PROLOG
Hutan Nusawungu -Tahun 1992
HUTAN
itu sudah lama tidur. Malah, sejak tidak dikunjungi penduduk setempat, tempat
itu menjadi begitu sepi. Terletak di antara banjaran pergunungan Kinabalu yang
tinggi. Hutannya merimbun. Daun-daun tebal menghijau sehingga jauh ke lubuk
hutan banjaran itu.
Menurut cerita, hutan Nusawungu
dihuni oleh makhluk pelik yang sentiasa dahagakan darah. Bagaimana bentuk
wujudnya, tiada siapa yang dapat menggambarkannya. Kalau ada penduduk yang
berani masuk pun, belum tentu akan berjaya keluar dengan selamat. Hutan itu
‘bernyawa’ walaupun dipercayai sedang menyepi melalui tidur yang begitu lena.
Tragedi Berdarah
SEAWAL
tengah hari tadi, dua pemuda yang mencari akar-akar kayu untuk dijadikan
ubat-ubatan, telah masuk ke dalam hutan Nusawungu itu. Hutan itu, ibarat
‘syurga dunia’ yang memukau mata. Siapa sahaja yang masuk ke dalamnya, pasti
akan menyelam jauh ke lubuk. Itu antara keajaiban hutan banjaran ini – ia
memukau naluri dan mata hati.
“Aku takut hendak masuk jauh ke
dalam lagilah,” Jairon terkebil-kebil. Kesejukan hutan banjaran itu terasa
menusuk jauh ke dalam tulang sum-sum.
“Kau ni penakutlah, Jairon. Ingat,
kita ini anak lelaki. Hidup mati kita memang di hutan, di banjaran ini!” Sahut
Paloi. Dia mencebik marah.
“Tapi kita tidak tahu apa yang
mendiami hutan banjaran ini, Paloi.” Jairon meliarkan matanya di segenap sudut
hutan.
“Kita baru mula pungut akar hutan
ini. Kau sabarlah sedikit,” pinta Paloi sambil sibuk memungut akar-akar kayu
yang dipercayai mujarab dijadikan penawar.
“Hutan ini, macam berhantu… mari
kita keluar cepat!” Jairon semakin bertambah takut. Sesekali matanya dilontar
jauh ke belakang.
“Mulut kau ni, celupar sangatlah,” marah
Paloi.
“Aku ada anak bini di rumah, Paloi.
Aku sudah janji akan pulang sebelum matahari tenggelam. Aku takut mereka
risaukan aku,” ujar Jairon.
“Aku tahulah aku ni belum kahwin.
Tiada siapa pula yang sudi risaukan aku.” Paloi agak tawar hati. Merajuk dengan
sikap Jairon yang terburu-buru hendak pulang.
Jairon yang memang mengetahui
kedegilan Paloi, hanya berdiam diri. Menjawab bererti perkelahian lidah antara
mereka akan berpanjangan dan bertambah parah.
Paloi yang bersifat tamak kelihatan
memungut akar kayu hutan yang dianggap mujarab dalam perubatan. Malah, ia juga
laris jika dijadikan jamu kecantikan. Biasanya wanita yang baru lepas bersalin
dan anak dara sunti amat menyukai ubat-ubatan tradisional itu.
MATAHARI
kian beranjak di ufuk barat. Ketebalan hutan banjaran itu membuatkan suasana
hutan menjadi gelap dengan lebih cepat. Paloi dan Jairon yang terlajak waktu di
hutan itu, berjalan dalam kesuraman. Kesejukan kabus yang mula berarak perlahan
sengaja tidak diendahkan. Apa yang penting, mereka mesti pulang! Itu janji
Jairon terhadap isterinya!
Setelah berjalan lebih kurang
setengah jam, Jairon dan Paloi berasa hairan kerana masih gagal menemui jalan
pulang. Malah, tempat yang mereka lalui adalah sama. Berulang kali merentasi
denai dan hutan yang dipenuhi pokok-pokok sebesar dua pemeluk manusia di kaki
pergunungan itu.
“Aku
sudah cakap tadi, hutan ini pasti menyukarkan kita mencari jalan pulang,” bisik
Jairon yang mula ketakutan.
“Jangan
takut, kita akan dapat keluar dari hutan ini,” bentak Paloi.
“Kita
sudah disesatkan dalam hutan ini, Paloi.” Hutan banjaran itu semakin suram.
Cahaya bulan yang berjaya menerobos dedaun pokok-pokok itu sahaja yang menjadi
penyuluh jalan.
“Cepat,
terbalikkan baju,” jelas Paloi. Mereka segera menanggalkan baju dan
menterbalikkan, lalu dipakai semula.
“Cara
ini akan menemukan kita jalan pulang?” Jairon melihat-lihat bajunya yang sudah
diterbalikkan.
“Sudah
pasti. Mari kita teruskan perjalanan.”
Paloi
yang berjalan di bahagian depan, terhenti apabila telinganya menangkap satu
bunyi. Sebagai pemungut akar kayu yang sudah mahir dengan selok-belok hutan
banjaran sebegitu, dia begitu peka terhadap perubahan sekeliling. Hatta, bunyi
cengkerik pun akan dapat ditentukan jarak berdasarkan bunyinya.
“Ada
apa, Paloi?” tanya Jairon apabila Paloi berhenti secara tiba-tiba sambil
mengangkat tangan kanannya.
“Dengar
bunyi itu?” tanya Paloi. Kala ini, hutan itu begitu sunyi sepi. Cuma, bunyi
burung hantu, unggas dan cengkerik hutan sahaja yang menjadi latar malam.
“Bunyi
burung hantu…” jawab Jairon sambil melihat-lihat di atas pokok yang tinggi.
“Shh…
diam. Bunyi itu datang dari belakang pokok besar itu,” bisik Paloi sambil
berjalan perlahan menuju ke arah pokok yang sebesar dua pemeluk manusia itu.
Belum sempat Paloi mendekati pokok
besar itu, badannya tiba-tiba terangkat ke atas dan hilang di sebalik rimbunan
hutan yang tebal. Seiring dengan itu, kedengaran suaranya menjerit panjang yang
semakin menjauh mendayu-dayu di sebalik malam.
“Rogon… rogon,” bisik Jairon yang
berasa begitu takut melihat sahabat baiknya itu hilang ditelan malam. Rogon
bermaksud ‘hantu’ atau ‘jembalang’ mengikut kepercayaan suku kaum Dusun.
Jairon pantas membuka langkah
seribu. Duri-duri tajam yang dipijaknya sudah tidak terasa sakitnya lagi. Apa
yang penting adalah, selamatkan nyawa. Satu-satunya harta paling berharga yang
tidak mungkin ada galang gantinya.
Lelaki itu berhenti sejenak. Kala
ini, terasa duri-duri hutan berceracak di tapak kakinya yang sudah tidak
beralas. Terasa nyawanya berjalan ke hujung ajal. Keseraman hutan itu
membuatkan peluhnya merembes keluar tanpa henti. Kalau tadi berdua, sekarang
hanya seorang. Berteman pun, bukan dengan manusia!
Jairon menoleh ke belakang apabila
terasa sesuatu sedang menitis dari atas. Dia pantas mendongak ke atas.
Jantungnya bagai direntap apabila jasad Paloi sedang diratah dengan penuh
rakus. Tubuhnya longlai. Siapa yang sedang memakannya, dia tidak tahu. Yang
pasti, itu adalah makhluk yang menghuni hutan banjaran itu dan bukan manusia!
Jairon berlari sekuat hati. Terasa
jasadnya di depan, dan jantungnya tertinggal ke belakang. Langkahnya terus
dipacu. Ketakutan dan cerita-cerita seram di hutan itu mula terbayang di
fikirannya. Hatta, menoleh pun dia tidak sanggup lagi.
“Jairon…” Suara parau kedengaran
berbisik di telinganya. Serta-merta langkahnya terhenti.
Masa inilah hujung matanya dapat
menangkap kelibat bayang yang bergerak pantas berlari seiring dengannya.
Badannya terasa seram sejuk. Tatkala dia menoleh ke kanan, tiada pula
siapa-siapa di situ.
Jairon
berpaling ke depan semula. Masa inilah dia melihat makhluk yang sangat pelik
sedang berdiri di hujung laluan jalannya. Jairon begitu terkejut, lalu
menghentikan lariannya secara drastik.
“Si… siapa kau?” Jairon memberanikan
dirinya bertanya. Terasa badannya seram sejuk. Soalannya langsung tidak
berjawab.
Lembaga itu menyeringai. Masa inilah
kuku-kuku tajam tumbuh meruncing. Bulu-bulu kasar juga tumbuh di seluruh badan
lembaga manusia itu. Jairon tidak berupaya untuk lari apabila badannya
tiba-tiba dipaut dari arah belakang dan dilambung ke atas.
Jairon nyawa-nyawa ikan. Terasa
sekujur badannya berselirat dengan kesakitan apabila dijatuhkan ke bawah dan
menghempas akar-akar kayu yang timbul di permukaan tanah.
“Ro… rogon.” Belum sempat Jairon
menghabiskan kata-katanya, badannya disambar lembaga itu. Dia disandarkan di
batang pokok sebesar dua pemeluk manusia. Dia situ, jasadnya terkulai. Darahnya
menyeruak dari luka-luka akibat goresan kuku-kuku tajam. Dalam sekelip mata,
nyawanya semakin mendekati hujung ajal.