Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 41


Ada getaran yang bergema di dalam dada sebaik melihat refleksi diri pada cermin besar di hadapannya. Malam itu, merupakan malam penamat zaman bujangnya. Perancangan untuk kahwin lari dari tarikh yang diinginkan oleh Dr. Adrian. Terlajak tiga minggu kerana dia perlu berurusan dengan pihak mahkamah syariah bagi mendapatkan kebenaran bernikah menggunakan wali hakim.

Dada, terhimpit sarat. Tepu ditindih pelbagai rasa. Tanpa sedar, hasrat arwah abah hampir diselesaikan. Tetapi, bagaimana pula dengan keinginan sendiri? Kosong. Kemahuan dan kehendak telah diikat rapi. Acap kali terkenangkan kedua arwah orang tuanya, dia diburu tuntutan agar segera melaksanakan amanah yang belum disempurnakan itu. Setelah terbiasa menjadi seorang anak yang patuh dan taat kepada ibu dan bapa tak tersangka sikap itu kuat mendominasi dirinya meskipun setelah mereka tiada.

Suraya menilik lagi imejnya itu. Bukan tak puas tetapi, mencuri masa untuk menenangkan diri. Tipulah jikalau dia tidak berasa gelisah dan gementar. Namun, demi tanggungjawab, perasaan itu cuba dipujuk dan dilenturkan. Sesekali, ia menjadi. Sesekali sakan gementar mencelah.

Baju kurung moden kepunyaan Hanis yang dikenakan oleh gadis itu sewaktu hari pertunangan dahulu tersarung molek di tubuhnya. Tiada hati untuk mencari satu persalinan seperti mana kelaziman pasangan yang bergelar raja sehari. Kepada Dr. Adrian langsung tiada perbincangan tentang persiapan persalinan. Dan, lelaki pula seperti mengikut sahaja rentaknya itu.

Sehelai tudung bawal berona bronze lembut yang melengkapkan penampilan dikemaskan sedikit. Hanis yang mendandannya ketika berada di rumah tadi. Hanya dandanan ringkas kerana majlisnya itu cuma sebuah majlis yang kecil juga, ringkas. Atas permintaannya dan seperti biasa dipersetujui oleh Dr. Adrian, mereka sepakat melangsungkan akad nikah itu di pejabat kadi sahaja. Jurunikah yang bertanggungjawab pula merupakan kenalan Pak Long. Maka, urusan yang disangka berat itu akhirnya dapat diselesaikan juga dengan kerjasama dan bantuan mereka di sekelilingnya itu.

Tuk! Tuk! Tuk!!

Bunyi ketukan di pintu memberi maksud tempoh take 5 itu sudah tamat. Sebaik dibukakan, teman baiknya itu sedang tersengih memandang.

"Masih cantik!" tutur Hanis dengan senyuman yang meleret.

Suraya cuma mampu tersenyum tipis.

"Kak Rin on the way. Dia terus shoot dari airport," maklum Hanis lantas menarik tangannya dan membawanya keluar untuk duduk di sebuah bangku sebentar.

Di kiri dan kanan, bilik-bilik pejabat tertutup rapat. Gelap. Hanya lampu di laluan koridor sahaja yang terang benderang.

"Adrian dah tukar baju dan mama kata majlis dah nak mula. Eh, uncle lawyer pun ada, lah. Kau jemput dia ke?"

Hanis terus berceloteh. Suraya mengangguk perlahan. Peguam yang dikatakan itu merupakan rakan arwah abah ketika sama-sama menuntut dahulu. Sebenarnya, Encik Rizman itulah yang terlebih dahulu menghubunginya sebelum ini. Beberapa minggu yang lalu, setelah tamat tempoh tiga hari dia berkabung di atas kematian abah, dia telah pergi menemui peguam itu dengan ditemani oleh Hanis. Kata Encik Rizman, abah terpanggil untuk merancang pengurusan harta peninggalan itu setelah terbabit di dalam kemalangan sebelum ini. Tidak banyak urusan yang perlu diselesaikan selepas kematian arwah kerana, tiap-tiap satu urusan yang perlu diuruskan awal-awal lagi telah disenaraikan di dalam satu lembaran yang panjang. Menitik air matanya ketika membaca tulisan tangan abah itu. Betapa abah seakan tahu ajal bakal menjemputnya tidak lama lagi.

"Suraya, dah bersedia ke? Tok kadi dah panggil tu," kata Encik Rizman yang datang menghampiri.

Didongakkan kepala. Lelaki yang seusia dengan arwah abah lengkap berpakaian baju Melayu dan bersampin. Salin tak tumpah. Bentuk tubuh dan ketinggiannya tidak lain hanya mengingatkannya kepada arwah abah.

Lama dia memandang tanpa berkelip. Tubir mata terasa hangat dan bergenang. Terasa tangan Hanis merangkul kemas bahunya. Memujuk dalam diam meski tiada langsung bicara yang terlontar dari bibirnya.

"Marilah kita masuk ke dalam." ucap Encik Rizman lembut. Pertama kali bertemu dia menerima layanan yang mesra dari lelaki itu. Mungkin kerana dia anak seorang kenalan. Namun, kali kedua pula bertemu kemesraan itu jelas ikhlas dan tidak pura-pura. Kini, kali ketiga dan kemesraan itu hanya mengingatkan dia kepada arwah abah yang tersayang.

Enggan melayan perasaan yang tercuit, dia bingkas bangun diikuti oleh Hanis. Sebaik tiba di dalam dewan yang bakal menyaksikan upacara ijab dan qabul berlangsung, kaki berhenti dari melangkah. Mak Long segera datang menghampiri. Dilayangkan satu senyuman yang tipis sebelum pandangan kembali ditundukkan. Segan sebaik merasakan sekumpulan lelaki yang berada tidak jauh dari kedudukan mereka mula menyedari akan kehadirannya itu. Tangan yang bertautan serasa digoyangkan. Dia menjeling. Mulut teman karibnya itu muncung ke arah satu sudut. Wajah yang menunduk diangkat sedikit. Terlihat Dr. Adrian berdiri di samping jurunikah, Pak Long, Encik Rizman dan juga Irfan. Sedang rancak berbual.

Sekilas, dilirik lelaki yang bakal menjadi suaminya sebentar lagi. Tampan dan segak. Tiada lagi jeans dan t-shirt putihnya. Sebaliknya, sepasang baju Melayu yang sama tona warna dengannya. Songkok turut dipakai oleh lelaki itu. Seingatnya, tiada janji antara mereka untuk mengenakan pakaian yang sedondon pada majlis itu. Nampaknya diam-diam lelaki itu menyediakannya sendirian.

"Pengantin perempuan dah ada? Marilah kita mula." seru jurunikah.

Menyedari dirinya sekali lagi menjadi tumpuan, dia kembali menundukkan wajah. Dilihat jurunikah itu menghampiri sebuah meja diikuti oleh Dr. Adrian. Kumpulan kecilnya mengekori.

Dia diminta untuk duduk bersebelahan dengan Dr. Adrian. Bergemuruh dadanya ketika punggung dilabuhkan. Di belakangnya Mak Long, Hanis, Ehsan dan Dani setia mendampingi. Para saksi pula duduk mengerumuni di sebelah kiri Dr. Adrian. Dimulai dengan Istighfar, Ta'awudz, Selawat dan Ummul Kitab, jurunikah mula memberikan sebuah khutbah ringkas. Kemudian, sedikit sesi soal jawab. Ungkapan ijab dan qabul dimulai. Makin berdebar dadanya ketika itu. Dan pasti! Dr. Adrian tentu lebih lagi.

Dengan sekali lafaz sahaja mereka telah sah bergelar pasangan suami dan isteri. Disambut sebuah bingkai gambar bersaiz comel yang berisi duit mas kahwin daripada lelaki yang baru dinikahi itu. Diletakkan di atas meja sebelum dia disuruh oleh Mak Long untuk menyalami tangan sang suami. Menggigil kedua tangannya ketika melihat huluran salam daripada Dr. Adrian menuju dekat kepadanya.

Pelik. Sejukkah suhu penyaman udara yang dipasang? Dua pasang tangan yang bersatu itu sama-sama kedinginan. Perlahan-lahan, dijatuhkan kepala. Mencium tangan yang turut rela untuk menunaikan amanat arwah abah itu diiringi air mata yang jatuh setitis demi setitis.

'Abah, amanah abah sudah Yaya laksanakan.'

Suraya menarik panjang sebelum kembali menegakkan tubuh sebelum bahunya terasa disentuh dari belakang. Lantas dia menoleh melihat Hanis menghulurkan helaian tisu. Disambut ia dengan tangan kanan dan, baru tersedar sebelah tangannya masih dalam genggaman seseorang. Lirikan jatuh melihat tangan kanan Dr. Adrian yang bersulam dengan tangan kirinya. Kaku untuknya menarik kembali. Dan segan untuk membuat gerakan.

Ketika lafaz taklik dan menandatangani dokumen dibuat pun tangan itu masih bertautan malah, makin kemas. Bertambah merah pipi Suraya. Sah Mak Long dan Hanis melihat dengan jelas akan aksi itu. Ketika majlis selesai dan hadirin mulai bangun barulah tangannya dilepaskan. Itu pun kerana Pak Long dan yang lain-lain mahu berjabat salam dengan Dr. Adrian di samping mengucapkan kata-kata syukur kerana majlis telah selesai.

Debaran, belum kebah ketika dia diminta bangun. Dua buah meja makan untuk tetamu telah disediakan. Ia diasingkan mengikut jantina. Dan dia bersyukur kerana jarak itu diperlukan olehnya untuk menenangkan dirinya yang masih gementar dengan sentuhan yang diterima itu.

"Hei, sorry lambat." sapa Kak Rin yang baru muncul.

Ketiga-tiga mereka serentak menoleh ke arah bekas pramugari itu yang baru pulang setelah bercuti kira-kira tiga hari di kampung halaman. Sepasang kurung Kedah cantik digayakan. Masing-masing berbalas senyum. Kak Rin lantas menghulurkan tangan kepada Mak Long.

"Dah selesai ke?" tanya Kak Rin.

Suraya mengangguk perlahan.

"Cantik betul pengantin malam ni." puji Kak Rin lagi. Meskipun hanya calitan ringkas, kecantikan semulajadi yang dimiliki oleh Suraya makin terserlah apabila mendapat sentuhan alatan solekan itu. 

Mak Long dan Hanis, sama-sama mengiyakan.

"Eh, yang tu ke suami Yaya?"

Kak Rin yang sudah menarik kerusi dan duduk di hadapan mereka memuncungkan mulut ke arah kumpulan lelaki itu. Hanya Hanis yang berpaling.

"Ha'ah." jawab Hanis ringkas melihatkan Suraya hanya mendiamkan diri.

"Lelaki gorgeous tu suami kau, Yaya?" Kak Rin berkata separuh berbisik.

Suraya, hanya mampu tersenyum kelat.

"Mak Long berkenan betul dengan Adrian tu. Elok nampak budi dan bicaranya. Nampaknya Yaya tak salah pilih. Kalau arwah masih ada tentu sama aje perasaan mereka dengan Mak Long ni." tutur Mak Long persis arwah mummy andai mahu dibandingkan.

Suraya diam membisu. Tersebut nama abah dan mummy membuatkan dadanya kembali berat. Air mata yang mengancam segera dilupuskan apabila nafas yang dalam ditarik. Satu senyuman tipis dipamerkan bimbang andai Mak Long terasa serba salah pula kerana terlanjur berbicara. Hanis, segera menyentuh lembut lengannya. Dilirik sekilas kedua orang teman serumah itu. Kepada mereka berdua sudah dipinta akujanji agar alasan pernikahan itu tidak sampai kepada pengetahuan sesiapa. Biar pecah di perut jangan pecah di mulut.

"Mak Long, jemput makan. Suraya?.."

Suraya tersentak. Dr. Adrian muncul tanpa dia sedari.

"Yelah, nanti Mak Long makan." ujar Mak Long berserta senyuman di bibir.

"Erm, sekejap lagi." katanya pula sedikit gugup apabila tersedar lelaki itu menantikan dirinya untuk berbicara. Sebelum berlalu, sekali lagi lelaki itu menjemput mereka yang ada untuk menjamu selera jamuan kecil-kecilan yang disediakan.

"Betul tak apa Mak Long cakap tadi? Tak adalah Mak Long bimbang, Yaya." ujar Mak Long dengan senyuman yang meleret.

Bibir Suraya senyum sedikit. Kemudian, kepala mengangguk buat mengambil hati Mak Long. Luaran yang dipamerkan belum tentu seiring dengan dalaman. Dia sendiri masih berhati-hati untuk membuat sebarang kesimpulan tentang sikap lelaki itu meskipun dari hari ke hari hati dan perasaannya makin senang dengan kehadiran lelaki itu dalam hidupnya.

"Erm, mama, Hanis dan lain-lain marilah makan dulu. Lewat sangat nanti tak boleh juga." tutur Irfan yang datang menghampiri.

Mak Long senyum lebar. Gembira agaknya kerana bakal anak menantunya itu juga seorang yang sopan dan berbudi bahasa. Kesemua yang ada bangun menuju ke sebuah meja buffet untuk mengambil makanan. Tinggal dia sendirian meski telah puas dipelawa. Bukan kenyang tetapi, selera langsung tiada. Terlalu bimbang dan gemuruh hinggakan seleranya mati. Sepanjang berada di situ, dia lebih banyak mendiamkan diri. Sesekali sahaja bersuara dan kadangkala tersenyum.

Selesai majlis itu, mereka sama-sama bergerak ke tempat parkir. Dengan perasaan bercampur-baur dia berjalan dalam kelompok yang sedang rancak berbual itu. Bertemu buku dan ruas begitulah.

Hanya dia yang kelihatan terasing sendirian kerana khayal mengingatkan kedua orang tua yang tercinta. Detik yang sepatut dirai bersama keluarga berselaput duka.

Sedang asyik berkhayal, tiba-tiba tangannya dicapai dari belakang. Hampir terlucut bingkai yang dikepit ke hulu hilir itu. Apabila menyedari sentuhan itu adalah sentuhan yang datang dari lelaki yang baru dinikahi barulah perasaannya tenang. Itu pun diganti dengan degupan jantung yang bertukar irama. Tidak terkawal.

"Jom, balik." ujar Dr. Adrian lalu melangkah terlebih dahulu.

Kaki, terpaksa mengikuti perbuatan lelaki itu.

"Erm... Nanti saya cakap dekat Hanis." katanya perlahan.

"Tak perlu mintak kebenaran Hanis. Dah jadi isteri saya, kan? Kenalah ikut cakap suami."

Dia tertunduk malu. Lupa. Kerana belum terbiasa.

"Pergilah bagitahu housemate awak. Saya gurau aje." bisik Dr. Adrian dekat di telinganya.

Tersipu-sipu Suraya berjalan sambil tertunduk melihat ke bawah. Malam itu kelakuan dan tingkah lelaki itu berjaya membuat hatinya lelah. Ingin dikejar rombongan yang makin ke depan itu namun tangannya masih dalam genggaman seseorang. Mahu atau tidak dia terpaksa berjalan beriringan dengan lelaki itu menghampiri kumpulan tersebut.

Ucapan terima kasih dan selamat tinggal mulai kedengaran. Lapisan demi lapisan emosi yang bertindan memberati dada akhirnya berkecai. Suraya merungkaikan pegangan. Dr. Adrian melepaskan. Dipeluk teman karibnya sebelum tangisan pecah. Hanis, turut mengalirkan air mata. Tak menduga dia yang terlebih dahulu meninggalkan temannya itu. Kak Rin turut memujuk sebelum air mata menjadi peneman. Datang pula Mak Long membisikkan kata-kata yang melembutkan jiwa dan raga.

"Seorang isteri bila jaga maruah diri, solat lima waktu, berpuasa dan taat suami, masuklah mana-mana pintu syurga yang dia mahu."

Previous: Bab 40
Next: Bab 42

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.