Home Novel Seram/Misteri TARANTULA
TARANTULA
13/2/2015 18:23:52
6,530
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 9

SUASANA petang yang rembang menyambut ketibaan empat sahabat di Kampung Nilam Setia. Morgan sebagai pemandu, menggeliat melonggarkan urat-urat sendinya. Semua boleh memandu tetapi Morgan lebih selesa menyelesaikan sesuatu tugas itu sehingga ke akhirnya.

Tak baik buat kerja separuh jalan. Nanti cita-cita pun separuh jalan dan segala impian juga tak kesampaian kalau suka buat kerja separuh jalan. Semua akan terkandas di tengah jalan.

Samalah juga kalau suka duduk di muka pintu, cita-cita atau rezeki takkan kesampaian, tergantung di tengah-tengah, tak sampai ke tuannya.

“Hah Zaf? Kenapa termenung ni?” tanya Morgan.

“Tak ada apalah.”

“Alah, aku tahu. Kau rindukan tunang kau, kan?”

Zafrizan tidak menjawab. Namun tekaan Morgan tepat. Tiba-tiba hatinya dicuit rindu yang mendalam pada Amani Sofea. Zafrizan melepaskan keluhan berat. Masing-masing masih muda dan masing-masing punya impian untuk dikejar.Kerana mengejar impian itulah, dia dan Amani merelakan perpisahan sementara ini.

Rindu? Jangan ditanya pasal rindu. Kalau rindu mereka digabung dan dihempap di puncak Himalaya, pasti akan runtuh. Begitulah ibaratnya betapa berat rindu yang mereka tanggung. Hati Zafrizan telah dihantui dengan perasaan itu sentiasa. Dia memerlukan iman yang teguh dan semangat yang tinggi untuk mengatasi godaan rindu itu.

“Entahlah Morgan, tiba-tiba aku teringatkan, Amani,” ucap Zafrizan.

Wajah manis Amani Sofea terpampang jelas pada layar matanya.

“Aku dah agak dah. Darah manis, macam tulah!” jawab Morgan.

“Kenapa kau tak bawa Amani sekali? Kalau dah macam ni punya angau. Nikah saja cepat-cepat, habis cerita,” celah Afzan.

Dia berasa semput nafas bila melihat kawannya begitu. Serba-serbi yang dibuat tidak kena.

“Mana boleh, kami belum stabil lagi. Usia pun masih muda. Banyak yang perlu kami lakukan untuk jangka waktu terdekat ni.”

“Muda? Hmm... tu hanya alasan. Sebenarnya sama ada kau nak dengan tak nak aje,” ujar Afzan lagi.

“Atau masih belum matang?” usik Morgan dengan ketawa sinis.

Zafrizan menjeling ke arah Morgan dan membaling kain pengelap. Tepat mengenai bahu Morgan, kuat.

“Hisy! Apa ni? Kotorlah Zaf,” tegur Morgan.

Pantas kain pengelap itu dilontar kembali kepada Zafrizan. Wajah Morgan kegelian.

“Padan muka!” balas Zafrizan sambil tersengih.

Zafrizan, Morgan, Ikmal dan Afzan sedang memunggah barang di dalam MPV. Membawa masuk ke dalam sebuah rumah kayu. Ia dijadikan sebagai markas ketika berada di Kampung Nilam Setia.

Nasib mereka sungguh baik kerana ada penduduk kampung di situ yang bermurah hati memberi kebenaran menggunakan rumah kayu itu. Dari terbiar kosong dan menjadi sarang penyangak, lebih baik digunakan.

“Terima kasih, pak cik. Nasib baik ada rumah kayu ni. Kalau tak, kami hanya berkhemah di pinggir hutan ni aje,” terang Afzan dengan nada lega.

“Tak ada apa yang nak diterimakasihkan. Lagipun rumah kayu tu memang dah lama tak digunakan. Dah usang sangat rupanya. Hati-hatilah semasa berada di dalam rumah tu,” pesan Pak Uda, tuan rumah itu.

“Dulu rumah kayu tu pak cik berikan kepada anak lelaki pak cik. Tetapi sekarang dia sudah pindah ke bandar. Kerja kat sana. Rumah kayu tu dah terbiar usang. Kamu jagalah baik-baik. Lama ke kamu nak tinggal kat sini?” tanya Pak Uda, merenung Afzan.

“Lama jugak pak cik. Dalam dua, tiga bulan,” jawab Afzan.

“Ooo... lama tu. Kemas elok-elok ya. Anggaplah rumah ni macam rumah sendiri. Satu lagi yang pak cik nak nasihatkan. Hati-hati ketika membawa barang ke dalam rumah, banyak lantai yang tak elok. Nanti terperosok ke bawah.”

“Yalah pak cik. Terima kasih banyak.”

“Kalau macam tu, pak cik mintak diri dulu. Nak ke pekan beli barang-barang dapur. Assalamualiakum!”

“Waaliakumussalam.”

Afzan dan Morgan sibuk memunggah barang-barang dari MPV ke dalam rumah usang itu. Manakala Zafrizan dan Ikmal menyapu dan mengelap lantai rumah. Ada beberapa bahagian alang tingkap sudah mula menampakkan tanda-tanda telah dimakan anai-anai dan ensel pintu sedikit ketat kerana sudah dimamah usia.

Tombol pintu kayu itu berkarat dan di beberapa bahagian lantai berkeriut bila dipijak.

“Bahagian sini tak boleh letak benda berat tau Morgan. Lantainya sudah reput. Nanti bolos barang tu jatuh terus ke tanah,” pesan Zafrizan dengan wajah serius.

Morgan membawa kotak yang berisi buku-buku rujukan dengan penuh hati-hati melintasi lantai kayu yang terjejas itu lalu masuk ke dalam sebuah bilik kosong di belakang. Rumah itu mengandungi dua bilik yang terletak agak jauh dari dapur di bahagian bawah beserta bilik air.

Malam itu, selepas menikmati makan malam Zafrizan melabuhkan punggungnya di anak tangga ketiga rumah kayu itu. Kemudian dia leka memandang bintang di langit. Begitu asyik sekali. Tiba-tiba muncul wajah Amani Sofea yang manis sedang bergurau senda di layar minda.

Zafrizan memejamkan kelopak matanya rapat-rapat agar imej manis yang sedang dirindui itu menjadi semakin jelas di benak. Harapannya agar rindu yang sedang membara di hati dapat dirungkai dan dapat menenteramkan jiwanya yang sedang bergelora.

Morgan dan Ikmal masih lagi menjamu selera dengan nasi berlaukkan ayam goreng, sayur timun dan sambal belacan di atas lantai kayu. Alah, lauk orang bujang. Buat mengalas perut kelaparan.

Afzan sudah lama terlelap di lantai kayu beralaskan toto narita biru yang mereka bawa.

Zafrizan lantas membuka mata dan mencapai kamera yang ada di sebelah. Lensa kamera itu diarahkan ke dada langit. Ingin merakam gambar beberapa objek dari sudut yang menarik.

Tiba-tiba Zafrizan perasan satu jalur cahaya lembut berwarna hijau melalui lensa kameranya. Cahaya itu melingkari beberapa daun pokok membentuk seakan-akan tali halus. Cahaya itu ‘merayap’ dari pucuk ke pucuk. Pandangan Zafrizan lama singgah pada cahaya lembut itu.

Cantiknya! Cahaya apa tu? Hatinya berkata.

Cahaya hijau itu hanya sebentar dapat dilihat kerana ia beransur hilang ditelan kepekatan malam. Lagipun jaraknya yang sangat jauh tidak dapat Zafrizan mengenal pasti, cahaya apakah itu?

Kedengaran Zafrizan mengeluh. Kemudian lensa kamera diarahkan ke arah lain pula mencari inspirasi baru.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.