Home Novel Seram/Misteri NGAUMAN CINDAKU - A. DARWISY
NGAUMAN CINDAKU - A. DARWISY
A. Darwisy
11/9/2018 20:14:56
11,256
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Senarai Bab
Prolog

Kampung Ranggul, Pahang, Tahun 1948...

Hari kian merelop. Kaki langit mulai tampak kemerah-merahan. Sesekali terdengar laungan suara para ibu tingkah-meningkah memanggil nama anak masing-masing. Sekumpulan anak kecil masih ralit bermain sesama mereka. Ada tujuh orang kesemuanya, empat orang laki-laki dan tiga orang perempuan. Rata-rata dalam lingkungan usia 9 hingga 12 tahun. Selagi tidak ditarik cuping telinga hingga mengaduh sakit, selagi tidak dihambat dengan rotan hingga berbekas di betis, selagi itulah mereka tidak berganjak dari tempat permainan.

   “Majid, tu suara mak kau kan?” tanya Zainab sambil matanya loliah-loliah memerhatikan kawasan sekeliling. Emak Majid, antara yang paling garang berbanding yang lain. Maimun namanya. Suara wanita itu kalau menjerit, riuh-rendah satu kampung. Itu belum lagi kalau datang angin tidak baiknya. Majid sudah tidak terhitung berapa kali dicubit-cubit sampai lebam dan dilibas dengan tali pinggang sampai berbirat tetapi budak itu tetap dengan ketegarnya.

   “Alah, jauh lagi tu. Mak aku bukannya boleh jalan laju. Sempat lagi kita main satu pusingan lagi...” jawab Majid, endah tidak endah. Dalam masa yang sama, dia tetap memasang telinga. Menganggar jarak, sudah sampai mana emaknya berjalan.

   Maimun tempang kaki kanannya. Hendak bergerak sedikit payah. Terpaksa menggunakan tongkat kayunya. Tetapi pekik tempik suara Maimun, sebatu sudah boleh dengar.

   “Err...baiklah kalau macam tu. Giliran kau pulak jadi datuk harimau.”

   “Tak ada hal! Kau pulak jadi ibu ayam.”

   Majid, Zainab dan yang lain-lain meneruskan permainan. Topeng muka harimau yang dilukis di atas kertas keras itu bertukar tangan. Majid memakai topeng tersebut sambil kedua-dua belah tangan diangkat ke udara dengan kelima-lima jarinya dibengkokkan. Mirip seekor harimau yang selayaknya mahu mencakar mangsa.

   “Grraum!” deram Majid mengajuk ngauman pak belang. Zainab mendepangkan kedua-dua belah tangannya sepertimana sifat seekor ibu ayam yang akan mengepakkan sayap apabila anak-anaknya diganggu.

   Jarak di antara mereka berdua lebih kurang lima ke enam langkah jauhnya. Zainab sudah bersedia hendak berdepan dengan Majid. Dia tidak mahu memberi kemenangan mudah kepada budak lelaki itu.Bising mulut Zainab menyuruh kawan-kawan yang sedang beratur dan berlindung di belakang badannya untuk memegang kuat-kuat bahu atau pinggang kawan di hadapan. Majid tersengih di balik topeng. Memandang rendah keupayaan Zainab.

   Maka, permainan pun bermula.

   “Pukul berapa datuk harimau?” laung Zainab dan kanak-kanak yang lain hampir serentak.

   “Pukul satu!” jawab Majid tanpa menoleh ke belakang. Langkah diatur ke depan seperti biasa.

   “Pukul berapa datuk harimau?”

   “Pukul dua...”

   Majid sengaja mengasarkan suaranya supaya kedengaran garau, dengan tujuan mahu menakut-nakutkan Zainab. Sesi soal jawab berterusan sehinggalah Majid memutuskan untuk menangkap kawan-kawannya pada pertanyaan selanjutnya.

   “Pukul berapa datuk harimau?”

   “Pukul dua belas dan aku lapar! Grrraum!”

   Majid pantas memusingkan badan dan cuba menyauk dan menarik mana-mana anggota badan kawan-kawannya yang bersembunyi di belakang Zainab. Suasana menjadi gamat dengan jeritan Zainab dan dua orang kanak-kanak perempuan yang lain. Manakala yang lelaki pula, bercampur jerit dan tawa terbahak-bahak. Majid yang cuba mencari peluang untuk menerkam kawannya yang berada di paling belakang, tiba-tiba berhenti dari berbuat demikian. Budak itu tercegat dan menanggalkan topeng muka harimau beberapa ketika kemudian.

   Zainab berkerut dahi dengan tingkah Majid. Biasanya, Majid tidak pernah mengalah lebih-lebih lagi di awal permainan.

   “Kau dah kenapa, Majid?” soal Zainab, hairan sekali. Majid kelihatan tergamam tidak semena-mena.

   “Tengok tu...darah...”

   Jari telunjuk dituding ke arah permukaan rumput. Zainab dan yang lain-lain, serentak memandang ke arah yang sama. Ada palitan darah yang panjang di atas rumput. Seperti kesan diseret. Masing-masing terbeliak sehinggalah Zainab menyedari yang mereka bukan bertujuh tetapi hanya tinggal berenam.

   “Eh, Kamil mana?” soal Zainab,cemas. Sudahnya, mereka memandang sesama sendiri.

   “Bukan Kamil paling belakang ke?”

   “Memang dia ada kat belakang sekali tapi mana dia pergi?”

   Sekumpulan kanak-kanak itu memucat wajah masing-masing. Zainab sudah berlinangan airmata. Dia takut dirinya dimarahi. Kamil adalah adik bongsunya. Adiknya itu tidak seperti kanak-kanak yang lain. Sudah menjadi tanggungjawab Zainab untuk menjaga adiknya yang lembam itu.

   “Kau orang tunggu sini. Aku panggil mak aku.” putus Majid, lebih berakal tindakannya. Dia tahu mereka memerlukan pertolongan orang dewasa. Apalah yang mampu mereka buat dalam keadaan terpinga-pinga sebegini.

   “Mak kau tak marah ke nanti?” tanya Zainab, takut-takut.

   “Dia lagi marah kalau aku tak beritahu apa yang dah jadi. Kau orang tunggu kejap.” pesan Majid untuk kesekian kali. Dia berlari mendapatkan Maimun yang sudah berada berdekatan dengan tempat permainan mereka. Suara wanita itu yang terpekik-pekik memanggil namanya, sudah semakin jelas di pendengaran.

   Sebaik saja berjumpa dengan Maimun, Majid menarik pergelangan tangan emaknya ke tempat kawan-kawannya berhimpun tadi. Terkial-kial Maimun hendak bergerak laju.Tongkat di tangan menjadi pendukungnya. Dalam pada itu, mulutnya membebel geram. Majid menadahkan saja cuping telinga menerima leteran si emak yang tidak henti-henti memarahinya.

   “Berbuih mulut aku cakap, jangan ajak kawan-kawan kau main kat sini! Pinggir hutan ni sempadan kawasan dia!”

   Kemarahan Maimun bersebab. Dia bukan saja-saja hendak melarang sekaligus menyekat anaknya itu bermain dengan anak-anak kampung yang lain.

   “Tolong saya, makcik Maimun. Adik saya hilang. Kami tengah ralit bermain, tiba-tiba aja dia dah tak ada.” rayu Zainab, tercebik-cebik. Maimun menghempas nafas berat. Meliar mata wanita itu mengitari kawasan sekeliling. Kesan palitan darah yang panjang di permukaan rumput membuatkan perasaan Maimun jadi libang-libu.

   “Baiklah. Tapi kamu semua pergi balik rumah masing-masing sekarang. Jumpa budak tu nanti, tahulah aku bawak dia balik. Lain kali, jangan main kat tepi hutan ni lagi! Ingat tu!” pesan Maimun masih melengking nada suaranya tetapi tidaklah marah-marah seperti tadi. Jatuh kasihan pula dia melihat anak kecil itu tersedu-sedu sedemikian rupa.

   “Majid nak ikut mak, boleh?” celah satu suara selepas kumpulan anak kecil itu berhamburan lari meninggalkan tempat permainan mereka. Tinggal Majid seorang saja. Meminta izin untuk mengikut sama.

   Maimun memeriksa kantung kain yang berikat di pinggangnya terlebih dulu. Sudah diisi sesuatu di dalamnya. Lalu wanita itu mengangguk, mengizinkan. Sementelah, dia memang memerlukan tenaga seorang lagi kalau-kalau keadaan memaksa.

   Dua beranak itu mengikut kesan palitan darah di permukaan rumput sehinggalah mereka memasuki kawasan hutan tebal. Majid sudah terhidu bau aneh di sekitar itu. Bau hamis binatang. Maimun lekas meletakkan jari telunjuk di atas bibir. Mengisyaratkan supaya anaknya itu tidak bersuara dan menghasilkan sebarang gerak atau bunyi.

   Kandungan kantung kain di sisi pinggang pantas dicapai. Majid memerhatikan saja tindakan si emak yang menyauk isi dalam kantung itu lalu menaburkannya ke sekeliling tempat mereka berdiri sekarang membentuk satu bulatan.

   “Kenapa mak tabur garam?” soal Majid dalam nada berbisik. Membuntang mata Maimun apabila si anak tidak mendengar kata. Majid yang baru tersedar kesilapannya terlanjur bercakap, lekas-lekas menutup mulut.


...bersambung di dalam novel


Bagi video lebih jelas, boleh setting quality 480p.

Untuk audio pula, disarankan menggunakan earphone untuk kesan bunyi yang lebih baik.

Selamat menonton.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.