NIAT Ameena mahu mengelak gagal bila nama diseru cukup lantang. Cukup untuk menggamit seluruh warga penduduk di situ.
“Minah!”
Ameena tak suka nama dia diubah-ubah.
“Sinilah.”
Sudahlah nama disebut carca-marba. Berani-berani si empunya suara memanggil dia pula?
“Jom kita main.”
“Aku tak nak.” Segera Ameena menolak. Permainan mereka tak seronok. Tak kena dengan jiwa dia.
“Alaaa…Jomlah, tak bestlah kalau tak cukup orang.”
Ameena mula mengira bilangan bayang-bayang tidak jauh dari sini. Apa yang tak cukupnya? Ada lima orang semuanya. Tiga lelaki dan dua orang perempuan. Lebih dari cukup. Apa mereka mahukan seramai padang bola? Mana mungkin!
“Aku nak pergi mengaji.” Ameena berdalih.
“Eh? Mak aku cakap, ustazah cuti sebulan sebab pergi umrah.”
Terkebil-kebil Ameena. Dia tak berniat nak bohong. Memang dia nak pergi mengaji. Mesti emak terlupa beritahu perihal cuti tersebut.
“Cepatlah Minah…Janji! Main sekejap je, lepas tu kita balik.”
“Marilah Minah…Sebelum hujan.” Satu lagi suara berbunyi. Menyokong kuat supaya Ameena setuju bermain bersama mereka.
Seminit berfikir, akhirnya dia akur.
“Kejap je. Lepas tu aku nak balik.” Bersama muncung sedepa, Ameena merapat. kalah dengan pujuk rayu mereka.
Apa lagi, bukan main gembira Hana dan Aina. Dari jauh boleh nampak senyuman lebar mereka. Menyerlahkan lagi deretan gigi putih bersihnya.
“Sini…Sini, Minah…Duduk sini.”
Semakin teruk cemberut Ameena apabila melihat dua kerusi dihias dengan bunga-bunga yang diikat dengan tali. Entah bunga mana yang dia orang kutip. Jangan mencuri dekat rumah jiran-jiran sudah. Mahu ada yang kena hambat nanti.
Di kiri dan kanan kerusi pula ada dua orang yang setia dengan payung. Sebelah kerusi telah pun bertuan. Hanya sebelah lagi kerusi yang masih kosong. Firasat Ameena mengatakan, dia bakal menjadi mangsa untuk digandingkan dengan si gendut itu.
“Kita nak main kahwin-kahwin.”
Bagi Ameena, main pondok-pondok jauh lebih baik daripada main kahwin-kahwin. Tak mencabar akal. Malah membosankan.
“Kau jadi pengantin perempuan.” Kata Hana.
Itukan. Firasat Ameena tidak salah. Lengan dia disambar lalu diheret duduk bersebelahan dengan si gendut yang tersipu-sipu malu. Sempat dia kerling si gendut duduk mengalahkan pengantin sebenar.
“Kita main-main je tau! Tangan jangan gatal nak sentuh-sentuh. Orang tak suka.” Awal-awal Ameena beri amaran bila nampak gendut angkat tangan kiri.
“Minah garang sangat. Kita kecil lagi. Baru tahap satu.” Adu si gendut dengan mimik muka sedih.
Pedulikan. Tak kiralah tahap satu ke, lima ke, sepuluh ke. Emak sudah pesan sejak lahir lagi, jangan pegang-pegang dengan orang lelaki. Dosa besar. Nanti masuk neraka. Ameena tak nak masuk neraka.
“Alaa..Minah, main-main je lah. Jangan serius sangat.” Aina datang bersama sekotak kecil berwarna hitam.
“Sini, aku mekapkan kau. Ni mak aku punya. Aku curi-curi ambil tadi.”
Belum sempat menolak, Hana sudah layangkan berus hitam ke pipi kecilnya. Tidak setakat pipi, kedua belah matanya juga sudah menjadi kertas lukisan. Habis diwarnanya.
“Siap!” Hana berpuas hati dengan hasil kerjanya.
“Eh, cepat-cepat…Duduk Gendut.” Aina menahan bila Si Gendut angkat punggung.
“Mak aku cakap tak baik panggil Gendut tau.” Dia duduk kembali dengan muka berkerut tak puas hati.
Bibir kecil Ameena terjuih. Hakikat yang sukar dihapuskan. Gendut itu sudah menjadi gelaran untuk budak lelaki yang baru berpindah ke sini minggu lepas. Saiz badan dan ketinggiannya jauh berbeza dengan kanak-kanak di sini. Memang patut pun mereka beri gelaran Si Gendut. Sudahlah pendek, gemuk pula.
“Wah, kau orang nampak sepadanlah.” Bukan main lagi mereka memuji.
“Cepat Hana…Nanti mak aku marah lama-lama dekat sini.” Ameena ingatkan lagi. Duduk dia pun tidak senang lagi. Sesekali mata melilau sekeliling.
Berbekalkan payung percuma jenama petronas, kiri dan kanan diapit pula dengan pengapit. Daun pisang dijadikan sebagai kipas. Tanjak dan mahkota buatan kertas elok terletak atas kepala masing-masing. Acara persanding secara sederhana berjalan lancar sekali. Majlis diselang seli dengan suara riuh mereka semua. Tersangatlah memalukan bagi Ameena.
Ikutkan hati, sekarang juga dia mahu pergi dari sini. Ada kerja yang sedang menunggu dia. Kerja-kerja rumah yang wajib dia lakukan jika tidak ke sekolah. Sudah menjadi tanggungjawab dia sebagai anak sulung kata emak.
“Nanti dulu, makan-makan belum siap lagi.”
Ameena doa-doa, emak tidak marah. Dia bukan sengaja. Dia cuma tak nak menghampakan rakan-rakannya. Mereka semua sahabat dia kecuali gendut.
“Nah, kek.”
Semua mata tertumpu sepenuhnya pada mangkuk putih sebesar telapak tangan yang diterbalikkan. Perlahan-lahan mangkuk tersebut diangkat. Dan inilah dia, kek buatan Hana dan Aina. Kek 100% buatan pasir. Rasa tanah. Pakej percuma seekor cacing merah tersembul keluar separuh badan.
“Aku nak balik.” Putus Ameena. Terlalu lama masa dibazirkan bersama mereka. Hati dia tak tenteram. Firasat dia kuat mengatakan ada perkara buruk bakal terjadi.
“Minah…Awal lagi. Aku belum puas kahwin dengan kau.” Si Gendut mula menunjuk sisi kesedihannya.
“Siapa nak kahwin dengan kau Gendut?” Tanya Ameena dengan muka merah-merah. Dia baru berumur enam tahun. Tapi gendut sudah bercerita hal-hal orang dewasa dengan dia.
“Dah besar, aku nak kahwin dengan kau. Aku sayangkan kau, Minah.”
Ameena marah besar. Kipas Aina tak mampu nak sejukkan hati dia lagi bila gendut sudah merepek.
“Aku nak kumpul duit banyak-banyak…Nak beli kereta besar, rumah besar, semua besar-besar untuk kita.”
Marah Ameena tidak tertahan lagi. Kaki dia mulakan melepaskan kemarahan. Kerusi gendut ditendang, lalu tubuh besar itu terlentang beralaskan kerusi. Suara erangan tidak dihiraukan. Hati dia puas dapat kejutkan gendut dari mimpi ngeri.
“Meen!”
Satu suara lantang buatkan Ameena menoleh. Berderau darah melihat susuk tubuh yang datang mendekat. Peluh renik mula tumbuh.
“Mak…” Suara Ameena bak angin lalu.
“Apa aku pesan tadi? Aku suruh jaga adik, jemur baju, lipat baju. Kau boleh main-main dekat sini?”
Bibir Ameena mengetap menahan sakit bila telinga dia dipiat tanpa belas. Tubuhnya diheret pergi dari situ. Sempat dia menjeling mereka semua yang memberi tatapan simpati. Lebih-lebih lagi gendut.
Ameena tidak menangis biarpun badan dia pula menjadi mangsa tamparan emak. Sesekali kepala dia ditunjal. Dia sudah biasa. Air mata hanya mengalir bila dia sendirian. Di dalam bilik. Akhirnya dia akan berdoa pada Tuhan supaya emak tidak marah-marah lagi. Dan dia berjanji akan patuh cakap emak selepas ini.