Home Novel Seram/Misteri CABARAN KISAH SERAM MISTIK
05 - TERCULIK ANAK JIN

TERCULIK ANAK JIN

Penulis: Amiene Rev

Blog: http://dukeamienerev.blogspot.com

“Mana anak aku? Mana anak aku?” Pekik Sarimah apabila dia telah sampai ke tebing kolam berlumpur.

Para fasilitator sememangnya terkejut dengan kemunculan Sarimah secara tiba-tiba. Kebetulan pada ketika itu Haiqal masih lagi dihukum berendam di dalam kolam berlumpur.

“Haiqal!” Terkejut benar Sarimah apabila melihat Haiqal sedang kesejukan di dalam kolam berlumpur. “Dah berapa lama kau semua rendam anak aku dalam kolam tu!”

Fasilitator-fasilitator kem mati kutu. Mahu tak mahu, mereka terpaksa membawa Haiqal keluar dari kolam berlumpur tersebut. Haiqal kelihatan tidak bermaya, lemah dan ketakutan. Matanya terbeliak seolah-olah sedang melihat sesuatu yang menakutkan.

“Kau semua memang patut kena saman! Kau orang semua dah dera anak aku!” Sarimah nekad mahu membawa Haiqal pulang ke rumah malam itu juga.

Selepas Haiqal membersihkan diri, Sarimah terus mengemas barang-barang Haiqal dan memandu pulang. Sepanjang berada di dalam kereta, Haiqal langsung tidak bersuara.

-o-

“Tok Long kenal tak jin yang kacau Haiqal tadi?” Haiqal masih kesejukan.

“Itu Belian, jin hutan berkepala rimau. Dia marah Haiqal datang sini.” Tok Long memimpin Haiqal menuju ke bilik air. Di situ Haiqal disuruh duduk mencangkung. Tok Long menceduk air dengan menggunakan gayung.

“Kenapa Tok Long biarkan Belian balik dengan Mama?” Haiqal membiarkan Tok Long mencurahkan air perlahan-lahan dari ibu jari kaki ke kepalanya.

“Tok Long nak bunuh semua suku-sakat Belian di sini. Biar Belian tahu, anak cucu siapa dia sudah ganggu!” Tok Long terus menceduk air dan menyiram Haiqal.

“Kenapa Belian marah dengan Haiqal?” Soalan Haiqal itu menyebabkan Tok Long berhenti sejenak daripada menyiram air.

“Sebab Haiqal istimewa. Haiqal tahu maksud nama Haiqal dalam bahasa jin?” Lembut suara Tok Long ketika bertanya.

“Haiqal tak tahu. Nama ni, Mama cakap, Papa yang bagi.” Haiqal mendongak, memandang Tok Long.

“Maksud nama Haiqal tu ialah Tengkorak. Nama penuh Haiqal, Zaqwan Haiqal, maksudnya Anak Jin Tengkorak.” Penjelasan yang diberikan oleh Tok Long mengejutkan Haiqal. Setahunya, maksud namanya dalam bahasa Arab bermaksud pohon besar yang subur, dia tidak pula mengetahui maksud namanya dalam bahasa jin.

“Apa-apa ajalah, Tok Long.” Haiqal terus menggosok-gosok badannya.

“Eh, Haiqal? Bukankah tadi kamu... ?” Seorang fasilitator yang kebetulan mendengar bunyi orang mandi di bilik air datang memeriksa. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati Haiqal masih ada di kem itu. Selepas peristiwa Sarimah mengamuk sebentar tadi, Haiqal sudah pun menjadi buah mulut di kalangan fasilitator dan para peserta kem.

“Telefon emaknya sekarang!” Jerit salah seorang fasilitator.

-o-

Sarimah tidak mahu bercakap apa-apa tentang kem motivasi tersebut. Semasa perjalanan pulang tadi, Sarimah ada mendapat beberapa panggilan telefon, tetapi dia enggan menjawabnya. Sarimah tidak mahu berbicara dengan sesiapa pun sehingga perasaan marahnya benar-benar hilang. Sarimah terus memimpin Haiqal naik ke biliknya di tingkat atas rumah banglo tersebut. Sarimah melihat jamnya, berbaki lagi dua jam sebelum waktu Subuh. Sarimah kepenatan, dia pun berbaring seketika di katilnya.

Sarimah terlena dengan cepat. Ketika itulah satu lembaga berupa budak lelaki muncul di bucu katilnya. Mata budak lelaki itu bersinar-sinar dengan warna merah. Matanya mirip mata kucing atau harimau. Telinganya runcing seperti telinga kucing. Budak lelaki itu adalah Belian, jin hutan yang disebut-sebut oleh Tok Long.

Belian menyeringai, menampak barisan giginya yang tajam. Belian cuba menyentuh kaki Sarimah tetapi tiba-tiba dia terasa seperti satu bahang panas menyambar tangannya. Belian terkejut. Ada sesuatu melindungi Sarimah. Dia pun menghilangkan dirinya.

-o-

“Tak dapat. Aku dah beberapa kali cuba telefon emaknya tapi tak dapat.”

“Tadi bukankah emaknya dah bawa masuk dia ke dalam kereta?”

“Habis yang di depan kita ni manusia ke bukan?”

“Haiqal? Tadi emak Haiqal ada kata apa-apa tak?”

“Emak tak jadi bawa Haiqal balik?”

Haiqal diam. Bertubi-tubi soalan dikemukakan ke atas dirinya.

Kesemua fasilitator pun keluar dari dewan tersebut. Mereka berbincang sesuatu di luar sana. Sesuatu yang misteri.

“Macam mana kalau dia bukan manusia?”

“Kau nak uji dia tak?”

“Aku setuju. Yang lain setuju?”

“Aku ikut saja.”

Selepas mendapat kata sepakat, kesemua fasilitator pun masuk semula ke dalam dewan tetapi Haiqal sudah menghilangkan diri. Langsung tidak ada jejak. Para fasilitator kebingungan.

-o-

Jauh di Kanada. Terdapat sebuah rumah agam berhampiran dengan satu kawasan perkuburan di Nova Scotia. Sebuah tempat yang terkenal dengan banyak peristiwa berhantu. Di dalam rumah itu tinggal seorang lelaki yang berusia sekitar 40 tahun. Rambutnya disikat kemas, wajahnya berjambang, matanya kelihatan redup dan dingin. Dia duduk dengan kemas di atas sebuah sofa tunggal, menghadap ke balkoni di tingkat atas. Lagaknya seperti seorang maharaja yang berjaya menakluki banyak negara.

Di setiap jari tangannya, kecuali ibu jari, terdapat cincin-cincin yang dikenali sebagai Delapan Cincin Solomon. Nama itu diberikan oleh lelaki itu sendiri. Setiap cincin tersebut memiliki batu yang berbeza warna dan rupa.

“Papa tak mahu tolong Haiqal?” Seorang anak gadis berusia sekitar 14 tahun duduk bersimpuh di samping bapanya. Dia memakai pakaian serba hitam, bergaya gothik.

“Tak perlu, sayang. Biar Haiqal timba pengalamannya sendiri.” Suara lelaki tersebut kedengaran agak dalam tetapi lembut.

“Mama?”

“Papa sudah jaga Mama, Belian tak mampu apa-apakan Mama.” Lelaki mengusap rambut anaknya.

“Qistina masih risau dengan Mama.” Anak gadis itu merapatkan pipinya ke lengan bapanya.

“Qistina risau?” Lelaki tersebut tersenyum.

“Tentulah risau.” Gadis yang dipanggil Qistina itu memuncungkan mulutnya.

Lelaki itu beralah. Dia menggosok-gosok sebentuk cincin di jari kelingkingnya. Tiba-tiba muncullah satu lembaga menunggang kuda hitam di depan kedua-dua anak-beranak itu. Badan lembaga itu kelihatan sangat gagah perkasa. Lembaga kuda bermata merah itu meringkik dan kemudian mendenguskan nafasnya beberapa kali sementara lembaga yang lengkap berpakaian perisai itu mendiamkan diri, menghormati anak-beranak itu.

“Kimaris, aku seru engkau untuk berangkat melindungi wanita itu dan anaknya. Bersegeralah engkau ke sana dan hapuskan Belian untuk aku, atau tundukkannya menjadi pengikut engkau.” Tenang, angkuh dan yakin. Begitulah nada suara lelaki tersebut ketika menunjukkan jarinya ke arah gambar Sarimah dan Haiqal yang tergantung di suatu sudut di bilik tersebut.

Kimaris mengangguk. Raja Syaitan Berkuda itu terus memacu kuda hitamnya menembusi dinding rumah. Pada ketika itu juga kelihatan dua puluh bayang-bayang lembaga bertubuh tegap yang juga masing-masing menunggang seekor kuda hitam mengikutinya dari belakang.

Lelaki tersebut, identitinya masih lagi misteri. Walau bagaimana pun, di kalangan bangsa jin, dia digelar dengan satu nama - Lelaki Penunduk Syaitan.


LAIN-LAIN KARYA AMIENE REV (sehingga karya ini ditulis):

05 JUN 2015:Cerpen Jin Galah

06 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.1: SPESIES

18 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.2: SUAMI

20 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.3: RINDU

21 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.4: SRIKANDI

23 JUN 2015:Cerpen Jin Galah 0.5: MUTASI

28 JUN 2015:Cerpen Anak Kecil Di Tengah Malam

3 JULAI 2015:Cerpen Jin Galah 0.6: REKRUT

15 OGOS 2015:Novel IBRIM & TOWA - Cinta Gadis Ular

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.