Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aduhai, Bos Bertuah!
Aduhai, Bos Bertuah!
Zan Zarida
5/3/2013 15:30:39
204,149
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 7

SEBAIK keluar dari bilik mesyuarat, Zamil terus menuju ke biliknya. Terasa lega apabila semua projek berjalan dengan lancar. Dia memang beruntung kerana mendapat staf yang sememangnya komited dan boleh diharapkan. Kini dia tidak perlu risau lagi. Andai nanti hendak bercuti lama-lama pun tidak mengapa.

Sedang asyik melayan perasaan, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Segera dia mengangkatnya. Bagai tidak percaya pula apabila melihat nama ayahnya yang tertera di skrin.

“Assalamualaikum, ada apa ayah?” tanyanya perlahan. Sejak dua menjak ini memang jarang sekali ayahnya bercakap dengannya. Dia pula bagai tiada apa yang hendak dibualkan.

“Waalaikumussalam. Kerja Zamil macam mana?” soal ayahnya pula.

“Okey saja, ayah,” jawabnya ringkas.

“Cincin dah beli?” Pak Karim terus sahaja bertanya. Takut anaknya terlupa.

“Cincin apa?” tanya Zamil pula. Kurang faham maksud ayahnya.

“Cincin apa lagi? Cincin kahwin Zamillah.” Pak Karim cuba mengingatkan.

“Oh! Cincin…” gumamnya.

“Sudah beli ke belum?” potong ayahnya.

“Dah, dah...” Terpaksalah dia berbohong. ‘Bukankah telah diuruskan sekali?’ Dia berasa hairan pula.

“Ayah nak tanya itu sahaja. Kalau dah beli baguslah.” Kemudian Pak Karim memutuskan talian. Tidak sempat dia hendak balas apa-apa.

‘Cincin?’ soalnya sendiri. Bagaimana boleh tidak teringat langsung?Sekilas dia memandang kalendar di atas mejanya. ‘Ha? Tiga hari lagi?’ gumamnya.

Kelam-kabut dia mencari kunci keretanya. Mujur ayahnya mengingatkan. Kalau tidak, malu satu keluarga. Boleh masuk hari ini dalam sejarah. Pengantin terlupa beli cincin kahwin!


MATA Zamil sudah naik buntang.Dia sudah tidak tahu yang mana satu harus dipilih. Yang ini cantik, yang itu pun cantik. Susah pula hendak memilih cincin yang mana satu paling sesuai. Pening kepalanya melihat permata yang bersinar-sinar.

Semasa bertemu dengan Dian tempoh hari, tiada pula gadis itu memakai sebarang cincin di jarinya. Kalau tidak, boleh juga dia mendapat idea cincin yang bagaimana kesukaannya. Kini dia terpaksa memilih sendiri. Silap dirinya juga kerana tidak mengajak adiknya sekali.

Sepatutnya dia telefon Dian sahaja. Ajak tuan punya diri supaya cincin yang dibeli sedang elok untuk dirinya. Apabila difikirkan kembali, terasa segan pula kerana dia bagai saat terakhir baru hendak membeli cincin kahwin. Dalam keadaan terdesak begini, dia masih mahu mempertahankan ego di hati.

Nampak sangat yang dia sebenarnya tidak bersedia. Lebih tepat tidak setuju dengan perkahwinan ala orang dulu-dulu ini. Akhirnya dia tersenyum sendiri apabila mengingatkannya.

Tempoh hari bukan main lagi mengamuk tetapi setelah berjumpa dengan Dian, lain pula jadinya. Malah kini, dirinya pula yang bagai tidak sabar-sabar. Nasib baik hanya diri sendiri sahaja yang tahu perkara ini. Kalau orang lain tahu, malu satu dunia.

Setiap hari dia berasa bahagia sahaja. Kalau boleh cepatlah masa berputar.Saban hari dia asyik bermimpi dan berangan yang indah-indah. Ini bukan lagi mengalahkan orang angau, memang sudah gila bayang tahap teruk.

“Saya pilih yang ini sajalah,” putusnya. Semakin lama dia berada di kedai emas ini, lagi dia tidak dapat membuat pilihan.

“Saiznya macam mana, ada bawa contoh?” tanya jurujual itu buat Zamil terdiam.

Dia merenung jarinya kemudian merenung jari jurujual di hadapannya. Sudahnya dia memandang kembali jurujual dengan dahi berkerut.

“Berapa saiznya?” tanya jurujual untuk kepastian.

“Saya terlupa bawa contoh, rasanya saiz jarinya lebih kurang jari awak saja,” ujar Zamil sambil tersenyum. Apa lagi hendak dijawab kalau dia memang tidak tahu saiz jari Dian? Terpaksalah dia mengagak sahaja dan berharap semoga ianya sesuai.

“Biar betul encik, nanti tidak sesuai pulak.” Jurujual memandangnya bagai tidak percaya.

“Tak apa, bakal isteri saya seorang yang okey. Kalau terbesar sikit pun, dia tak kisah. Nanti boleh pakai di jari telunjuk atau jari hantu,” jawabnya selamba.

“Cincin kahwin kena pakai di jari manis, bukan boleh suka-suka hati pakai di jari telunjuk atau jari hantu!” balas jurujual dengan nada geram. ‘Apalah dalam kepala encik ini,’ detiknya dalam hati.

“Ya ke?” ujar Zamil.

“Habis tu macam mana ni?” tanya jurujual sambil memandangnya.

“Susahlah pulak…” keluhnya.

“Patutnya encik beli cincin ni bersama bakal isteri encik, barulah betul,” ujar jurujual itu.

“Tawakal sajalah. Saya ambil saiz yang ini saja,” putusnya kerana dia tidak mahu berlama di situ.

“Suka hati enciklah,” jawab jurujual sambil menggeleng kepala. ‘Orang ini betul-betul hendak berkahwin atau main-main?’ Dia tertanya sendiri.

Setelah membuat pembayaran, Zamil terus beredar menuju ke tempat letak kereta. Dia hendak segera pulang ke rumah. Tadi, mujur ayahnya telah mengingatkan tentang cincin kahwin. Apabila sudah saat terakhir begini, terpaksalah main beli sahaja. ‘Nasiblah Dian, dapat bakal suami macam aku ni!’ detiknya dalam hati. 


SEBAIK sampai di rumah, Zamil melepaskan lelah dengan berehat di ruang tamu. Perlahan-lahan dia membuka tali lehernya kemudian menyinsing lengan kamejanya pula.Ingin sekali menghilangkan dahaga, namun tidak nampak pula kelibat bibik. Hendak terus ke dapur malas pula.

“Lambat abang balik, tadi singgah di mana?” tanya Ida apabila terpandang abangnya.

“Boleh tak Ida jangan menyibuk hal abang?”

marahnya. ‘Adik yang seorang ni tak habis-habis buat aku bengang,’ gerutu hatinya.

“Ida tanya saja, itupun nak marah ke?” tanya Ida, pelik dengan abangnya yang tiba-tibamoody pula.

“Rimas tau tak kalau asyik ada orang bertanya itu ini.”

“Abang beli apa tu? Nak tengok,” tanya Ida pula apabila terpandang ada beg kertas di sebelah abangnya.

“Bagus jugak Ida tanya. Okey tak cincin yang abang beli ni?” tanyanya sambil menyerahkan kotak cincin kepadanya.

Segera Ida menyambutnya. “Wau cantiknya, pandai jugak abang pilih. Ingatkan tak reti hendak beli cincin.” Rasa macam tidak percaya pula abangnya mempunyai cita rasa apabila memilih cincin.

“Kalau Ida dah cakap macam tu, lega hati abang. Sebenarnya susah jugak abang nak pilih yang mana paling sesuai,” ujarnya sambil mengurut dada.

“Ini mesti mahal, berapa harganya?” tanya Ida ingin tahu. Dia juga turut berasa teruja.

“Dah cincin kahwin mestilah mahal. Takkan abang nak beli yang murah untuk isteri abang,” jawabnya.

“Cemburunya Ida dengan Kak Dian.Ini mesti Kak Dian seorang yang cantik. Kalau tidak, masakan abang beli cincin yang cantik begini.” Tidak habis-habis Ida membelek cincin itu.

“Cincin yang cantik tentulah untuk orang yang cantik jugak,” ujar Zamil sambil tersenyum.

“Saiznya okey ke? Di jari Ida longgar sikit.Kak Dian ni orangnya besar sikit dari Ida ke?” tanya Ida.

“Tolonglah… Dian tu kecil molek orangnya,” jawabnya pantas.

“Jawabnya pasti longgar. Pada jari Ida pun dah longgar,” komen Ida.

“Lepas majlis nanti pandailah abang nak buat macam mana kalau longgar jugak,” jawabnya.

“Sayanglah kalau cincin cantik begini tetapi kena selak-selak pulak supaya muat,” ujar Ida.

“Apabila badan Dian berisi, nanti muatlah.” Tidak terfikir pula dia hendak selak-selak supaya ketat.

“Amboi, belum apa-apa lagi dah fikir lain pulak abang ni…” perli Ida.

“Ida tu yang fikir lain. Apabila sudah berkahwin tentulah senang hati, makan pun lebih. Jadi, cepatlah naik badan Dian tu. Pada masa itu mesti tidak longgar lagi, faham?” balasnya sambil membulatkan matanya.

“Yalah abangku sayang…” jawab Ida sambil tersenyum.

“Dah bak sini, nanti hilang pulak seri cincin ni,” pinta Zamil sambil menghulurkan tangannya.

Terpaksalah Ida serahkan semula cincin itu kepada abangnya. “Abang, cakaplah macam mana rupa Kak Dian ni?” tanya Ida beria-ia.

“Kan dah cakap, cantik dan kecil molek orangnya.” Geram betul dia dengan Ida ini.

“Tahulah tetapi macam siapa Kak Dian ni?” tanya Ida yang masih tidak berpuas hati.

“Kak Dian, Kak Dianlah. Takkan macam muka orang lain pulak? Hujung minggu ni saja, takkan tak sabar nak berkakak ipar?” marahnya.

‘Adik perempuan seorang ini mengalah abang dia pulak,’ getusnya. Nasib baik seorang, kalau ada dua tiga orang adik macam Ida ni, mahu pening dia melayannya.Namun tidak dinafikan, dia juga tidak sabar menantikan saat itu.

“Abang ni teruklah!” Tiba-tiba Ida juga geram dengan abangnya.

“Ida tu yang entah apa-apa.Tanya soalan yang bukan-bukan,” marahnya.

“Itu tandanya adik abang ni prihatin dan mengambil berat tentang bakal kakak iparnya,” balas Ida. Tidak mahu mengalah.

“Ida tu bukan prihatin tetapi menyibuk sebenarnya.”

“Ah! Malaslah nak layan abang ni. Buat sakit hati sahaja,” ujar Ida kemudian berlalu menuju ke dapur.

“Alang-alang Ida ke dapur tu, tolong buatkan abang air oren,” pintanya.

“Tak kuasa Ida nak buat,” balas Ida dengan selamba.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.