Home Novel Seram/Misteri MARGASATWA II
MARGASATWA II
Saidee Nor Azam
1/5/2015 11:56:38
22,841
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
sedutan Bab 1
Beberapa bulan sebelum itu.

 

RUMAH besar yang terbina itu kelihatan suram tanpa cahaya yang meneranginya. Waktu yang sudah menjengah larut malam bagaikan masih muda buat lelaki yang berkaca mata itu. Dia yang sedang asyik memandang bulan purnama yang mengambang di langit, langsung tidak berasa bosan. Sesekali dia tersenyum dan tertawa sendirian. Mungkin ada kenangan lama yang datang singgah ke benaknya.

 Dia bangun dari kerusi malasnya yang sengaja diletakkan di beranda luar rumah. Dia berjalan perlahan bersama menghirup udara segar malam yang terang benderang disimbahi purnama yang mengambang. Langkahan kaki lelaki itu kelihatan seperti tidak sekata, adanya mungkin sesuatu telah menimpa pada salah satu kakinya, sehinggakan dia berjalan sedikit tempang. Lelaki yang berkaca mata itu kemudiannya berhenti menatap bulan dan bintang di langit malam. Dia tertunduk ke bawah memandang embun jantan yang mulai gugur di hujung-hujung puncak rumput yang menghijau. Lambat-lambat bibirnya bergerak menutur sesuatu.

 "Sayang... terlalu banyak kenangan yang pernah kita sama-sama lalui. Pahit dan manis. Semuanya menguatkan lagi rasa kasih papa kepada sayang." Monolog lelaki itu.

 Lelaki itu memejamkan matanya di kala dia kini berdiri di halaman rumahnya yang berumput hijau. Dia berdiri tanpa memakai sebarang alas kaki, tegak dengan menyilangkan tangannya ke belakang. Umpama cuba meraih sesuatu, sesuatu yang amat payah untuk diterbitkan dari rahsia hati.

 Berkerut-kerut dahi lelaki itu apabila terjahan imbauan kisah silam mencakar-cakar mindanya. Suara jeritan dan ngauman bersilih ganti hadir membujak benaknya yang seketika tadi tenang. Wajah isterinya yang kesakitan tenggelam timbul bersama dengan wajah makhluk yang menggerunkan di layar benaknya. Peluh mulai merenik.

 "Papa..."

 Tersentak lelaki itu, lantas dia berpusing ke belakang memandang suara kanak-kanak memanggilnya. Lelaki itu melepaskan helaan yang memanjang, lantas dia tersenyum memandang kanak-kanak lelaki yang berusia lingkungan 10 tahun, berdiri di muka pintu.

 "Saif tak tidur lagi?" tanya lelaki itu seraya berjalan mendapatkan anak lelakinya.

 "Saif mimpikan mami... papa Saif nak jumpa mami." Ucap kanak-kanak lelaki itu kepada bapanya.

 Dia terdiam, wajah mulus anak lelaki kesayangannya itu dipandang dengan sayu. Bukan sekali Saif mengalami igauan kala malam beradu. Sudah berkali-kali semenjak usianya semakin meningkat. Lelaki itu langsung tidak mampu untuk berbicara tentang ibu kepada anaknya itu.

 "Papa," panggil Saif.

 "Ya sayang," lembut di menjawab.

 "Mami Saif cantik dan baik hati, betul tak papa?" 

Tanya Saif lagi. Air mukanya yang jernih mententeramkan hati yang memandangnya.

 "Ya, mami Saif cantik orangnya, bijak, dan lincah. Saif beruntung dapat mami yang sehebat mami Saif itu." Puji lelaki itu penuh bersemangat.

 "Tapi Saif nak ikut mami, mami ada datang dalam mimpi, mami peluk Saif tapi kenapa mami pergi tanpa mahu ajak Saif ikut sekali. Tak adil!" 

 Saif marah-marah. Kulit putihnya itu kemerahan kerana menahan rasa marahnya. Lelaki itu mengeluh kecil. Dia tahu Saif masih kanak-kanak. Dia langsung tidak tahu apa-apa tentang dunia ini lagi. Dia masih mentah.

 "Mari papa temankan Saif masuk bilik. Esokkan Saif sekolah, tak elok tidur lewat-lewat sebegini." Ujar lelaki berkulit sawo matang dan berkaca mata itu.

 "Tak apalah papa, Saif nak ke tandas dulu. Nanti Saif masuk ke bilik tidur sendiri." 

Anak kecil itu menolak pelawaan bapanya. Bibirnya dimuncungkan ke hadapan, nakal.

 "Kalau begitu, papa tak jadi hantarlah putera papa ini ke bilik tidur." 

Tersengih-sengih dia memandang wajah anak lelakinya itu.

 "Papa pun jangan lewat sangat tidur tau, esok papa kena hantar Saif ke sekolah." 

 Tersenyum simpul Saif memandang wajah papanya itu. Ada lesung pipit terbentuk di kedua belah pipi mulusnya. Lelaki itu sekadar membalas senyuman anaknya itu dengan gelak tawa yang terburai kecil. Terhibur juga hatinya.

 "Yelah, nanti papa masuk tidur." Balas lelaki itu bersahaja.

 Dia memandang langkahan anaknya itu dengan satu pandangan yang penuh dengan pengharapan. Berharap agar apabila besar nanti, dia bakal menjadi seorang manusia yang berguna. Berguna pada bangsa dan negara. Setiap ibu dan bapa inginkan benih mereka tegak berdiri menjulang agama dan menjaga nama keluarga agar dipandang mulia.

 Lelaki itu menoleh pandang ke arah langit malam buat kali yang seterusnya. Didongaknya perlahan-lahan ke arah bulan yang mengambang penuh. Satu ukiran nipis terbentuk di bibirnya sebelum dia kembali bermonolog sendirian.

 "Ana sayang... anak kita dah besar, dia pintar macam Ana juga. Abang gembira dan bersyukur kerana benih cinta kita membesar dengan sempurna."

 Tanpa disedari kelopak matanya bergenang air jernih. Lambat-lambat turun membasahi pipinya. Air hangat itu turun lesu tanpa dia mahu menyekanya.

 "Shazzuana cintaku. Abang berjanji, abang akan menjaga anak kita dengan seluruh jiwa abang. Dia cinta kita, dia semangat untuk abang setelah Ana pergi. Ana... satu hari nanti, insya-ALLAH kita akan bersua juga. Hanya masa yang menentukan." Ucap lelaki itu.

 Dia mengukir senyuman pahit seraya menutup matanya perlahan-lahan. Kenangan cintanya bersama Shazzuana amat sukar untuk dipadamkan. Adi Putra menarik nafas sedalam yang dia mampu sebelum perlahan-lahan menghembuskannya keluar. Satu kalimah suci dilafazkannya demi cuba meraih kembali semangatnya yang terlontar jauh itu. Kelopak matanya terbuka dan dia kembali memandang rembulan yang bercahaya bersama satu senyuman yang mengukir halus di bibirnya. Dia bagaikan melihat wajah Shazzuana, isterinya di permukaan bulan yang bercahaya itu. Dia yakin, dia akan bersua juga dengan Shazzuana satu hari nanti.



Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.