RINA kembali pulang ke rumah semula setelah dihantar oleh Faizal. Dia agak kebuntuan memikirkan masalah yang menimpa dirinya. Ada mengalami masalah mentalkah? Namun pantas dinafikannya kerana fikirannya masih waras lagi. Atau sebenarnya dia hanya berhalusinasi memikirkan apa yang telah terjadi kepada nasib ahli sihir wanita itu semasa hayatnya? Perkara tersebut berkemungkinan boleh diterima dek masuk akal. Jika benar, mengapa dia berhalusinasi mengenainya? Adakah dia terlalu memikirkannya?
Rina berjalan menghampiri bilik arwah bapanya untuk merehatkan dirinya. Dia tidak mahu memikirkan apa-apa yang berkait dengan ahli sihir wanita itu lagi. Tiba-tiba dia terdengar sesuatu bunyi di dalam biliknya. Dia menjadi kaget seketika sebelum meluru menghampiri pintu biliknya yang tidak jauh dari bilik arwah bapanya. Pintu yang tidak dikunci pantas dibukanya sebelum mendapati dinding dalam biliknya penuh dengan contengan tulisan seseorang. Rina menjadi cuak dan panik. Siapa yang tergamak menconteng biliknya?
Setelah diteliti tulisan yang sukar difahami itu, ternyata ia merupakan tulisan bahasa Inggeris dan mengandungi kata-kata berunsur ugutan serta ancaman kepada manusia yang hidup di muka bumi. Tujuh sifat negatif manusia turut menjadi ‘hiasan’ dalam biliknya. Tidak lama kemudian, Rina dikejutkan dengan pintu almari yang terbuka luas. Terdapat cermin yang melekat pada pintu tersebut. Melalui cermin tersebut, Rina terkejut sebaik mendapati dirinya yang dipantulkan oleh cermin merupakan ahli sihir wanita.
“A-apa ni? Apa maksud semua ni?!” Bentak Rina geram sambil terkejut.
“Kau adalah aku dan aku adalah kau,” balas ahli sihir wanita itu, tersenyum. Rina menggeleng laju. Wajahnya kian berubah panik. Dia tidak mahu menerima kata-kata tersebut dan berpura-pura tidak mendengarnya.
“Hari pembalasan dah tiba. Manusia yang hidup akan mati serta-merta!” Luah ahli sihir wanita itu dengan lantangnya.
“Hah?! Hari pembalasan?! Kenapa kau tergamak sangat bunuh orang yang tak berdosa?!” Bidas Rina geram.
“Mereka semua berdosa! Berdosa kerana memburukkan nama keluarga aku. Kau sendiri pun tau kan? Kau sendiri nampak apa yang mereka buat pada aku dan ibu aku!”
Rina terus terdiam. Memori yang muncul tidak diundang kembali diingatinya. Rupa-rupanya memori tersebut milik ahli sihir wanita itu yang berniat mahu menunjukkan masa kelam hayatnya kepada Rina. Jari tangan digenggam erat. Rina mengakui memang sangat kejam apabila difikirkannya. Seolah-olah dia sendiri yang mengalaminya di depan mata. Pada masa yang sama, dia berasa lega dalam hati kerana bukan dia yang merasai pengalaman tersebut.
“Kalau kau berdendam sekalipun, sepatutnya kau hanya berdendam dengan orang kampung kau! Bukannya orang-orang yang hidup pada zaman sekarang!” Rina kembali cuba mempertahankan nyawa manusia yang kini di ambang bahaya. Ahli sihir wanita itu terus berubah wajah sebaik mendengarnya.
“Kau tak faham dengan apa yang ditulis dalam bilik kau ni?! Manusia zaman sekarang sama saja dengan manusia yang pernah memburukkan keluarga aku! Sesiapa yang berdosa, akan terima balasannya. Tak kira hidup pada zaman silam atau zaman sekarang!” Selar ahli sihir itu.
Rina terdiam lagi sambil memerhatikan ‘hiasan’ tulisan di dalam biliknya. Memang benar apa yang disampaikan oleh ahli sihir wanita itu namun wanita yang sudah mati itu tiada hak untuk menghukum manusia lagi. Sepatutnya dendam sudah dilunaskan setelah mengorbankan orang-orang kampung yang pernah memburukkan keluarganya.
“Kalau kau bertindak nak menghalau atau menghapuskan aku, kau takkan boleh lakukannya. Sebab aku dah jadi bayang-bayang kau dan akan ikut kau ke mana saja kau pergi,” beritahu ahli sihir itu sebelum menghilang dari cermin.
Rina sekali lagi terkejut dan tersentak. Dia tidak faham mengapa ahli sihir itu berkata demikian. Dia mahu berbicara dan menanyakan kepadanya tetapi tiada sebarang jawapan didengar. Rina merengus kasar. Apa yang dimaksudkan oleh roh ahli sihir itu sebenarnya?
RINA tidak mahu tinggal di rumahnya lagi. Namun dia tidak tahu hendak menetap di mana buat sementara waktu. Dengan bekalan wang yang ada, dia tidak mampu untuk menginap di mana-mana tempat penginapan. Melainkan jika dia mahu menumpang di rumah orang. Tetapi dia sendiri pula tidak mahu menyusahkan orang lain. Entah apalah pilihan yang dia ada sekarang ini.
Sedang leka berfikir di luar rumah, terdengar bunyi ngiauan kucing dari arah berdekatan. Lantas Rina memerhatikan kucing yang duduk di depannya. Bulunya yang berwarna hitam terus mengingatkannya kepada kejadian kucing yang menggigit lelaki yang tidak dikenali. Kucing yang samakah?
Rina ingin menghalaunya namun kucing tersebut cuba bertindak agresif terhadapnya. Rina terpaksa berundur bagi mengelak kejadian tidak diingini. Kebetulan seutas rantai kunci yang digantung pada beg sandangnya berbunyi menyebabkan kucing tersebut lari menuju ke suatu tempat. Rina kehairanan seketika. Apa yang telah berlaku kepada kucing itu sebenarnya? Oleh sebab penasaran, Rina cuba mengejar kucing tersebut. Ketika asyik mengejar, tanpa sedar dia telah berada di satu kawasan yang dipenuhi dengan pokok-pokok tinggi.
Rina berpusing-pusing untuk mencari jalan pulang namun gagal. Setahunya tiada hutan yang berada berdekatan dengan kampungnya. Adakah dia sedang berada di dunia alam lain? Tidak lama kemudian, terdengar lagi bunyi ngiauan kucing yang sama. Lantas Rina menoleh dan mendapati kehadiran Pak Jan yang berdiri tidak jauh daripadanya. Rina terdiam seketika. Terus diteringatnya kepada foto lama mengenai wajah yang mirip dengan Pak Jan.
“Kau betul-betul Pak Jan ke?” Soal Rina membuka soalan pertama tanpa menanyakan khabar atau sebagainya.
“Kenapa tanya soalan macam tu? Jangan cuba nak bersikap biadap dengan orang tua. Apakah aku dilihat sebagai orang lain di mata kamu?” Tanya Pak Jan semula. Senyuman sinisnya dilemparkan. Rina mula tidak senang hati dengan senyuman tersebut.
“Kenapa tak datang bersihkan halaman rumah seperti sebelum ni?” Soalnya, cuba bersikap tenang.
“Aku jatuh sakit dan tak sihat selama beberapa hari. Maafkan aku sebab tak beritahu kamu dari awal lagi,” jawab Pak Jan. Lagaknya seperti menjawab soalan dari seorang bos besar, merendahkan sedikit badannya ke bawah sambil meletakkan tangan ke atas perut.
“Betul ke tak sihat? Atau kau lari daripada aku lepas apa yang kau dah buat kat dalam bilik aku?” Soal Rina lagi. Dia sudah mula mencurigai kebaikan Pak Jan. Pun begitu, dia tiada bukti untuk menuduhnya.
“Oi, oi, orang muda! Kan aku sudah cakap tadi? Jangan bersikap kurang ajar dengan orang tua seperti aku! Aku tak ada kena-mengena dengan lukisan kat dalam bilik kamu. Sudah, pergi balik! Ini bukan tempat kamu!” Balas Pak Jan serius. Rina agak tersentap dengan kata-kata dari orang tua berbongkok satu itu. Memang dia menghormati orang tua tetapi orang tua seperti Pak Jan agak berbeza sedikit orangnya.
Kemudian Rina terfikirkan sesuatu yang pelik. Matanya terus merenung ke arah Pak Jan dengan pandangan geram dan bengang. Pak Jan hairan melihatnya. “Kenapa? Oh?! Kamu tersesatkah? Mari aku pimpin kamu ke jalan keluar.”
“Tak perlu! Pasal kata-kata kau tadi, aku tak sebut perkataan ‘lukisan’ pun. Kenapa kau sebut tadi? Kau tau apa yang berlaku kat dalam bilik aku?” Teka Rina bernada curiga.
Tidak semena-mena wajah Pak Jan berubah cuak dan berkelakuan tidak senang hati. Rina sudah pun menjangkakannya. Niatnya mahu sahaja dia menampar wajah Pak Jan, namun memandangkan Pak Jan adalah golongan orang tua, terpaksa dia pendamkan niatnya. Hanya perasaan geram yang tergambar pada wajahnya sekarang.
“Kenapa kau tergamak lukis benda pelik kat dalam bilik aku, Pak Jan?! Kenapa kau conteng bilik aku umpama bilik aku tu adalah ‘kertas lukisan’ kau?!” Luahnya. Pak Jan tergetar-getar untuk menjawab soalan tersebut. Kucing hitam yang berdiri di sebelahnya hilang entah ke mana. Wajah Rina dipandang sekali-sekala dengan perasaan gementar dan panik.
“Jawab, Pak Jan! Jangan berdiam diri aje!!” Tengking Rina walaupun dia sedar sedang menengking seorang lelaki tua yang lemah. Seminit kemudian, baruah Pak Jan mengakui perbuatannya dengan menganggukkan kepala dengan laju. Lalu dia melutut dan merayu supaya dimaafkan.
“Kenapa kau lukis benda macam tu?” Soal Rina kembali tenang setelah berkali-kali Pak Jan merayu untuk dimaafkan. Rina tidak pasti samada ia perbuatan sengaja atau tidak disengajakan.
Agak lama Pak Jan mengambil masa untuk menjawab soalan Rina. Rina sekadar diam menunggu tanpa menyoalnya lagi. Namun dalam keadaan Pak Jan yang asyik menundukkan wajah ke bawah memberi perasaan menakutkan kepada Rina. Dia bimbang jika ada perkara buruk yang bakal berlaku nanti.
“Untuk kamu, orang muda.” Akhirnya Pak Jan kembali bersuara dengan wajah yang tenang dan senyuman yang sinis. Wajahnya kembali didongak ke depan sambil berdiri membongkok. Rina hairan mendengar jawapannya yang pelik itu.
“Untuk aku? Apa maksud kau?”
“Aku buat lukisan tu untuk kamu! Aku conteng bilik kamu dengan kata-kata yang kamu gemari! Takkan kamu tak sukakannya?!” Tiba-tiba Pak Jan bersuara lantang. Rina menjadi panik disebabkannya. Dengan perasaan tersebut, dia pantas membuka langkah seribu untuk meninggalkan kawasan tersebut. Malang sekali, dia tidak dapat menemui jalan keluar. Pak Jan pula cuba mengejarnya dengan wajah yang menakutkan. Lidah panjangnya terjelir keluar sambil matanya terbeliak luas. Rina masih buntu mencari jalan keluar. Pada masa yang sama, dia berada dalam kepenatan setelah lama berlari.
“Kamu tak boleh lari ke mana-mana lagi! Aku tetap akan mengejar kamu sampai dapat!!” Amaran yang diberikan Pak Jan semakin menyeramkan Rina. Rina terus berlari tanpa henti biarpun tidak menemui jalan keluar. Kemudian dia menyedari bunyi loceng rantai kuncinya mungkin membahayakan dirinya.
Rina terpaksa membuang rantai kunci miliknya jauh dari kedudukannya supaya dia bisa menyembunyikan diri bagi menghilangkan rasa keletihan. Mujur ada seutas lagi rantai kunci bersamanya. Dalam hati dia berniat akan menyimpannya dan tidak mahu membuang jauh walau apapun yang terjadi. Rina berasa lega kerana Pak Jan berjaya mengalihkan perhatian ke arah lokasi rantai kunci itu dibuang. Keluhannya dilepaskan.
Seketika kemudian, dia tersentak melihat kelibat seseorang yang berdiri di hadapan matanya. Orang tersebut hanya memberi isyarat supaya senyap dan tidak membuat bising. Rina terpaksa akur dengan permintaannya kerana keletihan yang dialaminya sekarang.