Sudah
dua hari Erica melancarkan mogok tidak bercakap dengan Zahid. Dia geram bila
Zahid lebih banyak menyebelahi Farish berbanding dengan dirinya.
“Tak habis lagi?” tanya Zahid
kepada Erica sejurus dia sampai ke meja makan. Dilihatnya Erica keseorangan sedang
menyapu jem di atas sekeping roti.
“Minum jus oren je ke? Mana
kopi ke teh ke?” tegur Zahid lagi. Erica seperti patung terus mendiamkan diri.
Zahid mengelengkan kepalanya. Dua-dua wanita di dalam rumah ini marah
kepadanya. Erica marahkannya kerana Farish. Dan Shirin marahkannya kerana dia
sentiasa menyebelahi Erica. Zahid duduk di tengah-tengah. Sebelah kanan Erica
sebelah kiri Shirin.
“Rica, Rica marahkan Papa
lagi?”
Erica tidak menjawab
sebaliknya dia terus mengunyah roti yang ada di tangannya.
“Saya nak pergi kerja dah
ni,” kedengaran suara Shirin di ruang tamu.
“Nak pergi dah ke? Habis tu
siapa nak bancuhkan kopi untuk abang. Abang nak makan pagi ni Shirin. Buat kopi
untuk abang dulu,” kata Zahid kepada Shirin.
“Suruh saya pulak, suruhlah
puteri kesayangan abang tu buat. Kenapa nak suruh saya pulak? Ingat saya orang
gaji kat rumah ni? Cukuplah selama ini saya jadi babu dalam rumah. Sekarang ni
undang-undang baru. Siapa nak makan dia buat sendiri. Kalau malas, makan di
kedai. Tak pun abang buatkan kopi untuk anak abang. Dia kan anak raja,” perli Shirin.
“Apa yang Shirin merepek
pagi-pagi ni?”
“Kau kan bini dia, kau lah
buatkan kopi untuk dia, pasal aku pulak nak kena buat?” Erica menyampuk. Sudah
dua malam dia tidak boleh tidur kerana papanya bertengkar dengan Shirin. Erica
tahu sudah dua malam juga papanya menjadi penunggu di bilik tamu. Erica
kemudiannya bangun dan mencapai beg galasnya, Dia menolak kerusi dengan kuat.
“Rica,” panggil Zahid dengan
kuat.
“Rica pergi dengan Fatin. Tak
payah hantar,” kata Erica. Dia melangkah dengan laju, sampai sahaja di ruang
tamu dengan sengaja dia melanggar Shirin. Terduduk Shirin.
“Kurang ajar betul budak ni.
Mak kau ajar mcam ni ke?” Marah Shirin.
“Kau jangan nak babitkan mak
aku.” Balas Erica.
“Erica kau ni langsung tak
pandai hormat orang. Kurang ajar.”
“Siapa kau aku nak hormat?
Aku akan hormat kalau dia tu tahu nak nak hormati orang. Kau tu laki sendiri
kau tak hormat, lepas tu kau nak suruh aku hormatkan kau? Boleh blah lah,” kata
Erica.
“Cukup-cukuplah tu. Kau orang
berdua ni kenapa? Arg! Malas aku nak melayan karenah kau orang ni. Buat sakit
kepala. Gasaklah nak jadi apa. Malas aku nak layan. Duduk dalam ni macam
neraka. Rumah ku syurga ku konon,” Zahid sudah tidak dapat menahan marahnya.
Entah macam mana dia boleh sampai ke ruang tamu itu. Dia kemudiannya mengambil
ukiran kayu yang selama ini terletak cantik di atas rak kasut di luar. Ukiran
yang ditulis ‘rumah ku syurga ku’ diambil dan di balingnya.
“Papa, ini arwah Mama yang
beli. Sampai hati Papa,” kata Erica. Diluar pagar rumahnya kelihatan kereta
MyVi milik Fatin sudah tiba. Erica mengambil kepingan kayu yang dibaling Zahid
dan diletakkan kembali ke tempat asalnya. Shirin hanya melihat sikap kasar
Zahid. Sebelum ini Zahid tidak pernah bersikap demikian.
Zahid melihat Erica sedah
pergi meninggalkan rumah, tinggal Shirin dan dirinya sahaja.
“Dah puas dah hati kau
sekarang?” tanya Zahid kepada isterinya. Kemudian dia turut meninggalkan Shirin
di pintu hadapan.
“Kau ni kenapa Rica?” soal Fatin.
Erica sedang menyapu air matanya.
“Sakit hati,” jawab Erica.
“Kau gaduh lagi dengan mak
tiri kau?” Fatin menyoal lagi.
“Kali ini dengan Papa aku
sekali. Aku dah tak tahan duduk dalam rumah tu. Tiap-tiap malam Papa dengan Shirin
tu bergaduh.”
“Habis tu yang gaduh dengan
Papa kau pulak kenapa?”
Erica terdiam. Dia tidak
boleh menceritakan kenapa dia bergaduh dengan Papanya. Semuanya berpunca dari
Farish, bencinya kepada Farish semakin mendalam.
“Sudahlah tu, pagi-pagi lagi
kau ni dah bad mood. Petang ni tak
jumpa dengan Izhan ke?” tanya Fatin.
“Entahlah. Dia tu pun satu
tau. Macam chipsmore. Kejap ada kejap tak ada,” rungut Erica.
“Aku nak tanya sikit, kau ni
sah-sah bercinta dengan dia ke atau apa?”
“Tak ada lah, dia kan sepupu
aku je lah.”
“Tapi kau sukakan dia kan?
Elleeh, nak cover line lah tu,” usik Fatin.
“Tak ada maknanya. Kau ni
sebut-sebut nama dia, rindulah pulak,” Kemelut di jiwanya sebentar tadi hilang
setelah nama Izhan muncul dibibirnya. Rasa rindu membuak-buak di dadanya,
“Gatalnya perempuan ni.
Menyampahlah. Tadi marah-marah je, sekarang mengedik lah pulak,” Fatin
kemudiannya mencubit Erica yang sedang beraksi manja.
Suasana di kampus agak sunyi,
maklumlah pagi yang suram ini tidak ramai yang sudi menjejakkan kaki, mungkin
mereka masih lagi diulit mimpi. Tapi tidak bagi Farish, awal-awal lagi dia
sudah sampai ke kampus. Sejak dari malam tadi dia tidak dapat melelapkan
matanya. Apa yang dikatakan oleh Zahid masih terngiang-ngiang di telinganya.
Lembut sangat ke dia? Soalnya di dalam hati. Dia membandingkan dirinya dengan
Shua, teman yang baru dikenalinya. Ternyata antara dia dengan Shua ada bezanya,
pada pandangan Farish. Dia mengakui dia memang agak lembut jika hendak
dibandingkan dengan maskulin-maskulin yang ada di kampus ini. Tetapi itu tidak
bermakna dia pondan. Dia masih lagi seorang lelaki, cuma dia lembut. Farish
mengeluh, singkat sungguh pemikiran masyarakat disekelilingnya. Di saat ini dia
rindukan Mama Lia yang sentiasa ada di saat dia kegelisahan sebegini.
“Wei, Farish. Apa hal kau ni
awal-awal lagi dah termenung,” sergah Dhia Adirra.
“Kau ni, terkejut aku tau.
Nasib baik tak pengsan. Lain kali bagilah salam, jangan main-main terjah macam
ni,” marah Farish sambil memukul bahu Dhia Adirra dengan perlahan.
“Sorry. Shua tak datang tau
hari ni,” Dhia Adirra memberitahu.
“Kenapa?” tanya Farish.
“Entah, sengugut kot,” jawab Dhia
Adirra.
“Kau ni tak baik tau Dira.
Kau ingat dia tu sama spesis dengan kau ke, nak kena sengugut?”
“Eh, tak sama ke?” tanya Dhia
Adirra, buat-buat faham.
“Banyaklah kau punya sama.
Hey, assingment hari tu macam mana?
Kau nak ambil rujukan dari mana?” soal Farish, walaupun hatinya gundah dengan
apa yang dikatakan oleh Zahid dan Erica namun masih tidak menganggu
penumpuannya.
“Emm, tak fikir lagi lah, kau
macam mana?” Dhia Adirra sebaliknya bertanya pula kepada Farish.
“Dua kali lima macam kau
jugak,” jawab Farish bersahaja.
“Alamak, perempuan-perempuan
ni lagi,” rungut Dhia Adirra. Farish memalingkan mukanya. Kelihatan jelas di
matanya, Erica dan teman-temannya datang ke arah mereka.
“Patutlah bau hanyir kat
sini, ada sotong rupanya,” kata Fatin sambil mencebikkan bibirnya. Erica
sekadar mendiamkan diri.
“La, Farish kau dengar suara
tak? Rasa macam pernah aku dengar suara tu, tapi kat mana ek?” Dhia Adirra
membalas.
“Kat mana lagi, suara macam
tu banyak ada kat dalam longkang, suara katak pisang tu kalau kau nak tahu,”
Farish menjawab. Erica terkejut mendengar apa yang dikatakan oleh Farish.
Nampaknya Farish memang hendak mencari pasal dengannya. Bisik Erica di dalam hati.
“La, sotong ada suara
rupanya, ingatkan sotong bisu. Fatin kau suka tak makan sotong bakar?” Erica
bersuara untuk menyakitkan hati Farish.
“Aku tak makan lah sotong
bakar, busuk, nak-nak kalau sotong dua kaki. Ish, gelilah,” kata Fatin. Farish
mengetap bibirnya.
“Kalau dah geli, apa yang
terpacak lagi kat sini, blah lah,” Farish berkata lagi, marahnya pada Erica
sejak malam tadi masih ada.
“Apa kau ingat tempat ni kau
ada saham ke? Ikut suka akulah. Nak terpacak ke, nak terduduk ke, kau apa hal?”
Erica mula bersuara dengan kuat.
“Aku bukan apa, tengok
perempuan berlagak diva ni macam kau ni rasa macam nak termuntah. Rupa tak lah
lawa mana, kalau letak kau sebelah monyet pakai skrit pun, belum tentu kau
laku,” sindir Farish. Dhia Adirra ketawa terbahak-bahak sambil menepuk tangan.
Erica bengang, dia berlalu
pergi meninggalkan Farish dan temannya. Dia sengaja pergi dari situ bukan sebab
takut tapi dia bimbang jika dia tidak boleh mengawal emosinya bimbang jika
pertengkaraan itu berlarutan dan bakal membocorkan rahsianya.
“Kenapa kau tak lawan je
tadi?” soal Fatin setelah mereka berdua sampai ke bilik kuliah S.
“Malas aku nak lawan. Buat
habis air liur aku sahaja. Yang kau pula kenapa senyap je?”
“Aku bukan apa, aku tengok kau dah macam naik
hantu je, mana aku nak tahu kau nak blah macam tu,” jawab Fatin.
“Aku bukan mengalah, tapi aku
nak susun starategi. Aku akan kenakan juga si sotong tu.”
“Patutnya aku yang
marah-marah tapi ini kau pulak yang macam berdendam dengan dia. Kenapa ek?”
soal Fatin kehairanan.
“Aku nak tolong kau. Aku tahu kau marahkan dia. Lagipun kitakan kawan
baik. Cubit peha kanan, peha kiri pun terasa juga,” dalih Erica. Yang pasti dia
perlu menyusun starategi untuk mengenakan Farish kembali. Dia tidak akan
membiarkan Farish menang. Tidak sekali-kali.