Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 45


Itulah kali pertama dia menjejakkan kaki ke terminal pengangkutan udara yang ternama di mata dunia itu. Dahulu, laluan perjalanan yang dilakukan pasti menggunakan Lapangan Terbang Subang. Namun, sejajar peredaran kemajuan negara, lokasi terminal itu diubah. Lebih luas dan canggih.

Keadaan hingar-bingar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sikit pun tidak menjejaskan tumpuannya kepada pasangan merpati dua sejoli yang sedang duduk di sebuah kafe bertemakan masakan Malaysia. Penampilan lelaki itu kemas sentiasa. Sejak berada dalam tahun-tahun akhir di universiti dia dapat melihat gaya rambut yang diikat itu masih menjadi pilihan lelaki itu. Entahkan kerana trend atau minat, gaya sebegitu banyak dilihat pada kebanyakan anak muda lelaki sekarang.

Dia mengamati pasangan tersebut. Kerana memang itulah tujuannya berada di situ. Lagak lelaki itu kelihatan bersahaja. Tenang ketika berkata-kata. Dan sesekali terpancar senyuman. Renungan yang dilontarkan pula tak lain hanyalah satu renungan pengharapan kepada pasangannya. Dia, kenal akan pandangan itu kerana suatu masa dahulu dia pun pernah duduk di posisi lelaki itu.

Si gadis itu pula kelihatan sedikit pemalu. Terkadang menundukkan kepala apabila perbualan sedang berlangsung. Namun dia dapat rasakan ada tarikan di antara keduanya yang mengikat pandangan lelaki itu dari mempedulikan hal sekeliling. Perasaan lelaki itu seakan dapat dibaca oleh sesiapa sahaja yang memandang. Terlalu ketara.

Perasaan itu juga satu perasaan yang turut pernah dialaminya. Kini, dijangkiti oleh lelaki itu pula.

"Abang, Lia rasa anak kita tentu seorang yang penyayang." tutur Aliah sambil mengusap perut yang memboyot. Sebelah tangannya menjinjit sebuah beg kain sederhana besar. Mengandungi peralatan jahitan.

Dia, mengalihkan pandangan. Menatap perut berusia lapan bulan yang sedang ditanggung oleh isteri kesayangan. Buah cinta pertama yang tak sabar dinantikan kelahirannya oleh mereka berdua setelah empat tahun melangsungkan perkahwinan.

"Kenapa Lia cakap macam tu?" soalnya ingin tahu.

Aliah senyum. Melabuhkan punggung di sisinya yang sedang duduk di muka pintu.

"Sebab papanya seorang yang penyayang. Bukan sesama manusia je...haiwan pun sama." kata Aliah lalu tertawa kecil.

Dia pula membalas dengan senyuman. Tak puas melihat wajah yang kelihatan berseri sentiasa. Sejak kali pertama bertentang mata dengan Aliah, dia sedar hanya gadis itu seorang yang ingin dimiliki dan dijadikan sebagai isterinya yang sah. Kerana itulah walau berapa banyak halangan dan dugaan yang diterima tidak dia peduli. Adanya Aliah di sisi sudah cukup melengkapkan hidupnya. Dia tidak kisah hidup di dalam kemiskinan meskipun itulah pertama kali dia melangkah ke alam kehidupan sebegitu.

Senyuman Aliah menghilangkan segala kesengsaraan yang pertama kali dirasai. Kemewahan hidup yang jauh ditinggalkan tidak lagi bermain di ruang mata. Sikit pun dia tidak rindukan kehidupannya yang dahulu. Dia sudah mempunyai Aliah. Bakal mempunyai anak sendiri pula. Mereka berdualah yang paling utama baginya ketika ini.

Dan dia bersyukur. Kerana kemiskinan itu, hubungan mereka berdua makin bersimpul erat. Aliah membuktikan kata-katanya yang sanggup bersusah-payah hidup bersama. Rumah setinggan berupa rumah panjang itu didiami kira-kira dua tahun yang lalu. Simpanan telah habis digunakan demi kelangsungan hidup. Entah mengapa, walau memiliki kalayakan yang sepatutnya untuk memperoleh kerja yang bagus di mana-mana jabatan, permohonannya seringkali ditolak. Bukan satu dua perkerjaan yang dipohon. Apa sahaja jawatan yang dirasakan sesuai dan menepati kelayakannya dipinta. Namun, setelah empat tahun, ternyata usahanya masih belum membuahkan hasil. Malah ditukar pula lowongan pencarian. Kerja buruh kasar turut ditanyakan. Hampa.

Aliah sering memujuk. Mengatakan apa yang terjadi adalah dugaan memasuki alam perkahwinan. Tetapi, dapat dia rasakan bapanya memainkan peranan dalam kegagalannya itu. Tentu pengaruh dan kuasa digunakan oleh bapanya untuk menyekat kehidupannya di bumi Semenanjung ini. Perkara itu tidak pernah pula disampaikan kepada Aliah. Cukuplah dia seorang mengetahui bahawa kehidupannya bersama Aliah sentiasa dalam pengawasan bapanya.

Walaupun begitu, dia enggan berputus asa. Tanggungjawab yang digalas makin bererti dengan kehadiran buah hati tidak berapa lama lagi. Ketika ini dia bersyukur masih mampu mencari rezeki walaupun kerja yang dipikul itu kerja yang sering mendapat hinaan dan cercaan segelintir masyarakat.

"Lia dah fikir nama anak kita?" soalnya kepada isteri tercinta.

Aliah yang sedang mengeluarkan gulungan kain perca yang dibeli dengan harga murah daripada Tukang Jahit Nancy memandangnya sekilas sambil tersenyum indah. Kain jenis cotton itu dibentangkan. Lalu dikeluarkan pula gunting dan alatan jahitan yang lain.

"Lia mahu anak kita ada nama papa dia. Supaya sifat papanya menurun kepadanya juga." balas Aliah diiringi dengan sebuah senyuman.

"Nama abang yang mana?"

Aliah menghentikan kerja-kerja untuk menggunting. Masih dalam senyuman isterinya bersuara,

"Rudy. Lia sukakan nama tu." kata Aliah jujur.

Dia senyum. Belum pernah isterinya menyebut perihal namanya selama mereka berkasihan. Bahagia dirinya mendengar pengakuan isteri yang mengambil berat akan sekecil-kecil perkara tentang dirinya.

"Abang sukakan nama Adrian. Awalan A seperti ibunya." ujarnya pula.

"Baiklah. Kalau begitu kita bagi nama Adrian Rudy. Bagaimana? Abang setuju?"

Pantas dianggukkan kepala. Pilihan isterinya sentiasa menjadi pilihannya juga. Seia sekata sejak dari mula mereka berkenal-kenalan.

Namun, sayang seribu kali sayang. Seperti jatuh ditimpa tangga, kelahiran anak yang dinantikan itu bertukar tragis. Impian yang dibina bersama isteri tercinta tidak kesampaian. Aliah, meninggal dunia ketika proses bersalin sedang berlangsung. Kemudian, rumah yang didiami itu pula bakal dirobohkan kerana tanah milikan pemaju itu akan didirikan sebuah kompleks kediaman dan komersil.

"Abang, seorang ayah yang gagal Lia..." bisik hati kecilnya. Lirikan kembali berpaut pada pasangan sama cantik sama padan itu.

Maukah pemuda itu mengiktiraf dirinya seperti mana dia pernah disanjung dan dihormati sebelum ini?

Atau, tawarkah hati pemuda itu sebaik mata bertentang mata?

Tepatkah waktunya andai dia muncul di hadapan pasangan itu lantas memperkenalkan dirinya seperti tiada apa-apa yang berlaku selama ini?

Keazaman yang dibawa ketika mengekori pasangan itu dari awal pagi tadi bertukar rentak. Ragu. Bimbang. Bagaimana jika sekiranya dia telah tersilap percaturan. Tetapi, bilakah lagi waktu yang sesuai?

Perlahan-lahan, dia bangun dari duduknya di atas bangku kayu panjang itu. Dari jarak tiga puluh meter satu langkah pertama dibuka. Belum lagi langkah kedua dibuka telefon di dalam poket seluar yang dikenakan bergetar. Dia menyeluk dan mencapai telefon itu. Nombor yang sudah tiga hari ditunggu panggilannya tertera. Pantas dijawab.

"Macam mana?" Tanpa mukadimah dia terus menagih jawapan.

"Namanya Suraya Anne Binti Ahmad Fauzi. Berumur dua puluh lima tahun dan berasal dari Melaka. Anak tunggal. Tapi..." suara wanita di hujung talian itu tiba-tiba sepi.

"Ah, teruskan!" gesanya tidak gemar akan sela yang tiba-tiba muncul itu. Tak sabar pula mendengar lebihan lanjut perihal gadis itu.

"Erm,"

Diam sejenak. Seperti informasi yang bakal dikatakan kurang enak untuk diperkatakan.

"Apa dia? Kau main-mainkan aku ke?" gertaknya pula.

"Bukan macam tulah. Tapi, ibu dan bapanya mati dalam kemalangan. Masih baru. Lebih kurang satu bulan yang lalu."

"Oh."

Dia, terkedu seketika. Rasa simpati terlahir untuk gadis yang dilihat sopan perilakunya.

"Tapi, kenapa kau teragak-agak nak bagitau?" leternya tiba-tiba.

"Sebab, kemalangan tu adalah kemalangan yang membabitkan kita!!" wanita itu mula meninggikan suara.

"Dan mangsa kemalangan malam tu adalah ibu bapa dia, tau tak??"

Masa, seakan terhenti. Langkah yang sebentar diambil ditarik kembali. Tubuh dibawa kembali duduk di atas bangku.

"Bapak dia selamat malam tu. Tapi, tak lama kemudian meninggal jugak. Aku dapat tau puncanya adalah kerana kesan dari kemalangan tu-.."

Dia, tidak lagi mampu mendengar keseluruhan maklumat yang dibawa oleh wanita tersebut.

Kemalangan itu masih segar melekat dalam ingatannya. Setiap inci dan waktu kejadian itu belum sekali pernah dia lupakan. Kini, beban yang sedia dipikul makin berat untuk ditanggung. Wajah yang sedia tertunduk makin menunduk. Tidak berani dia mengangkat kepalanya lagi. Terasa tubuh yang tenang sedikit bergetar. Ketika pasangan itu bangkit dan beredar dia masih tetap berada di situ. Buntu.

Previous: Bab 44
Next: Bab 46

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.