Home Novel Komedi/Romantik Komedi Sayang Awak, Mr. Bear
Sayang Awak, Mr. Bear
Rose Eliza
18/12/2013 21:15:38
32,320
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Senarai Bab
Bab 2

NUR EDLEEN melangkah jalan dengan penuh berani. Hari ini bermulalah tugasnya sebagai Eksekutif Akaun di Pelangi Holdings. Haji Marwan ada menawarkan dia bekerja di Indah Holdings, tetapi disebabkan keinginan untuk berdikari membuatkan dia menolak tawaran itu. Ada baiknya dia menimba pengalaman di tempat lain sebelum bersedia menguruskan Indah Holdings. Syarikat milik Haji Marwan.

“Ini bilik Cik Nur Edleen. Kalau ada apa-apa masalah, Cik Nur Edleen boleh berjumpa dengan saya,” beritahu Karmila merangkap setiausaha pengurus besar syarikat.

“Terima kasih, Cik Karmila. Panggil saya Leen sahaja. Mesti tergeliat lidah Cik Karmila nak sebut nama saya, kan?” kata Nur Edleen, tersenyum.

“Nama Cik Leen masih boleh saya terima lagi. Tapi, kalau nama bos besar, memang tergeliat habis lidah saya nak sebutnya,” balas Karmila turut sama tersenyum.

“Bos besar?” ulang Nur Edleen.

Karmila mengangguk. Langkah diatur menuju ke meja kerja Nur Edleen. Fail kewangan syarikat diletakkan di atas meja. Arahan pengurus besar meminta Nur Edleen mengkaji kewangan syarikat perlu dikhabarkan. Jika tidak, mahu bergegar Pelangi Holdings nanti.

“Siapa nama bos besar?” tanya Nur Edleen sekadar ingin tahu.

Dilabuhkan duduk sambil melilaukan mata melihat keadaan bilik itu. Cantik dan teratur. Pandai orang yang mereka bilik ini, puji Nur Edleen dalam hati.

“Encik Edzuary Safuan Bin Erizal Hanif. Tergeliat lidah saya ni Cik Leen.”

Nur Edleen ketawa kecil. Ada benarnya kata-kata Karmila. Memang tergeliat lidah menyebut nama bos besarnya itu.

“Petang nanti dalam pukul tiga, Cik Leen ada meeting dengan bos besar tentang pengurusan syarikat. Satu pesanan daripada saya, Cik Leen jangan lewat. Bos besar tak suka stafnya lambat dan tidak menepati masa,” beritahu Karmila dan menapak keluar dari bilik itu.

“Baiklah, Cik Karmila. Patik yang menurut perintah,” balas Nur Edleen ketawa kecil.

Karmila turut sama ketawa. Senyuman dilemparkan kepada Nur Edleen. Senang hatinya berkenalan dengan Nur Edleen. Ternyata, Nur Edleen bukan seorang yang sombong. Tidak seperti Pengurus Pemasaran mereka. Berlagak sombong dan menganggap dirinya cantik di syarikat itu. Semoga Nur Edleen bertahan lama bekerja di bawah pengurusan Encik Edzuary.

Nur Edleen menarik nafas lega. Senyuman menghiasi bibir. Rasa teruja melihat biliknya sendiri. Tidak menyangka jawatan yang dipegang melayakkan dia memiliki bilik pejabat sendiri. Itulah yang menjadi idamannya selama ini. Walaupun dia boleh mendapatkannya dengan bekerja di Indah Holdings, biarlah ia datang dengan usahanya sendiri. Kini, sudah terbukti bahawa dia layak memiliki semua itu.

Deringan telefon bimbit menyentakkan Nur Edleen. Digagau beg tangan mencari telefon bimbit. Setelah berjumpa, dilekapkan ke telinga sebaik sahaja butang hijau ditekan. Menanti sapaan dari hujung talian.

Of coursela, dapat bilik sendiri. Gempak!” beritahu Nur Edleen, teruja.

“Serius? Aku tak percayalah!” bidas Ezzura.

“Betullah! Kalau kau tak percaya, kau datanglah ke sini.”

“Hurm, okey. Nanti-nantilahaku ke sana. Kau dah jumpa dengan bos kau ke, Leen?”

“Belum lagilah Zura. Petang nanti ada meeting pengurusan, baru aku jumpa dengan dia. Yang kau sibuk tanya pasal bos aku tu, kenapa?”

“Eh, tak salahkan aku ambil tahu tentang kau.”

“Ya, tak salah kalau ambil tahu tentang aku. Tapi, yang menjadi salahnya kau ambil tahu tentang bos aku. Itu yang aku curiga sangat-sangat ni,” bidas Nur Edleen, serius.

“Nanti kau inform aku tau,” balas Ezzura ketawa kecil.

Informapa?” tanya Nur Edleen, pura-pura.

“Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula.”

Nur Edleen ketawa mendengarnya. Ezzura tidak akan puas selagi tidak diberi jawapan yang tepat. Dia kenal benar dengan kawan baiknya itu. Sudah bertahun mereka berdua berkawan. Segala masalah dikongsi bersama. Malah, Ezzura merupakan anak angkat ummi dan abahnya.

“Kau nak lunchdengan aku, tak?” tanya Ezzura sekadar mencuba.

Lunch?” ulang Nur Edleen, berkerut.

“Yalah! Lunch dengan aku.”

“Kau dah buang tabiat ke, Zura? Bukan ke jarak office kau dengan aku jauh. Mana sempat nak lunchsama ngan kau?”

“Apasal pulak buang tabiatnya? Kau ingat, jauh sangat ke office kita ni,” bidas Ezzura.

Nur Edleen menggaru kepalanya yang bertudung. Dia bingkas bangun dari duduk dan menghampiri jendela. Dapat dilihat bangunan pencakar langit menghiasi Kuala Lumpur. Indah dari pandangan mata. Rasa teruja turut menumpang di hati.

“Sebab jauhlah aku cakap macam tu. Apasal kau ni bengap sangat.”

“Kau tu yang bengap. Kalau dah satu office, mestilah tak jauh,” balas Ezzura, mendengus geram. Tangannya sudah memulas tombol pintu bilik Nur Edleen.

“Eh… lupa pulak yang kita ni satu office,” usik Nur Edleen tatkala wajah Ezzura menyapa mata. Ketawa kecil terlepas daripada bibir.

Ezzura mencebik. Dia menapak masuk ke dalam bilik dan melabuhkan duduk di kerusi.

Sorry beb, aku terlebih makan semut dalam gula, itu yang aku terlupa,” gurau Nur Edleen. Dilabuhkan duduk di kerusi dan menatap wajah Ezzura.

“Banyaklah kau punya semut. Wah! Cantik betul bilik kau ni. Mengalahkan jawatan CEO lagaknya,” puji Ezzura, tersenyum.

Well! Jawatan aku kan lebih besar daripada kau. Sebab itulah aku boleh dapat bilik sebesar dan secantik macam ni,” bangga Nur Edleen.

“Tekan lift naik sendirilah beb. Eh, jomlah kita lunch. Perut aku dah menyanyi lagu ‘Babe’ KRU ni,” ajak Ezzura dan bangun.

“Kau ni merepek ajelah. Kan pagi lagi. Takkan dah nak lunch kut?” tukas Nur Edleen turut sama bangun.

Ezzura menepuk dahi. Bila datang bengap Nur Edleen, beginilah jadinya. Matanya mengisyaratkan ke arah jam di dinding. Nur Edleen yang melihat, segera melorotkan mata ke arah tersebut. Buntang matanya melihat jarum jam yang sudah pun menginjak ke angka satu petang. Barulah dia sedar, terlalu lama masa yang diambil oleh Karmila untuk menerangkan padanya selok-belok tentang Indah Holdings.

“Apa lagi, jomlah. Pukul tiga kau ada meeting,kan?” ajak Ezzura tatkala Nur Edleen tidak berganjak dari tempat berdirinya itu.

Yes boss!” sahut Nur Edleen sambil memberi tabik hormat.

Ketawa kecil Ezzura melihatnya. Nur Edleen memang pandai bergurau. Kalau sehari tidak bergurau, tidak sah jadinya. Tidak lengkap dalam hidup Nur Edleen jika tidak bergurau. Tapi, sampai bila Nur Edleen akan bersikap sebegitu? Adakah Nur Edleen akan mengingati kisah hidupnya yang lalu?



“KAU nak makan apa?” tanya Ezzura setibanya di restoran yang menyajikan masakan melayu.

“Kambing golek ada tak?” tanya Nur Edleen.

Ezzura berkerut dahi. Kambing golek? Biar betul minah ni. Buang tabiat apa cari kambing golek kat restoren, bebel Ezzura dalam hati.

“Ada tak?” tanya Nur Edleen lagi.

“Kau ni buang tabiat ke Leen. Manalah ada kambing golek kat sini,” geram Ezzura.

“Erk, tak ada ya,” ulang Nur Edleen sambil menggaru kepalanya yang bertudung.

“Kalau macam tu, aku nak makan laksa sajalah. Nampak sedap laksa tu aku tengok. Tinggal satu saja lagi tu. Baik aku pergi sambar laksa tu dulu. Takut orang lain sambarnya pula,” sambung Nur Edleen dan menapak menuju ke tempat laksa terhidang.

“Leen… Leen…” sebut Ezzura, menggeleng.

Matanya menghantar langkah Nur Edleen menuju ke tempat laksa. Tangannya lincah menceduk nasi dan lauk-pauk ke dalam pinggan sendiri.

Nur Edleen melangkah dengan riang. Teringin sungguh dia dengan laksa. Kalau kambing golek tak dapat, laksa pun jadilah. Lama aku tak makan ni, bisik Nur Edleen sambil tersenyum ceria. Belum sempat tangannya mencapai mangkuk laksa, seseorang sudah pun menarik mangkuk laksa itu. Maka terjadilah adegan tarik-menarik di antara mereka berdua di restoran itu semata-mata kerana semangkuk laksa.

“Saya punyalah!” tegas Nur Edleen.

Hello! Saya punya! Saya yang pegang dulu,” bentak Edzuary, keras.

Hello! Please! Saya punya okey!” balas Nur Edleen tidak mahu mengalah.

Geram sungguh dia ketika ini. Semakin kuat tangannya menarik mangkuk laksa, semakin kasar lelaki di hadapannya itu. Hampir dia terdorong ke hadapan disebabkan tarikan itu.

“Saya yang pegang dulu. Awak ni buat-buat tak tahu ke?” beritahu Nur Edleen, keras.

“Saya yang tarik dulu. Awak yang sibuk-sibuk tarik daripada saya ni, kenapa?” balas Edzuary sambil menjegilkan mata.

“Awak pergilah makan benda lain. Saya nak laksa ni juga,” geram Nur Edleen.

Tajam matanya ke muka Edzuary. Tidak mahu mengalah. Jika dia mengaku kalah, bukan Nur Edleen namanya. Main kasar betul mamat ni, geram Nur Edleen.

“Awaklah pergi makan benda lain. Saya tetap nak laksa ni,” tegas Edzuary.

Matanya membalas tatapan Nur Edleen. Tangannya masih lagi mempertahankan mangkuk laksa. Dia ingat aku ni mudah mengaku kalah. Ini Edzuary Safuan la, bisik Edzuary.

“Okey… okey… macam ni lah. Apa kata encik beli makanan lain dan saya beli makanan yang lain juga. So, baru fair and square. Encik tak dapat, saya pun tak dapat juga,” cadang Nur Edleen sambil mengangkat kening. Berharap, lelaki itu setuju dengan cadangannya itu.

“Awak pergilah beli makanan yang lain. Saya tetap nakkan laksa ni,” kata Edzuary, selamba dan mencebik.

Nur Edleen menarik nafas dalam-dalam. Matanya menjamah wajah selamba lelaki di hadapannya itu. Tanpa berlengah, dia segera memanggil pelayan di situ. Sementara menanti kelibat pelayan itu sampai, wajah lelaki itu diperhatikan dalam diam. Kenapa ada perasaan lain yang wujud ketika melihat lelaki itu? Jantungnya juga berdegup dengan kencang tatkala melihat wajah lelaki itu.

“Ada apa, cik?” tanya seorang pelayan di situ.

“Ada lagi tak laksa ni?” tanya Nur Edleen.

“Maaf cik, tak ada lagi,” jawab pelayan itu.

“Erk, tak ada dah,” ulang Nur Edleen, berkerut.

Pelayan itu sekadar mengangguk. Tanpa menunggu, dia segera beredar dari situ.

So?” tanya Edzuary dan mengangkat kening.

So apa? Kalau nak cari Ah So bukan kat sini. Kat kedai apek sana,” geram Nur Edleen.

Edzuary yang mendengar ketawa kecil. Ternyata, gadis di hadapannya itu seorang yang tidak berputus asa. Tegas dan ego.

“Awak nak bagi laksa ni pada saya atau tak?” tanya Edzuary. Kemenangan sudah berpihak padanya.

Oh, kau cabar aku ya. Tak apa.. tak apa.. hari ni hari kau, esok mesti hari aku. Undur diri bukan bererti kalah. Tahulah kau apa aku nak buat selepas ini, geram Nur Edleen dalam hati. Senyuman nakal terbias di wajahnya.

“Okey, saya mengaku kalah. Lagipun bukan sedap mana pun laksa ni. Awak sajalah yang ambil,” kata Nur Edleen, mengaku kalah. Mangkuk laksa dilepaskan dari pegangan tangan.

Edzuary tersenyum puas. Kemenangan berpihak padanya.

“Terima kasih, cik adik. Cik adik nak makan apa? Ambil sajalah. Abang belanja.”

Nur Edleen tersenyum paksa. Otaknya ligat memikirkan sesuatu untuk mengenakan lelaki itu. Sungguh, dia bukanlah seorang yang mudah kalah. Menyerah dahulu bukan bererti kalah. Kau tunggu dan lihat ajelah, bisik hati Nur Edleen. Senyuman paksa masih terukir di bibir.

“Encik nak saya tolong tuangkan kuah ke dalam mangkuk ni?” ujar Nur Edleen penuh sopan. Senyuman manis terbias di wajah.

“Boleh juga kalau cik sudi nak tolong,” balas Edzuary, tersenyum.

Dihulurkan mangkuk berisi laksa ke arah Nur Edleen. Menanti Nur Edleen menuangkan kuah laksa ke dalam mangkuk itu. Erm, boleh tahan cun minah ni, puji Edzuary dalam hati.

Nur Edleen mengangguk perlahan. Tangannya menyentuh lembut periuk berisi kuah laksa itu. Fuh! Nasib baik sejuk. Kalau panas, mahu kena saman aku nanti. Tunggulah kau mamat. Aku kerjakan kau cukup-cukup, azam Nur Edleen dalam hati.

Lantas, dicapai senduk dari dalam periuk yang berisi kuah laksa itu. Dia mengacau-ngacau kuah laksa dan tersenyum manis. Dengan perlahan, dia menceduk kuah laksa dan dijirusnya ke baju lelaki itu. Setelah puas, dia segera beredar dari situ.

“Padan muka!” ejek Nur Edleen sebelum meninggalkan tempat itu.

Edzuary tergamam. Darah merah menyerbu ke muka. Sungguh, tidak meyangka perempuan itu sanggup memperlakukannya sebegitu rupa. Hidungnya tercium bauan kuah laksa. Rasa nak termuntah ketika ini.

Tanpa berlengah, dia segera menuju ke bilik air untuk membersihkan kekotoran di baju. Berpasang-pasang mata yang melihat tidak diendahkan. Kau jangan ingat akan terlepas. Kalau aku jumpa dengan kau, taulah macam mana aku nak kerjakan kau, azam Edzuary dalam hati.



“CIK NUR EDLEEN!”perkenal Karmila, tersenyum.

Nur Edleen turut sama tersenyum. Tangannya membalas jabatan tangan setiap pegawai di dalam bilik mesyuarat itu. Gerun pula dia melihat setiap wajah di hadapannya ketika ini. Kesemuanya kelihatan sudah berumur. Hanya seorang dua sahaja nampak muda daripada yang lain-lain. Mungkin juga sebaya dengannya.

“Bos mana Mila?” tanya Encik Hamid tidak sabar.

Belum pernah lagi bos besarnya lewat menghadiri mesyuarat. Bosnya itu seorang yang menepati masa.

“Bos tukar baju sekejap Encik Hamid. Ada orang tumpahkan kuah laksa ke atas bajunya,” terang Karmila sambil duduk bersebelahan Nur Edleen.

Berderau darah Nur Edleen mendengarnya. Bos tukar baju? Ada orang tumpahkan kuah laksa ke atas bajunya? Ulang Nur Edleen dalam hati. Serta-merta mukanya pucat tidak berdarah. Adakah bos yang dimaksudkan oleh Karmila adalah lelaki yang sama di restoran tadi?

“Maaf semua, saya terlambat,” suara Edzuary, kesal.

Tersentak Nur Edleen mendengar suara itu. Dikerling buat seketika dan menatap wajah bos besarnya. Alangkah terkejutnya tatkala melihat bos besarnya itu. Lelaki yang sama di restoran tadi. Pantas, dia menundukkan muka. Tidak mahu lelaki itu menyedari akan kehadirannya di dalam bilik mesyuarat.

“Bau laksa lagilah bos,” usik Encik Hamid ketawa kecil.

Terhenti tingkah Edzuary dari duduk di kerusi. Dia mencium baju dan tubuhnya sendiri. Aku dah spray banyak minyak wangi aku tu. Takkan ada bau laksa lagi, rungut Edzuary.

“Saya gurau saja bos. Tak ada dah bau laksa,” kata Encik Hamid serba salah.

“Mila, you dah bagitau staf baru kita suruh dia masuk meeting sekali?” tanya Edzuary sambil duduk. Nafas dihela ringan.

“Ada bos. Orangnya pun ada kat sini. Kat sebelah saya ni,” jawab Karmila, tersenyum.

Edzuary mengangguk faham. Tangannya membuka fail syarikat dan meneliti butiran di dalam fail itu.

“Boleh perkenalkan diri? Maaf, saya tak sempat nak baca biodata awak. Kalau tak menjadi keberatan, boleh perkenalkan diri awak pada kami semua?”

Semakin tidak keruan Nur Edleen rasakan. Seram sejuk pun ada juga. Perlukah dia menurut kemahuan bos besarnya atau memandang sepi terhadap permintaan itu.

“Masak aku kali ini. Itulah kau Leen, lain kali tengok orang dulu siapa yang kau nak lawan,” kutuk Nur Edleen, perlahan pada dirinya sendiri.

Please introduce yourself!” ulang Edzuary sambil membaca laporan dari dalam fail.

Nur Edleen tidak ada pilihan lain. Nak tak nak, dia bingkas bangun dari duduk. Rimas pula tatkala berpasang-pasang mata yang berada di dalam bilik itu memandang ke arahnya.

“Assalamualaikum. Saya Nur Edleen Haji Marwan. Berasal dari Selangor dan menetap di Shah Alam. Pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Perakaunan dari UiTM. Anak bongsu dari dua beradik. Pengalaman…”

“Umur? Dah kahwin ke belum?” pintas Edzuary dan masih menunduk.

“Erk, perlu ke bagitau?” tanya Nur Edleen, berkerut.

Of course! Kalau tak bagitau, orang lain mudah ambil kesempatan pada awak,” jawab Edzuary, selamba.

Nur Edleen menggaru kepalanya yang bertudung. Matanya menjamah satu persatu wajah sengihan di dalam bilik itu. Naik menyampah dia melihatnya. Pasti kesemuanya sudah berkahwin termasuklah bos besarnya, duga hati Nur Edleen.

“Umur dua puluh lima tahun dan belum berkahwin. Walaupun saya belum berkahwin dan masih single,tapi saya not available,” beritahu Nur Edleen sambil cuba mengawal nada suara.

Terangkat wajah Edzuary mendengar kata-kata Nur Edleen. Tergamam dia buat seketika. Begitu juga dengan Nur Edleen. Turut sama terkejut dengan pandangan mata Edzuary. Seakan ada sesuatu melihatkan dari sinar anak mata itu. Tapi apa?

Seminit kemudian, Edzuary melarikan pandangan. Tidak sanggup untuk bertentang mata dengan Nur Edleen. Jika di restoran tadi, dia cuba mengingati di mana dia bertemu dengan gadis itu, tapi tidak pada waktu dan ketika ini. Ternyata, gadis inilah yang ditemuinya di Pasaraya Jusco sebulan yang lalu.

“Baiklah! Terima kasih!” ucap Edzuary, serius.

Nur Edleen segera duduk. Diusap lembut dadanya yang berombak kencang.



USAI bermesyuarat, Nur Edleen segera menuju ke bilik. Belum sempat tangannya memulas tombol pintu, namanya sudah pun di panggil oleh Edzuary. Bagaikan terkena kejutan elektrik dirasakan ketika itu.

“Masuk bilik saya!” arah Edzuary dan berlalu pergi.

Nur Edleen sekadar mengangguk. Mahu tidak mahu, terpaksalah juga dia mengekori Edzuary daripada belakang. Pasti dia akan dihukum disebabkan tingkahnya di restoran tadi.

Edzuary menghempas lembut tubuhnya ke kerusi empuk. Matanya masih lagi menjamah wajah menunduk Nur Edleen. Tadi bukan main berani, sekarang mana keberanian kau tu, kutuk Edzuary dalam hati.

“Saya minta maaf atas kelakuan saya tadi. Memang saya sengaja lakukannya sebab saya marah dan geram dengan encik,” akui Nur Edleen, perlahan.

Edzuary hanya mendengar. Deheman kecil terlepas daripada bibir. Dia bingkas bangun dan menapak menghampiri Nur Edleen. Diperhatikan Nur Edleen dengan penuh minat.

“Kalau encik nak hukum saya, hukumlah. Saya akan terimanya seikhlas hati saya,” beritahu Nur Edleen lagi.

Well! Memang saya nak hukum awak. Disebabkan tingkah awak tadi, saya yang mendapat malu. Disebabkan awak, habis satu badan saya berbau kuah laksa. Sebotol minyak wangi yang saya guna pun belum tentu lagi dapat menghilangkan bauan laksa tu,” jelas Edzuary sambil berpeluk tubuh dan bersandar di meja kerja.

“Saya tahu dan saya akui kesalahan saya. Apa yang encik nak saya lakukan asalkan encik dapat memaafkan saya,” tegas Nur Edleen.

Diangkat wajahnya dan memandang tepat ke wajah Edzuary. Seminit kemudian, dijatuhkan wajahnya semula. Tidak sanggup menatap wajah serius bos besarnya itu.

“Mana keberanian awak tadi? Dah hilang? Awak ni memang berlagak berani depan saya saja, kan?” Sinis Edzuary berkata.

“Saya…” sukar untuk Nur Edleen bersuara.

Bukannya dia tidak berani. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia membidas kata-kata bos besarnya. Tetapi disebabkan hari ini merupakan hari pertama dia bekerja, terpaksalah dia menahan rasa di hati.

“Saya apa?” ulang Edzuary. Masih sinis.

“Kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu,” pinta Nur Edleen. Daripada aku dengar bebelan dia, baik aku blah dari sini. Buat sakit hati aje aku tengok muka dia tu, omel Nur Edleen.

“Saya tak suruh pun awak pergi. Kesalahan awak tadi masih belum saya maafkan.”

Aduh! Dia nak apa lagi ni. Kan aku dah minta maaf pada dia, rungut Nur Edleen.

“Kan saya dah minta maaf,” bentak Nur Edleen, keras. Masih cuba mengawal suara.

“Maaf awak saya tak terima,” balas Edzuary, selamba.

Matanya terarah ke daun pintu bilik yang terkuak perlahan. Pasti cleaneryang ingin masuk ke dalam biliknya. Sudah menjadi kebiasaan dalam waktu-waktu begini, cleanerakan datang menjalankan tugas membersih. Dengan tiba-tiba, senyuman nakal terbit di bibir. Otaknya ligat memikirkan rancangan untuk mengenakan Nur Edleen.

“Mak Ita!” panggil Edzuary kemudian.

Mak Ita menoleh. Langkah dibawa menuju ke arah Edzuary. Senyuman manis dihadiahkan buat pemuda itu.

“Ada apa Ary?” soal Mak Ita.

Segan dan malu untuk memanggil Edzuary dengan panggilan ‘Ary’. Atas arahan Edzuary sendiri, mahu tidak mahu, terpaksalah dia memanggil dengan nama itu.

“Mak Ita nak bersihkan pejabat ke?”

“Macam biasalah Ary. Kan, masa ni tugas Mak Ita bersihkan bilik Ary.”

Nur Edleen yang berada di situ hanya mendengar. Berkerut-kerut dahinya sambil cuba menafsir akan tujuan bosnya memanggil cleaneritu.

“Hari ni Mak Ita tak payah bersihkan bilik saya. Mak Ita berehat sahaja,” arah Edzuary.

“Mana boleh Ary. Nanti Mak Ita kena marah dengan supervisor,” balas Mak Ita. Sungguh, dia tidak mahu dimarahi oleh supervisoryang dipanggil ‘harimau’ itu.

“Tak apa Mak Ita. Mak Ita jangan risau. Tahulah saya menguruskannya.”

“Baiklah kalau dah macam tu. Mak Ita minta diri dulu.”

“Mak Ita tinggalkan barang-barang tu semua kat sini. Nanti saya suruh orang hantarkan ke bawah,” arah Edzuary.

Mak Ita mengangguk faham. Dia segera beredar dari bilik itu.

So?” ujar Edzuary, sepatah sebaik sahaja kelibat Mak Ita menghilang.

So apa?” ulang Nur Edleen, berkerut. Kurang faham.

“Tu ha…” kata Edzuary sambil memuncungkan mulut ke arah kelengkapan Mak Ita.

Nur Edleen menoleh ke arah yang ditunjukkan. Berkerut-kerut dia cuba menafsir dengan arahan Edzuary. Seminit kemudian, barulah otaknya dapat menafsirkannya.

“Saya?” tanya Nur Edleen. Jari telunjuk menghala ke arah diri sendiri.

“Itu?” Dihalakan pula ke arah peralatan Mak Ita.

Edzuary sekadar mengangguk. Langkah diatur menuju ke sofa dan melabuhkan duduk di situ. Senyuman kemenangan menghiasi bibir ketika ini.

Nur Edleen mengepal tangan. Menahan kemarahan di hati. Mentang-mentang dia bos, sesuka hati aje nak suruh aku buat kerja cleaner. Hangin aku dah ni, geram Nur Edleen.

“Apa lagi yang dimenungkan tu, cepat buat kerja. Awak nak saya pecat awak pada hari pertama awak kerja ke?” arah Edzuary bernada ugutan.

“Cipta sejarah awak nanti. ‘Seorang pekerja dipecat pada hari pertama dia bekerja’. Wah! Gempak!” sambung Edzuary, teruja.

Nur Edleen mencebik. Sakit telinganya mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Edzuary. Tanpa berlengah, dia segera mencapai peralatan Mak Ita dan dibawa menghampiri sofa. Ditarik pembersih hampagas dan dipasang suis ke soket. Tunggu kau, taulah macam mana aku nak kerjakan kau nanti, azam Nur Edleen dalam hati sambil tersenyum nakal. Otak jahatnya sedang ligat merencanakan sesuatu.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.