Tengku
Atylia masih menunggu kepulangan anak teruna harapannya. Dia tahu Izhan keluar
untuk berjumpa Erica Soffea, anak saudaranya sendiri. Hatinya berbunga riang
bila mengenangkan Khaleeda Holdings akan
menjadi milik keluarganya. Dia amat berharap agar apa yang akan
dirancangkan akan menjadi kenyataan. Suaminya Tengku Eddrus, masih lagi di
pejabat, mungkin ada perkara yang perlu dilangsaikan. Kadang-kadang Tengku
Atylia terfikir apa maksud sebenar bondanya menyerahkan syarikat yang bernilai
jutaan ringgit itu kepada budak yang sementah Erica. Ikutkan hatinya ingin dia
membawa hal ini ke tengah, tetapi memandangkan nama baik dan darjatnya, dia
melupakan hasrat itu. Tengku Atylia tahu dia mesti mengunakan cara lain untuk
mendapatkan kembali Khaleeda Holdings. Dia tidak mahu sekadar menjadi salah
seorang ahli lembaga pengarah. Dia mahu menjadi Pengerusi. Dia mahu jawatan
yang dipegang oleh Erica Soffea.
Tengku Atylia menjenguk, kelihatan Izhan
balik dengan muka yang agak masam.
“Kenapa anak mama ni?” tanya Tengku
Atylia kepada anak terunanya.
“Penat,” jawab Izhan dengan ringkas.
Dia kemudiannya membalingkan kunci Mercedes-Benz CLS 63 AMG yang baru
dibelinya.
“Penat? Selalunya Iz lepas kerja
bukan balik ke rumah pun, terus je keluar dating,”
kata Tengku Atylia.
“Mama ni, penatlah nak layan
perempuan macam Erica. Merengek macam budak-budak,” Izhan merungut.
“Come
on Iz. Budak macam tu pun Iz tak
boleh nak handle? Tak payah nak
merungut sangatlah. Ini kan untuk masa depan keluarga kita. Iz nak ke, syarikat
nenda tu jatuh kat tangan dia. Betul lah dia anak kakak mama. Tapi kakak mama
dah lama meninggal. Sepatutnya nenda bagi syarikat kat Mama. Bukan kat budak
mentah macam tu.”
“Hairan kan? Apa niat nenda sebenarnya.
Pada hal masa nenda masih ada Erica tu bukannya rapat sangat dengan nenda.
Lainlah dengan Farish.”
“Itulah yang Mama risaukan.
Bayangkan kalau Erica tu betul-betul jatuh cinta dengan Farish, tak jadi nak
bercerai dan serahkan syarikat pada Farish. Habis kita. Sebab tu Mama nak
pastikan Erica bercerai dengan Farish dan kahwin dengan Iz. Selepas sah
syarikat tu jadi hak milik kita, terserahlah pada Iz nak buat apa.”
“Mama sedar tak tiga tahun lagi tau.
Mama nak suruh Iz berkepit dengan budak macam tu selama tiga tahun? Please lah,” marah Izhan.
“Iz Mama tahu, Iz tak berkenan kat dia. Tapi cuba
positif. Mungkin Iz boleh ubah dia jadi wanita macam yang Iz inginkan. Mama
boleh rasa, dia dah jatuh cinta dengan anak Mama yang hensem ini. Tolonglah Iz,
Mama bukan buat untuk diri Mama sahaja. Tapi ini legasi keluarga kita.”
“Okey,” Izhan sekadar menganggukkan
kepalanya.
“Satu lagi masalah, Farish dah ada
kat sini. Belajar satu kolej dengan Erica,” Izhan memberitahu Mamanya.
“Apa? Farish belajar kat sini? Dia
duduk kat mana?”
“Entahlah. Erica terjumpa dia di
cafe, tapi belum sempat nak tanya apa-apa sebab Farish pergi macam tu sahaja,”
terang Izhan.
Tengku Atylia mendiamkan diri.Namun
di benaknya tertanya-tanya dengan apa yang dikatakan oleh anaknya.
“Mama, Mama okey ke?” Tanya Izhan
bila dilihatnya Tengku Atylia sekadar mendiamkan diri setelah mendengar dengan
apa yang dikatakanya tadi.
“Okey. Tapi buat apa Farish datang
belajar kat kolej yang sama denga Erica? Iz tak fikir itu itu pelik ke?”
“Dah lah tu Mama. Tak ada apanya.
Mungkin Farish tak tahu pun yang Erica belajar kat situ.”
“Itulah Iz, selalu pandang ringan.
Mama tak rasa yang ini semua kebetulan.
Ini semua kerja si Amylia tu. Nanti dia,” Tengku Atylia mengambil
telefon bimbitnya.
“Mama nak buat apa tu? Nak telefon
Mama Lia?”
“Iyalah. Ini semua kerja dia. Dia
memang sengaja. Silap-silap dia yang nak dapatkan harta tu, memang dia dah
pakat dengan Farish. Dasar anak pungut,”
“Cukuplah tu Mama. Iz tak rasa Mama
Lia nak buat macam tu. Tak kan Mama tak kenal adik Mama tu macam mana, Mama Lia
tak pernah lah nak fikir pasal harta Nenda
tu.” Kata Izhan. Kata-kata yang menyebabkan Mamanya menjengilkan mata
kepadanya.
“Habis tu, maksud Iz Mamalah yang
hendak sangat harta arwah tu? Ini pasal harta lah Iz. Siapa yang tak nak?
Lagipun tak salah kalau Mama nak dapatkan kembali hak Mama.”
“Salah tu tak salah, tapi Mama
jangan nak salahkan Mama Lia pulak. Iz
tahulah Mama Lia tu macam mana. Dah lah jangan Mama nak telefon dan marah-marah
dia. Lagipun, Erica tu tak kan mahunya dengan budak Farish tu. Farish tu pun
sama jugak,” Izhan membela Amylia.
“Lelaki, lembut macam mana pun tetap
lelaki. Iz jangan lupa tu.”
“Itu lelaki lain, bukan si Farish
tu. Sudah lah Mama. Jangan fikir yang bukan-bukan lah.”
“Esok malam Iz ajak Rica makan malam
kat rumah kita.”
“Buat apa?” soal Izhan.
“Rancangan kedua. Kali ini Mama kena
masuk campur.”
“Sudahlah tu Mama. Malaslah Iz. Mama
kalau nak, Mama telefon dia sendiri. Iz nak masuk, nak mandi ni. Mama ada
nombor telefon Erica kan? Telefon sendiri.” Izhan kemudiannya bangun dan menuju
ke biliknya.
“Iz, Mama tak habis cakap lagi ni,”
panggil Tengku Atylia. Malangnya Izhan langsung tidak menyahut malah langkahnya
semakin laju. Tengku Atylia mencebikan mulutnya, geram dengan tingkah anaknya.
Selesai mandi Izhan merebahkan
badannya ke katil. Kalau tidak ketika ini pasti dia sedang bergembira dengan
salah seorang dari kolesi teman wanitanya. Namun buat masa sekarang semuanya
terpaksa dilupakan. Tumpuannya adalah untuk mendapatkan Erica Soffea. Kemudian
barulah dia akan berjaya memperolehi Khaleeda Holdings.
Sesekali Izhan mengeluh, alangkah
baiknya kalau Erica Soffea setanding dengan teman-teman wanitanya yang elegen
dan pandai bergaya. Tidak dinafikan Erica Soffea memang pandai bergaya, tetapi
gayanya adalah gaya remaja, gaya budak-budak.
“Macam mana aku nak buat ni. Kalau
lah member aku tahu aku main cinta dengan budak macam tu, ish, malu aku,”
rungut Izhan sendirian. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Memikirkan
bagaimana caranya untuk mengubah Erica Soffea agar kelihatan lebih menarik dan
menawan, bukan kebudak-budakkan.