BAB 1
Lembah Perawan,
Pedalaman Ranau
SEROJAmelihat bulan mengambang di dada langit. Sesekali
matanya dilontar jauh ke puncak hutan banjaran Nusawungu. Teringatkan suaminya,
Seroja jadi risau. Apatah lagi siang tadi suaminya Jairon telah berjanji akan
pulang sebelum matahari tenggelam. Dan sekarang, matahari sudah pun bertukar
menjadi rembulan.
“Mama,
bapa belum pulang lagi?” tanya anak lelakinya, Paduka.
“Sebentar
lagi, dia pulanglah tu,” pujuk Seroja. Paduka yang baru berumur enam tahun,
memaut pergelangan tangan ibunya.
Malam
semakin larut. Suasana Lembah Perawan itu semakin sepi. Dahulu, tempat itu
tidak bernama. Apabila nenek moyang mereka berhijrah dan menetap di situ,
mereka membuka penempatan baharu. Atas peristiwa dan kisah silam, tempat tidak
bernama itu akhirnya dinamakan sebagai Lembah Perawan. Atas sebab apa? Hanya
penduduk di situ yang mengetahuinya.
Seroja
menganggar waktu berdasarkan kedudukan bulan mengambang yang sudah beranjak ke
bahagian barat. Ini menandakan, putaran matahari akan mengunjur semula ke
bahagian timur menjelang besok pagi.
Apabila
terlalu lama menunggu kepulangan suaminya, Seroja membawa Paduka masuk ke dalam
bilik, lalu didodoikan sehingga tertidur. Selepas itu, Seroja baring-baring
sambil mengusap ubun-ubun kepala anaknya.
Masa
inilah anak telinganya mendengar bunyi-bunyi sayup di luar rumah. Seperti
kepakan sayap yang terbang mengelilingi rumah. Deruan angin malam membuatkan
bulu romanya meremang. Seram! Teringat
pula dengan kisah-kisah mistik yang bertatih dari lidah ke lidah penduduk di
situ sehingga dia dewasa.
Deruan
angin itu semakin hilang. Seroja hanya menelan liur membasahkan tekaknya yang
terasa kering. Nafasnya dikawal perlahan. Cahaya lampu tanah yang bersinar,
menghilangkan sedikit kesuraman malam yang mendakap kegelapan.
“Seroja…”
Satu suara kedengaran dari arah luar rumah.
Wanita
20-an itu termangu. Suara itu membuatkan hatinya berbunga semula. Malah, suara
itu begitu dikenalinya. Selang beberapa detik, kedengaran ketukan pintu yang
bertalu-talu. Seroja pantas berdiri, lalu menapak ke arah pintu utama rumah
mereka.
“Abang,
lewatnya pulang…” tutur Seroja sambil menyambut kepulangan Jairon. Bakul yang
berisi akar kayu diambil dan diletakkan di atas para.
“Abang
tersesat di dalam hutan, Seroja,” jawab Jairon. Wajahnya yang serius
disembunyikan di sebalik cahaya lampu minyak tanah yang dinyalakan.
“Abang, marilah di kawasan terang ini. Nanti Seroja
sediakan air minum untuk abang.” Seroja mendapatkan suaminya. Layanan lelaki
itu langsung tidak disalah tafsir walaupun agak dingin terhadapnya.
Dek
kepenatan meredah hutan banjaran, Jairon terus masuk ke dalam bilik tidur.
Seroja yang simpati dengan kelelahan suaminya, segera masuk lalu mengurut-urut
bahu lelaki itu. Alangkah terkejutnya dia apabila badan lelaki itu dipenuhi
bulu-bulu kasar lagi panjang.
‘Bulu?’
Hati Seroja berbisik.
Masa
inilah tangan kiri Jairon memanjang, lalu mencapai lampu minyak tanah dan
memadamkannya. Seroja yang terkejut melihat perubahan itu teriak sekuat
hatinya. Dia pantas berdiri, tetapi dicapai oleh tangan kanan Jairon yang
secara tiba-tiba juga menjadi panjang.
“Jangan
berjanji kalau tidak ditepati!” Jairon yang sudah mengagak perubahan isterinya
berkata penuh simbolik sambil tersenyum sinis.
Seroja
kehilangan kudrat. Suaranya tersekat di rangkungan. Kala ini, Jairon berubah
perwatakan. Menjadi bengis dan badannya ditumbuhi bulu-bulu kasar lagi panjang.
Tiada sekelumit perasaan kesian. Kuku-kuku tajam ditusuk sehingga membuakkan
darah berwarna merah pekat.
“Barau…
Barau!” Seroja berusaha berkata-kata dalam kesakitan. Setiap perkataan yang
terluah di lidahnya, diselangi dengan darah yang menyeruak dari luka di
perutnya. Barau bermaksud, sejenis hantu yang suka menyerupai seseorang dalam
bahasa sukuan Dusun.
Lembaga
manusia itu mencapai sekujur tubuh badan Seroja. Segala isi dan daging wanita
itu dilahap. Dimakan mentah-mentah. Apa yang ditinggalkan cuma kulit, baju,
rambut dan tulangnya sahaja. Makhluk itu menyeringai. Mulutnya dipenuhi darah
mangsanya.
PADUKA menggenggam buah limau nipis yang ada di dalam
biliknya itu. Air matanya berlinangan. Melihat malapetaka yang menimpa ibunya,
lidah dan tubuhnya menjadi kaku dari celah-celah lubang bilik antara mereka.
Hendak bersuara tetapi tidak terluah. Tangisannya hilang di sebalik cucuran air
matanya yang penuh kelukaan dan ketakutan.
Malam
ini, keluarganya habis binasa. Malapetaka yang menimpa mereka bagai badai yang
dipercikkan oleh Sang Petaka Nyawa! Lebih parah dan menyakitkan, ibunya mati di
depan mata dengan cara yang begitu sadis dan penuh tragis.
“Barau!”
bisik Paduka perlahan. Ketakutannya sukar dibendung lagi. Dari cerita yang
didendangkan oleh ibunya, makhluk yang disaksikannya sendiri itu sama dengan
ciri-ciri yang diceritakan kepadanya.
Makhluk
itu menoleh ke arah bilik Paduka. Matanya bersinar merah. Hidungnya seperti
mencium bau sesuatu. Paduka pantas menahan nafasnya. Nasibnya agak baik apabila
makhluk itu tiba-tiba melayang keluar melalui tingkap yang terbuka luas. Dari
bilik itu, kedengaran deruan angin dan kepakan yang menyerupai kuakan sayap
yang mengelilingi rumah itu.
Akibat
mengalami ketakutan yang melampau, Paduka pengsan bersama buah limau nipis yang
dibelah dua di dalam genggaman tangannya. Dunia serta-merta menjadi gelap bagai
dipenuhi bala. Sang rembulan pula mula diarak awan hitam. Seolah-olah sengaja
berkabung atas malapetaka berdarah yang menimpa Lembah Perawan itu.
Kematian itu pasti, walau dengan apa cara sekalipun!