Telefon pintar yang bersambung pada alat pengecas dicapai. Dibuka kemudian, tutup. Tiada sebarang panggilan atau mesej yang belum dibaca. Jauh di sudut hati terselit rasa hampa dengan kekosongan peti mesej itu.
Fokus kembali pada skrin komputer riba. Sejak dari semalam dia sibuk memasukkan butiran dan gambar yang diperolehi sewaktu berada di beberapa buah tapak projek di Kota Kinabalu ke dalam sebuah templat laporan mengikut spesifikasi yang dikeluarkan oleh syarikat. Hasil data yang dikumpul daripada Tems Investigation itu dibuat tangkap layar lalu, turut dimasukkan ke dalam templat tersebut.
Siap!
Dikerling jam di tangan. Lebih kurang setengah jam sebelum waktu rehat tengah hari.
Kenangan pada hari kepulangannya kelmarin yang disambut oleh seorang wanita yang tidak dikenali bermain di minda. Menggunakan plakad, dengan besar tertulis nama penuhnya ketika dia keluar daripada pintu ketibaan.
Zia. Memperkenalkan diri sebagai kenalan Dr. Adrian. Jadi, lelaki itu adalah berkawan dengan perempuan. Ingatkan terlalu eksklusif hinggakan tidak ada teman perempuan langsung! Sepanjang perjalanan pulang ke rumah sewa, Zia yang banyak berceloteh. Pelbagai soalan ditanya. Dari dirinya kecil sehinggalah dewasa. Boleh dikatakan dia terasa seperti sedang ditemuramah untuk subjek Sejarah pula.
"Suraya Anne!"
Dia terkejut sungguh. Kuat namanya diseru. Sebaik berpaling bukan dia seorang sahaja yang begitu. Beberapa kepala yang lain turut tertoleh sama melihat Basheer yang mengendalikan site yang dilawati di Kota Kinabalu menghampiri dengan lagak buru-buru. Aura waspada mula tercium.
"Papar Western. Missing some scanning route. What the hell??"
Bulat biji mata Suraya setelah berita buruk itu didengari. Hairan bercampur kebingungan.
"Ada checked tak?" tanya lelaki itu sedikit kuat.
Tanpa menghiraukan wajah masam Basheer yang berbadan gempal dan tinggi itu dia lantas menganggukkan kepala beberapa kali. Tolong sikit! Dia bukan jenis buat kerja sambil lewa.
"When did you checked?"
"Setiap kali mulakan log file baru saya akan perhatikan saiz fail yang disimpan." sahutnya membalas renungan tajam dari sepasang mata yang mengenakan cermin mata berbingkai hitam itu.
"Are you stupid?? Periksa setiap route, bukan setiap saiz log file! I tak boleh terima alasan tu. Apa you fikir site tu dekat Jalan TAR ke? I want those files before six, even if it's by hook or by crook."
Kali ini dia kalah. Menunduk dia malu. Dua tiga nafas panjang dihela barulah dia berani mengangkat wajahnya. Basheer sudah tiada. Agaknya sudah kembali ke meja kerjanya. Di sudut itu, hanya dia seorang yang ada kerana selebihnya keluar ke lapangan.
Beberapa orang staf yang duduk di meja berdekatan memberi pandangan simpati apabila pandangan saling berpapasan. Dia, cuma mampu senyum kelat.
"Yo, girlfriend! What's up? Sedih aje maa..." sapa Eugene membuatkan Suraya terkejut bukan kepalang.
Kuss... Semangat. Dada diurut beberapa kali.
"Eugene, tumpang tanya?.." katanya sedikit teragak.
Lelaki itu memandangnya sambil melepaskan beg komputer riba yang digalas ke atas kerusi.
"Pernah tak jadi dekat you log file missing?"
"Apa? Scanner log file, meh?"
Mulutnya terbuka sedikit kerana tembakan tepat lelaki itu. Dianggukkan kepalanya. Eugene menyengih.
"Couple of times. Kadang-kadang sebab set up tak betul. Kadang-kadang sebab scanner tu sendiri yang tak betul."
Mulutnya membentuk huruf O. Lega. Jadi bukan kali pertama kejadian itu berlaku.
"Dah hantar file baru you perasan atau masa tengah drive?" soalnya lagi.
"Dua-dua. Kenapa, eh? Your log files missing? KK?"
Dia senyum kelat. Kepala mengangguk kecil. Mata Eugene yang sedia sepet dibesarkan. Suraya menyeringai. Bimbang dengan masalah yang sedang dihadapi.
"Try buka. I nak tengok." arah Eugene mengelilingi stesen kerja itu dan mendekati dirinya.
Segera dilarikan tetikus. Fail tempoh hari dibuka. Terpapar jujukan bulatan kecil berwarna hitam yang merupakan laluan yang dilewati sepanjang drive test dilakukan.
"I tak mahu tengok yang full. You buka one by one."
Menurut perintah dia membuka pula fail itu satu per satu.
"See... Tengok gerakan dia. Every starting point you tak miss pun. And, cuma ada beberapa point saja yang missing. I rasa set up you dah betul tapi scanner tu tak betul." duga Eugene.
Suraya menjungkitkan kedua bahu.
"Matilah, Eugene. Basheer mau perfect route before six. Adui..." keluhnya. Hujung kuku digigit-gigit. Mati akal.
"Sabah maa... Sabah. Minta SS cover, lah."
Dia mengangguk kemudian geleng. Bukan mudah membuat permintaan seperti kata Eugene itu. Kontraktor di Sabah itu pun tidak menang tangan membuat kerja tiba-tiba sahaja mahu ditambah beban ekspres itu. Tak sampai hati dia mahu memperlakukan mereka begitu. Tetapi kalau dah terdesak terpaksalah dia berhati kering.
"Yup. I'll try. Thanks, Eugene." sahutnya. Meski bimbang bibir tetap tersenyum mesra mengenang budi baik lelaki itu.
Eugene sengih seperti selalu sebelum kembali ke tempat duduknya.
Telefon pintar, segera dicapai. Nama Rita dicari.
"Hai, Rita."
"Hello. Ya, Miss Anne. Ada apa?" soal Rita di hujung talian.
Suaranya kedengaran ceria. Gadis berketurunan Kadazan itu memang seorang yang happy go lucky. Tak rugi apabila Dr. Adrian mencadangkan supaya Rita menemaninya kelmarin. Sambil berkerja mulutnya rancak berbual berkongsi pendapat dan pengalaman.
"Actually, masa drive test tempoh hari ada route yang missing, lah. I don't know how it happens, but it does happen. So, I nak tau kalau-kalau SS ada buat coverage or scanning drive di cluster tu."
"Oh...Itu ke masalahnya. Jangan bimbang, Miss Anne. Sebenarnya I pun ada buat exact test macam Miss Anne buat tempoh hari."
"Really? I tak nampak pun. I tengok you pegang tablet aje." ujarnya musykil. Fikiran menerawang jauh. Memang tiada alatan yang dipegang oleh gadis itu ketika berada di dalam kereta kelmarin kecuali sebuah tablet dengan sebatang usb bersambung pada tablet tersebut. Ingatkan tablet peribadi milik gadis itu.
"That's it! Dr. Adrian provided app-based tools."
"Apa?.."
Kata-kata itu jelas di telinganya namun kurang difahami olehnya.
"Actually, Dr. Adrian minta Encik Zul cuba software baru dengan new tools untuk buat drive test. Kata Dr. Adrian ianya lebih compact and efficient."
Suraya terdiam. Mengerti sejelas-jelasnya. Kebetulankah perancangan lelaki itu terlebih dahulu hadir menyalahi kehadiran musibah yang dialaminya ketika ini? Mustahil. Lelaki itu sekadar memiliki fikiran yang jauh terkedepan. Merencana dan ia terkena pula pada masa dia ditimpa kesulitan.
"Miss Anne, you nak semua log files or certain part?"
Dia tersedar dari lintasan khayalan. Pantas mengembalikan diri kepada perbualan yang sedang berlangsung.
"Bagi semua. I boleh compare dengan result yang I dapat. Thanks, Rita. Thank you very much."
"Eh, no problem Miss Anne. Thanks to Dr. Adrian sebenarnya. Betul tak?" puji Rita disambut dengan senyuman yang terukir di bibirnya.
Setelah berbual lebih kurang, talian diputuskan. Suraya menarik lega. Skrin komputer riba dihadap mencari kotak email. Menanti fail yang bakal diterima daripada Rita.
Jam 2.00 petang dia sudah terpacak di lobi syarikat. Menunggu kereta yang sering digunakan untuk kerja drive test tiba. Tadi, setelah menghantar log file yang diperolehi daripada Rita kepada Basheer, dia ditugaskan untuk melakukan static test di Sungai Besi pula. Arahan itu diterima melalui pesanan WhatsApp dan email. Adakah Basheer segan untuk bersua muka setelah dengan selamba menggelarnya 'bodoh' tadi? Entahlah. Cuma email balas yang ringkas itu seakan memberi bayangan sangkaannya betul.
Tq
Betul-betul ringkas. Betul ke segan? Entah-entah masih marah. Sebenarnya dia tak berkecil hati pun dimarahi tadi. Cuma, pertama kali diselar begitu di hadapan khalayak tentulah dia malu. Sebagai seorang rookie pula bertambahlah dia malu.
Jam di pergelangan tangan dijeling lagi. Bertemu lagi dengan petang Jumaat yang sibuk. Apa boleh buat. Kerja adalah amanah. Tugas harus diselesaikan. Melihat sahaja kereta hitam itu berhenti di tempat biasa, bergegas dia keluar dari lobi pejabat.
"Okay, kita ke Interstate Warehouse dekat Sungai Besi." tuturnya sebaik pintu kereta bahagian penumpang ditutup.
Sebelum keluar tadi Jessica memaklumkan pemandu yang akan membawanya merupakan pemandu ganti yang mengambil alih tugas Zaf yang bercuti pada hari ini. Dikerling sekilas pemandu baru itu. Mengenakan topi dan t-shirt berlengan panjang. Serba hitam. Tiada sapaan dan tidak bertukar lirikan.
"Erm, nak panggil apa, eh?" soalnya berbasa-basi.
Diam. Tiada balasan. Ditilik ke depan. Terus terarah pada cermin pandang belakang. Tiada wajah yang terpantul kerana cermin itu telah diangkat membuatkan dia hanya dapat melihat pemandangan jalan raya di belakang.
'Erm... Tak dengar ke pura-pura tak dengar?'
Setelah sekian lama soalan yang ditanyakan tidak berjawab dikeluarkan komputer riba dan telefon pintar. Malas nak melayan! Banyak lagi kerjanya yang belum selesai untuk difikirkan.
Dia menilik kembali email di dalam aplikasi telefon untuk memastikan tapak projek yang akan dilawati. Dua buah tapak projek namun, kerana hari yang sibuk perjalanan mereka bakal mengambil sedikit masa. Apatah lagi tapak projek itu terletak pula di kawasan tumpuan.
Sambil menunggu destinasi yang dituju tiba dia duduk bersandar. Menatap telefon di tangan. Bukan lagi urusan kerja yang difikirkan. Tetapi, Dr. Adrian. Terakhir, dia dihubungi ketika pulang dari Kota Kinabalu kelmarin. Kenapa lelaki itu tiba-tiba mendiamkan diri? Mahu menghubungi terlebih dahulu dia bimbang. Manalah tahu jikalau terhubungi pada waktu yang salah. Dia, benar-benar ingin tahu keadaan lelaki itu ketika ini.
Sewaktu di pejabat tadi pun, dia memberanikan diri bertanyakan Jessica tentang Dr. Adrian. Kata setiausaha itu Dr. Adrian bercuti selama satu minggu. Satu minggu? Tanpa memaklumkan kepadanya sudah tentulah terasa hatinya mengenangkan kewujudannya ketika ini seakan tidak dipedulikan walhal lelaki itu sendiri yang meluahkan pelbagai perasaan tempoh hari.
Benar-benar serius atau bermain-main?
Dipejamkan mata.
Jengkel.
Jengkel dengan hati yang mudah hanyut dengan perasaan apabila terfikirkan lelaki itu.
Apabila dirasakan kenderaan tiba-tiba berhenti, dibukakan kelopak mata.
Telefon pintar ditekan. Aplikasi Maps yang sedia dibuka sejak tadi terpapar. Mereka dah tiba. Dikerling sekilas ke hadapan. Senyap sahaja. Langsung tak bagitau pun dah sampai! Hati kecil mula bersuara rasa tidak selesa berkerjasama dengan pemandu baharu ini. Mungkin selepas selesai kerjanya nanti dia bakal menyuarakan rasa tidak puas hatinya itu kepada Jessica. Untung-untung khidmat pemandu itu diserahkan kepada ahli yang lain, harapnya di dalam hati.
"Erm, you belok kanan dan berhenti dekat kilang steel tu." arahnya sambil memerhati skrin komputer riba.
Masih mendiamkan diri, lelaki itu mengikuti arahan yang diberikan.
Suraya mula melakukan static test. Usai siap satu sektor, diarahkan pemandu itu beredar dan masuk ke laluan yang membawa mereka ke sektor seterusnya. Hampir dua jam kenderaan yang dinaiki berlegar di satu kawasan industri berat kemudian ke kawasan perumahan, barulah tugasan itu akhirnya selesai.
"Alright, siap! Jom, balik." ujarnya.
Sepi.
'Biar betul? Sepatah pun tak nak bersuara?'
Namun dipujuk diri sendiri setelah dirasakan tidak manis untuknya menuduh sebarangan. Mungkin, lelaki itu sedang menghadapi masalah.
"Erm... You, okay ke?" soalnya mengambil berat sambil berpura-pura menyibukkan diri dengan mengemas peralatan yang digunakan. Melalui ekor mata dilihat lelaki yang mengenakan bucket hat itu masih bungkam. Tiada sahutan.
'Bad mood, kot? Mungkin, tak nak diganggu.'
Akhirnya, dia sendiri mendiamkan diri. Lagipun dia juga letih sebenarnya. Setelah separuh hari di pejabat menyiapkan laporan kemudian berkejar ke tapak projek, kesempatan berada di dalam kenderaan itu lebih baik diambil dengan mencuri waktu untuk berehat seketika.
Satu kuisan di hidung membuatkan lelapnya terganggu. Pantas dibuka kelopak mata. Terkebil-kebil dia mengingat. Ah, tertidur rupanya. Ditoleh ke sisi kerana merasakan ada sesuatu yang menghimpit. Hampir saja dia menjerit apabila melihat seorang lelaki rapat duduk dekatnya namun dalam keadaan membelakangi. Nak kata lelaki itu mahu buat perkara tidak senonoh kepadanya tak mungkin dengan posisi begitu. Lagipun pintu kereta luas terbuka. Mata, buntang memerhati. Apabila rapat sebegitu dia seakan mengenali. Topi di kepala lantas ditarik. Terkejut bukan kepalang kerana pemandu yang dikutuk dalam diam itu adalah Dr. Adrian!
"Hisy!!" Marahnya kerana geram dipermainkan. Spontan tangan yang memegang topi itu menampar belakang tubuh lelaki itu. Dr. Adrian menoleh ke belakang. Selamba tersengih ke arahnya.
"Dah sampai. Jom." tutur Dr. Adrian lalu mengenyitkan mata.
"Kita tak balik ofis?" soal Suraya ketika kaki memijak halaman yang pernah dikunjungi sebelum ini. Matanya meninjau keadaan sekitar. Masih sama seperti kali terakhir dilihat. Sunyi.
"Kerjakan dah settle. Malam ni tidur sini." ujar Dr. Adrian seraya menutup pintu kereta. Sambil tersengih lelaki itu memerhati dia meregangkan tubuh yang terasa lenguh. Tanpa sengaja satu jelingan dihadiahkan.
"Marah lagi?" soal Dr. Adrian.
"Tak. Tapi bengang."
Dr. Adrian tergelak.
"Sorry."
"Tau pun." sahutnya pura-pura berwajah masam lalu membuka langkah untuk masuk terlebih dahulu.