Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
118,154
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 10

TERMENUNG Nizam sambil duduk di birai katil menghadapkan muka ke almari di dalam biliknya itu. Ditenung almari itu sejak hampir setengah jam yang lalu. Almari itu kaku. Teringat dia kejadian sebelum subuh tadi.

Dia sendiri waswas. Tak pasti sama ada peristiwa itu benar-benar terjadi atau ilusi yang bermain dalam fikirannya. Tapi dia tak boleh lupa bagaimana takut dan menggeletarnya dia sehingga terasa muka pucat.

Sudah diselongkar seluruh isi almari itu. Tiada apa-apa yang mencurigakan. Cuma ada pakaiannya yang tak seberapa ada. Boleh kira dengan jari. Maka, dia sangsi kenapa almari itu boleh bergegar dan berhentakan.

Nizam menghembus nafas panjang yang lemah. Malam ini dia teragak-agak mahu tidur di dalam bilik. Rasa cuak pun ada. Takut andai kejadian almari bergegar dan berhentakan itu benar-benar terjadi sekali lagi malam ini. Bulu romanya meremang.

Puas berfikir, dia akhirnya mencapai sebiji bantal dan selimut lalu dibawa keluar dari bilik. Malam ini dia mahu tidur di sofa ruang tamu. Sebaik saja membuka televisyen dan bersandar di sofa, kedengaran bunyi enjin motosikal Irwan di garaj. Tak lama kemudian Irwan muncul di ruang tamu.

Membulat mata Irwan apabila melihat Nizam duduk di sofa bersama bantal dan selimut.

“Kau nak tidur kat luar ke, Zam?”

Nizam menyambut soalan itu hanya dengan tersengih-sengih.

“Kenapa tak tidur dalam bilik?”

“Kat luar ni rasa lapang sikit,” balas Nizam tanpa rasa mahu bercerita hal sebenar.

Dia tak nak Irwan salah sangka yang dia anggap rumah sepupunya itu berhantu. Tak mungkin rumah ini berhantu. Selama ini, Irwan tinggal sendirian tak pernah pula terjadi apa-apa.

“Bilik yang kau duduk tu besar kot.” Irwan seakan tak boleh terima alasan Nizam.

Nizam terdiam seketika. Bilik itu memang agak besar walau tak sebesar bilik Irwan di master bedroom. Habis tu, alasan apa dia nak beri?

“Kat sini boleh sambil-sambil tengok TV. Kalau dah mengantuk sangat, boleh tidur terus kat sini.”

Terangkat kening Irwan dan kemudian dia terangguk-angguk mengiakan saja.

“Lepas ni abang keluar lagi ke?” Nizam pula yang bertanya. Sempat dia mengerling jam dinding yang sudah ke angka 10.30 malam.

Irwan menggeliat melepaskan penat. Berbunyi-bunyi sendi tulangnya tatkala merentap badan ke kanan dan ke kiri.

“Tak ada dah. Esok pagi macam semalam aku hantar kau pergi kerja,” balas Irwan sesudah itu.

“Okey, bang.” Nizam sedia maklum.

“Aku nak mandi dulu lepas tu terus tidur. Penat gila rasanya hari ni.” Irwan beredar ke biliknya.

Nizam hanya memerhati sehingga susuk tubuh Irwan hilang di sebalik biliknya. Bersendirian dia di ruang itu ditemani televisyen yang menayangkan perlawanan bola sepak liga Inggeris.

Dia berbaring mengiring menghadap televisyen dengan selimut separas pinggang. Matanya awal-awal lagi sudah layu dan tidak mengambil masa yang lama untuk terlelap. Televisyen yang ditetapkan masa selama 30 minit terpadam sendiri.

Nyenyak Nizam lena di situ. Dia hanyut di alam mimpi. Dia bermimpi pergi ke sebuah rumah yang tak pernah dia jejak sebelum ini. Tak tahu rumah siapa. Rumahnya agak berdekatan dengan jalan besar.

Banglo dua tingkat berpagar itu memberi gambaran bahawa pemiliknya seorang yang sangat berkemampuan dan hidup senang-lenang. Namun, dia tak nampak walau sebuah kenderaan pun di garaj. Kosong. Tak pasti berpenghuni atau tidak.

Lalu dia merapati pagar setinggi hampir dua meter itu. Terjengah-jengah dia di sebalik jeriji pagar itu, mengintai andai tuan rumah ada di dalam. Ralit dia merenung ke setiap penjuru.

Tatkala dia mengalihkan pandangan ke jendela cermin di tingkat atas, secara tiba-tiba terjengul kepala satu lembaga hitam. Tersentak dia hingga jatuh terlentang ke belakang kerana terlalu terperanjat.

Segera dia bangun duduk berlunjur. Nafasnya tercungap-cungap. Lembaga yang dia nampak tadi begitu hitam dan menggerunkan. Kesakitan akibat jatuh ke jalan yang bertar dibiarkan saja kerana mula rasa takut. Renik peluh mula berjuraian. Diintai ke tingkap itu semula. Tiada apa-apa di situ.

Barulah Nizam bernafas dengan lega. Beransur-ansur hilang rasa tercungapnya tadi. Dia bingkas berdiri. Dia tetap mahu tahu siapa penghuni rumah itu. Dilihat ada butang loceng di pagar batu itu. Di atas butang loceng ada papan kecil berukiran dan bertulis Lot 335.

Teragak-agak jarinya hendak menekan butang loceng itu. Ada rasa menggeletar yang menggetarkan hatinya. Bibir terasa sangat kering. Ditoleh ke arah banglo itu sambil mata meliar mencari kalau-kalau penghuni banglo itu menampilkan diri. Masih tiada.

Ditekadkan niat agar segera menekan butang loceng. Ditekan dua kali. Seketika dibiarkan. Apabila tiada juga sesiapa yang muncul, dia menekan sekali lagi. Kali ini, dia tekan berkali-kali. Dia mahu penghuni rumah itu segera keluar supaya dia tahu siapa yang tinggal di situ.

Dia dengar bunyi bingit loceng itu memekakkan telinga, namun dia masih gagal nampak sesiapa pun dari banglo tersebut. Tak berhenti dia menekan butang loceng.

“Zam... Zam...”

Nizam terasa tubuhnya bergoyang dan namanya dipanggil. Ketika membuka mata, dilihat suasana kelam di sekelilingnya. Dia nampak wajah Irwan di hadapannya. Bersegera dia bangun. Kedengaran bunyi deringan yang kuat. Deringan penggera dari telefon bimbitnya.

Bunyi deringan inilah yang masuk ke dalam mimpinya. Disangka bunyi loceng dari rumah banglo itu. Dicapai telefon bimbit yang diletakkan di atas meja kopi dan segera mematikannya.

“Bunyi telefon kau tu kuat betul. Aku kat dalam bilik boleh dengar. Kau kat sebelah benda tu tak sedar pulak.” Irwan tergeleng-geleng berasa lucu sambil menapak ke biliknya semula.

Nizam melihat skrin telefonnya. Sudah pukul 5.35 pagi. Dia rasa, baru saja dia nak bermimpi. Terasa sekejap sangat tidurnya kali ini.

Mimpi? Ya, dia bermimpi pergi ke sebuah rumah banglo. Dia ingat dengan jelas mimpi itu. Dan juga lembaga di tepi jendela! Serta-merta bulu romanya meremang. Seakan-akan mimpi itu realiti yang sedang dia hadapi. Yang menjadi persoalannya sekarang, rumah siapa yang dia pergi itu?


Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.