Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
120,438
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 5

Dua minggu berlalu...

BERSENDIRIAN Nizam menyelusuri kaki lima deretan kedai di situ. Dari satu kedai ke satu kedai dia berpapasan. Semuanya sekadar mahu mencuci mata. Sehinggalah petang mulai merangkak ke senja. Dia masih mahu berjalan. Satu blok ke satu blok bangunan kedai kakinya menginjak.

"Nizam..."

Terkejut Nizam apabila mendengar namanya dipanggil. Dia berpaling ke belakang mencari pemilik suara yang memanggilnya tadi.

Tiada.

Kaku dia berdiri di situ. Ada beberapa orang di kaki lima tersebut. Tapi semuanya jauh dari tempat dia berdiri. Dan mereka tak menghiraukannya. Semua buat hal masing-masing.

Dahinya berkerut. Dia tak dengar dengan jelas suara itu sebenarnya. Suara itu berbisik. Tak pasti sama ada suara lelaki atau perempuan. Ah, dia tersalah dengar rasanya.

Dia kembali meneruskan langkah. Masih mahu berjalan-jalan. Dia bukan berjalan semata-mata. Benar, dia sedang mencari Hajar seperti yang dikatakan kepada Fauziah tempoh hari dengan penuh nekad.

Itulah alasan yang membuatkan emaknya tak mampu menghalang niatnya. Walau berat hati, Fauziah terpaksa membenarkan dia pergi. Dan itu jugalah alasan yang membawa dia ke tanah Sri Petaling ini seorang diri.

Tapi petang sudah semakin tua. Dipandang jam tangan. Hampir pukul 7.00 malam. Dia harus pulang ke rumah segera jika tidak mahu terlepas waktu maghrib. Lagi pula, dia tak nak Irwan risau apabila dia berlama-lama di luar.

Untuk pulang, dia perlu ke jalan besar dan menunggu teksi di perhentian bas. Ketika baru beberapa langkah, pandangannya tertuju ke arah sebuah kedai pakaian bundle yang terletak di seberang jalan. Dia tertarik hendak ke kedai tersebut.

Tanpa berlengah, laju dia melangkah masuk ke dalam kedai itu. Banyak pakaian terpakai yang cantik dan murah! Kasut pelbagai jenama terkenal pun ada. Koleksi topi juga dijual.

Dicapai beberapa helai baju-T, sehelai seluar jean dan sepasang kasut warna hitam. Ketika mahu membawa semua itu ke kaunter bayaran, dia terpandang sehelai jaket hitam yang tergantung di dinding atas berdekatan dengan kaunter itu.

"Berapa harga jaket tu?" soalnya kepada pekerja lelaki di situ.

"Yang tu?" Lelaki menunjuk ke arah yang dipandang Nizam.

Nizam mengangguk.

"RM20 aje, bang."

"Murahnya. Bolehlah, saya nak tu."

Lantas pekerja lelaki itu menurunkan jaket tersebut. Diserahkan kepada Nizam.

Nizam mengira-ngira jumlah keseluruhan yang perlu dibayar. Semuanya hanya RM70. Bajetnya RM50 saja. Terlebih pula. Dibelek semula semua yang dipegang satu per satu. Baju-T empat helai yang dipilih semua lawa-lawa. Seluar jean warna hitam itu dia perlu beli memandangkan seluarnya yang dibawa tak banyak.

Kasut warna hitam itu pun perlu dibeli untuk dipakai ketika bertugas sebagai pengawal keselamatan nanti. Jaket hitam yang ada logo helang bertampal di kedua-dua bahagian bahu itu pula sangat cantik. Jaket itu bagai tak nak lepas dari tangannya walau tiada keperluan dia membelinya.

"Nizam..."

Terdiam Nizam dengan wajah tergamam. Bisikan itu sekali lagi memanggil namanya. Segera dia memandang ke sekeliling kedai. Matanya melilau. Beberapa orang pelanggan semuanya sedang sibuk memilih pakaian. Tiada sesiapa yang memandangnya.

Berkali-kali dia beristighfar. Barangkali fikirannya kacau-bilau sehingga terdengar-dengar ada suara sedang memanggilnya.

Jam di tangannya sudah hampir pukul 7.30 malam. Tak mahu berfikir lagi, diambil semuanya dan dibawa ke kaunter bayaran. 


Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.