Home Novel Seram/Misteri Rangkulan Jin
Rangkulan Jin
Meja Editor
11/11/2024 09:25:14
972
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 4

SUARA kicauan burung bernyanyi riang di dahan-dahan pokok taman bunga mawar memeriahkan suasana yang dicengkam kesepian. Angin yang bertiup dari arah kawasan pergunungan membawa hawa sejuk menyamankan suasana tengah hari yang berbahang pada hari itu. Hamparan langit yang kebiasaannya dipayungi awan kumulonimbus kelihatan cerah membiru menyambut kehadiran sang mentari yang galak membiaskan cahaya terangnya.

Di satu ruang, kelihatan seorang lelaki muda sedang bercakap di telefon dengan seseorang. Wajahnya terlihat serius memahat segala arahan yang diterima. Sejurus itu, gagang telefon diletakkan sebelum dia memanggil dua orang pembantu rumah berjumpa dengannya.

"Villa de Amour akan menerima calon penghuni yang baru. Jadi, saya mahu tugaskan Kak Aini dan Kak Mah kemaskan bilik utama tingkat bawah dan bilik-bilik di tingkat atas."

Pemberitahuan itu membuatkan dua pembantu rumah itu berkeluh-kesah sesama sendiri.

"Saya pohon Kak Aini dan Kak Mah jaga batas dan pertuturan. Jangan sesekali bercerita tentang kejadian yang pernah berlaku di vila ini kepada mereka. Saya tak mahu kita menjadi penyebab mereka menarik diri. Kelak kita yang akan dikenakan hukuman." Kak Aini dan Kak Mah akhirnya mengangguk akur.

"Baik, Tuan Daniel."

Mereka berdua bersurai setelah mendapat izin daripada Daniel.

Selaku penyelia di situ, Daniel amat mematuhi akta kerahsiaan yang termaktub dalam kontrak kerjanya. Setimpal dengan bayaran gaji yang diterima, Daniel akan cuba menjaga nama baik Villa de Amour. Segala cerita buruk mengenai vila ini akan disangkal segera dengan fakta.

Daniel melakukan rondaan. Diatur kakinya mendaki anak tangga ke tingkat atas. Ketika itu, telinganya terdengar bunyi hempasan berkali-kali dari sebuah bilik tidur. Dia membuat keputusan untuk memeriksa bilik itu.

Tombol pintu bilik itu dipulas sebelum daun pintu ditolak. Daniel membuang nafas lega apabila melihat langsir di jendela sedang terbuka meliuk-liuk ditiup angin.

Pantas dia menutup jendela itu dan kembali melakukan rondaan yang tergendala tadi. Tertutup saja pintu, muncul kelibat wanita berkerudung putih dari belakang pintu sebelum ghaib serta-merta umpama angin.

MUZAFFAR datang menemui Shahrill di bilik kerja lelaki itu. Anak matanya mengekori gerak-geriShahrill yang meletakkan satu sampul bersaiz A4 di hadapannya. Kedua-dua keningnya bertaut rapat.

"Aku diamanahkan untuk serahkan sumbangan ni kepada kau," beritahu Shahrill.

Teragak-agak Muzaffar mencapai sampul putih itu. Penutup sampul itu dibuka sebelum dia dihambat kejutan sehingga terkelu lidah. 

"Itu adalah duit sumbangan daripada Tuan Ibrahim, pemilik Villa de Amour. Dia dah tahu tentang masalah kewangan kau. Jadi, dia berbesar hati nak membantu meringankan beban kewangan kau. Dia nak kau sekeluarga tinggal di vila tu dalam keadaan tenang dan tenteram," terang Shahrill hal sebenar.

Muzaffar berat hati hendak menerima. Dia menganggarkan jumlah duit dalam sampul itu lebihkurang RM5000 ke atas berdasarkan ketebalan wang kertas RM50 itu.

"Anggaplah itu sedekah daripada Tuan Ibrahim. Kau tak perlu ganti pun duit tu. Dia minta kau selesaikan segala hutang yang kau ada. Selebihnya, buat belanja untuk kau sekeluarga."

Kata-kata Shahrill itu membuatkan hati Muzaffar sedikit lega.

"Lagipun, kita tak tahu keadaan di Cameron Highlands nanti macam mana. Kalau kau nak cari kerja baru, dah tentu makan masa juga. Sekurang-kurangnya dengan duit tu boleh bantu selama kau sekeluarga tinggal di sana."

Muzaffar akur dengan pendapat Shahrill itu. Orang sudah ikhlas memberi, mengapa dia harus pertikaikan.

Cameron Highlands

FARIS memerhatikan sebuah vila lama yang masih berdiri teguh dari belakang sepohon pokok. Sebuah jendela yang sedang terbuka menjadi tatapan matanya. Kelihatan seorang lelaki beruniform lengkap melangkah keluar sambil mengangkat sebuah kotak.

Faris mengambil langkah pantas lalu melompat masuk ke dalam jendela yang terbuka itu setelah lelaki beruniform lengkap itu hilang dari pandangannya. Hatinya melonjak riang. Akhirnya, dia berjaya menerobos ke dalam vila itu selepas melalui berpuluh-puluh siri kegagalan sebelum ini.

Matanya terpegun melihat kemewahan dan keluasan ruang di sekitarnya. Benarlah kata-kata khabar angin. Vila ini menyimpan pelbagai harta bernilai.

Dia mengeluarkan kamera yang disimpan dalam beg sandang. Beberapa sudut ruang dan barang-barang antik menjadi buruan lensa kameranya sehingga dia terleka tidak menyedari ada sepasang mata sedang tajam mengawasinya.

Sebuah pasu seramik berukir corak kembangan bunga menarik perhatiannya. Reka bentuk pasu itu unik dan tampak berusia. Fikirannya mentafsirkan kebarangkalian pasu itu bernilai ribuan ringgit andai digadaikan atau dijual.

"JANGAN sesekali kau berani sentuh pasu itu. Abang jamin kau takkan mampu bayar ganti rugi kalau pasu itu rosak atau pecah," tegur satu suara tegas ketika jari-jemari Faris hampir menyentuh pasu itu.

Wajah Daniel tegang. Rasa amarah dalam hati disabarkan dengan zikir. Faris di hadapannya dilihat kecil seperti anak tikus.

"Degil betullah kau ni! Susah sangat ke nak dengar cakap abang? Kau keluar dari sini sekarang!" Dia menarik tangan Faris keluar hingga ke tengah halaman utama vila.

Daniel memekakkan telinga apabila remaja lelaki itu memohon maaf. Sebaliknya dia memberi amaran keras. Tidak teragak-agak membuat laporan polis jika itu kehendak remaja lelaki itu. Dia sudah penat hendak melayan perangai adik sepupunya yang tidak faham bahasa itu.

"Janganlah macam tu, bang. Faris cuma masuk nak tengok-tengok aje. Bukan nak mencuri." Faris cuba membela diri walaupun tahu dia memang bersalah.

"Ini entah kali ke berapa puluh dah abang tangkap kau, tapi hari ni kau berjaya juga masuk ke dalam vila ni, ya? Beri abang lima sebab kenapa abang patut lepaskan kau lagi kali ini?" soal Daniel yang masih dikuasai marah.

"Sebab pertama, Faris tidak mencuri. Kedua, Faris nak selidik kenapa vila ni sangat ditakuti orang ramai. Ketiga, betul ke ada kejadian pembunuhan di vila ni? Keempat, Faris nak rakam video hantu pengantin yang tinggal di vila ni. Kelima, errr ...." Lantang Faris menjawab sebelum dia terdiam di sebab yang kelima.

"Kau masih dibelenggu dengan impian nak menjadi penjejak hantu lagi ke? Tolonglah berpijak di bumi yang nyata! Cita-cita kau tu membuang masa. Tak ada hantu di sini. Khabar angin yang kau dengar tu semua bohong belaka. Dah bertahun abang kerja di sini. Tak ada hantu pengantin pun abang jumpa."

Daniel menyanggah dengan keras.

"Kalau betul khabar angin tu bohong belaka, kenapa penghuni yang duduk sini sebelum ni lari keluar dalam ketakutan? Jangan ingat Faris tak tahu apa yang berlaku di vila ni. Faris tahu abang  tengah sembunyikan sesuatu daripada pengetahuan orang ramai."

Daniel melepaskan keluhan berat. Segera dia menghalau Faris pulang. Dia sudah muak dengan sikap ingin tahu remaja itu yang mencanak-canak.

"Faris takkan berhenti selagi pencarian Faris tidak terjawab!" bentak Faris walaupun jaraknya dengan lelaki itu sudah jauh.

Di sebalik satu jendela vila yang agak tersorok, kelihatan susuk tubuh berbalam-balam sedangmemerhatikan Faris yang mula melangkah meninggalkan pekarangan vila. Bebola mata hitam sepekat warna langit kala malam tiada bulan dan bintang itu merenung ke arah remaja itu. Taring gigi yang berceracak tajam melewati bibir yang tersungging ngeri sambil disusuli dengan suara deraman parau yang mampu mengecutkan perut yang mendengar.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.