Home Novel Kisah Hidup Aithusa (Sudah Terbit)
Aithusa (Sudah Terbit)
Meja Editor
23/4/2025 09:17:10
426
Kategori: Novel
Genre: Kisah Hidup
Senarai Bab
Bab 3

Aithusa: Jadi, kau datang Hackathon tak?

Dragonlord: Mestilah.

Aithusa: Mungkin kita boleh jumpa?

Dragonlord: Kalau kita jumpa pun, aku rasa kau tak kenal aku.

Aithusa: Kau mesti orang yang hebat dan ada status kat luar sana, kan?

Dragonlord: Tak adalah. Aku biasa aje.

Amalia tergelak membaca perbualannya dalam bahasa Inggeris dengan kawan Internet. 

Amalia dan Dragonlord berkenalan di laman web gelap untuk penggodam berinteraksi dengan nama samaran. Mereka membincangkan coding dan bergabung dalam persatuan rahsia Knights of the Round Table yang terdiri daripada tujuh orang ahli. Kadang-kadang, mereka melakukan kerja amal menghapuskan laman web lucah, pengganas dan pernah menggodam sistem Israel bersamasama. Meskipun penggodaman bukan kepakaran Amalia, tapi tak salah untuk belajar supaya dia boleh melindungi diri daripada digodam.

Pada mulanya, Amalia berasa seram berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali. Tapi bila mereka ada tujuan yang sama iaitu membanteras jenayah, semua perbezaan itu diabaikan. Amalia bebas daripada dihukum dari segi perkauman, agama, jantina, pangkat dan sebagainya. Tiada siapa yang merendahkannya kerana masih muda. Tiada sesiapa tahu identiti sebenarnya. 

Amalia lebih rapat dengan Dragonlord berbanding ahli lain. Dragonlord, nama gelaran lain bagi Merlin. Dan nama Aithusa merupakan nama naga yang diberikan oleh Dragonlord dalam cerita Merlin. Amalia berharap dapat berjumpa dengan Dragonlord secara berdepan kerana dia mengajar Amalia banyak perkara.

AMALIA tiba di kawasan S.A menggunakan kereta kabel elektromagnet S.A. Kenderaan lain tidak dibenarkan masuk untuk mengelakkan pencemaran dan kesesakan. Bangunan hemisfera S.A yang megah terletak di puncak bukit, dikelilingi kehijauan dan pemandangan panoramik yang mengagumkan. Reka bentuk hemisfera berwarna putih diperbuat daripada bahan berasaskan tumbuhan. Seni binanya unik dengan sentuhan tradisional dan inovasi. Dia terasa kerdil berdiri di bangunan yang gah itu.

Amalia memandang sekeliling. Pemandangan panoramik dari puncak bukit benar-benar menakjubkan. Dia seperti dipeluk awan dengan sinaran mentari yang mencari peluang untuk menembus masuk di celah kabus. Cahayanya seakan-akan nur menyimbah pada bangunan hemisfera putih itu. Rumput karpet di sekeliling bangunan itu menghijau rata dan ada yang berbukit kecil.

Kawasan luar bangunan pula dipenuhi dengan manusia dari seluruh pelosok dunia yang duduk di atas rumput bersama teknologi robotik mereka yang unik. Kebanyakan mereka bersama komputer riba yang terbuka, melakukan beberapa perbincangan berkaitan perisian baru buatan mereka. Di pekarangan bangunan pula, meriah dengan simulasi-simulasi robotik hasil air tangan kreatif generasi hari ini.

Aura dan suasana dipenuhi dengan inovasi dan teknologi. Bunyi perbualan mereka yang ghairah tentang kecerdasan buatan bersama ketikan papan kekunci, sungguh ... mencipta simfoni aktiviti intelektual. Amalia tak sabar mahu menjadi sebahagian daripada mereka.

"Hebatnya!" Amalia menjerit teruja dengan mata yang bersinar.

Ini pertama kali dia menjejakkan kaki ke dalam kawasan makmal hemisfera S.A. Bangunan pencakar langit di tengah bandar milik S.A hanya meletakkan pekerja korporat dan staf biasa. Tetapi makmal hemisfera S.A merupakan tempat teknologi itu dihasilkan di mana semua jurutera dan pakar ditempatkan.

Beberapa pasang mata sudah memandang Amalia yang teruja.

"Argh!" Tiba-tiba seorang perempuan berambut ungu menjerit saat kakinya menjejak di pekarangan bangunan hemisfera itu.

"Mantaplah S.A!"

Amalia tersengih. Nampaknya bukan dia seorang sahaja yang teruja. Tepat pukul 9.00 pagi, satu hologram wanita terpancar di hadapan pintu masuk. Pintu masuk terbuka secara automatik dari dalam. Pameran Hackathon sudah bermula.

"Selamat datang ke Makmal S.A. Sila ambil satu set telinga dan letakkan di dalam telinga anda untuk memudahkan perjalanan program." Suara seorang wanita berbahasa Inggeris kedengaran di muka pintu melalui pembesar suara.

Di pintu masuk, mereka diberikan satu kotak kecil berwarna hitam yang berisi satu set fon telinga berwarna silver bersaiz langau, serta manual cara penggunaan. Hologram perempuan tadi sedang memberi penjelasan tentang penggunaan alat itu dalam bahasa Inggeris. Amalia memilih untuk menukarkan alat itu ke bahasa Lance.

Amalia membesarkan mata. Takjub dengan teknologi itu. Warga Jepun yang berbual di sebelahnya dalam bahasa Jepun tadi, kini sudah bercakap dalam bahasa Lance. Cara mereka bercakap pula tidak kekok. Tidaklah kedengaran seperti bahasa baku Lance, tetapi bahasa yang mudah difahami. Bahasa harian rakyat Lance.

'Mantap!' Amalia menjerit dalam hati.

"Hebat, kan?" Seorang gadis menyinggul bahunya. 

Amalia tersenyum. Rambut gadis itu berwarna ungu pekat, matanya bundar dan bersinar-sinar seperti anak patung. Apabila melihat secara berdepan, sesungguhnya dia sangat cantik. 

Amalia menanggalkan alat dengar dari telinga.

"Boleh cakap bahasa Lance?"

Gadis itu juga menanggalkan alat dengar dari telinganya.

"Boleh!" jeritnya teruja sebelum dia melompat seperti kanak-kanak.

Amalia hanya mampu tertawa. Dia memasang alat dengar tadi semula.

"Datang seorang atau dengan kawan?"

"Seorang aje, aku tak ada kawan. Aku dari Universiti California." Gadis itu menghulurkan tangan kepada Amalia. "Nama aku, Angela."

Amalia menyambut salam perkenalan gadis itu.

"Amalia dari Universiti Lance." 

"Sebenarnya, aku bukan bidang IT pun." Angela berbisik.

Mereka berdua berjalan ke arah satu dewan besar di mana pameran dijalankan.

"Tapi, aku datang sini sebab S.A ada buat pameran AI tentang kecantikan. Aku nak bawa teknologi ini dalam bidang aku nanti. Baru nampak maju sikit daripada kawan sekuliah aku."

"Kau bidang apa?" soal Amalia.

"Kejuruteraan Kimia. Aku nak buat produk kecantikan aku sendiri. Aku perlukan bantuan teknologi S.A untuk uji keberkesanan produk yang akan aku buat." 

"Hebat! Aku suka orang berwawasan." Amalia mengangkat ibu jari. "AI memang untuk semua, tak kisah bidang apa, sangat membantu memudahkan kerja manusia."

"Kan!" Angela bersinar-sinar memandang Amalia, seolah-olah dia telah berjumpa dengan seseorang yang memahami dirinya.

"Kau datang seorang aje?" 

"Aku datang dengan kawan sepatutnya, tapi dia lambat." Mata Amalia melilau mencari kelibat Amer, tapi bayangnya langsung tiada. 

Kaki mereka berhenti di satu dewan yang besar berwarna putih, dipenuhi dengan reruai pameran daripada pelbagai bidang. Jurucakap hologram itu membenarkan mereka mengambil masa pergi ke setiap reruai untuk mengambil tahu tentang teknologi terkini dalam bidang yang mereka minati.

Amalia mengambil risalah yang diberikan oleh kru S.A. Reruai permainan video yang diminatinya sudah dibanjiri dengan pemain video. Nampaknya, dia terpaksa pergi ke reruai lain terlebih dahulu sebelum pergi ke reruai itu. 

"Aku nak pergi reruai kecantikan!" Angela terlebih dahulu berlari ke arah booth yang diminati, meninggalkan Amalia terpinga-pinga di tengah dewan. 

"Maaf, tumpang lalu!"

Ada seseorang sedang mengangkat kotak yang bertingkat-tingkat sehingga menutupi muka, berjalan merentasi lautan manusia.

Amalia membesarkan mata ketika manusia itu lagi beberapa saat akan merempuhnya yang masih tidak berganjak. Hud yang dipakainya tiba-tiba ditarik dari tepi. Akibatnya, Amalia terjatuh ke lantai bersama seseorang yang menariknya tadi. Kaki Amalia yang berlunjur di tengah jalan, secara tak sengaja tersandung manusia yang mengangkat kotak bertingkat-tingkat tadi. 

Tidak cukup dengan terjatuh, nampaknya mereka akan ditimpa kotak-kotak pula.

"Hati-hati!" Lelaki yang menarik Amalia tadi menghalang kotak itu dengan tubuhnya daripada menimpa Amalia.

Tung! Tung!

Bunyi kotak jatuh bertimpa-timpa di atas tubuh lelaki itu sebelum jatuh ke lantai. Amalia yakin di dalam kotak itu ada barang yang kedengarannya seperti besi dan aluminium. Dia hanya terkebil-kebil di atas lantai melihat aksi adiwira itu.

Mata lelaki itu tertutup menahan sakit. Rambutnya terurai keluar dari hud yang menutupi kepalanya. Amalia terkedu melihat jejaka itu. Tidak sangka perempuan yang tidak ayu seperti dirinya mengalami adegan yang boleh dikatakan romantik ini.

"Alamak, saya minta maaf! Saya tak sengaja." Lelaki yang menjatuhkan kotak-kotak gergasi tadi pantas meminta maaf. 

Amalia mengerling sekilas tag kru lelaki itu yang tertulis, Hans.

Hans menguak rambutnya ke belakang dengan muka yang berpeluh-peluh. Risau dia telah menyakiti lelaki yang melindungi Amalia tadi.

"Tak apa." Lelaki itu menolak hud daripada menutupi kepalanya. Rambutnya pendek tapi lebat, berserabut dengan jambulnya yang menutupi sebahagian muka.

Amalia hanya mampu melihat sebelah mata lelaki itu. Ingin sahaja dia menggunting jambul itu supaya dia boleh melihat seluruh muka perwira yang menyelamatkannya tadi.

"Lah, kau rupanya Hertz!" Hans menolak bahu Hertz. 

"Cik okey?" Lelaki yang digelar Hertz itu memandang Amalia sebelum mengenyitkan mata.

Amalia menyengetkan kepala. 'Apa maksud kenyitan mata itu? Apa yang lelaki ini cuba sampaikan?' Dia tercengang cuba menghadamkan signal yang diberi. 

Hertz mengenyitkan matanya lagi. Kali ini, keningnya ditautkan.

"Saya ...." Seketika Amalia faham maksudnya.

"Ah! Kaki saya terseliuh!" Dia menjerit penuh dramatik, berharap lakonan itu nampak seperti realiti.

"Alamak!" Hans kelam-kabut mendapatkan Amalia.

"Saya hantar awak pergi klinik S.A."

"Hans Isaac Newton!" Kali ini, seorang lelaki menjerit dari tingkat atas memandang mereka yang berada di bawah.

Satu dewan terus terdiam mendengar jeritan itu. Mata lelaki itu berwarna ungu, memberikan panahan laser kepada Hans. Amalia seakan-akan kenal lelaki itu. Hans meraup wajah. Tubuhnya menggeletar ketakutan.

"Aduh, matilah aku! Dayyan nampak!" Dia sudah seperti cacing kepanasan. Tambahan pula, dia telah menjatuhkan barang-barang berharga milik S.A. 

Amalia menggeleng. Lawatan pertamanya ke S.A, sungguh huru-hara.

"Tak apa, biar aku hantar dia pergi klinik." Hertz menghalang Hans. "Kau pergi kat Tuan Dayyan." 

Dayyan!

Satu lintasan ingatan menerjah ke dalam otak Amalia. Amalia membulatkan mata, kemudian mendongak, memandang lelaki itu yang penuh gah berdiri di mezanin tingkat lima. Renungan lelaki itu masih tajam.

"Itu Dayyan Aimery ke?" Amalia memandang Hertz dengan muka teruja.

Orang ketiga terkaya di dunia berada di hadapannya. Paling menjengkelkan, orang pertama terkaya merupakan mak Dayyan.

"Jangan pernah terfikir nak rapat dengan dia." Hertz membantu Amalia bangun. "Dia itu Hitler."

Amalia mengangguk laju. Nampaknya khabar angin tentang Dayyan itu benar apabila kru sendiri yang bercakap begitu.

"Tak apa, Tuan Dayyan. Saya hantar dia pergi klinik!"

Hertz melaung dari tingkat bawah. Tuan Dayyan hanya mampu mengangguk.

"Jom." Hertz mengenyitkan mata lagi lalu membawa Amalia keluar dari dewan, bergerak ke bilik rehat pekerja.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.