MENGGELETAR jemari Nomi yang memegang stereng kereta. Dia sedang dalam perjalanan ke
destinasi yang dituju. Dia dah cuba mengawal perasaan berdebarnya. Siapa yang
tak berdebar weh? Dah setahun kenal, ini kali pertama nak bersua muka.
Tiba di restoran yang dijanjikan, dia mencari-cari
parkir. Kelihatan kotak parkir yang disediakan sudah penuh. Berkali-kali dia
‘tawaf’ bangunan restoran itu untuk mendapatkan parkir sehinggalah tiba-tiba
dilihat ada sebuah kereta mahu keluar di hadapannya. Betul-betul di hadapan
restoran.
“Yes... rezeki!”
Tapi malangnya, itu bukanlah ruang parkir. Cuma ruang itu
muat untuk kereta secomel Swiftnya parkir di situ. Betul-betul di tepi parit
konkrit besar.
“Ah, lantaklah! Parking jelah. Tak ada siapa nak
saman malam-malam macam ni. Tempat ni tak berapa terang pulak tu.” Lantas, dia
memasuki ruang itu sebaik-baiknya supaya tak menyempitkan ruang kereta sebelah.
Elok saja dia menarik brek tangan, telefon bimbitnya
berbunyi. Dia menggelabah.
“Alamak! Alamak! Dia telefon ke? Dia dah sampai dulu ke?”
Telefon bimbit di dalam beg tangan dikeluarkan. Melihat di skrin, dia
melepaskan nafas lega. Panggilan itu dijawab.
“Helo...”
“Macam mana? Dia handsome tak? Hah? Handsome?
Handsome?”
Nomi buat muka malas. “Kau ni kan, Ti... sibuk nak tahu
dia handsome ke tak.”
Tiara berdekah ketawa. “Aku saja je tanya. Saja nak tahu.
Eh, dia handsome tak?”
“Eeii... kau ni! Aku jumpa dia pun belum, Ti. Ni baru park
kereta. Dah, jangan call aku lagi! Tak senang aku nak dating
dengan dia. Kacau daunlah kau ni!” Nomi pura-pura marah. Padahal, satu badan
rasa menggeletar ketika ini.
“Jangan lupa ambil gambar dia, Nomi. Aku nak tengok.
Haihh... tak sabarnya nak tahu macam mana rupa dia!”
Eh, Tiara ni. Aku yang nak jumpa, dia pulak yang
lebih-lebih. Nomi ketawa sinis. “Okeylah! Bye!”
Telefon bimbit dimasukkan semula ke dalam beg tangan.
Nafas panjang dilepaskan sambil cuba bertenang. Setelah dirasakan dia mampu
mengawal perasaan, barulah dia keluar dari kereta.
Dengan langkah separuh yakin, dia masuk ke dalam restoran
itu. Matanya melilau mencari si pemakai baju warna merah. Ada seorang, tapi
datang berkeluarga. Takkan Mr. Krab dah beranak-pinak?
Jadi, dia buat keputusan untuk duduk di sebuah meja dan
menunggu pemilik baju warna merah sebenar.
PERLAHAN Adib menunggang motosikalnya. Dia tak ada semangat langsung nak jumpa
Nomi. Bawa motor pun macam malas-malas. Sehinggalah dia tiba di restoran yang
dijanjikan.
Dia berhenti berdepan dengan restoran itu. Dipandang
tanpa jiwa. Apa pun yang terjadi hari ini, aku kena teruskan jugak. Anggap saja
macam aku jumpa kawan baru.
“Ya ALLAH... janganlah sampai Hazza tahu yang aku jumpa
minah ni.” Keluhannya dilepaskan.
Matanya meliar mencari tempat untuk memarkir motosikal.
Tak ada! Semuanya kereta. Langsung tak ada tempat untuk motosikal. Nampak
sangat orang naik motor tak pergi restoran macam ni.
Matanya terpandang ruang yang boleh menyelitkan
motosikalnya. Di tepi parit konkrit, bersebelahan kereta Swift merah. Ruang
sebelah belakang kereta itu muat untuk motosikal Honda EX5nya.
Setelah menongkat motosikal, Adib melangkah masuk ke
dalam restoran. Dia cuba memaniskan wajah mencari si pemakai baju merah.
Matanya terpandang seorang gadis yang tunduk membelek telefon bimbit. Berbaju
blaus warna merah belang-belang putih dan memakai selendang warna hitam. Dia
tahu... itu pasti Nomi. Lalu dia menghampiri gadis itu dengan tenang.
“Assalamualaikum...” sapanya.
Nomi spontan mendongak. Dipandang lelaki yang berdiri di
sisi meja. “Waalaikumusalam...” balasnya gementar.
Adib senyum dan duduk di hadapan Nomi. “Jadi... awaklah
Nomi?” Dia cuba berlagak selamba.
Dilihat wajah dan penampilan Nomi. Cantik orangnya. Dia
rasa macam pernah tengok muka Nomi ni. Tapi... entah kat mana. Perasaan je kot.
Ah, bukan penting pun! Kulit Nomi putih kuning. Berwajah bujur. Penampilan
fesyennya kelihatan mengikut gaya Muslimah urban yang sopan.
Tapi hatinya takkan tertawan! Dalam hatinya sudah ada
Hazza. Dan dia dah tekadkan hati supaya menganggap Nomi bukan sesiapa pun bagi
dirinya. Sekadar... gadis yang dijumpa di tepi jalan.
Mata Nomi bulat memandang lelaki yang sudah duduk itu.
Aku pernah jumpa lelaki ni! Aku pernah jumpa dia! Kat mana, eh?
“Saya Mr. Krab.” Adib ketawa. Apa bendalah Risham ni. Ada
ke pilih nama Mr. Krab? “Mulai hari ni, awak panggil saya Adib je. Nama saya
Adib Baihaqi.”
Nomi masih diam. Dia sedang keras berfikir. Aku pernah
jumpa lelaki ni. Kenapa aku lupa pulak ni? Ya ALLAH... kat mana eh aku jumpa
lelaki ni? Kat mana?
“Nama awak Nomi eh? Tu nama betul-betul ke, nama
olok-olok?” Adib ketawa lagi. Entah apa yang merasuk, dia boleh pula ramah
bukan main lagi.
Nomi memandang Adib tak berkerdip.
“Oh... entah-entah awak ni Noami Campbell. Tak pun Noami
Kyle.” Adib tersengih-sengih. Sengaja dia buat ‘loklak’. Biar Nomi meluat
melihatnya.
Ketika ini barulah Nomi mula ingat. Sel otaknya sudah
berhubung. Ni lelaki yang aku jumpa kat traffic light! Lelaki yang naik
motor! Yang ketuk belakang kereta aku! Serta-mertaperasaan geramnya bergelora dalam diri.
“Awak tak ingat saya? Tak kenal saya?” sindir Nomi.
Terkejut Adib apabila disoal begitu. Berkerut dahinya.
“Kenapa? Awak kenal saya ke?”
Nomi mula ketawa sinis. Hilang terus gementarnya. Kini
perasaan menyampah yang terpamer di wajahnya. “Takkanlah tak ingat?” Dia ketawa
lagi. Ketawa yang dibuat-buat.
Adib semakin pelik.
“Ya ALLAH...kenapalah aku jumpa lagi dengan lelaki ni?” soal Nomi kepada diri sendiri.
Senyuman sinisnya terukir. “Kenapalah kecik dunia ni?”
“Awak cakap apa ni? Apa benda yang awak merepek?” Adib
mula rasa nak marah pula. Sakit hatinya mendengar ketawa sinis Nomi. Baru jumpa
dah nak menyakitkan hati orang pulak!
Makin meluat Nomi melihat Mr. Krab yang baru
memperkenalkan nama sebagai Adib itu. “Cepat betul awak nyanyuk. Cuba awak
tengok muka saya betul-betul. Takkan tak ingat? Dah nyanyuk ke?” provoknya.
“Eh, ehh... amboi mulut tu. Sedapnya cakap orang nyanyuk,
cik kak oii.” Adib membalas. Dahlah dia tak ada hati nak jumpa dengan si Nomi
ni. Macam ni pulak perangai perempuan ni.
Tengok! Memang sah! Dulu pun dia panggil aku ‘cik kak’.
Memang aku tak salah orang. Perasaan meluat Nomi berganda-ganda.
“Tak apalah kalau awak dah nyanyuk. Meh sini pandang muka
saya betul-betul.” Nomi tunjuk mukanya betul-betul di hadapan Adib.
Adib memandang Nomi. Serius. Dia langsung tak ingat wajah
perempuan yang duduk di hadapannya itu.
“Awak pernah ketuk belakang kereta saya. Masa tu kat traffic
light. Selamba awak ‘sound’ saya sesuka hati!” Nomi mengingatkan dengan
perasaan geram.
Adib baru perasan. Dia terangguk-angguk. Ya, ya... baru
dia ingat. Dia ketawa sinis. “Saya bukan ‘sound’. Saya nasihat je masa tu, cik
kak. Dah awak macam tak reti je peraturan jalan raya,” sindirnya.
Nomi yang mendengar kata-kata Adib rasa macam
dipersalahkan pulak. “Hei, hei... siapa yang tak reti peraturan sebenarnya?
Kereta saya bukan terjulur sampai ke tengah dunia. Terlepas sikit ke depan
garisan je. Itu pun nak kecoh! Ingat saya ni bongok sangat ke?” Suaranya
meninggi.
Satu restoran menumpu pandangan ke arah Nomi dan Adib.
Tapi peduli apa mereka berdua. Gaduh tetap gaduh!
“Yang awak bawa kereta sampai terlebih garisan kenapa?
Kereta awak panjang sangat ke? Awak bawa lori ke, bawa kereta? Kalau dah lebih
garisan tu maknanya salahlah, cik kak oii. Tak reti?” Adib ‘memantul’ apabila
melihat Nomi melenting.
“Kalau saya terlebih ke depan pun kenapa? Menyusahkan
awak ke?”
“Memang! Menyusahkan saya. Semak mata saya tengok! Awak
tu dah membahayakan orang lain. Kalau apa-apa jadi pada orang lain, awak nak
tanggung?”
Eh, eh... tak nak mengalah pulak si ketam ni? Nomi
bulatkan mata besar-besar bagaikan nak menelan Adib. “Jadi apa-apa ke hari tu?
Terbalik ke dunia ni? Tak ada, kan? Kenapa nak kecoh sangat? Saya dah
bertahun-tahun bawa kereta. Saya tahulah nak bawa macam mana pun!”
Adib naik angin. “Dah tu... awak nak bawa kereta sampai
dunia terbaliklah? Hah?!”
Dah bergaduh pulak budak dua orang ni. Yang memandang
mereka berdua makin terlopong.
“Ehem, ehem!”
Dehaman kuat lagi keras kedengaran, membuatkan Nomi dan
Adib mula sedar yang suara mereka bertekak satu restoran boleh dengar.
Itu dehaman amaran namanya!
Nomi dan Adib sama-sama terdiam. Masing-masing mengerling
ke sekeliling restoran dengan ekor mata. Banyak mata sedang memerhatikan
mereka.
Riak wajah Nomi berubah kelat. Malunya! Ni semua si ketam
ni punya pasal! Urghh!
Adib memandang Nomi. Dia membebel-bebel tanpa suara,
dengan muka yang menjengkelkan. Dia geram betul dengan Nomi. Perkara kecil
dibesar-besarkan!
Lantas Nomi bangun. “Saya rasa, saya tak ingin kenal
dengan Encik Ketam yang... yang...” Dia hilang kata. Tak tahu nak melabelkan
Adib sebagai apa. “Yang entah apa-apa entah! So... anggap kita tak
pernah kenal, tak pernah jumpa. Faham?!” Dia mencapai beg tangannya dan terus
berlalu.
Mula-mula Adib melopong. Tak lama kemudian, dia tersenyum
sinis. “Haa... baguslah! Bagus! Senang kerja aku.”
Nomi tak hiraukan kata-kata Adib. Dia melangkah keluar
dengan perasaan geram. Baik tak payah kenal dengan manusia nama Adib ni. Adib
Baihaqi konon. Tapi pemikiran kolot! Otak ketam! Tahu salah orang je. Salah
sendiri tak nampak!
Dia merungut-rungut dalam hati sambil masuk ke dalam
kereta. Pintu kereta dihempas kuat. Saja melepaskan geram.
Adib juga tak ada hati nak berlama-lama di situ. Buat
sakit hati je! Cepat-cepat dia membayarkan minuman Nomi di kaunter sambil
menebalkan muka. Semua memandangnya macam dia penjenayah. Ni semua Nomi punya
pasal!
Baru saja dia melangkah keluar dari restoran, terdengar
bunyi yang agak kuat. Berdentum!
Bam... berdebus!
Mulut Adib luas ternganga. Dia nampak dengan jelas depan
matanya. Motosikal EX5nya dilanggar Nomi hingga jatuh bergolek dan kemudian
masuk ke dalam parit!
Nomi yang menyedari dia sudah melanggar sesuatu, menekan
brek. Terkejut dan terpinga-pinga. “Hah?! Apa tu? Bunyi apa tu?” Dadanya
berdebar.
Adib berlari-lari ke tepi parit. Dilihat motosikalnya
tertonggeng di dalam parit yang berair itu,menenggelamkan motosikal
kesayangannya.
“Ya ALLAH! Habis motor aku. Habis!” Kecewa, geram, sakit
hati... semua berbaur dalam diri.
Dia mendapatkan Nomi. Diketuk tingkap cermin kereta Swift
itu kuat-kuat. Dia sedang menahan perasaan marah yang sukar nak digambarkan
dengan kata-kata. Dia benar-benar marah!
“Keluar!” laungnya.
Nomi terpinga-pinga. Dia menurunkan cermin tingkap.
Separuh saja. “Apasal?”
“Awak tanya apasal?” Makin naik angin Adib dibuatnya.
“Erghh... sabar, Dib! Sabar...” Dia bercakap pada diri sendiri. Kalau tak
sabar, memang dia ‘meletup’ di situ juga.
“Awak tahu tak yang awak dah langgar motor saya sampai
masuk dalam parit? Hah?!”
“Laa... saya langgar motor awak ke?” soal Nomi dengan
perasaan tak bersalah.
Berapi Adib satu badan mendengar soalan itu. Sampai terlompat-lompat
dia kerana terlalu marah. Kalau ikutkan hati, sekarang juga dia gegarkan kereta
Nomi.
“Awak yang salah! Yang awak letak motor awak belakang
kereta saya kenapa? Mana saya perasan motor awak tu! Orang nak reverse
pun susah!” Memang Adib yang salah. Takkan dia nak cakap Adib betul pulak? Nomi
menjeling Adib.
“Aku pulak yang dia salahkan?” Adib mencengkam rambutnya
dengan kedua-dua tangan. Geramnya aku! Geramnya! “Saya tak kira! Awak kena bertanggungjawab!”sambungnya bagaikan arahan.
Ketika ini sudah ramai yang berkerumun untuk melihat
motosikal Adib yang sudah berendam dalam air parit. Ada yang jadi pemerhati
Adib bertekak dengan Nomi.
“Huh! Nonsense!” Malas Nomi nak bercekik leher
dengan lelaki ketam ni. Terus dia menaikkan cermin kereta. Tanpa memandang
Adib, dia mengundurkan kereta.
Muka Adib sudah cuak. Dia mengundur setapak dua ke
belakang, mengelak daripada kereta Nomi. Tak pasal-pasal nanti kaki aku pulak
yang dia lenyek.
Mukanya makin cuak apabila dilihat Nomi memang berura-ura
mahu berlalu dari situ. Dia melihat muka Nomi macam tak mahu ambil peduli apa
yang jadi.
“Woi! Woi! Woi!”
Namun, kereta Nomi tetap berlalu pergi.
“Woiii!” Kali ini jeritan Adib lebih keras. Sayangnya,
Nomi betul-betul tak nak bertanggungjawab. Dipandang kereta Nomi yang semakin
menjauh. “Kurang ajar!”
“OH... maknanya Sham baru
lagi kenal Kisya?” Ghazali bertanya.
Risham mengangguk sambil tersenyum.
Ghazali dan Ainun suami isteri ketawa mesra.
Kisya hanya menunduk. Tempoh hari, dia mengamuk dengan
Risham yang tak menjawab panggilannya. Risham dah minta maaf. Kata Risham,
telefon bimbitnya tertinggal di rumah. Tapi, dia tak percaya langsung. Kalau
Risham nak dimaafkan, dia cabar lelaki itu datang ke rumahnya. Tak sangka malam
ini, Risham datang sungguh ke rumahnya.
Mereka baru sahaja selesai menikmati makan malam. Dan
kini berbual-bual di ruang tamu sambil menjamu teh O panas dan kuih-muih.
“Untunglah kamu, Kisya. Baru kenal tak sampai dua bulan,
Sham dah datang jumpa daddy dengan mummy, nak berkenalan. Tu tandanya Sham ni
bersungguh.” Ghazali ketawa melihat Kisya semakin malu diusik begitu. Dia
memandang isterinya. “Betul tak, mummy?”
Ainun ketawa perlahan. “Betul kata daddy tu, Kisya.” Dia
memandang Risham semula. “Alhamdulillah... auntie dengan uncle rasa bertuah
sangat sebab Kisya kenal dengan Sham yang bersungguh-sungguh macam ni.”
Tersenyum Risham mendengar kata-kata Ainun. Malu pula dia
apabila dipuji-puji begitu. Dia mengerling Kisya yang duduk di sofa di sebelah
Ainun. Kisya sangat cantik. Cantik semula jadi. Bukan saja ketika mereka keluar
bertemu janji, malah di rumah pun Kisya cantik walaupun dalam keadaan santai
tanpa mekap.
Ini menguatkan lagi rasa cintanya. Memang bertuah dia
bertemu Kisya dan dapat mencintai gadis itu. Ternyata keputusannya untuk serius
dengan Kisya adalah tepat. Dan tindakannya menyuruh Adib menyamar menjadi Mr.
Krab untuk bertemu Nomi adalah bijak. Senyumannya mekar. Bangga dengan
kebijaksanaan diri sendiri.
“Kisya tak pernah cerita pun pada mummy, macam mana Kisya
kenal dengan Sham. Ceritalah...” Ainun menepuk-nepuk tangan Kisya bersama
senyuman.
“Alah, mummy ni...”Kisya pura-pura malu.
Ainun dan Ghazali ketawa lagi. Begitu juga Risham.
Dilihat Kisya sangat manja dengan mummynya.
“Macam nilah dia, Sham.” Ghazali menggeleng-geleng. “Anak
perempuan tunggal. Manja betul dia dengan auntie. Dengan uncle pun dah
besar-besar macam ni manja jugak. Tak tahulah...” Ghazali ketawa lagi,
membuatkan wajah Kisya memerah apabila menjadi tumpuan.
“Mana ada, daddy...”Kisya mempertahankan diri.
“Tengok tu... tak mengaku.” Ainun mengusik Kisya. “Kalau
Sham masuk bilik Kisya, mesti terkejut. Penuh dengan teddy bear. Macam budak-budak!” Dia ketawa.
“Mummy!”Kisya memonyokkan muka. Malu kisah kemanjaannya dijadikan
bahan cerita.
Risham ketawa.Seronok dia mendengar cerita Ghazali
dan Ainun tentang gadis kesayangannya itu. “Saya dengan Kisya sebenarnya kenal
secara tak sengaja, auntie... uncle. Kawan saya buat birthday partykatcoffee house. Saya datang nak meraikan kawan saya
ni. Belum sempat kami nyanyi lagu birthday untuk dia, ada satu grup dah
nyanyi lagu tu.
Rupa-rupanya, ada jugak yang celebrate birthday
kat situ. Siapa lagi kalau bukan Kisya dengan kawan-kawan dia. Jadi, kami pakat
celebrate sama-sama. Kat situlah saya kenal Kisya,” cerita Risham,
terimbau kembali kenangan manis dua bulan lalu.
Bersungguh-sungguh Ghazali dan Ainun mendengar.
Masing-masing sungguh tak sangka Risham dan Kisya boleh kenal dengan cara
begitu.
Kisya senyum tatkala Risham bercerita tentang permulaan
detik bahagia mereka.
“Pertama kali pandang, saya dah jatuh hati kat Kisya
sebenarnya, auntie... uncle.” Risham tersenyum, malu buat pengakuan begitu
depan orang tua Kisya. Tapi, niatnya ikhlas. “Saya bagi dia call card.
Tak sangka Kisya call saya esok harinya.” Ketawanya di hujung bicara.
“Ohh...” Ainun dan Ghazali tersenyum memandang Kisya.
Senyuman mengusik.
“Baru mummy tahu macam mana ceritanya.”
“Eh... minumlah, Sham. Sejuk dah air teh tu,” pelawa
Ghazali.
Setelah menghirup seteguk dua, Risham meletakkan cawan
beralas itu ke atas meja semula. Dipandang Ghazali yang juga meletak cawan ke
meja. “Err... uncle, saya nak minta izin uncle sesuatu.”
Bulat sedikit mata Ghazali. “Hmm... apa dia? Cakaplah.”
Ainun dan Kisya memasang telinga.
Dada Risham berdebar. Dari awal lagi, dia sudah membuat
merancang. Malah, dengan Kisya pun dia tak beritahu. Sengaja dia mahu buat
kejutan. “Saya nak minta izin uncle... saya nak bawa papa dengan mama saya ke
sini, kenal dengan uncle, dengan auntie.” Dia merenung Kisya sebelum
menyambung. “Dengan Kisya...”
Terus Ghazali ketawa. Ainun tersenyum meleret memandang
Kisya yang terkejut bukan kepalang.
“Ni kiranya datang bawa parents nak merisiklah
ni?” soal Ghazali. Melihat Risham mengangguk, dia ketawa lagi. Gembira betul
dia. “Boleh, Sham... boleh. Datanglah. Boleh kita tetapkan tarikh majlis
sekali. Betul tak, Kisya?”
Kisya tergamam. Tak tahu nak cakap apa. Tak sangka Risham
begitu ‘gentleman’ dan bersungguh-sungguh dalam perhubungan mereka.
Perasaan terharu, gembira dan tak sangka berbaur dalam jiwanya. Risham bukan
saja jejaka idamannya, malah yang ditunggu-tunggu selama ini.
Risham memandang Kisya bersama senyuman mesra. Itulah
kejutan untuk Kisya. Dia mahu Kisya tahu yang dia benar-benar serius.