Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 1


Tahun 2013

Usai bersolat Asar, Suraya merebahkan diri ke atas tilam. Sekejap sahaja sebelum dia bangkit dengan perasaan malas. Sebuah kabinet kecil didekati. Laci kayu itu ditarik dan sebuah komputer riba berwarna kelabu gelap dikeluarkan. Sambil duduk di birai katil, dia merenung dalam komputer itu. Sebentar sebelum lamunan yang pendek itu dicantas. Dia membuka dan menanti paparan Windows terpasang. Apabila skrin siap tersedia, dia masih kaku memerhati skrin yang dilatari foto bersama keluarganya pada hari lebaran yang lalu. Hati kecil berkira-kira sama ada mahu mengintai kotak e-mel terlebih dahulu atau menjelajah ke daerah Youtube.

"Han, cuba tengok CV aku ni. Apa pendapat kau?" ujarnya kepada teman baik yang sedang leka bermain dengan telefon pintar.

"Bak sini laptop tu," pinta gadis itu sejurus meletakkan telefon pintar yang dipegang ke sisi.

Komputer riba itu diserahkan. Dia memerhati wajah serius yang sedang membaca paparan rasmi itu sambil kedua kaki yang terjulur ke bawah digoyang-goyangkan.

"Dah bagus ni. Semua informasi terbaru kau dah update," ulas Hanis lalu menoleh ke arahnya dengan satu senyuman.

"Company mana pulak kau nak hantar ni?"

"Telco. Aku jumpa iklan dia dalam web cari kerja yang kau beri semalam."

"Betul kau tak nak cuba government?"

Suraya mengeluh perlahan sebelum komputer riba itu diambil kembali.

"Han, kita dah bincang, kan?.." tuturnya sedikit jengkel. Anak matanya dibawa menilik lampiran profil diri buat kesekian kali.

"Tapi, apa salahnya. Kalau ada rezeki entah-entah kita dapat jabatan yang sama." ujar Hanis enggan mengalah dalam usaha memujuk temannya itu. Dahulu lagi dia menelan rasa kecewa ketika Suraya menyuarakan hasrat enggan berada di dalam sektor perkhidmatan awam. Langsung menyalahi fikirannya yang menyangka Suraya mahu mengikuti jejak langkah Encik Ahmad Fauzi yang bertugas di dalam perkhidmatan itu.

"Sharifah Yuhanis, kau dah jelas yang aku tak minat. Titik." marah Suraya sebelum menebarkan lirikan ke kawasan sekitar. Pagi yang sunyi. Tiada sebarang bunyi kenderaan yang lalu-lalang hatta suara percakapan. Apatah lagi kicauan burung. Hanis, tinggal bersendirian di rumah. Kedua orang tuanya keluar berkerja manakala adik-adiknya pula sedang bersekolah. Dia pula telah meminta izin daripada mummy untuk ke rumah gadis itu meneruskan agenda mencari pekerjaan. Juga, ingin menonton siri drama dari Jepun bersama-sama temannya itu. Meski dia meminati seleksi J-drama, tetapi, tidaklah segila seperti temannya itu. Pantang bercuti itulah hobinya. Dari pagi sampai lewat malam tak pernah bosan menonton!

"Okay...okay. Aku tak sebut dah." sahut Hanis. Mengerti tiada guna berusaha lagi. Kalau dah jenis keras kepala tiada guna dipujuk bagai.

Bunyi notifikasi yang datang dari salah satu aplikasi menyedarkan Suraya kepada dunia realiti di hadapannya. Kelopak mata dipejamkan sebelum satu nafas yang panjang ditarik. Perlahan-lahan, visualnya dibuka lalu jari telunjuk menarik ikon anak panah ke arah ikon e-mel.

"Kalau Yaya nak, resume Yaya tu abah hantar pada admin jabatan. Tak silap abah, ada beberapa jawatan kosong di jabatan digital." kata Encik Ahmad Fauzi yang bertugas sebagai seorang pegawai di jabatan komunikasi negeri.

Suraya membulatkan biji mata. Tangan yang rakus mencabut rumput rampai yang meliar tumbuh langsung kaku. Sambil duduk bercangkung di tepi pagar kawasan senaman itu, dia mendongakkan kepala memandang Encik Ahmad Fauzi yang sedang berjalan di atas batu pijak refleksologi berhampiran.

"Abah!.. Sanggup abah offer Yaya?" dakwanya sedikit tidak percaya.

"Dah kenapa?" Seperti tidak memahami, selamba bapanya menyoal kembali.

"Laa... Kalau setakat guna kabel abah, baik Yaya hulur dekat abah sijil form 6 Yaya tu. Tak payahlah Yaya berusaha buat penyelidikan, eksplorasi dan kajian masa dekat U dulu." tempelaknya berbaur geram. Mujurlah bapak sendiri. Kalau orang lain mungkin banyak buah bebelan dia tambah tadi.

"Oh," ucap Encik Ahmad Fauzi lalu berhenti sejenak dari berjalan kemudian, merenung ke arahnya. Dalam pandangan yang dilontarkan. Maksud yang disampaikan telah tercemar kerana dia tidak berhajat seperti yang difahami oleh anaknya itu.

"Abah cuma hantarkan sahaja. Selebihnya abah tak campur. Lagipun, abah bimbang Yaya putus asa." terang lelaki itu sebelum menyambung langkah senaman.

Suraya menggelengkan kepala beberapa kali. Niat bapanya itu mula difahami. Iyelah. Mana ada ibu bapa yang tak rungsing bila anak yang sudah tamat belajar masih belum dapat kerja meski sudah puas memohon di sana sini. Bukan sebulan dua tetapi, dah dekat setahun. Siapa tak bimbang!

"Tak, abah. Yaya tak mungkin berputus asa. Tapi, Yaya boleh putus asa kalau abah ada sikap macam ni. Tak adil untuk orang lain dan tak rela diri Yaya ni teruskan. Kalaulah Yaya nak sekalipun, biarlah ikut saluran yang betul. Macam Hanis tu."

"Alah, sorry lah Yaya. Abah terlupa tadi." tutur Encik Ahmad Fauzi bersahaja.

"Kalau setakat abah canang tentang kerja kosong tu, Yaya boleh terima. Tapi, kalau sampai gunakan jawatan abah, yang tu Yaya tak terima. Tapi, abah tak perlu risau. Dari dulu lagi Yaya dah tahu ke mana Yaya nak pergi." luah Suraya lagi.

Ucapan Suraya lantas membuatkan Encik Ahmad Fauzi termenung panjang pula. Meski telah menerangkan niatnya tadi ia jelas terpalit kecacatan. Apa boleh buat. Isu intergriti dah jadi seperti kudis buta kebelakangan ini. Sukar untuk dihapuskan meskipun masih boleh dirawat.

Transisi skrin yang bertukar warna itu menarik perhatian Suraya untuk kembali fokus kepada paparan yang terbentang di hadapan mata. Lirikan, melihat satu e-mel rasmi yang berada di barisan pertama di antara barisan yang lain. Font gelap menandakan ia belum dibaca ditekan. Tekun sekali dia membaca sebelum mulutnya melopong. Lalu dengan tergesa-gesa, dia bangun meninggalkan kamar tidurnya untuk mencari kedua orang tua.

"Yaya, mummy tak kisah pun kalau Yaya belum dapat kerja. Lagipun, bila Yaya ada dekat rumah tak lah bosan mummy ni. Tapi, bila Yaya kerja tinggallah mummy sendirian lagi."

Belum sempat Suraya menyandarkan tubuh ke kerusi, posturnya berubah tegak. Wajah yang ranum dengan emosi sedih itu membuatkan rasa girang yang dibawa tiba-tiba tersekat. Lirih betul suara mummy mengadu. Parah. Nak cerita ke tidak ni?

Perlahan-lahan dia beralih pandang ke arah bapanya yang sedang tekun membaca akhbar bersaiz kompak. Seperti menyedari dia dipanggil di dalam diam, Encik Ahmad Fauzi lantas melipat akhbar yang dipegang lalu meletakkan ia di atas meja. Cawan berisi teh O panas pula dicapai. Seteguk minuman disisip. Mata yang dilindungi oleh sepasang kaca mata bersilih ganti memerhatikan isteri dan anak tunggal kesayangan.

Ketika pandangan mereka berselisih, Suraya menyoal tanpa membunyikan suara. Jawapan yang dilontarkan oleh bapanya membuatkan Suraya ingin tergelak namun, melihat riak pudar mummy takut pula dia hendak ketawa.

"Nor, bila dah tamat belajar apa lagi yang budak-budak harapkan kalau bukan kerja," kata Encik Ahmad Fauzi memecahkan suasana yang lama terbiar hening. Tuturnya yang lembut seakan memujuk isteri kesayangannya itu. Dia memahami perasaan isteri. Juga perasaan anaknya itu. Masing-masing, punyai keinginan sendiri.

Mendengar kata-kata bapanya membuatkan dada Suraya lapang. Di saat genting begini, Suraya amat memerlukan bantuan bapanya untuk menjadi perisai yang membela dirinya. Juga membela keputusan yang bakal diputuskan. Dia ingin segera menimba dan meraih pengalaman di dalam bidang pekerjaan. Tekad untuk sama-sama berada di dalam kelompok individu yang memiliki pekerjaan tidak mampu disengkang lagi. Makin ditangguh makin terseksa jiwa dan raganya.

"Yaya, abah tak pasti kenapa tiba-tiba mood mummy jadi sentimental akhir-akhir ni." maklum Encik Ahmad Fauzi setelah isterinya itu diam tidak menyahut.

Suraya sengih kelat. Bapanya membalas serupa.

Pandangannya beralih kembali kepada mummy. Rasa lapang yang menjelma tadi kembali resah melihatkan reaksi mummy itu. Reaksi berupa gusar melepaskan anak kesayangan untuk berdiri dengan dua kaki sendiri.

"Eh, eh... Abang sindir Nor, ke?" tukas Puan Norlin tidak berpuas hati mendengar kata-kata suaminya sebentar tadi.

Encik Ahmad Fauzi tergelak. Suraya cuba mengikut rentak. Tetapi dia cuma mampu tersenyum sumbing.

"Abang, Nor faham maksud abang tu... Tapi, baru sangat Yaya balik ke sini...dah kena pergi lagi sekali." ujar Puan Norlin masih lagi dengan nada sedihnya.

"Baru? Eh, Nor! Anak kita ni dah dekat sepuluh bulan duduk di rumah ni. Siang malam melekat dengan awak. Mujur tak tidur sekatil je dengan awak. Lagipun, Yaya dah besar. Bukan anak kecil lagi untuk awak tatang. Biarkan Yaya pandu kehidupan dia sendiri pula."

"Ah, abang ni. Memang tak sayangkan anak. Sanggup abang nak biarkan Yaya bersusah payah di bandar besar tu? Kalau abang sayangkan Yaya abang tolong dia cari kerja dekat dekat sini aje. Nampaknya mummy sorang je yang bimbangkan Yaya..." adu Puan Norlin sambil menghantar sorotan yang sayu kepada Suraya.

Aduh, payah! Suraya menarik bibir rapat. Niat awalnya tadi telah lama terbantut. Aura kegembiraan juga telah lama terpadam. Terpaksa ia menanamnya buat seketika demi memberi laluan kepada mummy meluahkan perasaannya. Suraya membalas pandangan ke dalam sepasang mata yang dalam dan tajam. Wajah berbentuk bujur dengan dagu yang tirus itu langsung tidak berseri pada petang itu. Tiada sebarang senyuman sejak dia menyertai mereka berdua tadi. Meski ketika ini wajah mummy kelihatan serius, sebenarnya, mummy bukanlah seseorang yang pandai menyembunyikan emosi. Kata bapanya, mummy ibarat open book. Terkandung persoalan dan jawapan dalam material yang sama. Tak perlu bersusah payah menebak atau menembak. Ketika ini wajah muram itu benar-benar meresahkan Suraya.

"Nor, tak kesian ke dekat anak kita yang dah berhempas pulas belajar bertahun-tahun tetapi disuruh duduk rumah saja?" pujuk Encik Ahmad Fauzi kepada isterinya. Sikap keras kepala yang dimiliki itu terkadang digunakan di tempat yang tidak sesuai. Ada ke patut anak nak berkerja di tahan-tahan?

"Agaknya mummy Yaya lupa kot macam mana lagaknya dia waktu muda-muda dahulu. Tak sempat tamat belajar mummy dah mula berkerja, tau." tambah Encik Ahmad Fauzi sengaja mengubah topik.

Mulut Suraya terbuka membentuk huruf O. Cerita menarik nih! Tak pernah lagi dia dengar kisah mummy berkerja sebelum ini.

"Betul ke abah?.. Yaya tak pernah tau pun." Pertama-tama dia bersuara setelah agak lama mendiamkan diri. Jelas, dia terperanjat kerana apa yang dia tahu, mummy tidak pernah berkerja. Dikerling ke arah mummy yang mula kelihatan tidak senang duduk apabila fokus kini tertumpu kepadanya pula.

"Ha'ah. Masa mummy kerja tu, abah dan mummy baru bertunang. Kitorang, tamat belajar terus kahwin. Mummy berhenti kerja pulak bila dapat tahu Yaya ada dalam perut. Mummy bimbang keselamatan Yaya sebab masa awal kandungan tu kerap sangat berlaku pendarahan." cerita Encik Ahmad Fauzi panjang lebar.

"Jadi, sebab Yaya, mummy tak dapat kerja lagi?" soal Suraya sambil melirik ke arah mummy kesayangan. Ada perasaan serba salah bertamu di hati sebaik mendengarkan kisah itu.

"Eh, taklah. Sebenarnya, mummy pun tak larat dah nak kerja masa tu. Staf di ofis tak cukup. Mummy Yaya dah macam sotong buat kerja. Tak cukup kaki tangan. Kerap pulak balik lambat." sampuk Encik Ahmad Fauzi terlebih dahulu memaksa Suraya beralih pandang kepada bapanya pula.

Dia, terangguk-angguk memahami. Sisa kesedihan yang terlahir mengenangkan dialah penyebab karier mummy terputus di tengah jalan separa terbenam mendengar penjelasan itu.

"Mummy tak pernah menyesal dengan keputusan mummy, Yaya. Mummy bahkan gembira sebab keputusan mummy berakhir dengan Yaya yang ada depan mata mummy ni. Penyejuk hati mummy," tutur Puan Norlin lembut seperti memahami isi hati anaknya itu.

Suraya menarik senyum. Bahagia sekali. Perasaan yang berbaki langsung tertanam. Lengan mummy dipaut lalu dia melentokkan kepalanya di bahu itu. Mummy mengelus tangannya perlahan. Pengorbanan yang mummy lakukan bukanlah kerana dirinya semata-mata. Kerana mengalah dengan sistem yang membebankan. Walaupun secara tidak langsung kehadirannya juga memberi sedikit peranan dalam keputusan mummy dahulu. Suraya terharu. Benar-benar terharu dengan kesudian mummy demi keluarga kecilnya itu!

"Dan, abang pulak! Jangan buat U turn. Nor tengah sibuk fikirkan tentang Yaya, cerita Nor pulak yang abang bangkitkan." rungut Puan Norlin tidak berpuas hati.

Encik Ahmad Fauzi tertawa. Suraya lantas menjarakkan diri dan ikut ketawa. Kali ini dia benar-benar diketuk rasa lucu melihat adegan kedua orang tuanya yang belum berkesudahan itu.

"Laa...betul apa? Abang tak reka cerita. Tempat kerja tu tempat Nor buat latihan, kan? Waktu latihan pun dah bertimbun kerja, inikan jawatan tetap."

"Mana ada. Nor tolaklah tawaran tempat latihan tu."

"Habis tu tempat Nor kerja tu tempat mana pulak?"

"Itu tempat latihan tak jadi."

"Laa... Tempat latihanlah tu,"

"Ehem, ehemmm...," Suraya menyampuk dari keributan yang sedang berlangsung.

"Macam nilah. Biar Yaya berterus-terang saja. Sebenarnya, Yaya dah dapat kerja!!" ucapnya riang. Sedari tadi dia tidak dapat lagi membendung rasa tidak sabarnya itu. Ya. Dia betul-betul tidak sabar untuk membuang jawatan penganggur itu secepat mungkin!

"Hah? Betul ni, Yaya??" sahut Encik Ahmad Fauzi.

"Tak... Tak mungkin!!" ucap Puan Norlin pula dengan suara melebihi nota suara Suraya sebentar tadi.

Kedua-dua mereka serentak bersuara. Namun, kata-kata mummy terlebih dahulu membuat Suraya terpempan. Dia ingatkan hati mummy sudah lembut untuk membicarakan perkara itu.

"Mummy...kenapa??... Mummy betul-betul ke maksudkan apa yang mummy cakap tadi tu? Mummy tak izinkan Yaya berkerja? Yaya dah dewasa, mummy. Tolonglah izinkan Yaya berkerja. Mummy?.." ujarnya bertubi-tubi. Kedua tangan mummy terus disauk olehnya. Riak bercahaya ketika mengumumkan berita itu bertukar malap.

Tiba-tiba, mummy tertawa kecil.

"Mummy gurau ajelah. Saje... Nak tengok reaksi anak mummy tu..."

"Aduhai!.. Mummy!! Mummy dah berjaya buat Yaya kemurungan tau tak?"

Serentak Encik Ahmad Fauzi dan Puan Norlin ketawa besar. Suraya melirik semacam pula ke arah bapanya. Eh, lain macam ketawa abah. Berdekah-dekah seperti seronok pula melihat keadaannya.

"Eh....Ni mesti abah pun sama kan?.. Dah pakat dengan mummy untuk kenakan Yayalah ni? Sorang pura-pura setuju... Sorang lagi tak. Eeiii... Sungguh-sungguh Yaya percaya, tau!" ujarnya dengan mata yang tajam menjurus ke arah bapanya.

Makin galak pula Encik Ahmad Fauzi ketawa. Tekaan itu tepat seratus peratus. Mulut, ditarik muncung seperti paruh burung. Elusan mesra di belakang tubuh sekelip mata mengubah mood untuk merajuk kepada satu senyuman simpul. Suraya melirik ke arah mummy yang tersenyum mesra menatap wajah buah hati tercinta.

"Tunggu sekejap. Yaya pergi ambil laptop." tuturnya buru-buru meninggalkan mereka berdua untuk mendapatkan berita besar yang baru diterima tadi.







p/s: saya telah mengemaskini dengan memasukkan tahun supaya jalan cerita ini menepati fakta 4G dikomersialkan di negara kita^^~

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.