Home Novel Seram/Misteri ANTOLOGI MISTIK JEMBALANG : Bidadari Pencabut Nyawa
ANTOLOGI MISTIK JEMBALANG : Bidadari Pencabut Nyawa
Riduan Judin
20/12/2014 10:01:34
29,281
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 3

BAB 3

Hutan Nusawungu

TOK PAWANGmelangkah dengan kaki yang agak goyah. Ternyata, hutan itu masih terasa ‘bernyawa’ di lubuk jiwanya walaupun sudah puluhan tahun dia tidak menjejakkan kaki di tempat misteri ini. Dulu, sewaktu dia muda belia, dia antara generasi awal yang membuka jalan ke hutan itu bagi mencari rezeki. Dan hari ini, jiwanya sengaja dikuatkan agar dapat kembali bersatu dengan semangat hutan Nusawungu yang semakin lenyap dari sisa keberaniannya.

“Hutan ini seram, Tok,” ujar John yang berasa tidak tenteram dengan suasana hutan Nusawungu yang agak merimbun.

“Jaga pertuturan, John. Ingat, ini tempat ‘mereka’,” balas Tok Pawang. John serta-merta tertunduk. Sebenarnya, Tok Pawang tidaklah serius begitu, tetapi apabila melibatkan dunia halus, dia lebih berhati-hati. Dia takut, sejarah lama kembali bernyawa.

“Maaf, Tok.” John berasa cuak.

“Ini kali pertama aku masuk di hutan ini. Indah rupanya di bahagian dalam.”

“Hutan ini, memang indah dari luaran dan dalamannya. Tetapi semakin jauh kita masuk ke lubuk, semakin payah kita hendak keluar,” jelas Tok Pawang. Sebagai penghulu Lembah Perawan yang terletak di kaki hutan banjaran itu, dia mempunyai banyak pengalaman di sini.

“Tapi kenapa Tok melarang kami semua memasuki hutan ini?” tanya John yang sedari dulu menginginkan jawapan itu.

“Ini dunia mereka, John. Selagi mereka tidur, kita jangan bangunkan mereka. Takut-takut, perbalahan akan tercetus lagi antara dua dunia.” Tok Pawang tetap melayan kerenah anak-anak buahnya yang suka bertanya itu ini.

“Di mana agaknya Jairon dan Paloi berada?” tanya salah seorang daripada penduduk Lembah Perawan yang mengikuti perjalanan mencari itu. Paloi merupakan anak yatim piatu sejak dari kecil. Dia dibesarkan oleh neneknya. Apabila neneknya meninggal, dia tinggal sebatang kara.

Tok Pawang memandang mereka satu per satu. Tiada jawapan yang terluah dari lidahnya. Hatinya tiba-tiba gementar. Mengingatkan kepada kejadian semalam, dia seolah-olah tahu apa kesudahan pencarian mereka. Pembunuhan Seroja sebagai satu tanda. Dan bukan pertama kali dia melihat pembunuhan seperti itu. Dalam diam, hatinya mula membisikkan sesuatu.

“Tok?” Apabila melihat Tok Pawang mengelamun, John jadi hairan.

“Eya… ada apa?” tanya Tok Pawang yang kelihatan agak tersentak.

“Pencarian kita seperti agak payah tanpa tanda dan petanda, Tok,” jelas John.

“Kita cari di bahagian dalam lagi. Di bahagian utara. Kita ‘panjat’ bukit Nusawungu ini,” jawab Tok Pawang.

“Ada apa di sana, Tok?”

“Tok sendiri belum pernah sampai di sana. 25 tahun lalu, Tok hanya pernah sampai di tempat ini,” jujurnya.

“Apa yang perlu kita lakukan sebelum ke sana, Tok?” tanya John. Wajahnya agak pucat. Ketakutan mula bermain di jiwa lelakinya.

“Lumurkan badan dengan pati limau nipis yang sudah dijampi ini, kemudian terbalikkan baju,” arah Tok Pawang sambil mengagihkan buah limau nipis yang dibawanya di dalam bakul tradisi.

“Kenapa kita mesti terbalikkan baju, Tok?”

“Supaya kita tidak sesat di hutan ini. Ingat, langkah kaki kita tidak semestinya selalu betul,” jelas Tok Pawang.

Dengan jawapan itu, mereka semua terdiam. Tiada yang berani hendak meningkah lagi. Tok Pawang merupakan orang lama di sini, dan dia tahu apa yang hendak dilakukan apabila berada di dalam hutan sebegini. Itu bukan adat, melainkan cara masyarakat Dusun hendak mengelakkan diri daripada disesatkan di hutan.

PERJALANAN mereka semakin jauh masuk ke lubuk hutan banjaran itu. Walaupun hari masih siang, tetapi keadaan sekeliling kelihatan agak suram kerana matahari terselindung di sebalik rimbunan hutan yang menghijau. Malah, hutan Nusawungu itu tidak pernah diterokai secara haram melainkan hasil hutannya diambil secara sedikit.

Apabila mereka sampai di satu kawasan lapang, gerombolan yang diketuai oleh Tok Pawang begitu terpukau apabila melihat satu pemandangan dan fenomena yang begitu sukar sekali hendak dilihat dengan jarak yang sebegitu dekat.

“Hebatnya puncak itu…” bisik John yang berasa begitu kagum sekali.

“Itulah puncak si Aki Nabalu. Tempat roh-roh nenek moyang kita bersemadi.” Tok Pawang mendongak sambil timbul rasa kagum di hati terhadap kewujudan Gunung Kinabalu yang tersergam indah.

“Tempat suci… tempat kita kembali dengan lebih abadi.” Beberapa orang penduduk Lembah Perawan yang mengikuti misi mencari Jairon dan Paloi hampir tidak terkata menyaksikan lekuk-lekuk batu pergunungan itu yang kelihatan jelas sekali. Malah, air terjun yang berwarna keputihan juga begitu jelas pada pandangan mata.

“Kenapa kita tidak tinggal di kawasan itu saja, Tok. Mesti tanaman kita semakin subur,” ulah John yang mula taksub melihat keindahan puncak Gunung Kinabalu.

“Tidak boleh, John. Puncak itu persemadian roh nenek moyang kita. Tempat itu hanya untuk orang yang sudah mati.” Tok Pawang meningkah. Pendiriannya diteguhkan, seteguh Kinabalu.

Mereka terdiam tanpa kata. Apa yang dikatakan oleh Tok Pawang sememangnya benar. Itu tempat roh bersemadi, dan ia hanya layak untuk orang yang sudah mati. Yang masih hidup, teruskan hidup dan jangan datang ke dalam kawasan itu. Tetapi hari ini, rombongan Tok Pawang datang dalam keadaan yang masih hidup sedangkan syarat untuk tinggal di hutan banjaran itu adalah, ‘mereka harus mati’!

“Mari kita teruskan perjalanan.” Sambungnya tatkala puas melihat puncak Kinabalu yang kelihatan air terjun mencurah dari celah batuan.

Di sebalik rimbunan hutan banjaran yang merimbun, sepasang mata tajam sedang memerhatikan mereka. Sebelum ini, dia tertidur. Dan sudah pasti kedatangan mereka di kawasan ini membuatkan semangatnya terbangun daripada tidur yang panjang. Dan untuk membuatkan dia tidur semula, mereka harus mati!

“Kau yakin dengan keputusan kita tadi, Tawi?” tanya Pinto yang kelihatan terkebil-kebil mengekori rakannya Tawi.

“Limau nipis itu bukan apa-apa, Pinto. Tengok baju ni, memang tidak patut diterbalikkan. Buang kes betullah!” marah Tawi.

“Tapi aku takut dengan apa yang dikatakan oleh Tok Pawang.” Pinto menzahirkan juga rasa gelisahnya.

“Yang kau takut sangat ni kenapa?” marah Tawi. Pinto hanya berdiam. Rakannya itu sememangnya suka menjadi raja dalam jalinan persahabatan mereka sejak dari dulu lagi.

“Tiada hantu dalam hutan ini. Tok Pawang hanya mengapi-apikan saja supaya dia yang akan menjumpai harta karun yang bertimbun di sini,” tambahnya. Dan itu fitnah.

PENCARIAN mereka menjadi buntu apabila tiada sebarang petanda yang membawa kepada penemuan Jairon dan Paloi. Tok Pawang jadi risau. Hari pula semakin berlabuh. Hutan banjaran itu bertambah suram apabila matahari semakin merunduk di ufuk barat. Maka, bertambahlah kegusaran di hati tuanya.

“Kita semakin kemalaman di hutan ini. Sebaiknya, kita berehat dulu. Nyalakan unggun api, dan jangan lupa palitkan pati limau nipis di badan masing-masing,” arah Tok Pawang. Setelah menjumpai satu kawasan lapang, Tok Pawang berhenti lalu mengarahkan agar anak-anak buahnya mencari kayu hutan. Selepas itu, mereka menyalakan unggun api.

“Di mana agaknya Jairon dan Paloi?” Tok Pawang semakin diamuk resah. Ditambah pula dengan kematian Seroja. Hatinya jadi serabut bak sarang burung Tempua. Paduka yang ditinggalkan di rumah John semakin memenuhi ruang fikirannya.

“Sabarlah, Tok. Harap-harap kita akan menjumpai mereka,” balas John.

“Kalau tiada petunjuk lagi, besok pagi… kita pulang saja, Tok,” tingkah Tawi.

“Tawi, ini pasal nyawa. Ingat kita suka-suka saja masuk hutan banjaran ni?” Pinto menyampuk kerana tidak tahan dengan gelagat rakannya itu.

“Biarkan saja, kata-katanya mungkin ada betul walaupun tidak kesemuanya,” balas Tok Pawang.

Apabila langit sudah bertukar gelap, nyalaan api unggun itu semakin marak apabila ditambah dengan kayu-kayu kering. Selain menghalang gigitan nyamuk, ia juga dapat menghalau binatang berbisa seperti ular dan lipan.

“Aku risaukan anak-anak dan bini di rumah…” Secara tiba-tiba, John berbisik kepada Tok Pawang. Lelaki tua itu membisu sejenak.

“Yang penting, kita tidak berjanji untuk pulang hari ini, John. Ingat, itu pantang mereka…” jelas Tok Pawang.

“Maksud, Tok?” John kelihatan agak tertarik.

“Kalau kita berjanji hendak pulang, harus tunaikan janji itu walaupun sudah lewat malam. Kalau tidak, rogon yang akan menyamar dan pulang ke rumah.” Tok Pawang menjelaskan secara panjang lebar.

“Jadi, kejadian semalam itu…”

“Eya, pasti Jairon berjanji akan pulang ke rumah tetapi dia tidak sempat keluar daripada hutan banjaran ini.” Tok Pawang membuat firasat awal.

“Tapi aku berjanji akan pulang hari ini juga, Tok!” gesa John. Serta-merta wajahnya jadi pucat lesi. Terbayang wajah isteri kesayangan dan anak-anaknya.

“Kan Tok sudah cakap sebelum jalan pagi tadi!” marah Tok Pawang secara perlahan. Suaranya ditahan di rangkungan agar tidak keluar secara terlalu kuat.

“Paduka pun ada di rumah aku, Tok.”

“Malam ini juga kita balik, John!” putus Tok Pawang yang kelihatan semakin gelisah.

“Ada apa, Tok? Nak pulang malam-malam begini?” sampuk Tawi yang mendengar perbualan mereka.

“Betul Tok?” tanya yang lain.

“Aku sudah agak, Tok Pawang cuma hendak mempergunakan kita. Dia hampir jumpa harta karun dalam hutan ini lalu hendak pulang malam ini juga, sebab dia takut kita turut menjumpainya.” Tawi menabur fitnah lagi.

“Tutup mulutmu, Tawi.” marah John.

“Tengok, bakal-bakal pengganti Tok Pawang sudah membela. Mahu ambil hati Tok Pawanglah tu. Alah, ingat bagus sangatkah jawatan penghulu?” bentak Tawi.

“Diam semua!” Secara tiba-tiba, Tok Pawang berdiri dan mengisyaratkan agar mereka semua tidak bersuara.

“Ada apa, Tok?” tanya John.

“Suara tadi, kamu dengar?” tanya Tok Pawang. Mereka semua pantas memasang telinga dan menggeleng apabila tidak mendengar apa-apa bunyi mahupun suara.

“Mengarutlah semua ini!” sergah Tawi.

Masa inilah kedengaran bunyi kepakan sayap yang menunjukkan ‘sesuatu’ sedang terbang di sekitar kawasan itu. Mereka semua terdiam. Bulu roma mula meremang. Hati mula bergetaran kerana berasa cuak. Di hutan belantara begini, mustahil jalan keluar begitu mudah.

“Itu burunglah… ataupun, kelawar yang mencari makanan.” Tawi menapak ke depan sambil mencekik pinggangnya. Angkuh.

“Kita buat satu bulatan mengelilingi unggun api,” arah Tok Pawang. Mulutnya terkumat-kamit membaca bait mantera sebagai pendinding kawasan itu. Mereka tidak menunggu lama, kecuali Tawi yang berasa besar diri.

“Tawi, kemarilah…” panggil Tok Pawang. Namun, lelaki itu tidak mengendahkan.

Tiba-tiba, hujung pokok-pokok bergoyang deras. Dedaun berguguran jatuh ke tanah. Kepakan sayap itu pula semakin kuat kedengaran seiring dengan pergerakan yang hanya dapat dilihat berdasarkan rimbunan pokok yang bergoyang.

“Itu apa, Tok?” tanya Tawi. Dia mula takut apabila nalurinya mengesan sesuatu yang tidak baik untuknya. Maka, cepat-cepat dia masuk ke dalam bulatan. Matanya meliar ke serata tempat.

“Akkk… akkk!” Satu bunyi parau kedengaran mendayu-dayu. Mereka yang mendengarnya, tersentak. Peluh dingin mula mengalir membasahi tubuh apabila perasaan takut terangsang.

“Palitkan limau nipis di badan!” arah Tok Pawang. Semua mengikutinya kecuali Tawi. Pinto pula melakukannya kerana dia masih menyimpan limau nipis yang diberikan kepadanya tadi.

BUNYI kepakan itu sudah hilang, walaupun sesekali kelihatan rimbunan pokok-pokok bergoyang. Tok Pawang merasakan sesuatu yang tidak baik. Maka, dia tidak henti-henti membaca jampi serapah. Bait mantera yang dia dan masyarakat Dusun percayai mempunyai kebaikan dan kekuatan yang tersendiri.

Tok Pawang hampir terduduk apabila matanya melihat sesuatu sedang berjalan ke arah mereka. Namun, kegelapan malam sedikit membataskan pandangannya. Untuk kali ini, bacaan manteranya tersasul dan sebutannya jadi salah.

“Apa tu, Tok?” bisik John. Tok Pawang tidak menjawab. Beberapa kali dia menelan liurnya kerana tekaknya terasa begitu kering.

“Rogonnn!” jerit Tawi sambil keluar dari bulatan yang mengelilingi nyalaan unggun api.

Masa inilah makhluk yang bertandang itu melonjak tinggi. Masa ini, kedengaran kepakan yang menyerupai kuakan sayap burung-burung besar yang terbang. Makhluk itu tidak menghadapi masalah menumpaskan dan menangkap mangsanya.

Badan Tawi terangkat ke atas bersama teriakannya yang kedengaran sedang dalam kesakitan. Mereka yang menyaksikan kejadian itu hampir terkencing dalam seluar. Seram dan amat menakutkan. Bulatan mereka masih utuh seperti tadi. Kala ini, parang-parang tajam tidak lekang dari tangan masing-masing. Andai sesuatu berlaku, maka mereka akan mencantas saja dengan serangan buta.

Suara Tawi kedengaran semakin tenggelam. Makhluk itu membawa jasadnya di hujung pokok yang merimbun. Di situ, kedengaran bunyi parau seperti bunyi lembu yang hendak dijadikan korban semasa sembelihan. Darah merah mencurah dari atas pokok. Selepas itu, kulit-kulit dan rambut Tawi dijatuhkan bertempiaran di atas tanah.

“Sebaiknya, kita pergi dari sini saja…” cadang Tok Pawang.

“Kami setuju, Tok,” balas Pinto yang sudah terkencing dalam seluarnya. Tok Pawang melihat-lihat di atas, kemudian membuat satu keputusan untuk arah larian mereka.

“Kita ikut jalan ini,” arah Tok Pawang sambil menudingkan jarinya di satu arah jalan yang terbuka luas.

“Lari!” Tok Pawang bertempik. Seiring dengan itu, mereka mencapai obor kayu sebagai penyuluh jalan.

“Jangan lupa palitkan lagi perahan limau nipis di badan!” jerit John.

Makhluk itu hanya melihat pemergian mereka. Sepasang matanya bersinar tajam. Dalam banyak-banyak mangsanya malam ini, cuma seorang saja yang mudah ditundukkan. Yang lainnya, agak payah kerana berbau limau nipis yang menjadi pantang bagi ‘mereka’. Makhluk itu menyambung santapannya, daging-daging Tawi yang masih tersisa dilapah mentah-mentah. Darah di tangannya dijilat-jilat dengan rakus sekali.


Previous: BAB 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.