Home Novel Seram/Misteri CABARAN KISAH SERAM MISTIK
03 - DIBURU SAKA TOK LONG

DIBURU SAKA TOK LONG

Penulis: Amiene Rev

Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com

Tok Long. Nenek tua berkedut seribu, berwajah bulat dan sudah bongkok belakang badannya itu rupa-rupanya mempunyai pertalian darah dengan arwah suami Sarimah. Sarimah sudah pun cuba melupakan pengalaman dirasuk jin semasa di rumah orang-orang tua itu. Sarimah sudah pun memaafkan Tok Long, namun kemaafan itu sebenarnya tidak perlu kerana apa yang berlaku pada hari itu bukan atas kehendak nenek tua itu pun.

Kini, Tok Long sudah menghilangkan diri dari rumah orang-orang tua itu. Sarimah cuba mencari Tok Long di kediaman usangnya tetapi wanita lanjut usia itu sudah tidak ada di situ.

“Dahulu aku ingat, aku sebatang kara. Cuma ada Haiqal dalam hidup aku. Kini aku tahu, aku masih ada lagi ahli keluarga. Jauh, tetapi masih tetap ada perhubungan darah dengan Haiqal.” Sarimah duduk di ruang tamu rumahnya sambil ditemani Odah, wanita berusia lewat 30-an. Ketika itu Haiqal masih di sekolah.

“Kau masih tidak mudah berputus asa, itu yang penting, Sarimah.” Odah cuba tersenyum. Sejak Sarimah diganggu jin, Odah sering mengunjungi Sarimah. Dia bukan sekadar rakan sekerja, tetapi layak juga digelar sahabat.

“Aku akan cuba memahami Tok Long. Aku rasa Tok Long dah lama tinggal seorang diri, sebab itu dia jadi macam itu.” Sarimah menghela nafasnya dalam-dalam.

“Semasa di Kanada, ada tak kau jumpa orang macam Tok Long?” Odah cuba membuatkan Sarimah menceritakan tentang kehidupannya di Kanada. Belum pernah Odah mendengar Sarimah bercerita tentang kisah dirinya semasa di negara orang putih itu.

“Tak ada. Belum pernah ada kes macam ini. Budaya kita dengan orang putih tak sama. Pemikiran mereka tak sama macam kita pun.” Sarimah diam. Dia mengimbas kembali kenangannya semasa di Kanada, ketika suaminya masih hidup. Ada cerita di sana yang dia ingin lupakan. Sebab itu selepas kematian suaminya, Sarimah terus kembali ke Malaysia dengan anak tunggalnya, Haiqal.

-o-

“Haiqal. Kenapa makanan di rumah asyik hilang?” Sarimah berdiri di depan Haiqal.

Haiqal mendiamkan dirinya. Dia menghadap buku latihan sekolahnya di atas meja. Sesekali dia membelek halaman buku teks. Berpura-pura menyiapkan kerja sekolahnya.

“Haiqal, Mama tanya ni?” Sarimah masih ingat bilangan makanan di dalam tin, sayur, daging dan ikan yang ada di rumahnya. “Haiqal ada bela binatangkah?”

“Tak ada, Mama. Mama... Haiqal nak fokus pada kerja sekolah Haiqal ni. Esok sudah kena hantar. Nanti cikgu marah. Kalau cikgu marah Haiqal, nanti Mama akan marah cikgu Haiqal pula. Iyalah, ibu bapa sekarang ni, kalau cikgu marah sikit... mesti kena marah balik. Apa nak jadi dengan ibu bapa sekarang ni?” Terkejut Sarimah apabila melihat Haiqal membebel seperti makcik tua.

“Haiqal. Mana Haiqal belajar cakap macam itu? Belum pernah Mama tengok Haiqal macam ini. Mama cuma tanya, Haiqal ada bela binatangkah? Kenapa makanan di rumah ini asyik-asyik hilang saja? Tolonglah Haiqal, beri kerjasama dengan Mama.” Sarimah berdiri di sebelah anaknya.

“Haiqal tak bela binatang Mama. Sumpah,” Haiqal memalingkan mukanya ke arah ibunya. Kelihatan kerutan pada dahinya.

“Mama minta maaf, jika Mama tuduh Haiqal tetapi memang Mama pelik ke mana hilangnya tin-tin makanan yang Mama beli. Mama ingat semua bilangannya. Barang-barang mentah dalam peti sejuk pun hilang juga. Itu yang buat Mama risau ni,” Sarimah meletakkan tapak tangan di bahu Haiqal.

“Haiqal tak tipu Mama pun. Menipu tu berdosa Mama.” Haiqal menutur kata-kata tersebut dengan nada suara yang perlahan.

"Melawan cakap Mama pun berdosa juga." Sarimah merenung anaknya. Dia masih ada rasa curiga terhadap Haiqal.

-o-

Malam itu, ketika kesemua lampu utama di rumah banglo milik dua beranak itu telah ditutup, kelihatan satu lembaga bertubuh halus perlahan-lahan bergerak menuju ke dapur. Dia menarik pintu kabinet dapur, dan dikeluarkan satu tin makanan. Kemudian lembaga itu mencapai pembuka tin, dan dibukanya perlahan-lahan. Selepas tin berisi kari daging itu dibuka, dia membasuhnya dengan pili air dibuka perlahan dan menyimpannya semula pembuka tin itu di tempat simpanan asalnya. Dia tidak lupa mencapai sebiji telur sebelum membuka pintu belakang dapur secara senyap-senyap. Dia tidak sedar, perbuatannya itu diperhatikan oleh satu lagi lembaga bersusuk tubuh wanita secara diam-diam.

Pintu dibuka, seorang wanita tua hampir seabad, berbadan bongkok sudah pun menunggu di luar pintu itu.

“Tok Long, ini saja yang Haiqal dapat hari ini. Mama dah dapat bau apa yang Haiqal buat.” Lembaga itu, membahasakan dirinya sebagai Haiqal.

Nenek tua itu tidak menjawab. Dia merenung sesuatu di belakang Haiqal. Dia kenal orang itu.

Melihat nenek tua yang berdiri di luar pintu dapur, lembaga wanita itu pun segera memunculkan dirinya. “Tok Long? Tok Longkah itu?”

Sarimah. Sarimah yang sedang mengintip anaknya, Haiqal. Haiqal terkejut melihat Sarimah. Anak lelaki itu pucat. Dia pasti akan dimarahi mamanya.

Apabila Haiqal berpaling semula untuk melihat ke arah Tok Long, nenek tua itu sudah menghilangkan diri.

-o-

“Sejak bila Haiqal kenal Tok Long?” Sarimah merenung anaknya yang sedang duduk, tunduk membisu di atas sofa.

“Haiqal tak tipu Mama.” Tiba-tiba Haiqal bersuara.

“Memang Haiqal tak tipu Mama. Memang Haiqal tak bela binatang tetapi Haiqal patut beritahu Mama kepada siapa Haiqal berikan makanan-makanan yang Mama beli untuk kita. Kalau Haiqal jujur...”

“Mama tak marah?” Cepat-cepat Haiqal memotong.

“Mama tak marah lagi dah. Haiqal, sejak kita balik ke Malaysia, Haiqal sudah tak macam dulu lagi. Haiqal macam mahu memberontak, melawan cakap Mama.” Sarimah akhirnya meluahkan perasaannya yang terpendam. Kesabarannya terhadap Haiqal sudah hampir ke sempadannya.

“Sebab Mama asyik dengan kerja Mama. Tak cukup dengan kerja di pejabat, Mama sibuk pula dengan kerja-kerja di rumah orang-orang tua tu. Mama macam hendak menjauhkan diri daripada Haiqal. Tak macam dulu, tak macam masa Papa masih ada,” Haiqal mencebik bibirnya. Sesekali dia menggigit bibirnya.

“Haiqal. Mama sayangkan Haiqal. Mama sibuk dengan kerja Mama, Haiqal pun tahu yang Mama baru dapat kerja.” Sarimah memeluk anaknya. Haiqal mendiamkan diri, kaku tanpa sebarang tindak balas.

“Nasib baik ada Tok Long sekarang. Selalu temankan Haiqal.”

“Haiqal tahu tak siapa Tok Long?”

“Tok Long kata, Papa cucu dia.”

Sarimah diam. Otak kosongnya cuba memikirkan bagaimana Tok Long mengetahui identiti Haiqal.

“Mama kenal Tok Long masa Mama buat kerja kebajikan di rumah orang-orang tua itulah. Mama memang bercadang nak bawa Tok Long tinggal dengan kita. Tak tahu pula, Tok Long dapat cari rumah ni.”

Sarimah cuba memikirkan secara logik. Rumah banglo ini rumah pusaka yang diwarisi oleh suaminya. Ada kemungkinan Tok Long tahu tentang rumah ini atau pernah datang ke rumah ini atau pernah tinggal di rumah ini. Mungkin juga, Tok Long pemilik asal rumah ini sebelum diwariskan sebelum Tok Long berpindah ke rumah usangnya.

“Haiqal, kalau Haiqal jumpa Tok Long lagi, kata Mama rindu dengan Tok Long.”

-o-

Malam itu Sarimah cuba melelapkan matanya. Dia masih lagi memikirkan tentang Tok Long. Tentang di mana Tok Long pergi, dan kenapa Tok Long melarikan diri. Semua itu masih lagi mengacau pemikiran Sarimah.

Malam itu di salah satu hujung atap banglo rumah Sarimah, ada satu lembaga hitam kelabu, duduk bertenggek seperti beruk. Lembaga itu diam di situ, matanya yang berwarna merah merenung ke halaman rumah di bawah, tidak bergerak-gerak.

Angin berderu-deru di luar rumah, mengheret zarah-zarah embun ke serata rumah banglo itu. Lembaga itu berbisik sambil mengirimkan pesanannya kepada angin yang berderu-deru.

“Luwe getih...” bisiknya.

LAIN-LAIN KARYA AMIENE REV (sehingga karya ini ditulis):

05 JUN 2015:Cerpen Jin Galah

06 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.1: SPESIES

18 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.2: SUAMI

20 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.3: RINDU

21 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.4: SRIKANDI

23 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.5: MUTASI

28 JUN 2015:Cerpen Anak Kecil Di Tengah Malam

3 JULAI 2015:Cerpen Jin Galah 0.6: REKRUT

15 OGOS 2015:Novel IBRIM & TOWA - Cinta Gadis Ular

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.