Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aduhai, Bos Bertuah!
Aduhai, Bos Bertuah!
Zan Zarida
5/3/2013 15:30:39
204,128
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 8

DIAN menjeling telefon bimbitnya yang tidak berhenti-henti berdering. ‘Hisy… kalau orang dah tak nak angkat tu, tak payahlah telefon lagi,’ gerutunya. Geram sungguh dia dengan Danish ini. Saat begini baru sibuk hendak menelefon. Entah apalah mahunya. Sebelum ini tidak ingat langsung hendak menghubunginya.

Tidak berapa lama selepas itu kedengaran pintu biliknya diketuk berulang kali. “Dian…” panggil ayahnya.

“Kejap,” sahutnya kemudian segera membuka pintu.

“Danish ada di beranda, pergilah berjumpa dengannya,” suruh ayahnya.

“Dia datang ke rumah ke?” tanyanya, terkejut.

“Hmm… dia nak sangat berjumpa dengan Dian,” beritahu ayahnya.

“Tak naklah!” Segera dia menolak.

“Anak ayah janganlah macam ni. Tak baik buat dia tertunggu-tunggu,” pujuk ayahnya.

Dian pandang ayahnya yang tenang sahaja. Dalam hati dia berkira-kira sendiri.

“Dian, dengar tak ayah cakap ni?”

“Okeylah,” balasnya perlahan. Akhirnya dia akur juga.

Setelah memakai tudung, dia terus menuju ke beranda. Perlahan-lahan dia menghampiri Danish yang menuggunya. Kalau bukan kerana desakan ayahnya, memang dia tidak mahu berjumpa dengannya langsung.

Danish mengangkat muka sebaik menyedari kehadirannya. “Sampai hati Dian buat saya macam ini,” ujarnya sambil memandang tepat ke wajah Dian.

“Kita sememangnya sudah tiada jodoh,” balasnya perlahan. Apa lagi yang hendak dikatakan? Semua yang terjadi bagai menghempap dirinya dan juga Danish. Sama-sama sakit dan terluka.

Sepi seketika. Kini Dian melemparkan pandangannya pada pekerja katering yang sibuk menyusun meja di bawah khemah. Walaupun masih terkejut dengan kedatangan Danish, dia terpaksa juga berhadapan dengannya.

“Kenapa Dian menghukum saya begini?” tanya Danish. Dia kena rebut peluang yang ada untuk membetulkan keadaan.

“Danish, cubalah terima hakikat yang kita sememangnya tidak boleh bersama. Hubungan kita sudah putus dan tidak mungkin akan bersambung kembali,” tuturnya lembut.

“Saya tidak pernah memutuskan hubungan kita, sebaliknya Dian yang membuat kesimpulan sendiri.” Danish cuba mempertahankan dirinya. Dia tidak mahu Dian salah sangka terhadapnya.

“Semua itu tiada bezanya. Perlukah Dian menunggu lagi andai Danish telah menjadi tunangan orang?” perlinya.

Danish membetulkan duduknya. Sedikit kecewa dengan sindiran Dian. “Saya tidak tahu menahu pun pasal semua itu. Malah, saya juga tidak pernah setuju dengan rancangan perkahwinan itu,” ujar Danish berterus terang. “Percayalah,” sambungnya bagi menyakinkan Dian.

Dian mengeluh berat. Saat ini, apa pun alasan yang Danish berikan memang sudah tidak bermakna lagi.

“Dian,” panggil Danish apabila dia senyap sahaja.

“Dian telah pun buat pilihan. Keputusan yang telah diambil bukan boleh ditarik sesuka hati,” ujarnya sambil cuba mengawal emosinya yang tiba-tiba sahaja berasa sedih.

“Dian, janganlah buat saya macam ini. Saya benar-benar cintakan Dian.” Danish meluahkan apa yang ada di lubuk sanubari. Andai kata boleh, ingin sekali dia menggengam erat jari-jemarinya dan merayu dengan bersungguh-sungguh.

“Sudahlah Danish. Esok Dian akan jadi milik orang. Janganlah kerana kita berdua, lagi banyak hati yang terluka dan kecewa,” balasnya. Tiba-tiba terasa matanya sudah mula bergenang apabila melihat ekspresi wajah Danish.

“Sungguh mudah Dian melupakan segalanya? Setahun lebih kita berkawan, takkan berakhir begitu sahaja?” Danish bagai sengaja mengimbau kenangan yang terpaksa dikuburkan.

“Tidak ada kenangan yang mudah dilupakan begitu sahaja. Satu saja yang Dian pinta, lupakanlah Dian untuk selamanya.” Sedaya upaya dia cuba menahan air matanya agar tidak menitis. Itulah sebabnya dia tidak mahu berjumpa dengannya. Dia takut kehadiran Danish akan menggugat hatinya.

“Tiadakah walau sedikit simpati di hati Dian? Saya telah batalkan perkahwinan itu kerana bagi saya, hanya Dian sahaja yang akan menjadi pengantin saya dan bukan orang lain.” Danish masih cuba memujuk.

“Semuanya sudah terlambat. Tiada gunanya mengenang sesuatu yang telah berlaku,” ujarnya. Kini dia memang terpaksa menyeka air mata yang sudah gugur. Mujur Danish memandang ke arah lain.

“Kenapa hati Dian begitu keras?” soal Danish setelah diam seketika.

“Sebenarnya hati ini tidak pernah keras. Sebab Dian berlembutlah, Danish masih berpeluang berjumpa dengan Dian lagi,” jawabnya. ‘Kenapalah saat begini Danish ini masih lagi menaruh harapan?’ Dia sudah mula membuang lelaki ini jauh-jauh. Memang parah hati yang terpaksa menanggungnya.

“Dian…” sebut Danish perlahan.

“Danish, antara kita memang sudah tiada apa-apa. Tolonglah jangan buat Dian macam ni,” pintanya. Tiba-tiba dia rasa sebak pula, tetapi segera disembunyikan.

“Saya tidak boleh hidup tanpa Dian. Percayalah, saya amat mencintai Dian.” Semakin bersungguh-sungguh Danish merayu.

“Kita tidak ditakdirkan untuk bersama.Cubalah Danish terima kenyataan ini. Tolonglah,” pintanya. Setelah dia memberi persetujuan, dia memang tidak mahu mengingati lagi kenangan bersama Danish. Juga lelaki lain yang pernah hadir dalam hidupnya. Memang sukar tetapi hanya itu pilihan yang terbaik.

“Benarkah itu adalah pilihan hati Dian yang tulus?” soal Danish pula. Padanya, riak wajah Dian menyatakan sebaliknya.

“Siapalah Dian untuk menentukannya. Hanya TUHAN sahaja yang tahu apa di dalam sanubari.”

“Apa lagi yang boleh saya katakan?” Akhirnya Danish mengeluh. Terasa sukar untuk mengubah dan memujuk gadis di hadapannya.

“Doakanlah kebahagiaan Dian. Kita akan bahagia andai kita reda dengan apa yang berlaku,” pujuknya. Padahal hatinya sendiri tidak tahu bagaimana keadaannya.

“Bagaimana hati akan bahagia andai pada masa yang sama luka masih berdarah?” soal Danish pula.

“Sebab itu Danish kena reda,” ulangnya lagi.

“Esok Dian akan bernikah dan saya masih begini, terluka dan kecewa…” keluh Danish lagi.

“Maaflah, Dian bukan tak nak jemput Danish hadir ke majlis Dian. Harap Danish faham sendiri.”

“Andai Dian jemput sekalipun, amat berat hati ini untuk menghadirkan diri,” balas Danish perlahan.

“Harap tiada dendam di hati Danish,” pintanya. Dia mahu perhubungan mereka berakhir dengan baik meskipun pengakhiran hubungan itu sememangnya belum tentu membahagiakan keduanya.

“Dendam? Perlukah dalam berkasih ada dendam?” soal Danish pula.

“Baguslah andai Danish beranggapan begitu. Maaf, Dian nak masuk dahulu. Tidak manis Danish berlama di sini,” ucapnya meminta diri. Rasanya apa yang hendak diluahkan telah disampaikan.

“Yalah nanti kirim salam saya kepada pak cik dan mak cik,” pesan Danish sambil memandang sayu wajah Dian.

“Insya-ALLAH,” balasnya.

Danish turut melangkah berat meninggalkan kediaman Dian. Bersusah payah dia datang ke sini untuk memujuknya, namun tiada apa yang dapat dilakukan lagi. Nasib memang tidak menyebelahinya.

Mujur semasa datang tadi, Encik Abu Bakar tidak menghalaunya. Ayah Dian tetap melayannya dengan baik walaupun kedatangannya memang tidak dialu-alukan.


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.