Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 10


Lukisan di dalam perisian AutoCAD 3D itu semakin berbalam apabila ditenung dalam. Dia hampir tersengguk. Cepat-cepat dicapai gelas minuman berisi kopi pekat yang tidak jauh dari jangkauan. Baru melewati jam sembilan malam. Kopi yang sudah suam itu diteguk perlahan. Pahit.

Sememangnya dia gemar meminum kopi tanpa gula dalam dietnya. Laporan terakhir yang sedang disiapkan itu mahu dihantar kepada ketuanya melalui kaedah email pada malam itu juga. Selepas itu, barulah dia mahu pulang ke rumah.

Suasana sunyi dalam pejabat tidak memberi sebarang kesan kepada dirinya yang bersendirian ketika ini. Dia sudah terbiasa pulang lewat sejak dari bergelar pelatih lagi. Dan dia juga tidak gemar membawa pulang kerja-kerja di pejabat ke rumah. Baginya, rumah adalah tempat untuk berehat semata-mata. Tiada gangguan daripada pejabat melainkan ianya suatu kecemasan.

Tangan yang memegang tetikus dilarikan sedikit. Mencari ikon anak panah untuk membuat label kepada setiap perincian lukisan menara telekomunikasi di salah sebuah tapak projek yang sedang dikendalikan oleh syarikat tempatnya berkerja. Baru tiga bulan dia bergelar pekerja tetap di syarikat itu setelah satu tahun jawatan kontrak disandang. Ketika surat tawaran itu diterima bukan kepalang dia bergembira. Penat lelah usahanya berbaloi dengan tawaran yang diberikan. Dan mana mungkin setelah menerima posesi tetap itu dia akan mengambil ringan akan tanggungjawabnya kini. Usaha untuk berkhidmat mahu digandakan. Dia enggan terlihat kalah kepada rakan baik yang terlebih dahulu mendahuluinya dari segi pencapaian.

"Tahniah, Lisa. Tak sangka kau dapat naik jawatan secepat ni." ucapnya dengan wajah yang berseri dengan senyuman. Padahal, hatinya luka dirobek.

"Itulah... Aku pun tak sangka diorang akan pilih aku. Kau taukan kita masih baru dekat syarikat. Tiba-tiba aku dipilih sebagai pembantu team leader mana tak terkejut." sahut Lisa sambil menutup mulutnya dengan kedua tangan.

Cuba menutupi perasaan teruja yang keterlaluan dari kelihatan. Juga rasa segan yang dirasakan apabila ucapan tahniah tidak putus diterimanya sejak berita itu diumumkan.

Amy, cuma mampu senyum. Senyuman yang terkandung kepura-puraan. Kali kedua. Ini merupakan kali kedua rakan baik yang dikenali semenjak mereka bersama-sama menjalani latihan industri di syarikat itu mendapat habuan dari syarikat. Sebelum ini ketika tamat latihan, dia berputih mata tatkala melihat Lisa menerima surat tawaran sebagai pekerja tetap. Dia cuba memohon jawatan yang sama tetapi alasan syarikat menghampakan.

"Jawatan untuk permanent staff dah ditutup. Kita dah cukup staf,"

Dia terkedu. Benarkah dah cukup? Bukankah dia pernah terdengar beberapa keluhan di pejabat yang meminta kakitangan ditambah bagi menampung beban kerja yang bertambah. Namun, isi hatinya kekal menjadi rahsia hati. Mulutnya terkunci rapat untuk bertanya lanjut kepada staf yang mesra melayaninya ketika itu.

"Tapi, company ada buka jawatan kontrak untuk documentation department. You, mau?" ucap Jenny selaku eksekutif di Jabatan Sumber Manusia itu.

Dia tidak membantah. Asalkan mendapat pekerjaan di bidang yang digemari itu dia tidak peduli apakah status jawatan yang disandang.

Lalu, bermulalah kehidupannya sebagai seorang pekerja kontrak di syarikat. Dia mengharapkan kedudukannya diangkat pada tahap sepatutnya namun, keadaannya masih tidak berubah seperti mana dia menjalani latihan industri sebelum ini. Dia masih merasai layanan yang sama yang diterimanya dahulu.

"Amy, drawing semalam reject. Kena amend. I dah email dekat you." ujar Kak Shamala yang bertugas satu tim dengannya.

"Alright." sahutnya meskipun dia sedar kesilapan yang datang dalam lukisan itu bukanlah dari tangannya sendiri.

"Amy, details yang digunakan untuk antenna proposal tak betul. You cari detail yang tepat dan betulkan dokumen sebelum jam 1, okay?"

Abang Mat yang bertugas sebagai site surveyor mengarahkan.

"OK." sahutnya lalu tersenyum tipis memandang lelaki tegap yang berusia awal tiga puluhan itu.

"Macam tulah adik abang Mat. Tolong abang dia yang dalam kesusahan." tambah Abang Mat berbaur usikan.

Dia tidak menyahut. Ketika dia susah di mana pula mereka? Ketika dia dimarahi oleh Encik Faiz selaku pengurus projek akibat daripada kesilapan percetakan proposal di mana mereka? Masing-masing melepas tangan. Membisu enggan mengaku kesilapan sendiri. Walhal ketika itu dia cuma ditugaskan untuk menyusun fail proposal tersebut yang bakal dihantar kepada tim pelaksana pula.

Hatinya, memendam geram. Pembahagian laporan untuk setiap tapak projek telah dibagikan awal dahulu. Tugas utamanya membuat laporan selain menjadi pembantu kepada drafter yang bertanggungjawab ke atas setiap draf lukisan yang akan diterjemahkan kepada lukisan berkomputer.

Pernah sekali dia mengadukan perihal layanan staf lain terhadapnya kepada Lisa. Namun, dengan mudah gadis itu menolak.

"Alah, biasalah Amy...Kitakan staf junior. Kena ragging tak sah." ujar Lisa ketika mereka sedang duduk berehat di luar kawasan surau.

Dilepaskan satu keluhan kecil. Dia sedar gadis itu sedang cuba memujuknya.

"Tapi, benganglah. Aku tak tahu apa-apa pun pasal projek tu. Tiba-tiba Kak Siti yang in charge mintak aku tolong Abang Jai susun dokumen. Aku ikut ajelah. Tup...tup, Encik Faiz marah aku sebab tak check dulu semua dokumen sebelum release. Kalau jadi kat kau sakit hati tak?" luahnya dengan perasaan marah yang tak mampu dibendung lagi.

Sebentar tadi setelah dimarahi oleh Encik Faiz, dia terus keluar ke aras itu. Mahu mengambil angin dan menenangkan diri. Tidak sedar bila waktunya Lisa mengekorinya ke situ.

"Manusiakan tak lari dari buat silap." kata Lisa lembut.

Eh, ni nak pujuk ke nak backup orang lain?

"Tapi, aku tak buat silap!" jawab Amy dengan perasaan tidak puas hati.

"Ya. Kau memang tak silap, Amy. Tak salah. Tapi kau salah dengan lari macam ni. Kenapa kau tak bela diri kau tadi? Kenapa kau diam je tadi?" soal Lisa pula.

Pertanyaan itu terselit kebenaran. Amy membisu sejenak. Mengapa dia berdiam diri sahaja ketika dimarahi tadi? Kenapa tidak dia bersuara lalu membela diri dari dituduh seperti seorang pesalah?

"Aku bimbang aku akan dipecat kalau melawan." sahutnya dengan suara yang perlahan. Segan kerana telah menampakkan kelemahan diri yang ingin ditutupi sebelum ini.

Ya. Katalah apa saja tentang dirinya. Memang dia penakut. Pengecut. Dia tidak berani untuk melawan staf yang lebih senior dan berpangkat darinya kerana dia amat memerlukan pekerjaan yang sedang dipegang itu. Dia sedar akan hakikat zaman sukar ketika ini. Bertukar kerja bukanlah seperti bertukar baju. Banyak risiko yang perlu dihadapi seandainya pekerjaan itu dibuat mudah. Dan, untuk mendapatkan kembali pekerjaan itu bukanlah perkara yang senang.

"Dah kalau kau di pihak yang benar jangan kau takut. Aku kan ada. Kalau dari awal kau cerita kat aku dapat jugak aku tolong tadi." pesan Lisa sedikit kesal dengan cara Amy yang enggan berkongsi masalah itu.

Bagi Lisa, dia menganggap Amy sebagai teman kerja yang terpaling akrab di syarikat. Meski pernah beberapa kali melihat wajah mendung gadis itu namun, Amy belum sekali mahu berkongsi dengannya masalah yang menimpanya. Lisa buntu. Gadis itu terlalu perahsia orangnya. Jadi, agak sukar untuknya membantu seandainya Amy sendiri enggan memberi ruang.

"Tak mengapalah. Kau sabar, ye. Ada kalanya bila jadi macam ni bagus jugak. Kita dapat kutip banyak pengalaman kerja, kan?" ujar Lisa lagi setelah melihat Amy cuma diam bungkam. Barangkali gadis itu mahu bersendirian ketika ini. Tanpa menunggu lama Lisa mengundurkan diri.

"Sabar konon! Huh!" tutur Amy sambil menjeling sosok Lisa yang sudah jauh beredar ke arah pintu keluar dari kawasan surau itu. Pandangannya melebar ke segenap ruang. Seandainya dia berseorang mau dia menjerit sekuat hati. Melepaskan tekanan yang mencengkam juga beban yang dipikul hampir dua tahun ini. Dia bernafas dalam. Sesak. Tiada rasa kelegaan meskipun ritual itu seringkali dibuat ketika dadanya terasa sempit.

Bunyi notifikasi yang terbit dari komputer menyedarkan Amy dari dunia khayalan kepada realiti. Dia terkebil seketika. Secepat kilat membawa tetikus kepada aplikasi WhatsApp Web. Mesej peribadi daripada Abang Mat diterima.

Amy, lukis draf ni. Esok jam 10 abg nak

Dilepaskan genggaman pada tetikus. Gelas kopi diangkat. Duduknya disandarkan ke kerusi beroda itu. Sambil menggoyangkan kerusi ke kiri dan kanan dia menatap mesej itu tanpa berkelip. Kopi itu diteguk lalu dia bangkit dan menuju ke pantri. Gelas dicuci bersih sebelum dia kembali ke meja kerja. Laporan untuk tapak projek Astana Raja telah siap dengan lukisan dari AutoCAD itu telah berjaya disiapkan. Dia memeriksa untuk kali terakhir setiap dokumen berkaitan. Berpuas hati barulah dia mula menaip sebuah email ringkas kepada Encik Faiz. Dokumen dan lukisan itu dilampirkan kepada email. Komputer ditutup dan barangan peribadi miliknya pula dikemaskan. Setelah menutup beberapa suis barulah dia menapak keluar dari aras itu. Kerja yang dipinta oleh Abang Mat akan dilaksanakan esok!

Previous: Bab 9
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.