Home Novel Komedi/Romantik Komedi Mr.London Ms.Langkawi
Mr.London Ms.Langkawi
13/1/2015 08:45:41
128,878
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 3

“Hoi! Hang buat apa tu? Turun!” Liyana menjerit dari atas motornya. Dengan kasar dia menolak tongkat motor untuk menampung kedudukan motosikalnya. Lantas dia mampir ke hadapan, mendekati pelantar yang menganjur ke kolam ikan kelinya.

Usin Jingga yang terkejut disergah secara tiba-tiba, hampir sahaja hilang imbangan diri. Nasib baik tak jatuh ke dalam kolam. Kalau tidak, sia-sia sahaja bau ikan keli.

“Nana! Oh, Nana. Datang juga hang. Oh, Nana.” Usin Jingga mula meroyan angau tatkala terpandang gadis pujaan hatinya.

Liyana terus mencekak pinggang, garang. Kalau berkuasa, mahu sahaja Usin Jingga itu ditelannya bulat-bulat buat buka puasa. Petang-petang macam ini, mahu membuat onar pula dia.

“Hang jangan nak menyemak kat sini.Pi balik!” perintah Liyana, tegas.

“Nana ,awat hang tolak pinangan aku? Sampai hati hang Nana,” lirih suara Usin Jingga. Lagaknya bagaikan orang yang sedang kecewa teramat sangat.

Liyana tayang muka bosan. Matanya dijulingkan ke atas seketika.

“Nana, aku cinta padamu Nana,” ucap Usin Jingga lagi. Bersungguh-sungguh.

Liyana sudah rasa hendak termuntah. Sabar Liyana, sabar. Karang muntah betul-betul, sia-sia sahaja puasa hari ini. Ijam dan beberapa orang lain yang turut berada di situ sudah terkekeh-kekeh ketawa.

“Aku tak mau kat hang. Dah... pi balik!” jerkah Liyana. Jari telunjuknya menunjuk ke satu arah, tanda dia mahu Usin Jingga beredar dari kolam ikan kelinya.

“Sampai hati hang tolak cinta aku Nana. Aku ikhlas sukakan hang. Cinta aku suci Nana. Hanya untuk hang,” luah Usin Jingga lagi, penuh dengan ayat-ayat cinta.

“Usin, sebelum puasa aku ni terbatal gara-gara ayat muntah darah hang tu, lebih baik hang blah!” Liyana mengeluarkan amaran keras.

Usin Jingga tayang muka sayu. Sedih kerana luahan cintanya ditolak mentah-mentah oleh Liyana. “Nana, hang tak kesian kat aku ka?”

“Sikit pun tak!” Laju Liyana menjawab.

“Sikit pun?”

“Tak!”

Tertunduk ke bawah wajah Usin Jingga. Begitu juga dengan kedua-dua belah tangannya. Terkulai layu. Lemah seluruh sendi dan sarafnya dirasakan kerana penolakan Liyana. Hampa terasa. Tapi… dia adalah Usin Jingga! Usin Jingga tidak akan mengalah dengan mudah. “Nana…”

Hang ni tak faham bahasa ke? Aku cakap Melayu ni. Hang nak aku cakap Urdu baru nak faham ke? Atau hang nak aku cakap pakai selipar?” sembur Liyana lagi.

“Aku tak kira Nana. Aku nak kat hang jugak. Kalau hang tak mau terima aku, aku terjun dalam kolam ni.” Usin Jingga cuba mengugut. Marah Liyana tidak dipedulikan langsung. Apa nak jadi, jadilah.

Mata Liyana makin membulat mendengar kata-kata Usin Jingga. Kepala Liyana mula memikirkan sesuatu. Nampaknya kena buat psikologi terbalik ni. Siaplah kau Usin Jingga.

“Err… Usin. Janganlah macam tu Usin. Janganlah terjun dalam kolam tu.” Suara Liyana tiba-tiba mengendur. Manja sahaja bunyinya. Macam merayu.

Ijam yang sedari tadi berdiri di belakang Liyana terus tertelan liur. Kalau tadi dia asyik terkekeh ketawa, kali ini terdiam terus. ‘Hisy! Apa dah jadi dengan Nana ni? Takkan pasal Usin ugut nak terjun kolam, terus lembik hati.’ Kekeliruan menerpa benaknya.

Usin Jingga pula sudah tersengih. Dia semakin yakin yang Liyana juga menyukai dirinya. Buktinya sudah ada di depan mata. Liyana risau bila dia kata dia mahu terjun ke dalam kolam.Yes! Hatinya disapa girang yang tidak terhingga.

Perlahan-lahan Liyana merapati Usin Jingga yang masih berdiri di pelantar kolam. Makin dekat Liyana, makin lebar sengihan Usin Jingga. Gembira menyambut kedatangan pujaan hati.

“Woi! Nana,” panggil Ijam kalut.

“Shyy!” kata Liyana. Dia meneruskan langkahnya.

“Woi! Hang gila ka?” kata Ijam lagi cuba menahan Liyana dari mendekati Usin Jingga.

Liyana tidak mempedulikan kata-kata Ijam. Dia terus berjalan dan berjalan. Dia tahu apa nak dilakukannya.

“Usin…” leret panggilan daripada Liyana. Dah macam suara Hantu Kak Limah pun ada jugak.

“Ya sayang.” Usin Jingga terus naik miang.

“Usin jangan terjun ya.”

“Sayang jugak hang kat aku noo.” Hati Usin Jingga semakin mengembang.

Liyana tidak menghiraukan kata-kata Usin Jingga. Dia akhirnya berhenti betul-betul di hadapan lelaki itu. “Usin, Usin jangan terjun ya.” Lunak suara Liyana memujuk.

Usin Jingga terpaling ke belakang seketika sambil menggenggam kuat kedua-dua belah tangannya.Yes! “Kalau Usin terjun jugak?” Dia cuba menduga Liyana.

Liyana menarik nafas dalam. “Kalau Usin terjun jugak…” Dia berjeda seketika.

“Mati semua ikan aku, hang nak tanggung rugi akuka?” Suara Liyana tiba-tiba kembali meninggi. Serentak dengan itu, tubuh Usin Jingga dipukul bertalu-talu oleh Liyana. Entah bila masanya dia mencapai selipar yang dipakai. Tahu-tahu sahaja sudah menjadi habuan tubuh Usin Jingga.

Kelam-kabut Usin Jingga menepis serangan tiba-tiba daripada Liyana. Bagai tak cukup tangan dibuatnya kerana hendak mengelakkan pukulan bertubi-tubi itu. Ganas betul perempuan ni!

Orang-orang kampung yang tadinya terkebil-kebil melihat kini sudah ketawa terbahak-bahak melihat gelagat Usin Jingga. Satu kampung kenal dengan angin Liyana tapi Usin Jingga tetap juga hendak mencari pasal. Memang sengaja cari nahaslah jawabnya. Dan kini rasakan akibatnya.

“Hoi! Tak guna punya budak. Suka-suka hati hang nak pukul anak aku ya.”

Sergahan satu suara terus merenjatkan aksi antara Liyana dan Usin Jingga. Kedua-duanya berpaling ke arah datangnya suara.

Makcik Siah Speaker, muncul dicelah-celah mereka yang menonton. Wajahnya kelihatan menyinga. Di tangannya tergenggam sebatang penyapu lidi. Agaknya tadi dia tengah menyapu laman barangkali.

Mak Cik Siah Speaker melangkah pantas ke arah mereka. Liyana menelan liur. ‘Habis aku!’

“Ooo… sedap-sedap aje hang nak bantai anak aku hah! Siap hang aku kerjakan!” Bukan main marah lagi Mak Cik Siah Speaker.

Liyana sudah bersedia. Mak Cik Siah Speaker sudah mengangkat tinggi penyapu lidi yang dipegangnya. Mahu memukul Liyana. Dan Liyana, pastinya tidak menunggu kaku. Pantas sahaja dia menyembunyikan dirinya di belakang Usin Jingga. Lelaki itu dijadikan perisainya.

“Adoi!” jerit Usin Jingga apabila penyapu lidi itu singgah di lengannya.

Usin Jingga menggosok laju lengannya yang pedih. Tetapi dia tidak melayan kesakitan itu. Dia mahu bertindak sebagai hero kepada pujaan hatinya. “Mak, janganlah pukul Nana,” halangnya.

Hang diam. Hang tepi. Biar aku ajar budak perempuan ni.” Kemarahan Mak Cik Siah Speaker meluap-luap. Geram sungguh bila melihat anaknya diperlakukan sedemikian rupa oleh Liyana.

“Apasal Mak Cik Siah nak pukul Nana pulak? Bukan salah Nana pun.” Sempat lagi Liyana menjawab. Usin Jingga tetap dijadikan perisainya. Hatinya tetap bimbang. Di mukim ini siapa tidak kenal Mak Cik Siah Speaker. Bila mengamuk, silap-silap mahu huru-hara tanah Langkawi ini.

“Menjawab, menjawab. Tu ajelah hang pandai,” jerkah Mak Cik Siah Speaker.

Ijam yang hanya menjadi pemerhati sejak tadi, semakin laju menelan liur. ‘Tak boleh jadi ni. Nampak macam nak parah saja,’ desis hatinya.

Tanpa bertangguh, Ijam terus melompat ke atas motosikalnya. Enjin dihidupkan pantas. Sekali lagi, dia merempit ke rumah Haji Salleh.

Sementara itu, Liyana masih terus bertegang leher dengan Mak Cik Siah Speaker. “Benda lain pun Nana pandailah Mak Cik Siah. Bukti paling dekat dengan Mak Cik Siah, kolam ikan keli ni.” Liyana memang tidak kalah dalam bab menjawab.

“Shyy… mak aku tengah marah tu. Hang jangan dok bakar hati dia lagi,” tegah Usin Jingga.

“Dah mak hang kutuk aku. Takkan aku nak biar aje. Aku jawablah balik,” jawab Liyana.

Mak Cik Siah Speaker mendengus keras. “Loyar buruk punya budak. Jaga hang dengan aku!” jeritnya, geram dengan mulut murai Liyana. Sekali lagi penyapu lidi diangkat tinggi. Bersedia untuk melibas Liyana.

Kali ini Liyana tidak menunggu lagi. Laju sahaja dia berlari menyelamatkan diri. Mencicit dia berlari bagaikan lipas kudung. Mak Cik Siah Speaker, walaupun agak gempal tetap tidak mahu ketinggalan menyertai larian pecut Liyana.

Puas mereka berkejaran di sekitar kawasan kolam ikan keli itu. Liyana berlari pecut. Mak Cik Siah Speaker terkedek-kedek di belakang. Usin Jingga pula turut sama mengejar. Aksi mereka menjadi tontonan percuma penduduk kampung petang ini. Ada yang ketawa berdekah-dekah, tak kurang juga yang berbisik-bisik sesama sendiri. Mengutuklah tu!

“Astaghfirullah al azim,” ucap Haji Salleh sebaik sampai di tempat kejadian. Kelam-kabut dia turun dari motosikal yang ditunggang oleh Ijam. Perasaan kecut perutnya akibat membonceng motosikal Ijam tidak dipedulikan lagi.

“Apalah nak jadi dengan mereka tu Tok Leh.” Ijam membakar lagi perasaan Haji Salleh. Kepalanya digeleng-gelengkan seolah susah hati yang teramat. Kaki cucuk betul!

“Nana!”

Liyana yang sibuk menangkis serangan dan soal jawab Mak Cik Siah Speaker terdiam apabila namanya dipanggil. Macam kenal rasanya suara yang memanggil itu.

Liyana, Mak Cik Siah Speaker dan Usin Jingga serentak berpaling ke arah datangnya suara.

Tu dia. Haji Salleh sudah bercekak pinggang mengalahkan pendekar masuk gelanggang. Matanya tajam merenung mereka bertiga. Ijam pula turut sama bercekak pinggang di belakang Haji Salleh. Macam pengawal pengiring lagaknya.

“Hah! Elok pun hang mai Salleh. Cucu hang ni melampau sungguh. Kurang ajar,” sembur Mak Cik Siah Speaker kepada Haji Salleh pula.

“Mana ada tok wan. Nana tak buat apa pun. Usin ni yang saja cari pasal,” tingkah Liyana membela diri. Dia berjalan menghampiri tok wannya.

“Hang jangan nak buat dalih. Semua mata yang ada kat sini nampak, hang pukul anak aku ni.” Mak Cik Siah menyinga lagi.

Haji Salleh memandang Liyana. “Betul apa Mak Cik Siah cakap tu?” soalnya serius.

“Usin tu yang cari pasal. Kan Ijam, kan?” Liyana cuba mendapatkan sokongan daripada rakannya.

Ijam laju mengangguk. “Ha’ah. Usin yang...”

Belum sempat habis berkata, Haji Salleh terlebih dahulu bersuara. “Jangan nak babitkan orang lain pulak. Tok wan tanya Nana. Ijam, hang tutup mulut.”

Ijam pantas mengangkat kedua-dua tangannya tanda mengundurkan diri. Kata-kata Haji Sallah bukan boleh dibangkang. Karang orang tua tu buka silat, dia yang teraniaya. Namun, bibirnya sempat bergerak, menyatakan ‘sorry’ kepada Liyana kerana tidak dapat membantu.

“Betul ke tidak Nana pukul Usin?” Haji Salleh bertanya lagi kepada Liyana. Kali ini nadanya lebih keras.

“Dah Nana cakap baik-baik dia tak mau dengar. Nana cakaplah pakai selipar pulak.” Selamba Liyana menjawab. Tiada rasa bersalah langsung. Kata-kata Liyana itu disambut dengan gelak ketawa orang kampung yang melihat.

Mak Cik Siah Speaker semakin bengang. “Selipar hang tu darjat tinggi mana sampai hang nak letak kat badan anak aku?” tengkingnya lagi.

Haji Salleh mengeluh. “Awat Nana buat macam tu? Tak baik tau buat orang macam tu,” tegurnya.

Mak Cik Siah Speaker mencebik tatkala mendengar teguran Haji Salleh terhadap cucunya yang disifatkan terlalu lembut.

Hang ajar sikit cucu hang tu Leh. Jangan nak melampau sangat. Kalau hang tak boleh ajaq, biar aku yang ajaq.” Mak Cik Siah masih belum puas hati. Lengan baju Kedahnya makin disingsing tinggi.

“Cuba bawa bersabar sikit Siah oiii... Kita yang tua ni patut nasihatkan budak-budak ni. Ini tidak, hang pun sama naik dengan depa,” tegur Iman Yusof. Dia yang dalam perjalanan ke masjid, singgah ke situ apabila terdengar suasana kecoh itu.

Mak Cik Siah Speaker mendengus keras. Tidak puas hati kerana dia pula yang ditegur Iman Yusof. Mulutnya ringan mahu menjawab tetapi ada rasa sipu yang bertandang. Sudahnya dia mendiamkan diri walaupun wajahnya jelas menunjukkan tidak puas hati.

“Sudahlah tu. Dah dekat waktu berbuka ni. Eloklah kita bersurai. Aku minta maaf bagi pihak cucu aku. Insya-ALLAH... aku akan nasihatkan dia. Usin pun, Tok Leh minta tak payahlah kacau-kacau Nana lagi. Nampak sangat hangpa dua tak serasi.” Dalam lembut, tajam ucapan Haji Salleh.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.