan di warung Mak Cik Biah menjerit kegembiraan apabila Malaysia menjaringkan gol buat kali kedua semasa berlawan dengan sengit bersama Thailand. Jumlah mata yang diraih Malaysia kini adalah 2:1. Milo ais yang dipesan tadi mula dihirup dengan hati yang berbunga.
Semasa sedang asyik menghirup milo ais, telefon Zayn berdering. Nasib baik dia mampu untuk mendengar bunyi deringan tersebut dalam suasana yang hiruk-pikuk.
"Hello ?"
"Zayn ! Emergency ! Encik Khan, Miss Chin ! Mereka tercedera !"
"Apa ? Macam ma-"
"Cepat, Zayn. Encik Khan ada benda nak sampaikan. Sebelum dia lemah, baik awak datang"
"Okay okay. Saya da-"
Tut .... bunyi talian diputuskan. Ish, senang-senang je nak tutup talian. Tak ada adab betul. Jika tidak kerana Encik Khan ada benda ingin disampaikan, dia tidak akan ragu-ragu untuk meninggalkan perlawanan bola secara langsung yang ditayangkan di warung Mak Cik Biah. Kunci motor pantas dikeluarkan dari poket dan Zayn laju menghidupkan motosikalnya.
---
"Nurse, ada tak pesakit nama Khan Fadzil bin Said ?", tanya Zayn tercungap-cungap setelah dia berlari dari kawasan parkir ke kaunter hospital tersebut. Masakan tidak tercungap, dia didesak oleh rakannya melalui panggilan telefon untuk segera tiba di wad Encik Khan. Katanya ada perkara serius.
"Sekejap ya, encik. Saya tengok dalam rekod", lembut sahaja suara jururawat yang bertugas di kaunter tersebut. Segaris senyuman dihadiahkan kepada Zayn. Entah mengapa melihat jejaka itu tercungap-cungap, membuatkan dia tergelak kecil sambil mencari nama 'Khan Fadzil' di dalam rekod. Kejap-kejap dia memandang wajah kacak milik Zayn.
"Emmm encik ni apa nama ya?"
"Khan Fadzil"
"Hihihi ... itu kan nama pesakit yang encik cari. Saya tanya nama encik"
"Oh... nanti-nantilah. Ada ke nama yang saya cari ?"
"Mestilah ada. Wad nombor 29 ya. Encik terus sahaja dari sini"
"Thank you", ucap Zayn dengan tergesa-gesa.
---
Tok tok tok !
Kedengaran pintu wad diketuk dari luar. Encik Khan yang hanya terbaring dari tadi memberikan isyarat kepala kepada penolongnya untuk membuka pintu. Dia tahu Zayn telah tiba. Disebabkan perkara yang ingin disampaikan adalah mustahak, dia menyimpan saki-baki tenaganya untuk berbicara dengan Zayn secara teliti agar lelaki itu jelas dan tidak lagi bertanya soalan yang rumit serta memeningkan kepala.
"Tuan", sebaik pintu wad dibuka, Zayn menuju menghampiri Encik Khan.
"Awak duduklah"
"Terima kasih, tuan", mendengar arahan Encik Khan untuk duduk cukup melegakan Zayn. Fuhhhh, macam tahu-tahu je aku penat !
"Zayn, pasal Sindiket Hitam tu, saya nak awak lanjutkan pencarian tentang mereka. Dan sekarang ni saya tahu dia akan buru siapa pula. Yakinlah kali ini dia akan buru setiausaha negara. Selain mengugut dengan duit, saya pasti dia tidak akan senang tanpa tahu kata laluan tu"
"Hurmmm itu saya, tuan. Tapi tuan sendiri yang kata saya perlu dapatkan kata laluan tu sebelum mereka. Saya rasa tak salah kalau kita tanya terus pada Perdana Menteri atau Setiausaha Negara. Malah, tak akan membahayakan nyawa sesiapa kerana dengan adanya kata laluan tu, kita boleh bongkarkan kegiatan Sindiket Hitam dan menjejaki mereka dengan mudah"
Encik Khan tergamam mendengar pernyataan Zayn. Entah mengapa peluh dingin mula membasahi dahinya.
"Awak ikut sahaja arahan saya. Jangan banyak bunyi. Cuma jaga Setiausaha Negara dan cari maklumat tentang kata laluan tu"
"Tapi kita boleh minta sahaja, Tuan. Mesti Setiausaha Negara tak ada masalah selagi benda tu beri manfaat"
"Eh awak ni. Saya tengah sakit pun nak melawan. Sudah sudah. Keluar sekarang. Saya nak rehat"
"Tuan ..."
"Keluar sekarang"
"Baiklah, tuan", dengan rasa bersalah, Zayn mengaturkan langkah keluar dari wad tersebut. Dia cuma beri pendapat. Dia tidak mahu Encik Khan sengaja memberikan 'jalan jauh' bagi misi sukar seperti ini. Apakan daya ... dia hanya menurut.
---
"Encik !", sedang asyik Zayn mengelamun sambil berjalan keluar dari hospital tersebut, namanya dipanggil oleh satu suara yang lembut milik seorang gadis. Dia segera menoleh.
"Encik ...", tudung putih misi yang disarung oleh gadis tersebut dibetulkan sambil wajahnya merona merah. Zayn hanya memandang kosong.
"Encik dah melawat ke Encik Khan Fadzil ?"
"Oh ya, sudah", Zayn mengangguk sambil memerhati sekeliling.
"Emmm boleh saya tahu nama encik ?"
"Ummm...", Zayn kehilangan kata-kata. Dia ligat berfikir sama ada mahu menggunakan nama sebenar ataupun tidak. Mana tahu jikalau gadis di hadapannya ini merupakan umpan Kidil.
"Saya Faez Hakim. Boleh panggil saya Hakim", segaris senyuman manis dihadiahkan buat jururawat di hadapannya itu. Dia mengambil keputusan untuk menggunakan nama palsu sebagai langkah berjaga-jaga.
"Oh, Hakim. Sedap nama encik. Saya Ayna", gadis itu tampak gembira memperkenalkan dirinya.
"Hakim, boleh saya dapatkan nombor awak. Mana tahu kalau keadaan Encik Khan semakin pulih, saya boleh maklumkan pada awak"
"Why not ? Bernas juga cadangan awak. At least saya boleh tahu kondisi dia macam mana. Nah", Zayn mengeluarkan sehelai kertas lalu mengambil pen dan menulis nombor telefonnya sebelum dia menyerahkan kertas tersebut kepada Ayna. Ayna menyambut huluran kertas tersebut dengan penuh gembira. Tidak pernah dia begitu teruja apabila berjumpa dengan mana-mana lelaki selain lelaki yang berada di hadapannya ini. Moga ada pengakhiran yang baik antara dia dan Zayn.
---
Pagi Zayn bermula dengan suram apabila dia ketinggalan sebuah kereta api ke KLCC. Lagi-lagi dengan jumlah penumpang yang ramai sudah cukup menyebalkan hatinya. Kali ini tidak lain tidak bukan dia ke KLCC untuk bertemu sahabatnya, Arif di Dunkin Donut. Sesampainya dia di sana, dia mencari kelibat Arif namun tidak kelihatan. Sejurus selepas menghantar pesanan ringkas untuk bertanya di mana kedudukan Arif, Zayn pantas menuju ke kedai buku Kinokuniya.
Dia khusyuk mencari buku-buku bahasa Ingerris untuk dibaca. Di hadapannya kini ada buku siri Harry Potter, Fantastic Beast dan banyak lagi. Tangannya laju mencapai buku Harry Potter and The Half-Blood Prince. Entah mengapa dia berkenan.
"Ala !"
Zayn tersentak lalu pantas menoleh ke kiri sebaik sahaja dia mendengar rungutan seorang gadis.
"Eh ? Awak Hakimkan ?", gadis itu kelihatan teruja sebaik sahaja melihat Zayn.
"Kejap. Awak ni bukan ke nurse dekat hospital semalam ?"
"Haaaa itu sayalah ! Ya Allah, tak sangka kita jumpa dekat sini"
Zayn hanya tersengih.
"Kenapa awak merungut tadi ?"
"Hurmmm saya nak beli buku Harry Potter tu tapi awak dah ambil", riak wajah kecewa dipamerkan.
"Errr kalau awak nak, awak ambillah. Saya boleh cari dekat kedai lain", Zayn menyerahkan buku tersebut kepada Ayna yang cantik dan ayu dalam baju kurung berwarna birunya.
"Ya Allah, thank you !!!", gadis itu laju sahaja menerima huluran Zayn. Mungkin dia peminat setia Harry Potter ? Kalau tak, kenapa dia begitu bersungguh-sungguh ?
Dalam tidak keselesaan berjumpa dengan gadis itu, Zayn mula rasa tertarik dengan sikap peramah dan baik hati gadis itu.
Awwwww, masalah ni !