ADI Putra baharu sahaja selesai membersihkan badannya. Dia menyisir rambutnya yang mulai ditumbuhi uban itu. Memutih di beberapa bahagian, dia tidak kisah. Dia berdiri di hadapan cermin, mengambil sedikit masa menatap wajahnya yang semakin dimamah waktu. Tunggul-tunggul janggut yang sudah tumbuh di dagu dan atas bibirnya diusap-usap perlahan. Sesekali dia berdecit seperti tidak puas hati.
Kemudian dia bergerak ke arah almari perhiasan yang sengaja ditempatkan di dalam kamar tidurnya. Di sebalik kaca almari berketinggian enam kaki itu terpamer pelbagai barangan perhiasan yang pernah menjadi barangan yang penting buat dirinya. Di situ juga ada bingkai gambar berdiri yang sengaja diletakkan di tengah-tengah almari perhiasannya. Adi Putra tersenyum sendirian memandang pautan tangan di antara dia dan Shazzuana di dalam gambar tersebut. Gambar di mana dia dan Shazzuana telah selamat diijab qabul.
Saat-saat yang cukup membuai perasaan Adi Putra tika itu. Pertemuan yang tidak pernah terjangka, jauh sekali untuk ditetapkan di mana harus berjumpa. Mereka berdua bersama meredah hutan Kenyir. Diburu ganasnya penunggu rimba, dicarik-carik amukan penduduk kampung yang sudah lama mati, dikejar sang Harimau liar, dan semuanya itu mengukuhkan rasa kasih dan sayang Adi Putra terhadap Shazzuana.
"Kerana Margas, kita bertemu di dalam hutan, Ana." Getus Adi Putra perlahan.
Wajah Shazzuana yang berseri di hari pernikahan mereka berdua, terus ditatap dan direnung dalam-dalam oleh Adi Putra. Bergenang juga air mata di kolamnya tatkala teringat saat-saat terakhir Shazzuana sebelum kembali ke sisi Penciptanya.
"Abang... Ana sakit bang..."
Shazzuana memegang erat tangan Adi Putra yang setia di sisinya. Peluh yang merembes membasahi wajah mulus Shazzuana membuatkan Adi Putra keresahan. Sejam sudah berlalu, anak yang dikandung Shazzuana masih belum berjaya dikeluarkan. Adi Putra yang turut sama sekali di dalam bilik bersalin itu, terus-menerus memberi semangat buat isteri tercintanya. Pelbagai kata-kata penguat hati terus dilafazkan Adi Putra ke telinga si isteri. Dia sebolehnya tidak mahu melihat Shazzuana berputus asa.
"Abang... Ana dah tak tahan..."
Shazzuana mula pucat, wajahnya jikalau digores dengan pisau sudah pasti tidak akan berdarah. Adi Putra mulai panik. Doktor dan jururawat yang bertugas, terus-terusan berusaha menyambut kelahiran penyambung zuriat antara Adi Putra dan Shazzuana itu.
"Isteri abang ni kuat, abang tahu isteri abang ini gagah. Ana yang abang kenal tak pernah putus asa, tak pernah mengalah. Mami kena kuat tau, nanti baby nak jadi kuat macam mami dia..."
Bujukan semangat yang dicurahkan Adi Putra kepada Shazzuana membuatkan kerutan kesakitan yang terbentuk di dahi perempuan itu seperti mengendur. Lambat-lambat Shazzuana mengulum senyuman di bibirnya walaupun sakit yang ditanggungnya cukup berat sekali.
"Abang..." panggil Shazzuana dalam kepayahan.
"Jaga anak kita baik-baik... dia satu-satunya lambang cinta kita..."
"Jangan cakap macam itu, nanti kita jaga anak kita sama-sama ya sayang. Sayang kena kuat. Okey sayang... push...! push...!" kerah Adi Putra.
Sebolehnya dia tidak mahu mendengar kata-kata yang terbit dari bibir Shazzuana. Dia tidak mahu Shazzuana patah semangat. Dia tidak mahu mendengar apa-apa melainkan suara bayi menangis sahaja. Shazzuana tersenyum melihat kesungguhan Adi Putra, walaupun senyumannya itu kelihatan pahit.
Dan pada tenaganya yang terakhir, Shazzuana memberikan satu tolakan dengan sepenuh hatinya. Suara tangisan bayi berkumandang di dalam bilik bersalin itu. Kuat dan nyaring. Tangisan itu cukup membuatkan Adi Putra dan Shazzuana tersenyum. Para jururawat dan doktor bersama-sama mengucapkan syukur dan berselawat ke atas nabi atas kelahiran yang membahagiakan itu.
"Sayang, suara anak kita... suara anak kita..." ucap Adi Putra girang, air mata kesyukuran mengalir di wajahnya.
Shazzuana sekadar tersenyum, dia memegang erat tangan Adi Putra seraya memandang wajah imamnya itu lama-lama.
"Abang... Ana cintakan abang... selama-lamanya." Bisik Shazzuana perlahan dan tidak bermaya.
Dan seusai Shazzuana menitipkan ucapan cinta dari lubuk hatinya, perlahan-lahan kelopak mata isteri Adi Putra itu tertutup. Bunyi ‘beep' yang panjang kedengaran pada mesin tekanan nadi, betul-betul mengejutkan Adi Putra. Wajah-wajah di dalam bilik bersalin itu terukir panik.
"Ana? Ana...?"
Adi Putra dapat merasakan sesuatu yang tidak betul. Degupan jantung Shazzuana sudah terhenti, juga tiada lagi denyutan nadi. Sesungguhnya itu adalah perkhabaran yang tidak terduga dan tidak diingininya. Tangan Shazzuana yang digenggam erat oleh Adi Putra, menjadi longlai dan lembik. Pada tenaganya yang terakhir, Shazzuana telah memberi nyawa kepada anak di dalam kandungannya. Namun riwayatnya terhenti buat selama-lamanya.
"Ana...!"
Teriak Adi Putra, anak kecil yang kemerahan di dalam dakapan doktor juga turut tidak berhenti dari menangis. Bagai dapat merasakan ibunya sudah pergi mengadap ILAHI. Hanya tangisan pilu menjadi peneman Adi Putra waktu itu.
"Ana..."
Dalam nada yang perlahan Adi Putra memanggil nama insan tercintanya itu. Pandangan matanya mulai kabur, air mata turun membasahi pipinya tika ini, semuanya kerana memori silam sepuluh tahun yang lalu. Dia mengambil sedikit masa untuk meraih ketenangan yang cukup berat untuk diraihnya.
"Abang pun cintakan Ana, selama-lamanya." Ucap Adi Putra di hadapan almari berkaca itu.
Bayangan silam yang sudah berlalu itu bagai terus berulang tayang di layar minda Adi Putra. Sakitnya kehilangan insan yang sering bersama-sama, insan yang menjadi peneman cinta dan rakan terbaiknya itu telah membuatkan Adi Putra seperti kehilangan semangat dalam diri. Dia kini terus memilih jalan hidupnya, bersendirian untuk membesarkan satu-satunya benih dia dan Shazzuana. Hanya itu sahajalah peninggalan paling berharga Shazzuana buat dirinya.
Adi Putra melontar pandangan ke satu arah. Di situ berdirinya sebuah almari segala buku ilmiah dan fiksyen kegemarannya ditempatkan. Setiap tingkat berlainan aliran penulisan. Namun pandangan matanya lebih tertumpu pada aras yang paling atas. Di situ tersusun karya-karya hasil penulisannya selama ini. Dia kini sudahpun berjaya menghasilkan lebih dari sepuluh buah novel. Kesemuanya beraliran seram dan aksi. Satu-satunya aliran yang sudah sinonim dengan Adi Putra.
Namun begitu dia masih tidak berpuas hati walau namanya sudah besar tertulis di kulit buku. Selagi karyanya tidak dipersembahkan ke layar perak, selagi itulah impiannya masih tidak lengkap. Dia pernah bercerita dengan Saif tentang impian terakhirnya sebelum menghembuskan nafas yang terakhir. Dia mahu karya-karyanya naik ke layar perak, menjadi filem yang membanggakan rakyat Malaysia. Dia mahukan Margasatwa ke pentas itu, karya yang menaikkan namanya di persada penulisan.
Adi Putra menarik keluar sebuah novel yang membuatkan namanya dikenali ramai itu dari rak buku. Kerana sebuah karya yang menjadi fenomena suatu masa dahulu itu jugalah membuatkan dirinya hilang kesempurnaan pada kaki kanannya. Kecederaan yang dialaminya itu bagaikan satu tanda bahawa kewujudan sang Margasatwa di hutan Kenyir adalah benar dan bukan rekaan semata-mata.
Dia meredah hutan belantara demi mencari kepastian, dan kerana novel tersebut jugalah Adi Putra hampir menemui maut. Namun ketentuan ILAHI itu amat sempurna. Jika tidak kerana keinginannya untuk meredah ke dalam hutan, sudah pasti dia tidak akan dapat bersua dengan Shazzuana. Gadis yang mempunyai semangat yang kental itu telah banyak mengajar Adi Putra erti hidup. Dialah cinta sejati Adi Putra. Sehingga ke akhir hayat semangat cintanya itu tetap terkalung kemas di dada novelis seram itu.
Adi Putra membelek novel Margasatwa dengan satu aliran aneh mulai meresap masuk ke dalam sanubarinya. Setiap watak yang digarapnya adalah watak-watak yang juga merupakan rakan-rakannya tika di dalam hutan Tasik Kenyir. Semuanya mengimbau memori yang amat sukar digambarkan, mistik dan situasi yang tidak masuk akal cukup membuka pandangan Adi Putra. Sehinggalah pada satu lembaran seterusnya diselak, nama Margasatwa tertancap di penglihatannya.
"Moyang..."
Getus Adi Putra perlahan. Dia terimbau ingatan pada wajah makhluk berwajah hodoh dan menggerunkan itu. Dahulunya sang Margasatwa amat digeruni kerana sikap kejam dan berhati binatang itu. Ianya membuatkan ramai manusia yang tersua dengannya akan maut menjadi makanannya. Namun pada ketika saat-saat terakhir, makhluk ganas itu berubah menjadi pelindung kepada Adi Putra. Paling yang diingati, saat-saat dia menyerang moyangnya yang juga makhluk rimba itu dengan penuh keberanian.
"SHAM!" pekik Adi Putra cemas.
Margas menoleh ke arah Adi Putra dan apabila dia berpaling, Adi Putra sudah mendekatinya. Lalu penulis novel seram itu nekad merempuh Margas dengan menumpukannya ke arah perut makhluk tinggi yang terdedah itu.
Tindakan yang tidak terduga dari Adi Putra yang semata-mata ingin menyelamatkan nyawa Sham amat mengejutkan. Sham pada waktu itu hanya bergantung pada akar pokok di tebing yang berjuntai sahaja. Nyawa suami kepada Rahayu Azlan benar-benar berada di hujung mata pedang. Tanpa menghiraukan keselamatannya, Adi Putra terus nekad menyerang Margas dengan menyondol makhluk ganas itu.
Aksi Adi Putra itu telah berjaya membuat Margas terberundur ke belakang tanpa dapat mengawal tubuhnya. Makhluk itu langsung tidak menduga akan berlakunya serangan secara mendadak oleh Adi Putra. Jawapan kepada sondolan Adi Putra itu menyebabkan kedua-duanya terus terjunam dari atas tebing terjal itu lalu terjatuh ke bawah ngarai yang curam. Akhirnya membawa mereka berdua terus menuju ke dalam tasik dan tenggelam bersama kucahan yang besar. Sham hanya sempat melihat tubuh Adi Putra dan Margas dari atas tebing dan terus menjunam jatuh ke dalam tasik.
Adi Putra tersenyum sendirian. Serangannya yang nekad itu membuatkan dia dan moyangnya terjunam bersama-sama ke dalam air tasik. Mujur juga Margas tidak meninggalkan dirinya sendirian di dasar tasik itu. Makhluk itu timbul dari dasar tasik dengan memikul Adi Putra di bahunya. Aliran darah yang kuat mengalir di dalam tubuh Adi Putra membuatkan Margas tidak membunuhnya. Dia kenal darah keturunannya.
"Moyang... Adi minta maaf kerana gagal selamatkan moyang."
Ucap Adi Putra seraya tertunduk memandang novel berwarna hijau tua di tangannya itu. Novel yang tertulis perkataan ‘Margasatwa' itu pernah mengungguli anugerah novel remaja pilihan pembaca di awal kemunculannya. Novel yang mengangkat nama Adi Putra sebagai antara penulis novel seram thriller terbaik di Malaysia. Kisah di dalamnya pernah menjadi sejarah terpenting di dalam hidup Adi Putra, kini ianya terimbas kembali di medan ingatannya. Bunyi ceburan air Tasik Kenyir masing terngiang-ngiang di telinganya akibat tindakan nekadnya. Namun, dia benar-benar terkesan tika terlihat Margas terbakar dan tenggelam perlahan-lahan ke dasar tasik pada ketika itu. Masih teringat saat-saat sang Margas menutur kata dan memanggil Adi Putra sebagai Tamrin.
Amarahnya memuncak apabila Namtar membakar moyangnya hidup-hidup. Kali terakhir dia melihat moyangnya saat Margas perlahan-lahan tenggelam ke dasar Tasik. Dan pada waktu itulah datangnya satu kekuatan yang luar biasa yang ada di dalam diri Adi Putra. Dia berjaya menujahkan tikaman mata keris Ganjaeras tepat ke rengkungan makhluk berdarah hitam itu, dan sebelum dia tidak sedarkan diri, Adi Putra sempat melihat Namtar terbakar hangus sebelum bertukar menjadi jasad manusia. Namtar akhirnya menjadi debu dan hilang diterbangkan angin. Adi Putra menghela segumpal nafas yang panjang. Wajahnya seperti menyimpan sejalur kesedihan yang terpendam.
"Tenanglah moyang di sana. Insya-ALLAH kita tetap akan bersua nanti. Tidak di dunia ini, mungkin di akhirat kelak." Doa Adi Putra perlahan, fikirnya Margas sudah bersemadi di dasar tasik.
Walau jauh di sudut hati novelis seram itu, dia merasakan seperti semangat moyangnya bagaikan masih ada di hutan Kenyir. Susur galur darah moyangnya itu masih kuat di dalam diri, disebabkan itulah Adi Putra masih merasakan kehilangan moyangnya itu. Walaupun moyangnya cukup kejam dan ganas sepanjang usianya. Entah kenapa nun jauh di dasar hati lelakinya itu, Adi Putra dapat merasakan moyangnya itu masih bernyawa.
Tiada mustahil bagi ALLAH. Hati kecil Adi Putra berkata.