Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 30


Jam 8.56 minit pagi dia sudah terpacak di hadapan pintu lif bersama beberapa orang staf. Antara yang sedang menunggu, hanya Sharon yang dikenali. Sharon terlebih dahulu menyapa. Bertanyakan khabar dan berita. Sambil menunggu itu mereka berbual ringkas.

Ting!

Pintu lif terbuka. Namun, tiada yang berani membuka langkah. Empat orang individu berada di dalam perut lif ketika ini. Salah satunya teramat dikenali olehnya iaitu Dr. Adrian. Mata bertentang mata sebentar sebelum Suraya menjatuhkan pandangan ke bawah. Pintu itu kembali tertutup. Serta-merta ditarik nafas yang lega.

"Wow! Tan Sri Jo and Miss Carol... Bukan senang nak tengok diorang bersama macam tu, tau." ucap Sharon separuh berbisik.

Suraya mendengar tetapi tidak tahu hujung pangkal.

"I'm afraid I didn't catch it." katanya pula.

"What? You tak kenal ke?.. That man yang pakai kot tadi tu is our chairman. Yang cantik manis berbaju merah tu his daughter, and you know Dr. Adrian and PA Miss Carol, Che Puteh."

Oh.

Dapat dirasakan rasa kagum terlahir daripada mulut Sharon ketika mengenalkan kumpulan itu kepadanya. Sayangnya, dia tidak melihat dengan jelas. Segan punya pasal.

Sesampai di pejabat, dia disapa mesra oleh beberapa orang staf. Sambutan itu dibalas dengan baik. Sambil melangkah mendekati meja kerja, lirikan terlayang kiri dan kanan. Terasa seperti telah berkurun dia tidak menjejakkan kaki ke situ. Segan pula tatkala dirasakan ada mata yang memerhati langkah yang diambil itu.

Suasana, masih sama. Meja kerjanya kosong. Hadi langsung tidak kelihatan. Aidil sedang duduk bermain dengan telefon di tangan. Pemuda itu tidak bersendirian. Ada dua wajah baru yang tidak dikenali olehnya. Ketika dua pemuda itu menoleh ke arahnya, dilemparkan satu senyuman pendek. Dia meneka kedua pemuda itu merupakan staf baharu yang dicanang-canang sebelum ini.

Tanpa melengahkan waktu, dia terus duduk di mejanya. Mahu bersegera melunaskan tanggungjawab. Malam tadi, setelah sekian lama tidak memeriksa email dan pesanan di telefon, dia dikejutkan dengan lambakan email rasmi berkaitan tugasan. Belum dikira pesanan di dalam aplikasi WhatsApp. Hampir juling matanya membaca beribu pesanan yang ditinggalkan oleh rakan sekerja di dalam aplikasi tersebut. Itulah hasilnya apabila segala urusan berkaitan pejabat langsung tidak disentuh sepanjang bercuti tempoh hari. Sesekali, apa yang dapat diikuti pula terlalu minimal.

"Eh, Anne?.. Kau buat apa kat sini?" soal Aidil setelah menyedari kehadirannya.

Kedua pemuda itu serentak mengangkat wajah. Ikut mendengar. Suraya buat tak tahu sahaja.

"Aik, kerjalah. Cuti dah habis lor..." sahutnya.

"Laa... Kau tak baca email ke?"

Suraya menggelengkan kepala.

"Kau dan Hadi tukar ofis. Naik atas." maklum Aidil.

Apa? Bingkas, Suraya bangun. Berniat untuk menghampiri lelaki itu supaya dapat mendengar dengan lebih jelas tetapi, tidak jadi. Sebaliknya dia terus melangkah ke bilik Mr. Lee. Lebih baik terus bertanya kepada bosnya itu.

Dengan sekali ketukan, dia mendengar arahan masuk oleh Mr. Lee.

"Anne?.. How are you today?" sapa Mr. Lee ketika menoleh ke arahnya. Reaksi wajah itu jelas terkejut. Tangan yang sedang menaip sesuatu di komputer riba terhenti. Dilambai dan diberi isyarat supaya dia duduk.

Satu senyuman yang ceria dihadiahkan oleh Suraya sebaik kerusi ditarik dan dia duduk.

"Alhamdulillah... I'm good. How about you, sir?"

"Good good. So, how is your father? Can he cope with the loss?"

Mr. Lee seperti selalu tidak berpura-pura menunjukkan sikap prihatinnya itu. Hanya menjemput perasaan senang di sekelilingnya dengan kemahiran insaniah itu .

"Thank you, sir. Inshaallah... You know, it does take time to heal."

"Well, I wish you both well. So, ada hal apa?"

Berkerut dahi Mr. Lee seperti sedang meneka-neka kedatangan Suraya ke bilik pejabatnya itu. Nampaknya memang kehadirannya di situ tidak hanya mengejutkan Aidil seorang.

"You tentu lebih arif tentang tugas I, kan? Jadi, tak boleh ke kalau I stay dekat sini aje? It just onsite work." jelas Suraya akan tujuannya itu.

Mr. Lee mengangguk faham.

"I see... But instead of staying, it's best to stick together as a team. Sama ada you suka atau tidak, team tak boleh berpecah."

Suraya mengangguk perlahan. Tiada lagi bantahan yang mampu diutarakan. Secara rasmi, Mr. Lee bukan lagi ketua yang menguruskan kerja-kerjanya. Dan, secara rasmi juga dia berada di bawah seliaan Dr. Adrian.

Usai meminta izin untuk beredar, dia bangun. Ucapan terima kasih sempat dititipkan kepada lelaki itu yang terlalu banyak jasanya dalam memandu tujuannya di syarikat. Sedikit rasa sebak menyentuh lubuk hati tatkala ruang pejabat lelaki itu ditinggalkan. Setibanya di meja kerja, dia mencapai beg komputer riba lalu kembali menggalasnya. Dilayangkan jua ucapan terima kasih kepada Aidil sebelum beredar ke tingkat atas.

Hanya dengan mendaki anak tangga, dia sampai ke aras tujuh itu. Kad akses dilekatkan kepada access reader. Kelipan cahaya hijau menyala lalu, pintu kaca itu ditolak. Agak mengambil sedikit masa untuknya meninjau keadaan sekeliling sebelum melihat satu tangan melambai-lambai ke arahnya.

Hadi!

Dia mempercepatkan langkah. Di hujung ruang pejabat, di sudut paling hampir dengan cermin tingkap terdapat wajah-wajah yang dikenali olehnya. Wajah yang pernah dilihat ketika kali terakhir berada di bilik mesyuarat. Gusar. Terpandangkan wajah serius Ben yang sedang menatap komputer riba. Tiada Ricky. Hanya Nazril dan Hadi serta seorang pemuda berbangsa Cina yang tidak dikenali olehnya.

"Anne, kenalkan Eugene. Eugene, Suraya Anne."

Nazril bersuara selaku ketua kumpulan. Eugene yang berambut kerinting yang diwarnakan perang dengan wajah yang agak tampan tetapi nampak kebudak-budakan itu menghulurkan tangan untuk bersalaman. Cepat-cepat Suraya membawa tangan kanan ke atas dada sebelah kirinya sebelum satu anggukkan mesra diberikan. Eugene senyum. Mata yang sedia sepet itu kelihatan tertutup apabila senyum begitu. Kemudian, Eugene membalas anggukkannya. Suraya senyum lagi sebelum duduk bersebelahan Hadi memandangkan hanya kerusi dan meja itu yang kosong tidak berpenghuni.

"Wei, aku pergi bawah tadi. Tak tahu pulak dah tukar tempat." bisiknya sedikit malu menceritakan peristiwa sebentar tadi.

Hadi tersengih memandang.

"Tulah, kau... Mesej tak nak baca. Kan dah tertinggal kereta api." sindir Hadi.

Suraya membuat muka. Pura-pura marah.

"Abah kau macam mana? Sihat?"

"Alhamdulillah, sihat. Eh, terima kasih sebab temankan abah aku dekat wad hari tu ye," ucap Suraya ikhlas sambil melepaskan beg yang sedang digalas.

"Nanti aku belanja lunch." tambahnya lagi.

Hadi menggelengkan kepala. Seperti memberi isyarat menolak.

"Eh, takpe takpe... Aku tak kisah." sahut pemuda itu.

"Mana boleh macam tu. Aku rasa terhutang budi sangat ni."

"Kalau kau nak sangat balas budi tu, elok sangat la kau pergi jumpa Dr. Adrian. Dia yang mintak aku temankan abah kau petang tu." kata Hadi separuh berbisik.

Mulut Suraya sedikit ternganga mendengar penjelasan itu.

"Tapi, kau tetap tolong." Dia membalas, juga berbisik.

"Aku tolong dengan imbuhan cuti. Hari esok tu aku diberikan cuti, Anne." cerita Hadi lagi.

Oh! Ketika ini satu habuk kata pun tak mampu Suraya ungkapkan. Begitu sekali pertolongan Dr. Adrian kepadanya. Sedangkan dia, membalas perbuatan lelaki itu dengan melancarkan perang dingin, perang terbuka dan perang urat saraf.

Digigit hujung kuku. Segan dan serba salah. Benarkah dia terlalu mengikut emosi ketika mereaksi akan kelakuan yang dirasakan tidak sopan yang dipamerkan oleh lelaki itu kepada Maksu Azah?

"Eugene..." seru satu suara sekaligus menyalakan getaran ke seluruh tubuh hingga ke tangkai jantungnya. Suraya ingin berpaling tetapi, malu.

"Cluster Bandaraya. Check email dan bawa Suraya sekali."

Ketika namanya disebut makin hebat dadanya berdegup. Dalam diam dia menanti. Hanya kedengaran bunyi tapak kasut yang menjauh. Sedikit kecewa. Kenapa?

Tanpa menunggu lama, Eugene bingkas bangun.

"Jom." kata Eugene yang duduk bertentangan.

Spontan Suraya mengangguk.

"Jangan tertipu dengan muka budak-budak Eugene tu. Dr. Adrian snatch dia dari subcon. Skill boleh tahan power. Belajar apa yang boleh kau belajar dari dia." pesan Hadi dengan suara yang perlahan.

Suraya senyum tipis. Menghargai titipan tersebut. Semasa melangkah, sempat dia menjeling ke arah bilik pejabat Dr. Adrian. Tiada apa-apa yang kelihatan. Hati kecil masih mendendangkan kekecewaan ketika turun melewati lobi dan menuju ke pintu utama.

"Ke mana?" soalnya sambil mengejar langkah pemuda Cina itu.

Eugene menunjuk ke arah sebuah kereta yang diparkir di bahu jalan. Betul-betul berdekatan dengan anak tangga di luar bangunan. Suraya mengangguk. Ketika pintu utama terbuka barulah porak-peranda keadaan di luar berderu masuk ke lubang telinga.

"You duduk seat belakang." arah Eugene sambil tersengih ketika mereka menghampiri sebuah kereta sedan berwarna hitam itu.

Pemuda Cina itu mendekati pintu di bahagian sebelah pemandu. Mengikuti perbuatan itu dibuka pintu tempat duduk belakang sebelum bunyi muzik yang agak kuat menerpa. Terus sahaja Suraya masuk dan duduk meski bunyian itu sedikit mengganggu dirinya. Bauan sitrus kuat menusuk ke lubang hidung. Seorang lelaki menoleh sambil tersengih ke arahnya. Dia, terpana. Jikalau Eugene menarik perhatian dengan wajah kebudakan, pemandu itu pula betul-betul seorang remaja belasan tahun.

Biar betul!

"Anne, our respective driver, Zaf. Zaf-.."

"I know, I know... Suraya Anne. Long live our only DT queen!!.."

Terkejut tetapi, sempat dia tersipu. Nama dia pun budak lelaki itu tahu! Malah, berlebihan pula aksinya dengan kedua belah tangan terangkat ke atas.

'Isy, over!'

"Eh, adik ni siapa, eh? Eugene, boleh ke dia drive? Ada lesen tak? Budak-budak lagi ni..." rungutnya bimbang.

Eugene ketawa terbahak-bahak. Begitu juga si Zaf itu. Langsung tidak terkesan dengan kekhuatirannya itu. Suraya hairan. Main-main pulak mereka berdua ni!

"Anne, you jangan risau maa... Zaf dah setahun buat kerja ni. Lagipun, Dr. Adrian yang rekrut dia bukan company. Now, let's start the engine. Cepat habis cepat kita balik." kata Eugene sebelum menoleh ke arah Zaf. Dua orang lelaki itu saling tersengih sesama sendiri. Rungutannya automatik diabaikan begitu sahaja. Beg komputer riba diselongkar dan Eugene mula mengeluarkan alatan untuk memulakan kerja.

Zaf, menghulurkan sepeket gula-gula getah kepada Eugene. Juga, kepadanya. Hanya Eugene yang mengambil sekeping isi daripada bungkusan tersebut.

"Zaf, mula dari Getah Asli." arah Eugene.

"Alright, bos." sahut Zaf lalu mula mengemudi kenderaan.

Tercengang Suraya melihat gelagat selamba kedua lelaki di hadapannya. Boleh jadi, mungkin dia yang terlalu mengambil serius di dalam semua perkara!

Getaran dari dalam beg komputer riba yang berada di atas ribaan menyedarkan lamunan ketika kereta sedang berhenti di satu persimpangan lampu isyarat. Diraba poket hadapan beg komputer riba itu untuk mencari telefon pintar. Gemuruh yang hadir ketika di pejabat tadi kembali lagi tatkala skrin telefon itu ditatap. Dimulai dengan satu helaan yang panjang dia menjawab panggilan tersebut.

"Suraya..."

Makin menggila pula debaran yang bermain sebaik namanya diseru oleh pemanggil di hujung talian. Dia diam. Kepala menunduk. Padahal, sedar lelaki itu tidak mampu melihatnya ketika ini.

"Hey, are you there?" tanya Dr. Adrian lagi.

Suara lelaki itu masih berbisik lembut. Suraya menelan air liur. Dalam keadaan begitu mana mungkin dia mampu berucap panjang.

"Erm."

Sepatah dia menyahut dan kerlingannya bertembung dengan sepasang mata di dalam cermin pandang belakang. Cepat-cepat dia menjatuhkan pandangan.

"Kenapa tak cakap? Oh, dalam kereta ke?"

"Erm."

Dia mendengar lelaki itu tertawa. Sebentar.

"Dah berkenalan dengan Zaf? Jangan bimbang. Mungkin dia budak-budak tapi, dia cekap dalam memandu. Dan, dia tahu siapa awak. I've got to go. Take care, dear."

Klik.

Hampir gugur jantungnya kerana dua sebab, dipanggil dear dan, Zaf yang sedang memandu tahu siapa dirinya. Dirinya yang mana? Staf baru yang bermasalah dengan Dr. Adrian atau yang bakal berkahwin dengan Dr. Adrian?

Disimpan kembali telefon pintar itu ke dalam beg sebelum kedudukan diengsot sedikit ke tengah. Perihal peribadi ditutup dahulu. Diperhati Eugene membuka software TEMS Investigation. Kemudian, mengecilkan paparan tersebut sebelum email pula dibuka.

"Nice! Kerja senang maa. Tapi, makan masa. Maybe petang baru siap."

Suraya ternganga.

'Kerja senang tapi petang baru siap?'

"Kalau petang baru siap mana ada senang." sanggahnya.

Eugene menoleh. Tersengih mendengar omelannya.

"Easy bermaksud you just run the software tak perlu buat other tests. Tapi, sampai petang sebab cluster ni besar. Ampang, Pudu, Keramat, you tengok la nanti."

"Oo... Okay. So, apa yang first things first?"

"Tools. Make sure all tools complete. Laptop, inverter, power extension, mobile phone, USB slot, GPS and all the cables. Hari ni kita buat coverage test untuk post launch performance."

Dengan tangkas ditarik keluar buku nota peribadinya. Mencatit satu per satu maklumat yang diterima. Kemudian, Eugene menerangkan pula cara-cara untuk setting dan lock bandwidth pada software yang sedang dipaparkan.

Baru satu jam diharungi, dia mula memahami apa yang diperkatakan oleh Eugene sebelum bermula tadi. Tugasan itu sememangnya mudah cuma, keadaan jalan raya yang sibuk ditambah dengan sekatan lampu isyarat membuatkan ianya mengambil masa yang agak lama untuk ditamatkan.

Melewati tengah hari, kawasan Pudu baru sahaja siap ditelusuri. Mereka berhenti rehat untuk makan manakala dia mengambil kesempatan itu untuk terus menunaikan solat Zuhur lalu, bersambung pula ke daerah Ampang.

Jam 4.00 petang mereka berada di sebuah lorong kawasan perumahan di Datuk Keramat. Sesekali, matanya melihat paparan skrin yang bersimpang-siur dengan jujukan warna-warni parameter RSRP. Pemuda Cina itu turut menunjukkan cara-cara untuk menyimpan log files yang diperoleh daripada test itu sebagai pengakhiran tugasan.

Tepat jam 6.00 petang, mereka dalam perjalanan pulang ke pejabat. Telefon pintar dikeluarkan dan satu pesanan kepada Hanis dihantar. Nampaknya dia bakal pulang sedikit lewat pada petang itu.

"Alright! Off to go. Eh, you balik naik apa, Anne?" tanya Eugene ketika kereta berhenti di tempat yang sama ketika bermula pagi tadi.

"Tren."

"Oh. Okay. See you tomorrow. Zaf, thanks. Cao dulu." ujar Eugene lantas keluar.

Suraya turut mengucapkan terima kasih kepada Zaf disambut dengan kenyitan mata oleh remaja itu. Isy, geram pula dia melihat gelagat hiper sejak dari pagi itu!

Ketika pintu kereta itu ditutup rapat, dia menelan keadaan yang bising dengan lolongan hon kenderaan yang bersesak di jalanan. Fuh! Habis lenguh satu badan kerana perlu duduk hampir lapan jam di dalam kereta. Kepala, menoleh kanan dan kiri melihat kenderaan yang bertali arus. Sesak seakan tiada jalan keluar untuk meredakan keadaan padat sebegitu. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk masuk kerana solat Asar belum ditunaikan lagi. Baru selangkah diambil, telefonnya bergetar. Pantas dia menjawab.

"Suraya, nanti saya hantar awak balik. Naiklah dulu."

Talian diputuskan dan serta-merta dia mendongak.

'Dia, nampak aku ke?'

Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.