Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 31


Usai berwuduk, solat Asar ditunaikan. Setelah selesai, Suraya duduk bersandar di dinding. Kain telekung enggan lagi dibuka. Duduknya bersendirian di dalam surau berkeluasan sederhana itu. Waktu puncak begini, kebiasaannya pekerja pejabat sedang bergegas pulang. Yang tinggal pula hanyalah segelintir sahaja.

Beg komputer riba dan sebuah beg silang dibawa dekat. Telefon dikeluarkan dari beg silang itu dan sekali lagi pesanan dihantar kepada Hanis memaklumkan akan kepulangannya bersama Dr. Adrian. Laju temannya membalas. Mesej berbaur usikan.

'Cisss!'

Telefon yang dipegang dibiarkan melorot di atas ribaan sebelum kepala disandarkan ke dinding dan kelopak mata dipejam rapat.

Penat, letih, lenguh juga lapar.

Tiba-tiba, bunyi getaran telefon di atas ribaan mengganggu khayalan yang hampir-hampir menghanyutkan ke alam lena. Dalam keadaan yang mamai, diambil telefon itu lalu terus ditekan ikon hijau tanpa melihat nama si pemanggil.

"Tak cukup mesej kau telefon pulak. Tak puas lagi ke nak usik aku?.." tuturnya dengan suara yang lemau dan malas.

"Suraya..."

Kelopak mata luas terbuka. Mati-mati diingatkan Hanis yang menelefon.

"Awak dekat mana? Surau ke?" tanya Dr. Adrian.

Tidak sengaja, nafas yang dihembus kedengaran seperti satu keluhan.

"Kenapa? Penat sangat ke?" soal Dr. Adrian lagi.

Suraya menggigit lidahnya.

"Erm."

Sepatah dia menjawab.

"Suraya Anne, lagi sekali awak jawab guna sepatah kata tu lagi, dalam masa lima saat saya masuk dalam tu!" Dr. Adrian berkata dengan nada ancaman.

Kaget. Terus tegak duduk Suraya.

"Iye... Saya penat. Mengantuk. Lapar. Nak balik." sahutnya tidak bersemangat.

"Nak dekat jam tujuh. Sikit lagi dah masuk waktu. Boleh tak awak sabar sekejap? Kita solat dulu lepas tu kita gerak, okay?"

"OK," tuturnya bersetuju.

Masuk waktu Maghrib, kewajipan ditunaikan. Setelah selesai berkemas dan mengenakan kembali tudungnya, dia duduk pula di sebuah bangku batu di ruang meletak kasut. Memakai stokin dan disarungkan kasut ke kaki. Daun pintu ditarik dan figura Dr. Adrian yang sedang bersandar di dinding bertentangan menyapu pandangan. Lelaki itu sedang menunggunya.

Dr. Adrian, melangkah terlebih dahulu. Menuju ke arah lif barang yang tersorok itu. Suasana senja sepi ketika ini. Suraya mempercepatkan langkah. Rapat mengekori menuju ke aras empat. Sunyi sekali lagi mengisi suasana tanpa tanda-tanda kehadiran staf yang lain.

"Hai!"

"Arrghhhhh!!!"

Agak kuat dia menjerit kerana terperanjat. Kepala tertoleh memandang Zaf yang sedang bersandar di dinding berdekatan lif dengan wajah sedang menahan tawa.

Cisss!!!

Diurut perlahan dada yang bergetar.

"This little brat." ujar Dr. Adrian lalu mendekati remaja itu dan menjentik kuat.

Zaf menyeringai lantas membawa tangan menggosok dahi yang sakit.

"Sakit dowh..." rungut Zaf selamba.

"Lain kali bagi salam." kata Dr. Adrian lantas menyerahkan beg galasnya kepada anak muda itu dan kembali mendekati keretanya.

Ditekan alarm dan dipelawa Suraya masuk. Zaf yang masih tidak berpuas hati kena jentik terus menyerbu tempat duduk belakang. Lambat-lambat, Suraya melangkah mengambil tempat duduk di sebelah pemandu. Sebaik masuk, dia mengerling ke arah remaja di belakangnya yang tidak henti tersengih memandang.

"Zaf..." seru Dr. Adrian sambil melirik cermin pandang belakang.

"Sorry, Miss Anne." tutur Zaf datar. Dia tidak sengaja mengejutkan gadis itu tadi. Fikirnya kehadiran dia di situ tadi disedari.

Suraya, mengeluh perlahan. Senak dadanya sebentar tadi menahan rasa terkejut akibat perbuatan Zaf itu. Isy, orang tengah seram dia pergi tambah lagi rasa tu. Mana tak terperanjat!

"Erm, Zaf nak ke mana? Bukan ke tadi dah balik?" soalnya perlahan. Kelakuan Zaf diabaikan sahaja. Sikit pun tidak mengambil hati.

"Dia masih ada kerja dengan saya. Jadi, terus saya angkut sekali. Do you mind?"

Dr. Adrian terlebih dahulu menjawab bagi pihak Zaf yang mula menyendiri dengan telefon pintar di tangan.

"Eh, tak.. tak." pantas Suraya menyahut.

Dr. Adrian mula menghidupkan enjin kereta setelah melirik kepadanya sebentar.

"Takut sangat ke?" soal lelaki itu ketika kenderaan mula bergerak perlahan.

Suraya memegang kejap beg di ribaan. Bukan takut tapi terkejut!

"Hei, mana satu yang awak lagi takut? Zaf ke saya?" soal Dr. Adrian lagi setelah tiada jawapan balas.

Suraya menggigit bibir. Segan mengenangkan Zaf yang menjadi pendengar perbualan itu.

"Dua-dua." sahutnya spontan.

"Satu hari nanti, saya harap takut awak pada saya tu tak wujud lagi."

Diam. Bertambah segan. Lelaki itu selamba sahaja berkata sedangkan dia tahu kata-katanya itu dapat didengari dengan jelas oleh anak muda di belakang mereka.

'Hisy, coverlah sikit!'

"Alright. Jom pergi makan dulu." ujar Dr. Adrian enggan memanjangkan perbualan itu.

Suraya mengangguk. Memang perutnya tengah lapar sangat ketika ini. Zaf di belakang pula hanya mendiamkan diri. Terasing dalam hal sendiri.

Dr. Adrian membawa mereka ke Kampung Baru. Ke sebuah restoran masakan bermenu ala Thai. Sepinggan nasi goreng dipesan untuknya manakala Dr. Adrian memilih mi goreng. Zaf pula diarahkan oleh Dr. Adrian supaya duduk di meja berasingan. Awalnya, Suraya membantah arahan itu tetapi, Zaf kelihatan tidak ambil pusing. Menurut sahaja dan duduk di meja bersebelahan. Hairan. Namun, didiamkan sahaja.

Memandangkan malam masih awal, keadaan di dalam restoran yang bergemerlapan dengan sinaran lampu candelier bersaiz kecil itu agak lengang. Hanya tiga buah meja sahaja yang dipenuhi dengan pelanggan.

"Suraya, sebenarnya saya ada banyak perkara nak bincang dengan awak tapi, saya sibuk. Terlalu sibuk dengan kerja."

"Bincang apa pulak?"

"Perkahwinan kita,"

Lantas, Suraya tertunduk malu. Baru teringat akan janji yang terpatri di antara abah dan lelaki itu.

"Macam mana? Awak, okay?" soal Dr. Adrian lagi.

Diangkat wajahnya. Air muka nampak tenang walhal, jiwanya gelisah. Jari jemari di bawah meja bermain sesama sendiri. Dikerling Zaf di meja sebelah. Fokus menilik telefon dengan fon kepala yang tersadai di tengkuk sudah melekap di telinga pula. Barulah dia faham kenapa remaja itu disuruh duduk di meja berasingan.

"I'm alright. Saya tak kisah." bohongnya. Sebenarnya, andai dipanjangkan lagi tempoh kesibukan itu lagilah dia suka.

"No. Saya janji tak kan ambil masa yang lama. Cuma saya perlu selesaikan beberapa perkara dulu."

"Eh, tak perlu gopoh-gapah. Awak selesaikanlah kerja awak tu." sahutnya memancing agar lelaki itu tidak berasa bersalah melewatkan agenda istimewa abah itu.

"Thanks." tutur Dr. Adrian ringkas.

Suraya kembali menundukkan wajah. Memerhati hidangan yang siap di hadapan dengan pandangan yang jauh mendalam. Lelaki itu, nampaknya benar-benar menjunjung janji. Tetapi, kenapa begitu? Kenapa bersemangat untuk melaksanakan sedangkan perasaannya telah termaklum awal dulu. Tak terfikir ke lelaki itu untuk memberinya peluang dan ruang untuk memujuk diri menerima takdir itu walaupun sebenarnya, hakikat itu telah mula dapat diterima sedikit demi sedikit. Cuma, belum mampu untuk ditelan sepenuhnya.

"Makan, Suraya."

Tergamam. Tak sangka aksinya merenung itu disedari oleh lelaki itu. Seperti arwah mummy, rupa-rupanya lelaki itu juga gemar makan di dalam keadaan senyap. Tiada sepatah kata yang keluar semasa mereka bersama-sama menghabiskan makanan itu.

Selesai membayar bil, mereka bertiga kembali ke kereta. Suasana malam di kawasan yang terkenal seantero dunia itu mula meriah dengan deretan kenderaan yang berpusu-pusu masuk ke kawasan itu.

Usai masuk ke dalam kereta, tali pinggang keledar disematkan dan dia menyandarkan tubuh dengan perasaan lega. Rehat. Itulah yang diperlukan ketika ini.

"Kalau awak refuse untuk join DT team, saya terima. I won't blame you." ujar Dr. Adrian ketika kereta mula dipandu. Kasihan pula melihat keadaan gadis itu yang jelas kepenatan.

"Eh, kenapa pulak? Saya okay, je. Maybe my first time. Lama kelamaan, biasalah." kata Suraya enggan mengalah.

Dr. Adrian senyum sedikit. Bangga.

"Suraya, tentang perlakuan Ben pada awak masa meeting dulu saya rasa awak patut buat sesuatu."

Topik yang tak semena-mena termasuk dalam perbualan menarik minatnya. Ditoleh sebentar ke arah lelaki itu.

"Maksud awak, file a report?" soalnya.

"Ha'ah."

"Tak payahlah. Macam mana saya abaikan Abang Zam samalah dengan Ben. Biarkanlah diorang tu." ujarnya lancar sebelum biji matanya dibulatkan.

Haa!.. Penat sangat kot. Dah dia terlepas cakap. Dan pasti,

"Zaf, turn up your volume," arah Dr. Adrian kepada Zaf yang diam di belakang.

"Sebelum ni? Apa maksud awak, Suraya?" soal Dr. Adrian tanpa berlengah.

Haih!.. Teramat pasti sesi soal jawab bakal berlangsung. Ditarik tangan berpeluk tubuh. Dingin walhal suhu penyaman udara pada tahap sederhana. Mungkin kerana topik itu yang membuatkan suhu tubuhnya berubah.

"Suraya, kali ketiga. Saya tak nak jawapan kosong dari awak. Tolong berterus-terang sekarang." pinta lelaki itu berbaur arahan.

Suraya menjeling. Dari tadi selamba sahaja lelaki itu berbual tanpa bimbangkan Zaf mendengar. Dan Zaf pula, agaknya memang anak muda itu kerjanya mengikut sahaja arahan yang diterima daripada Dr. Adrian. Ditoleh sekali imbas ke belakang untuk memastikan. Leka remaja itu bermain dengan telefon dan fon kepala melekap di kepalanya. Pandangan dibawa ke depan kembali. Melalui ekor mata dilihat Dr. Adrian yang sesekali menoleh ke arahnya.

'Isy, benda remeh macam tu pun sibuk nak peduli.'

"Sebenarnya, mungkin saya salah faham sebab tu saya tak ceritakan pada sesiapa,"

Dalam keterpaksaan, kisah yang ingin ditutup dari halaman diari kenangan dibentangkan kembali.

"Zamri. Dia tahu saya tak pernah pandu kereta tu tapi, dia tetap suruh saya yang memandu. Setiap kali follow Zamri ke site atau meeting, saya jadi driver. Agak cuai bagi seorang team leader buat macam tu. Tapi, nak buat macam mana... Dah arahan."

"Selain dari tu?" tagih Dr. Adrian.

Dah alang-alang bercerita mungkin, lebih baik diceritakan semuanya supaya setelah itu tiada lagi persoalan dan pertanyaan yang harus diterima. Kemudian, tutup buku.

"Report. Kebanyakan site report saya siapkan. Dia cuma ajarkan. Tapi, saya tak kisah. Sebab saya nak timba pengalaman-.."

"That's, lack of judge-.. "

"Awak sindir saya ke?" sampuk Suraya sedikit geram. Ingatkan mahu mendengar curahan hati rupa-rupanya, mengecam pula dirinya.

"Jangan salah faham. Sikap berdiam diri awak yang saya persoalkan. Tak salah nak raih pengalaman tetapi dengan cara yang betul. Bila awak sendiri tak tegas pada diri awak mudahlah orang lain ambil kesempatan." tegur Dr. Adrian lagi.

Sumpah dia berasa tidak senang pula apabila ditegur secara berhadapan begitu. Padahal, statusnya ialah seorang mangsa. Dibawa lirikan ke luar. Mencari ketenangan dari kehangatan yang tiba-tiba menjalar di dalam ruang yang terhad itu.

Sepi. Sama-sama membiarkan kebisuan mengairi keadaan. Sejenak, dia memutar kembali kata-kata lelaki itu tadi.

"Mungkin... betul kata awak. Saya tak patut diam sebenarnya. Tapi, niat saya cuma nak buktikan kemampuan sahaja." tuturnya perlahan. Keinginan membela diri sebagai mangsa kekal. Penerangan sikapnya yang sengaja tidak membantah itu dijelaskan.

"Ya. Saya faham maksud awak, Suraya. Apa-apa pun, awak dah hadapi hasil kesilapan tu dan, jangan benda yang sama berulang lagi selepas ni." nasihat Dr. Adrian tak ubah seperti seorang penceramah motivasi.

Kelu. Namun, sedikit demi sedikit teguran itu masuk ke dalam jiwanya.

"Tapi, saya rasa bukan saya seorang yang kena macam ni." getusnya tiba-tiba. Fikiran, lantas melayang memikirkan seseorang.

"Maksud awak?" tanya Dr. Adrian ingin tahu. Aktiviti tidak sihat yang berlegar itu perlu ditangani sebelum ia menjadi barah dalam syarikat. Namun, sikap individu seperti Suraya yang mendiamkan perkara itu membuatkan proses penyiasatan menjadi sukar.

"Entahlah. Saya tak berani nak cakap sebab saya belum pasti dengan keadaan sebenar. Cuma, dari agakan saya mungkin ada orang lain alami kisah yang sama tetapi berbeza situasi."

Dr. Adrian diam tidak menyahut. Namun, maklumat kecil begitu penting baginya untuk tindakan kemudian nanti.

"Apa-apa pun, jangan biarkan perkara macam ni terjadi lagi." ujar Dr. Adrian benar-benar berharap gadis itu mengambil kata-kata itu sebagai ingatan.

"Dengan Ben, saya tak ambil hati. Sebab, walaupun duduk di bawah team yang sama kami jarang bertemu. Dan, hanya sekali saja provokasi yang saya terima. Jadi, buat apa dipanjangkan lagi perkara tu." terang Suraya akan kata putus yang telah dibuat. Dijeling sekilas lelaki itu yang sedang fokus pada pemanduan. Andai lelaki itu berkeras mahukan dia membuat laporan ke atas kejadian yang menimpanya sebelum ini dia memiliki alasan kukuh untuk menolaknya. Dia sendiri tidak mempunyai bukti untuk mensabitkan lelaki itu. Titik.

"Fine. Kalau itu keputusan awak. Tapi, saya tak kan berdiam diri." sahut Dr. Adrian seakan berikrar.

Suraya enggan mengulas. Ditepis sahaja pendirian lelaki itu dari mengasak dirinya ikut berhujah sebelum satu perkara melintasi mindanya.

"Well, how about you?" getusnya secara tiba-tiba.

"Me? What about me?" soal Dr. Adrian seraya menoleh ke arahnya sebentar.

"Are you serious, Suraya? Kalau saya tak salah teka, awak fikir saya dah lakukan sexual harassment pada awak? Macam tu?"

Mulut Suraya sedikit terbuka. Spontan menoleh ke arah lelaki di sisinya itu dengan perasaan tidak percaya. Macam mana lelaki itu boleh membaca fikirannya tanpa perlu dia membuka mulut?

"Betul awak fikir saya lelaki macam tu?" tanya Dr. Adrian lagi. Sejuring senyuman kilas dipamer oleh lelaki itu.

Suraya, menarik panjang.

"Tak." sahutnya ringkas.

"Kenapa? Bukan perbuatan saya menunjuk ke arah itu ke?"

"Tak."

"Habis tu, apa dia?"

Diam.

Satu kali. Hanya sekali itu sahaja lelaki itu melangkaui batas sempadan dengan alasan tak mampu berfikir bila berhadapan dengan dirinya. Kemudian, mungkin setelah belajar dari kesilapan, ia tidak lagi berulang. Tanda sempadan dihormati. Lelaki itu sendiri tahu di mana poin untuknya berhenti dan menjarakkan diri.

"Mungkin, awak tersilap. Tak sengaja. That's it." ungkapnya perlahan.

"I guess... you're right," sahut lelaki itu dengan mudah menerima kata putus itu. Mungkin lebih baik tidak lagi diungkitkan perihal itu. Dia sendiri terkadang bengang apabila memikirkan perbuatan lelaki itu sebelum ini. Barangkali, lelaki itu sendiri pun menyesal tak sudah kerana terlanjur berbuat begitu.

Sepi.

"Erm... Suraya," seru Dr. Adrian.

Melalui ekor mata dilihat lelaki itu tidak lagi memandang ke arahnya ketika mula bertutur seperti sebelum ini.

"Last few weeks, awak marah saya, kan?" tambah Dr. Adrian kemudian.

Suraya melirik ke wajah yang tenang itu. Fikiran, melayang kepada rentetan minggu-minggu terkemudian. Tidak perasan kenderaan berhenti akibat sekatan lampu isyarat. Tatkala lelaki itu turut berpaling merenungnya cepat-cepat wajahnya dipalingkan kembali ke depan.

"Marah? Bila masa?" soalnya separuh jujur. Sebenarnya dia tahu isu yang disebutkan itu. Cuma, dia enggan mengungkit. Boleh jadi apa yang terlihat adalah kesilapan kedua matanya.

"Hari arwah dikebumikan." jawab Dr. Adrian perlahan. Semahunya episod itu mahu dikecualikan dari diperkatakan namun, permulaan kedinginan itu bermula pada hari yang duka itu.

Suraya menelan air liur. Langsung membuang pandang ke luar. Menahan emosi yang tiba-tiba menerpa sebelum menarik panjang.

"Oh. Ye...Saya marah." sahutnya melawan perasaan yang menghunjam dengan melihat suasana di jalanan.

"Kenapa? Apa saya dah buat masa tu sampai awak marah?" tanya Dr. Adrian lantas kereta yang baru bergerak berhenti lagi.

Suraya berpaling. Mengerling ke hadapan. Sekali lagi lampu merah menahan pergerakan. Dia, dah tak sabar mahu sampai ke rumah. Perjalanan yang dilewati terasa lama dengan kenderaan yang panjang berbaris di atas jalan. Lebih lama duduk dalam kereta tentu lagi banyak soalan yang dikemukakan oleh lelaki itu.

'Hisy, kenapa banyak pulak kereta memalam ni?'

"Maksu Azah." jawabnya sepatah. Pandangan terus dipakukan ke depan.

"Oh..."

"Oh?.. Jadi awak fahamlah maksud saya?" tukasnya. Jadi, matanya memang tak salah menilai! Isy!

"No. Saya langsung tak faham apa maksud awak." sahut Dr. Adrian selamba.

Suraya menarik tangan berpeluk tubuh. Mulalah nak naik darah dengan sikap lelaki itu.

"Awak jangan main-main, boleh tak? Kalau awak masih macam ni saya larikan diri. Saya tak nak kahwin dengan lelaki mata keranjang, hidung belang dan buaya darat macam awak ni!" bentaknya. Puas hati dapat meluahkan kemarahan yang tersirat dan tersurat terhadap lelaki itu. Turun naik nafasnya mengawal diri dari berlebihan marah. Kewujudan Zaf di belakang juga tidak dihiraukan lagi. Jikalau Dr. Adrian sendiri tampak yakin dengan perilaku remaja itu, dia juga begitu.

"Itu yang awak nampak pada saya?"

"Oh, sekarang tak nak mengakulah? Saya nampak dengan mata saya sendiri macam mana awak tengok Maksu Azah tu. Menyampahlah! Kalau taste awak orang dah berusia kenapa setuju dengan permintaan abah saya? Awak nak main-mainkan kami ke? Dengan keadaan kami macam ni..." Meledak amarah yang dipendam selama ini. Hujungnya, dia sendiri dipalit perasaan hiba. Kelopak mata dipejamkan sebentar. Dada berombak kencang.

Dr. Adrian langsung tak berbunyi di sebelah. Huh! Malulah tu!

Kenderaan yang dipandu semakin hampir ke destinasi. Bangunan mega yang dicat gelap namun apabila menjelang malam kerlipan neon berwarna merah jambu itu terpasang menjadi penanda buatnya mengenali akan daerah itu. Kenderaan, tiba-tiba membelok ke suatu lorong. Ke arah sebuah tasik yang berdekatan dengan rumah sewanya. Suraya menjeling geram. Dahlah penat masih dibawa ke tempat lain pula. Betul-betul mungkir janji!

Tiba di sebuah kawasan parkir yang terang benderang, kenderaan itu berhenti. Dia menjeling kiri dan kanan. Agak banyak kereta yang diparkir di situ. Barangkali ada yang mengambil kesempatan bersenam atau beriadah pada waktu malam hari.

"Awak silap, Suraya Anne. Seratus peratus silap dan salah." tutur Dr. Adrian kemudian ketawa kecil seperti dibuat-buat.

"Habis tu, apa yang betulnya?"

Belum mahu mengalah dia bertanya dengan perasaan marah masih berbaki. Kepala ditoleh ke arah berlawanan. Menikmati bayangan cahaya yang berliuk-liuk di permukaan tasik buatan dipilih dari bertukar pandang dengan lelaki itu.

"Maksu Azah, seseorang yang istimewa. Seseorang yang saya kenal-.. Buat masa sekarang, itu saja yang saya boleh bagitau. Tapi, saya janji saya akan ceritakan segala-galanya pada awak bila sampai masanya."

Suraya menoleh kembali. Baru mahu dengar dengan lebih lanjut ia sudah diputuskan. Bengang. Dan geram melihat roman itu sentiasa dipastikan tenang. Tidak seperti dirinya yang mudah dibaca. Ditarik nafas yang dalam. Memujuk diri supaya saki baki amarah itu dipadamkan. Sebenarnya, dia sendiri hairan. Mengapa mudah benar kemarahannya terhadap lelaki itu tercetus. Mengapa tidak dia mampu untuk berbicara dengan tenang padahal jalan itulah yang sering dipilih.

"Awak, ada terlalu banyak rahsia, Adrian. Saya betul-betul tak kenal siapa awak yang sebenar-benarnya. Sebab tu saya takut nak kahwin dengan awak." ujarnya sebelum melepaskan satu keluhan. Lapang dada kerana pilihan yang seringkali diambil dilaksanakan.

"That's it. Panggil Adrian kan lebih mesra..,"

Suraya menggigit bibir. Baru tersedar.

"Jadi, kalau saya tak ada rahsia awak mahulah kahwin dengan saya?" tambah Dr. Adrian lagi.

Kelu. Kata-kata itu telah menjerat dirinya sendiri tanpa dia sedari.

"Apa yang awak nak tahu tentang saya? Shoot!" tutur Dr. Adrian bersahaja.

"Saya nak tahu awak betul-betul serius ke dengan perkahwinan ni? Mungkin sebenarnya awak tak plan nak kahwin pun tapi, sebab abah saya, awak terpaksa setuju. Betul tak?"

Lega. Kerana persoalan yang satu itu memang sering bermain di benaknya. Masakan dia sendiri tidak bersetuju apatah lagi lelaki itu yang sedang berada dalam dekad premier kehidupannya.

Dr. Adrian, mengetuk-ngetuk stereng kereta dengan jari jemarinya. Satu keluhan kecil kedengaran.

"Yup, awak betul. Memang saya tak plan nak kahwin. Tapi lepas jumpa awak terus saya pasang niat. Bukan dengan orang lain... Hanya awak."

Suraya mendengus.

"Main-main pulak." getusnya geram.

Dr. Adrian tertawa. Sebentar. Dia tidak berkecil hati dianggap bermain-main meskipun perasaan sebenarnya telahpun diluahkan sebentar tadi. Dengan Suraya, dia perlu berhati-hati membidik hati dan perasaan gadis itu. Dia akan bersabar. Dan, sanggup bersabar.

"Lain-lain soalan?" soal Dr. Adrian pula.

Suraya berdehem beberapa kali. Pura-pura mencongak sebentar.

"Nama penuh awak, umur, tempat tinggal... Yang lain saya lupa." ujarnya selamba. Dijeling sekilas. Senyuman masih berlingkar di wajah tenang itu.

"Tak apa. Nanti, bila dah kahwin awak tanyalah apa saja. Yang pertama, nama saya Adrian Rudy Bin Kamal Rudy,"

Lantas Suraya berpaling. Oh, begitu namanya. Agak menarik.

"Nice to meet you, Suraya Anne Binti Ahmad Fauzi." kata Dr. Adrian sambil mengenyitkan matanya.

Suraya tersipu. Kembali melarikan wajah.

"Kedua, umur saya tiga puluh tahun dan saya tinggal tak jauh dari sini."

Diam. Ralit mendengar informasi baru tentang lelaki yang bakal menjadi suaminya itu.

"Adik-beradik?" soalnya kemudian.

"Kita sama, Suraya."

Oh. Dia terpana. Terkelip-kelip dia menatap wajah Dr. Adrian yang sedang merenung ke arah yang lain. Kurang selesa agaknya apabila soal peribadi itu menjadi bualan. Anak tunggal. Tidak beribu. Ada bapa tetapi, menghilangkan diri. Tidakkah nasib lelaki itu agak malang jika mahu dibandingkan. Simpati melimpah. Juga rasa malu. Malu besar tatkala mengenang sikap dan tindak-tanduknya terhadap lelaki itu sebelum ini.

"Saya, minta maaf,"

Sebaik dirasakan tatapan Dr. Adrian terarah padanya, dia pula berkalih pandang. Segan.

"Sebelum ni saya agak kasar melayan awak. Sedangkan awak banyak tolong saya. Terlalu banyak." tuturnya penuh kekesalan dengan wajah yang menunduk.

"It's alright. Kita kan tak saling kenal... Salah faham perkara biasa. Jom balik. Nak tidur, kan?" usik Dr. Adrian. Dia bahagia. Tamat sudah perselisihan yang timbul diganti dengan perasaan indah yang memekar di jiwa.

Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.