9
“Assalamualaikum,” ucap Elfira kuat.
“Waalaikumusalam,” sahut orang di dalam rumah.
“L! Kau buat apa kat sini? Kenapa dengan kau ni?”
Elfira tidak terus menjawab. Sebaliknya dia terus memeluk
erat Sofea. Air matanya lebat menuruni pipi. Sofea kehilangan bicara. Dia
terkejut dengan kedatangan Elfira.
“Siapa sayang?” tanya Airel lalu menuju ke pintu.
“L abang,” beritahu Sofea.
Airel mendapatkan Sofea dan Elfira.
“L, kenapa ni?” tanya Airel terkejut apabila melihat
Elfira menangis dalam dakapan isterinya.
“Sudahlah L, mari masuk ke dalam dulu. Tak elok menangis
kat luar ni. nanti jiran tetangga tengok, fitnah pula yang timbul,” ujar Airel.
Dia terus mengatur langkahnya ke dapur.
Elfira melepaskan pelukannya. Pandangannya mula berpinar
dan semakin kabur. Akhirnya dia rebah. Nasib baik Sofea sempat menyambutnya.
“Abang, cepat L pengsan!” panggil Sofea cemas. Airel
berlari mendapatkan Sofea.
“Kenapa ni?”
“Kenapa apanya? Abang tak nampak ke yang L dah pengsan
ni. Cepatlah! Tak larat sayang nak peluk si L ni lama-lama.”
“Sayang tolong ambil beg abang,” arah Airel lalu terus
mengangkat Elfira. Dia membaringkan Elfira di bilik tetamu. Dia terus memeriksa nadi Elfira.
“Abang...” Sofea menghulurkan beg yang mengandungi
perkakas klinikal kepada Airel.
“Terima kasih, sayang.”
Airel terus memeriksa tekanan darah Elfira. Begitu juga
dengan suhu dan tahap kandungan gula dalam badan Elfira.
“L sakit ke abang? Pucat aje muka dia,” soal Sofea. Risau.
“Demam sikit. Tekanan darah dan kandungan gula dalam
badan dia pun rendah. Sebab tu dia pengsan. Keadaan macam ni tak elok untuk
baby. Abang ingat nak telefon Firuz. Tentu dia risau dengan kehilangan L.”
“Abang jangan nak mengada-ngada beritahu Firuz yang L ada
kat sini.”
“Kenapa tak boleh pulak? L nikan isteri dia.”
“Memang L tu isteri dia. Tapi L tak akan larikan diri
sesuka hati. Mesti ada sesuatu yang dah berlaku antara L dengan Firuz.
Tolonglah abang, kalau L tak pengsan, tentu dia pun akan minta kita rahsiakan
kedatangan dia daripada pengetahuan Firuz. Sayang lebih kenal L. Sayang tahu
ada yang tak kena ni. Please abang,
jangan beritahu Firuz yang L ada kat sini,” rayu Sofea kepada Airel. Dia
berharap agar Airel dapat memahami situasi Elfira.
“Yelah, abang tak beritahu dia.”
“Terima kasih abang. Err...”
“Tak apa, Fea temankan L malam ni.” Airel memberi izin.
Sofea mengukir senyum. Dia tahu Airel amat memahami
dirinya.
“Terima kasih.”
“Sama-sama kasih. Abang naik dulu. Kalau ada apa-apa
beritahu abang.”
Sofea mengangguk. Dia kembali menatap Elfira.
“Apa yang dah jadi sebenarnya L sehingga begini keadaan
kau?” soalnya sendiri.
Firuz Eidil sasau. Puas sudah dia meronda di sekitar
kawasan perumahannya. Tetapi bayang Elfira tidak kelihatan. Dia memberhentikan
keretanya di bahu jalan. Matanya melilau memandang sekeliling.
“Sayang kat mana?” rintih Firuz Eidil. Dia hampir
berputus asa.
“Sofea!”
Segera dia menuju ke rumah Sofea. Dia yakin pasti Elfira
akan cari Sofea. Setibanya di rumah Sofea, dia terus menekan loceng bertalu-talu. Airel yang baru hendak terlelap
terus sahaja menuruni anak tangga. Manakala Sofea mengunci Elfira di bilik. Dia
tahu, empunya diri di luar rumah. Sofea dan Airel saling berbalas pandang.
“Ingat abang, jangan sesekali beritahu L ada kat sini.”
Airel mengangguk. Dia terus membuka pagar. Terkocoh-kocoh
Firuz Eidil masuk.
“Fea, Airel nak tanya L ada datang jumpa kau orang tak?”
soal Firuz Eidil penuh mengharap.
“L? Tak ada. Kenapa bos? L hilang ke?” tanya Sofea cemas.
Airel menahan tawa. Geli hatinya melihat lakonan Sofea.
Boleh menang pelakon wanita terbaik gayanya.
Melihatkan jawapan Sofea, Firuz Eidil melepaskan nafasnya
berat.
“Masuk dulu Firuz,” pelawa Airel.
Firuz Eidil mengangguk lemah. Dia membontoti langkah
Airel. Manakala Sofea terus menuju ke dapur. Firuz Eidil dan Airel melabuhkan
punggung ke sofa. Airel merenung wajah Firuz Eidil yang kelihatan suram.
“Apa yang dah berlaku sebenarnya ni? Kau buat apa dengan
L? Dia hilang ke mana? Kau dah cari kat kawasan perumahan kau, rumah ibu bapa
dia ke?” soal Airel bertalu-talu.
“Aku tak tahu!” ujarnya sendu.
“Bos tak tahu? Tapi bos kan suami dia. Dah buat laporan
polis? Bos, L tu dahlah tengah mengandung. Kalau apa-apa jadi pada dia macam
mana? Biar saya telefon L,” sampuk Sofea sambil menuangkan air ke dalam cawan
tetamunya itu.
“Tak guna awak nak telefon dia.”
“Kenapa pulak? Mana tahu kalau dia akan jawab panggilan
saya.”
“Nak jawab macam mana? Telefon dia ditinggalkan di
rumah.Semua barang pemberian saya dia tak bawa. Saya ingatkan dia datang sini
cari Fea.”
“Apa sebenarnya yang dah berlaku ni bos? Cuba cerita pada
saya. Dia tak akan lari kalau tak ada sebab.”
“Sebenarnya, saya marah dia tadi. Saya terlepas cakap
yang saya tak tahu macam mana saya boleh jatuh cinta dan berkahwin dengan dia.
Tapi saya tak bermaksud macam tu, Fea. Demi Allah, saya tak maksudkannya. Saya
sayangkan dia. Saya cintakan dia. Dia adalah segala-galanya untuk saya, Fea.
Saya tahu saya salah. Tolong saya Fea. Kalau L cari awak, tolong beritahu saya.
Saya buntu bila dia tak ada. Saya rasa kosong. Saya perlukan L dalam hidup
saya.”
Sofea kasihan melihat keadaan Firuz Eidil. Ingin sahaja
dia membuka mulut yang sebenarnya Elfira ada di rumahnya. Namun dia tahu,
Elfira perlukan ketenangan.”
“Bos, sabar iya. Berilah L masa. Saya yakin dia pasti
kembali pada bos.”
“Awak cakap senanglah Fea. Bukan awak tak kenal L, kalau
dia dah nekad dia akan buat. Saya tak nak kehilangan dia.”
“Macam inilah Firuz, kalau L cari kami, nanti kami akan
beritahu. Sekarang ni, kau balik dulu, tenangkan fikiran, mohon petunjuk
daripada Allah. Insya-Allah semuanya akan selamat,” ujar Airel.
Firuz Eidil menundukkan wajahnya. Dia betul-betul tak
terdaya ketika ini.
“Saya minta diri dulu.”
Firuz Eidil melangkah longlai. Dia kecewa apabila pencariannya
tidak berjaya. Dia buntu. Selain daripada Sofea, dia tidak tahu mana arah
Elfira.
Sofea dan Airel saling berbalas pandang.
“Nasib baik dia tak buat kerja gila. Dibuatnya dia nak periksa
setiap bilik dalam rumah ni tak niaya kita,” ujar Sofea.
“Tapi mana sayang sorok kasut L?”
“Sayang dah bawa masuk awal-awal. Sayang tahu Firuz mesti
cari L kat sini punyalah.”
“Pandai sayang berlakon tadi,” usik Airel.
“Eleh abang pun sama. Boleh menang pelakon terbaiklah.”
“Sudah tak perlu nak puji lebih-lebih. Jom kita tengok L
tu,” arah Airel.
“Dah malulah tu,” usik Sofea lagi.
Airel buat tidak dengar. Sofea mengukir senyuman. Mereka
berjalan beriringan menuju ke bilik tetamu. Elfira masih lagi lena.
“Sayang temankan L. Abang naik dulu.”
“Selamat malam abang,” ucap Sofea. Airel mengenyitkan
matanya nakal.
Sofea kembali menatap Elfira. Dia mengambil tempat
disebelah Elfira. Baru dia hendak memejamkan matanya, dia terdengar desahan
Elfira.
“L, bangun L,” panggil Sofea.
Perlahan Elfira membuka matanya. Dia dapat merasakan
kepalanya begitu berat.
“L, kau dah sedar? Alhamdulillah,” Sofea mengucap syukur.
Sofea membantu Elfira untuk bangun. Lalu dia memeluk erat
tubuh Elfira. Gembira hatinya melihat Elfira sudah sedar. Elfira membalas
pelukan Sofea dengan juraian air mata.
“Sabarlah L. Ini dugaan buat kau.”
“Aku sedih Fea. Kenapa dia buat aku macam ni?”
“Aku tahu.”
“Kau tahu?” Elfira melepaskan pelukannya.
Sofea mengangguk.
“Tadi Firuz datang cari kau.”
“Kau beritahu dia aku kat sini.”
“Tak. Aku tahu kau nak bersendirian. Sasau aku tengok dia
bila kehilangan kau.”
“Itu semua lakonan Fea. Dia menyesal kahwin dengan aku.
Dia tak cintakan aku Fea.”
“Dia cintakan kau, L. Dia mengaku bersalah tapi dia tak
maksudkan apa yang dia cakap pada kau.”
“Kau nak bela dia?”
“Tak L. Jangan salah faham. Aku cuma sampaikan apa yang
dia luahkan pada aku dengan Airel. Itu aje.”
“Dia dah tak perlukan aku. Aku nak bersendirian. Aku
ingat nak ke utara. Bercuti, tenangkan diri sebelum aku failkan perceraian.”
Ternganga Sofea mendengar ayat terakhir Sofea.
“Kau biar betul L?”
“Aku serius. Untuk apa hidup bersama kalau dia tak
cintakan aku. Dia menyesal kahwin dengan aku. Biarlah aku dengan hidup aku dan
dia dengan hidup dia.”
“Kalau kau nak bercuti ke utara, apa kata kalau kau duduk
kat rumah nenek Airel.”
“Hisy taknaklah segan aku.”
“Nenek Airel ada homestay tau. Kau boleh tenangkan diri
kat sana. Ada sawah padi lagi.”
“Bolehlah. Tapi aku nak ke sana esok.”
“Nanti aku cakap dengan Airel. Sekarang ni kau rehat
dulu. Esok baru kita cerita.”
Elfira kembali merebahkan tubuhnya. Begitu juga dengan
Sofea.