"PINAT, kita singgah masjid dulu. Abang belum solat. Waktu asar sekarang pendek. Takut tak sempat nanti."
Umar Mosque nama diberi. Tanpa papan tanda agam yang terpacak megah di tengah-tengah laman berumput, Pinat tidak akan sesekali menyangka betapa kediaman lot hujung bertingkat dua ini sebenarnya sebuah rumah ibadat. Satu-satunya masjid buat komuniti umat Islam di Pontiford. Pekan kecil sekitar sepuluh minit memandu dari lapangan terbang.
Menurut Abang Din, ini kali pertama dia singgah ke mari. Belum pernah timbul keperluan.
Vauxhall berlabuh di seberang jalan besar menghadap masjid. Tiada ruang parkir khusus buat pengunjung.
"Pinat ada nak ambil apa-apa dari bagasi di belakang?" soal Abang Din.
Enjin Vauxhall telah dimatikan. Ada sayup-sayup sisa bau minyak atar sejurus laci kereta dibuka.
Pinat menggeleng sambil menepuk beg galas yang sudah disandang. Bersedia meninggalkan kenderaan.
"Segala yang perlu dah ada dalam ni."
"Baik," balas Abang Din seraya menarik keluar sehelai kain pelekat berlipat kemas dari laci kereta.
Kala itu juga, seperti ada sesuatu yang lain tertarik sama lantas jatuh ke ruang kaki sebelah pemandu. Pinat hanya nampak objek itu setelah Abang Din menyendengkan badan untuk mengutip. Sekeping surat bersampul coklat.
Lelaki berkopiah itu merenung lama sampul itu. Putaran masa seolah-olah terhenti buatnya. Menerusi sisi sampul yang terkoyak itu, Pinat beranggapan bahawa isi surat sudah pernah dibaca. Dia berdeham, cuba menarik perhatian. Lelaki itu tidak menunjuk sebarang respons.
"Abang Din?" tegur Pinat akhirnya.
Lelaki itu kekal larut dalam khayalan. Pinat memanjangkan tangannya ke hadapan. Abang Din tersentak daripada lamunan setelah Pinat mencuit lembut bahu lelaki itu.
"Errr ... ayuhlah. Beg laptop tu usung sekali. Jangan tinggal dalam kereta."
Abang Din mencapai pengecas telefon sebelum Vauxhall dikunci. Mereka berpisah sebaik sahaja melepasi pagar utama. Abang Din meluru laju ke pintu bertanda "Brother's Entrance", sementara Pinat pula dibiarkan terkial-kial sendiri mencari pintu masuk ruang Muslimat.
Pinat berjaya menjejak pintu masuk di bahagian sisi premis. Malang sekali, berkunci. Tatkala dia memasang langkah kembali ke hadapan masjid, Pinat bertembung dengan Abang Din.
"Berkunci juga?"
"Haah."Pinat mengangguk.
"Kalau luar waktu solat, masjid-masjid biasanya dikunci. Takut penceroboh. Abang tak terfikir pula tadi. Ayuh, kita cuba pintu belakang. Barangkali ada petugas."
Setiba di belakang premis, kehadiran Abang Din dan Pinat terlebih dahulu disapa oleh seorang wanita berjaket labuh separas paha warna pastel merah jambu.
"Assalamualaikum."
Pinat dan Abang Din serentak menjawab salam.
Wanita itu kelihatan rupawan. Daripada lagak pertuturan serta pemakaian tudung jenis bawal, sahih warga senegara. Ada tahi lalat halus di atas bibir kirinya yang pemurah dengan senyuman. Sepasang matanya galak bercelak tebal. Pipinya gebu menampakkan urat hijau. Tinggi mengatasi Pinat. Badannya berisi, tetapi tidak pula gemuk.
Sekilas pandang ada iras wanita Bosnia. Usia lewat 30-an barangkali. Saling tidak mengenali, jadi mereka bertiga bertaaruf ringkas berhampiran pintu kecemasan yang terkuak separa di belakang bangunan masjid. Wanita itu memperkenalkan dirinya sebagai Dayat. Katanya, sudah sedekad lebih menetap di Pontiford.
Padang rumput seluas gelanggang badminton membentuk landskap ringkas di belakang Umar Mosque. Lapang dan kosong tanpa sebarang payungan pokok. Di sebalik jeriji pagar belakang yang menyempadani kompaun masjid, ada lorong sempit sehala. Abang Din menyedari kehadiran sebuah van jenazah di situ. Bonetnya terbuka luas.
"Ada orang meninggal ke, Dayat?"
"Ya, bang. Jenazah perempuan."
"Inna lillahi wainna ilaihi roji'un. Si mati ahli kariah sini juga?"
"Haah.Kami di Pontiford kenal dia sebagai Bujan."
"Allahuakbar. Bujan ke yang meninggal?"
"Abang Din kenal dia?"
"Badan gempal-gempal. Rambut pendek berinai merah. Pakai spek. Mekap tebal selalu. Dia, kan?"
Dayat mengangguk laju.
"Abang tak kenal rapat secara peribadi. Tapi bolehlah cam orangnya. Veteran juga tu. Arwah meninggal sakit apa?"
"Laporan rasmi daripada pihak hospital belum keluar lagi. Tapi doktor syak kematian mengejut. Besar kemungkinan, serangan pernafasan. Arwah memang ada lelah. Lagipun, ada rekod dia jumpa doktor minggu lepas. Mengadu sakit dada."
"Meninggal di rumah ke?" soal Abang Din lagi.
"Ya. Kalau Dayat tak pergi jengah semalam, tak ada sesiapa yang akan tahu."
"Kasihan. Itulah bahana hidup menyendiri."
"Eh, tak bang. Bujan menyewa berdua. Cuma partner dia secara kebetulan berada di luar kawasan pada waktu tu."
"Partner? Rakan bisnes?"
Dayat terdiam. Pandangannya jatuh ke lantai sejenak sebelum kembali bertemu wajah lelaki berkopiah itu.
"Bukan. Civil partnership. Arwah tinggal serumah dengan lelaki British."
Abang Din hampir berkata sesuatu. Namun dia membatalkan hasrat.
Pinat pula gigih memproses. Dia belum faham apa-apa. Tetapi segan hendak menyampuk.
"Jenazah sekarang ada di mana? Mahu bereskan di sini? Atau nak hantar pulang ke Malaysia?" sambung Abang Din.
Serentak,Dayat melambai ke arah sekumpulan lelaki yang sedang ralit bersembang di luar pagar masjid. Masing-masing berwajah acuan Melayu beraneka rupa. Lingkungan usia awal 20-an, sebaya Pinat. Salah seorang jejaka mendekati mereka bertiga.
Kulitnya sawo matang. Wajah bercukur licin kecuali janggut sejemput. Rambut lebat disisir gaya belah tengah. Jaket kulit hitamnya agak senteng dan tidak berzip, menampakkan labuhan baju-T kelabu tanpa corak di bahagian dalam. Labuhan seluar jean pula disisip ke dalam kasut but berpotongan tinggi.
Pinat spontan teringat watak-watak kongsi gelap dalam filem-filem Hong Kong era 90-an. Fesyen lapuk pascamilenium.
Sang jejaka bersalaman dengan Abang Din. Kemudian memperkenalkan dirinya sebagai Madi. Wajah Pinat langsung tidak dipandang. Apatah lagi menegur. Dia terasa seperti halimunan.
"Itu masalahnya sekarang, bang. Mayat masih berada di hospital. Kami tengah tunggu pihak sana lepaskan dulu. Tak pasti arwah ada waris di Malaysia atau tak. Kami dah hubungi konsulat di London untuk minta panduan. Masih menunggu. Belum ada apa-apa maklum balas," beritahu Dayat.
"Seingat abang, Bujan dah bertapak lama di sini. Lama sebelum abang tiba sewaktu era 80-an dulu. Umur arwah pasti dah cecah 90."
"93 tahun, Bang Din." Madi mencelah membetulkan fakta.
"Kalau dah berdekad-dekad arwah tinggalkan tanah air, memang payahlah usaha menjejak waris. Berapa lama pula kamu mahu tunggu maklum balas daripada pihak kedutaan? Jenazah harus disempurnakan segera. Tak elok bertangguh."
"Dayat setuju sangat, bang. Itu satu hal. Tapi ada masalah lebih besar."
"Masalahapa?"
"Pasangan arwah, Paul tak bagi restu kami uruskan jenazah secara Islam."
"Astaghfirullah. Kalau bukan secara Islam, agama apa pula? Si Paul ni Kristian ke?"
"Rasa-rasa Dayat, Paul ni tak ada agama. Tapi sebagai civil partner, dia ada hak tentukan protokol pengebumian. Semalam Dayat dengar, Paul nak bakar mayat sampai jadi abu. Cremation ritual."
"Boleh ke macam tu, kak?" Pinat yang senyap sedari tadi tiba-tiba mencelah.
"Di sini tak sama macam di Malaysia, dik. Selain waris, kami yang lain tak ada suara untuk membantah."
"Dayat, maaflah kerana abang terpaksa juga bertanya. Apa status akidah si mati? Kalau sah dia bukan lagi Islam, haram kalian menyembahyangkan si mati."
Dayat mengambil masa yang lama untuk memberi respons. Abang Din beralih pula memandang Madi. Sang jejaka hanya menjongket bahu. Akhirnya, Dayat menjawab perlahan.
"Islam."
"Jika Dayat dah berkata begitu, abang terima kesaksian. Dayat tentu lebih mengenalinya."
Sepi membelenggu ruang waktu seketika.
"Tapi pelik juga. Kalau jenazah ternyata Islam, pihak masjid tak boleh dikerah campur tangan?" Abang Din bertambah musykil.
Dayat dan Madi saling berpandangan. Sang jejaka segera mengalihkan mata. Taktik mengelak bicara. Beban menjawab serta-merta jatuh ke bahu Dayat.
"Merekadi sini sebenarnya banyak isu dengan arwah."
Kening Abang Din terangkat. Menanti huraian lanjut yang tidak kunjung tiba.
"Errr ... tak sangguplah Dayat nak cerita, bang. Ura-ura dan kisah-kisah lama. Rasa berdosa buka aib si mati."
Deringan irama polifonik tiba-tiba berkumandang dari poket jaket Dayat. Lagu "Crazy in Love" yang dinyanyikan oleh Beyonce. Telefon bimbit Samsung jenis lipat. Dia meminta diri bagi menjawab panggilan itu.
Sambil berjalan, Dayat kerap mengurut lutut kaki kanannya. Tabiat ini Pinat telah lama perasan semenjak tadi. Barangkali ada kecederaan.
Madi kembali menyertai teman-temannya selepas berjabat tangan dengan Abang Din. Diskusi yang dibiarkan tergantung tampak seperti kurang beradab. Namun, Abang Din tidaklah pula mengambil hati. Bukan urusan dia.
"Ayuh, Pinat. Kita solat," ajak Abang Din.
Pintu kecemasan dikuak besar lalu ditahan bagi membenarkan Pinat melangkah masuk ke dalam dahulu.
HIDUNG Pinat terseksa menahan kolektif bau yang memenuhi ruang sempit bilik air wanita. Penangan mekanisme pengudaraan yang terlalu lemah. Blazer hitam dan kemeja putihnya kini tergantung pada cangkuk di belakang pintu berkunci. Solekan tipis pada wajahnya sudah dibilas. Rambutnya yang keriting diikat sanggul comot. Dia memeriksa giginya yang baru digosok menerusi cermin besar pada dinding singki.
Pinatbaru teringat. Botol minyak wangi bukan di dalam beg galas. Sebaliknya bersama bagasi ekoran larangan membawa cecair menaiki kabin pesawat. Maka, ruang bawah lengannya dibersihkan dengan tisu lembap. Ikhtiar menyegarkan badan sementara belum sampai di hostel. Selesai mengambil wuduk, Pinat beralih ke dewan solat.
Ruang Muslimat dipisahkan dengan ruang solat lelaki oleh tirai langsir tinggi. Dekor sekeliling sangat ringkas. Dinding bercat putih. Lantai berkarpet biru gelap tanpa jalur pemisah saf. Ada sebuah rak kayu separa penuh terisi dengan kitab-kitab dan risalah dakwah beraneka bahasa.
Setelah menyarung telekung, Pinat menempatkan dirinya di sudut ruang belakang. Sunyi sekali suasana sekeliling, sunyi lagi jiwa Pinat. Sewaktu berdoa, sekali lagi dia tewas pada emosi. Mujur tiada orang lain di situ menjadi saksi.
Usai solat, Pinat kembali menyusuri koridor ke ruangan rak kasut. Sepatu coklat milik Abang Din masih kelihatan.
'Lelaki itu belum habis berwirid gamaknya,' bisik suara hatinya.
Pinat memutuskan untuk kekal berlegar di dalam bangunan. Terasa malas hendak bersosial dengan kelompok di luar. Apatah lagi diselubungi oleh asap rokok yang menjengkelkan. Dia melepaskan ikatan sanggul rambutnya. Getah beralih pula ke pergelangan tangan.
Pinat terpandang sebuah kotak hijau berlabel "SADAQAH". Wang tunai dalam tangannya tidaklah banyak mana. Duit biasiswa hanya akan mula diterima sesudah dia berjaya membuka akaun bank. Dalam beg galas pula cuma ada cek kembara.
Pinattiba-tiba teringat baki syiling yang diterima semula sewaktu dia membeli air mineral di transit Heathrow. Gara-gara panik saat terdengar panggilan terakhir penumpang bergema menerusi sistem PA, dia terus mencampak segala duit baki ke dalam beg galasnya sebelum memasang langkah seribu. Memang tiada peluang untuk dia membuka dompet pada waktu itu. Kini, baki syiling itu dikutip satu per satu dari dasar beg galas. Kemudian dimasukkan ke dalam tabung masjid. Jariah pertama Pinat di bumi sang ratu.
Abang Din muncul tidak lama sesudah itu.
"Jom." Ada sinar kepuasan terpancar jelas pada wajah Abang Din setelah melunaskan tanggungjawabnya terhadap Yang Maha Esa.
Pinat mengangkat ibu jari ke langit penuh teruja. Dia tidak sabar mahu merebahkan dirinya ke tilam setelah membersihkan diri dan beralih ke persalinan segar yang longgar. Penat!
Pintu kecemasan berkeriut nyaring ditolak oleh Abang Din. Kali ini, dia yang keluar dahulu.
"Abang Din! Berita baik!" sergah Dayat yang muncul tiba-tiba.
Hampir tercabut jantung Abang Din.
"Pihak hospital dah lepaskan mayat. Dan Paul tiba-tiba bersetuju pula untuk benarkan jenazah disempurnakan secara Islam!"
"Alhamdulillah. Semoga segala urusan kalian yang lain turut sama berjalan lancar. Abang doakan. Kami berdua gerak dulu, ya?"
Pinat masih berada di dalam bangunan. Terhalang dek batang tubuh Abang Din yang belum sempat beralih dari muka pintu.
Dayat segera mencapai lengan Pinat sewaktu si gadis melangkah keluar.
"Pinat! Bantu akak mandikan jenazah, boleh?" rayu Dayat penuh berharap sebaik sahaja mata mereka bertemu.