Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
120,404
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 4

SUDAH hampir dua jam Irwan sekeluarga meminta diri untuk pulang selepas beraya di rumah mereka. Sedangkan Nizam dan Fauziah di dalam rumah itu masih tak berbual walau sepatah kata.

Fauziah mengemas meja dan terus membasuh pinggan mangkuk yang kotor. Nizam membantu serba sedikit sebelum kemudian menonton televisyen. Sedangkan dalam hatinya terdetik rasa keliru. Semua perbualan dengan Irwan tadi melintas di ingatan.

Namun, dia cuba untuk tidak terlalu fikirkannya. Dia fokus menonton rancangan sempena hari raya di televisyen. Sehinggalah tak lama selepas itu emaknya datang dan perlahan-lahan duduk di kerusi kusyen bertentangan dengannya.

"Zam..." panggil Fauziah setelah beberapa detik berlalu.

Nizam menoleh sekilas ke arah emaknya dan kembali menonton televisyen.

"Mak berehatlah. Dah penat seharian melayan tetamu datang, dah penat buat kerja rumah."

"Mak nak cakap sikit." Fauziah terus ke topik yang mahu dibincangkan.

Nizam diam.

Fauziah sedaya upaya cuba mengawal diri supaya lebih bertenang. Selama sembilan tahun ini dia sangat berjaga-jaga setiap kali berdepan dengan anaknya itu. Risau andai butir bicaranya mengganggu emosi Nizam.

"Mak rasa, Nizam kerja ajelah kat kedai runcit tu macam biasa. Pak Cik Deris tu dah suka Nizam kerja dengan dia."

"Nizam dah janji dengan Abang Irwan nak kerja dengan dia."

Fauziah menggeleng.

"Tapi Irwan belum bagitahu kata putus kan? Mak tak dengar pun dia kata setuju tadi."

"Dia diam maknanya setujulah tu." Nizam rasa Irwan takkan menolak permintaannya.

"Kalau Nizam kerja kat kedai Pak Cik Deris tu, senang nak cuti. Dia tak pernah nak berkira. Nizam kan tak berapa nak sihat sangat," pujuk Fauziah tak putus asa. Seboleh mungkin dia tak mahu Nizam pergi jauh.

"Nizam dah sihatlah, mak."

"Sihat apanya? Baru sebulan dua ni aje Nizam okey. Kalau tak, mesti ambil MC sampai berbulan-bulan." Nada suara Fauziah naik sedikit kerana nak bertegas.

"Nizam nak kerja jugak dengan Abang Irwan," putus Nizam nekad.

"Tak boleh!" Fauziah sudah tak boleh lagi berlembut dan bersabar. Dia mesti tegas dengan pendiriannya. Dipandang anak terunanya itu dengan renungan serius.

Nizam bingkas duduk menghadap Fauziah dan membalas renungan emaknya itu.

"Mak kata tak boleh, tetap tak boleh! Dengar cakap mak ni, Zam..." sambung Fauziah lagi. Kali ini suaranya dikendurkan sedikit. Risau andai tiba-tiba emosi Nizam berubah drastik dan mengamuk.

"Kenapa tak boleh?"

Persoalan Nizam itu membuatkan Fauziah tergamam seketika. Anaknya kelihatan tenang. Berbeza dengan sebelum ini. Biasanya sikap Nizam boleh berubah-ubah sekelip mata. Sekejap jadi sangat pemarah dan tak semena-mena menangis pula andai emosinya terganggu.

"Mak tak rasa Nizam boleh kerja jauh dari mak."

"Sebab apa?" Nizam masih bertanya.

"Kalau Nizam kerja jauh, macam mana makan minum nanti? Kalau kerja kat sini, mak boleh tengok-tengokkan. Boleh mak bekalkan lauk untuk anak mak ni." Perlahan nada suara Fauziah mengharap Nizam faham apa yang dia cuba sampaikan.

Nizam diam merenung jauh.

"Lagipun, Nizam kena pergi hospital setiap bulan ambil ubat. Appoinment dengan psikoterapi lagi. Nanti mak temankan Nizam macam biasa," pujuk Fauziah lagi. Kali ini dia benar-benar berharap Nizam membatalkan niat mahu ke Kuala Lumpur.

Tubuh disandarkan ke kerusi kusyen. Nizam dari awal sudah menduga hal ini yang akan emaknya gunakan sebagai alasan.

"Jadi, mak nak kata anak mak ni sakit? Tak layak nak berdikari sendiri?"

"Habis kalau Nizam sakit kat sana, macam mana? Siapa aje yang boleh faham keadaan Nizam tu? Nanti apa yang orang akan kata kalau tengok keadaan Nizam masa sakit? Bila Nizam sakit..."

"Nizam dah sihat, mak." Nizam memintas kata-kata emaknya. Direnung wajah tua itu sambil mengharap dirinya diyakini.

Sukar untuk Fauziah berbalas kata ketika ini. Sejak tadi Nizam kata dia sihat, tak sakit. Tapi hakikatnya...

"Nizam boleh ambil ubat kat hospital sana. Boleh jumpa dengan doktor kat sana jugak. Tak susah pun. Abang Irwan boleh temankan. Nizam pergi sendiri pun tak apa." Nizam melanjutkan bicara.

"Tapi..."

"Boleh tak mak percayakan Nizam kali ni, mak? Mak pun tahu Nizam dah tak macam dulu. Nizam dah boleh kerja elok-elok. Dah boleh kawal emosi. Apa yang doktor suruh semua Nizam buat, Nizam ikut. Ubat semua Nizam makan taip-tiap hari tak pernah tinggal. Apa lagi?"

Fauziah mahu membangkang, tapi dilihat keadaan Nizam agak tenang tatkala menuturkan kata-kata itu. Membuatkan dia kelu.

"Mak berilah ruang pada Nizam supaya Nizam boleh tunjuk yang Nizam dah sihat," ujar Nizam lagi penuh yakin.

Bertambah-tambah kelu lidah Fauziah. Bukan dia tak nak beri rasa percaya tu. Tapi belum sampai masanya lagi. Dia risau. Selagi Nizam masih bergantung pada ubat, selagi itu Nizam belum pulih sepenuhnya.

Sudah sembilan tahun dia menyaksikan dengan mata kepala sendiri bagaimana keadaan anaknya itu ketika sedang sakit. Setiap kali itulah hatinya bagaikan disiat-siat. Ada ketika dia tak sanggup melihat Nizam menderita begitu. Dan sudah banyak air matanya tumpah kerana simpatinya pada Nizam tak mampu mengubah apa-apa.

"Mak cuma nak ada di sisi Nizam setiap kali Nizam sakit. Hati mak rasa lega bila dapat tenangkan emosi Nizam," luah Fauziah sayu.

Apa yang terjadi pada Nizam disebabkan kesilapannya suatu ketika dahulu. Kerana rasa bersalah yang bertimpa-timpa dalam jiwanya, maka dia benar-benar berharap agar Nizam tak lagi menderita sebelum dia menghembus nafas terakhir.

"Mak... kalau mak nak Nizam sembuh..." Nizam kemudian menggeleng sebelum menyambung semula.

"Doktor dah kata penyakit ni takkan baik sampai bila-bila. Tak boleh sembuh. Nizam kena makan ubat sepanjang hayat."

Lemah hembusan nafas Fauziah. Ya, Nizam takkan sembuh. Kenyataan yang sehingga ke hari ini dan sampai bila-bila dia tak boleh nak terima hakikatnya.

"Apa-apa pun, mak kena izinkan jugak Nizam kerja kat Sri Petaling dengan Abang Irwan."

Bahu Fauziah jatuh mendengar tekad Nizam. Nizam tak nak beralah dengannya.

"Sebab Nizam nak cari Hajar."

Lanjutan kata-kata Nizam membuatkan Fauziah berpaling memandang anaknya itu dengan mata membulat. Tak percaya. Tubuhnya mula menggeletar sedikit.

Wajah serius Nizam ketika ini petanda yang dia tak main-main dengan kata-katanya. Dia mahu menjejaki Hajar sehingga bertemu.

"Nizam nak cari Hajar sampai jumpa, mak."

Air mata Fauziah bergenangan. Jiwanya dihentak dengan perasaan hiba. Nama Hajar itu bagai satu tamparan baginya. 


Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.