Tujuh tahun yang lalu,
SEMINGGU sudah pun berlaku sejak dari kejadian letupan kereta arwah Cikgu Farah. Kejadian tersebut turut melibatkan tiga orang murid terkorban dan seorang lagi tercedera. Pagi itu, semua para guru diam seketika dan menyedekahkan surah Al-Fatihah. Begitu juga dengan para murid sekolah.
Suasana hiba menyelubungi seluruh tempat. Lokasi letupan ditutup dengan tali plastik kuning. Di sana masih terdapat kesan kebakaran dan baunya masih lagi menyengat ke lubang hidung. Cikgu Faizal diam berdiri di hadapannya. Tiga hari selepas kematian Cikgu Farah, barulah dia diberitahu oleh Cikgu Nani bahawa guru muda itu pernah menaruh perasaan terhadap Cikgu Daniel.
Kehadiran Cikgu Nani di belakangnya mula disedari. Wajahnya sangat hiba dan sedih. Antara kesemua guru sekolah, Cikgu Nanilah yang paling rapat dengan arwah Cikgu Farah. Malah mereka berdua berkawan sejak dari zaman kolej lagi. Memang sukarlah untuk dia melupakan kejadian yang tidak disangka itu.
“Bomba cakap kejadian ni berlaku disebabkan insiden yang tak dijangka. Ada berlaku kebocoran sistem bahan bakar dalam kereta arwah.” Cikgu Faizal mula membuka perbualan.
Cikgu Nani diam kaku mendengarnya. “Takkan arwah tak tau pasal hal tu?” Tanyanya.
“Tak semua manusia diciptakan sempurna, Nani. Sama juga dengan arwah. Mungkin pada hari kejadian, dia terlupa nak memeriksa keretanya,” balas Cikgu Faizal lalu berpaling ke arah Cikgu Nani.
Cikgu Nani terdiam lagi. Lantas dia beredar dari situ meninggalkan Cikgu Faizal sendirian. Sekali lagi air matanya terkeluar. Punca sebenar kejadian lansung tidak mahu diterimanya. Atau mungkin dia akan mengambil masa yang lama unuk menerimanya. Entah sampai bila untuk dia menerima hakikat sebenar.
Cikgu Faizal melepaskan keluhan panjang. Bukan niat dia untuk mengguris hati Cikgu Nani tetapi mungkin hakikatnya memang begitu. Hampir semua guru sekolah turut mempercayai punca kejadian tersebut adalah kebocoran sistem bahan bakar. Hanya Cikgu Nani sahaja belum menerima sepenuhnya.
Baru sahaja hendak mengangkat kaki untuk beredar dari situ, matanya terpandang ke arah seorang murid yang amat dikenalinya. Wajahnya agak sedih sambil memandang ke arah lokasi kejadian tersebut.
“Kamu Rina, kan? Apa kamu buat kat sini? Tak ada cikgu kat dalam kelas?” Tegurnya lalu mendekati murid tersebut.
“Cikgu, saya dah baca berita kat dalam akhbar. Betul ke kereta Cikgu Farah meletup disebabkan sistem bahan bakar yang bocor?” Tanya Rina. Wajah Cikgu Faizal ditatapnya dengan perasaan sedih.
“Ya, betul tu. Pihak bomba dah siasat semuanya. Memang ia merupakan satu insiden yang tak dijangka. Arwah Cikgu Farah pernah mengajar kelas kamu ke?” Tanya Cikgu Faizal pula. Perlahan Rina mengangguk kepala. Tiada kata-kata lagi yang keluar dari mulutnya.
“Dah, pergi balik ke kelas kamu. Kita tak perlu lagi fikir ke belakang. Tak elok,” pesan Cikgu Faizal. Rina mengangguk lagi lalu berpatah balik menuju ke kelasnya semula. Riak wajahnya masih kelihatan sedih dan muram.
KETIKA dalam perjalanan pulang dari sekolah, telah berlaku satu insiden melibatkan sebuah kereta dan sebuah motosikal. Insiden tersebut menyebabkan berlaku sedikit kesesakan jalanraya. Ketika melalui kawasan insiden, mata Rina sempat melihat salah seorang mangsa kemalangan dan ternyata ia adalah murid dari sekolah yang sama.
Oleh sebab penasaran, segera Rina meminta bapanya supaya memberhentikan kereta di bahu jalan. Tanpa berlengah, Rina terus keluar dari kereta dan berlari mendekati lokasi kemalangan. Zamir sekadar menggeleng kepala dengan kerenah anaknya dan terpaksa mengikuti anaknya dari belakang.
Rina diam terpaku setelah menatapi mangsa kemalangan. Kesemua mangsa didapati telah meninggal dunia serta-merta. Dan dua daripadanya adalah murid satu sekolah dengannya. Walaupun bukan satu kelas, tetapi dia kenal benar dua orang mangsa tersebut.
“Rina, kenapa ni? Dua orang tu kawan kelas Rina ke?” Tanya Zamir ingin tahu.
“Tak tapi dia orang kawan rapat dengan kawan Rina. Dia orang selalu datang lepak kat kelas kami,” jawab Rina.
Tidak lama kemudian, muncul ahli keluarga terdekat datang meratapi mangsa. Entah mengapa hati Rina turut berasa sedih. Sesekali kenangan ketika ibunya meninggal dunia diingati kembali. Namun riak wajahnya berubah sebaik terdengar bunyi loceng kecil dari arah berdekatan. Rupa-rupanya bila diamati, ia merupakan rantai kunci loceng milik salah seorang mangsa.
Perasaan sedih kembali dirasai. Dia mahu beredar dari situ, namun kakinya terasa lemah dan tidak berdaya. Mujur Zamir sempat memapahnya dan kembali ke keretanya semula.
“Rina tak apa-apa? Demam ke?” Cuak Zamir melihat keadaan anaknya yang pucat pada wajahnya. Memang dirasai panas pada badan anaknya.
Enjin kereta dihidupkan semula. Mujur kesesakan mula berkurangan dan terus memecut laju menuju ke klinik berdekatan. Rina merasakan kepalanya amat pening dan badannya terasa panas. Seolah-olah sedang dibakar hidup-hidup. Pandangannya kerap kali menjadi kabur dan tidak jelas.
Dan ketika itulah dia merasakan suasana kian berubah dan berada di tempat yang sering dia berdiri ketika bermimpi, iaitu di hadapan seorang wanita berjubah yang sedang dibakar hidup-hidup. Rina kian ketakutan saat melihat wajah wanita malang itu yang mempamerkan rasa kesakitan akibat dibakar. Ketika api makin menjulang tinggi, suara wanita itu makin kuat kedengaran sehingga perlahan-lahan menghilang begitu sahaja.
Wanita malang itu sudah tidak bernyawa lagi. Orang sekeliling mula bersurai dan beredar dari situ. Hanya tinggal Rina seorang sahaja di situ, kerana dia tidak tahu hendak ke mana lagi. Tatapan matanya masih ke arah wanita malang itu. Dan tanpa diduga, mata wanita itu terbuka luas dengan lelehan darah yang tertitis keluar.