Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 3


Cuaca di luar cerah dan meriah. Riuh suara perbualan dan perbuatan di sana berlawanan sekali dengan suasana di dalam ruangan itu. Satu-satunya bunyi yang kedengaran hanyalah bunyi bilah kipas pengudaraan.

Suraya menoleh ke arah pintu masuk. Memerhati satu sosok yang tiba-tiba muncul bersama dengan satu jag pengisar di tangan. Dari gerak-geri yang sibuk itu dapat dilihat wanita itu sedang menuang sesuatu ke dalam bekas-bekas isian yang banyak disediakan di atas kabinet bawah di tepi pintu.

Pandangannya, berlabuh pula kepada sebiji bakul sederhana di atas meja. Sudah hampir penuh dengan timbunan bawang besar yang telah dikupas kulit. Namun, beg guni sepuluh kilo yang berdekatan kelihatan tidak susut pula isinya. Seperti beg guni itu sentiasa menambah isiannya setiap kali ia diambil.

Sepasang kaki yang sedang bergoyang-goyang di bawah meja ditendang sedikit. Gangguan itu cukup mengalih fokus seseorang yang duduk bertentangan. Kepala yang sedang menunduk naik sedikit. Kedua kening yang semulajadi tebal dan berlekuk bulan sabit itu spontan terangkat. Serangan balas dirasai di kaki. Dia bermain mata memberi isyarat kemudian mulutnya menjuih ke arah guni. Serta merta mulut teman bertentangan terbentuk huruf O.

"Aaa...Kak Ipah!.. Boleh tak akak tolong Anis dengan Yaya kupas bawang?" laung Hanis kepada salah seorang pekerja katering kepunyaan ibu dan bapanya.

Latifah yang mesra dipanggil Kak Ipah lantas berpaling. Satu anggukan diberi.

"Err...Kak Ipah sibuk ke?" soal Hanis lagi meminta kepastian sebaik melihat Latifah sedang tercari-cari sesuatu di sebuah rak berhampiran.

"Ape arr kau ni... Dah mintak tolong baru nak tanya." kecam Suraya sambil membaling sebiji bawang yang togel ke dalam bakul. Beberapa serangan di bawah meja dirasakan sebagai tindak balas kecaman. Dia membalas namun temannya itu terlebih dahulu mengambil langkah defensif. Kedua kaki naik ke atas kerusi lantas dilipat sila. Lidah dijelirkan merai kemenangan melarikan diri.

"Tak sibuk dah. Mak Long suruh Kak Ipah blender cili kering, serai, bawang putih. Semua tu baru je siap." sahut Latifah lembut lantas mencapai sebiji bakul besar dan mendekati mereka berdua. Sebuah kerusi kosong ditarik dan wanita itu duduk di situ.

"Jadi, apa lagi yang belum siap?" tanya Hanis sebaik wanita itu memulakan kerja.

"Bawang aje. Yang lain dah beres. Kalau bahan sampingan ada lagi yang perlu disiapkan. Macam ulam-ulaman dan buah-buahan... Tapi, Mak Long dan Kak Nor tengah buat. Tu... dekat depan."

"Kuih?" tanya Hanis lagi.

"Tempah."

Suraya dan Hanis berbalas pandang dan saling menganggukkan kepala tanda mengerti. Disebabkan kekangan masa, malam tadi barulah dia dan Hanis dapat pulang ke kampung. Duduk cerita perjalanan majlis pun secara ringkas mereka tahu daripada ibu dan bapa masing-masing.

"Riuh betul dekat luar. Ramai ke orang yang datang, Kak Ipah?" soal Suraya pula ingin tahu.

"Bolehlah. Sederet ni semua ada dan geng surau pun ramai."

Suraya dan Hanis kembali berbalas pandang. Hanis, yang pertama memutuskan renungan dengan beralih tumpuan kepada bebawang sambil bibir dimuncungkan tanda tidak puas hati. Fikiran serentak melayang mengenang peristiwa yang baru setengah jam berlalu tadi.

"Kak Long! Pergi bawak guni bawang ni masuk stor. Kupas bawang dekat situ." arah Encik Syed Yusuf tiba-tiba.

Hanis yang sedang mengeluarkan paket-paket sayuran dari sekarung plastik bersaiz besar spontan menghentikan kerja dan memandang ke arah bapanya.

"Kenapa kupas dalam stor pulak, ayah? Kan semua kerja buat dekat sini."

"Sini dah penuh dengan orang." kata ayahnya lagi sambil bercekak pinggang.

Bukan hanya suara yang garang, mata yang sedang mencerlung itu terasa gerun untuk ditatap. Namun, Hanis sudah terbiasa dengan pandangan helang itu. Renungan yang tajam itu dibalas selamba.

"Apa yang penuhnya, ayah? Luas apa tempat ni?" sahutnya sedikit hairan dengan alasan yang diberikan.

Suraya yang sedang membentangkan tikar mengkuang di atas pentas mudah alih itu dijeling sekilas. Melihat kelebaran pentas itu, ia muat sangat untuk menampung lebih kurang sepuluh orang berserta barang-barangan. Tiba-tiba jadi tak muat. Pelik betul!

"Kak Long, ayah tak ulang banyak kali. Nak duduk dekat stor atau dapur? Pilih!"

Pandangan dan jelingan beberapa orang tetamu yang mendengar perbualan itu langsung tidak diendahkan oleh Encik Syed Yusuf. Tentu mereka hairan dengan sikapnya itu. Tetapi, dia tidak peduli. Anak perempuannya itu sedang meniti kedewasaan. Tumbuh pula menjadi seorang wanita yang rupawan. Bukan satu dua lirikan dari sang teruna yang mengekor pergerakan anaknya itu sejak tadi. Dia perasan sangat. Sebab itulah disuruh anaknya buat kerja di dalam dari duduk beramai-ramai di luar begitu. Ikutkan naluri seorang ayah, mahu melepaskan anaknya itu belajar di universiti pun pelbagai sekatan diberikan. Begitu juga ketika anaknya mendapat tawaran berkerja. Beberapa syarat dan kata dua diberi. Kini, apabila teman baik anaknya itu turut mendapat kerja di kota dan duduk serumah pula, dia bersyukur bukan kepalang. Adanya teman baik anaknya itu berkurang sedikit rasa gusar memikirkan keselamatan dan pergaulan anaknya itu.

"Yelah yelah....Kak Long buat dekat stor." tutur Hanis berbaur rajuk. Bagai mengheret guni pasir di kaki, dia melangkah ke arah stor di tepi rumah itu.

"Jadi makcik bawanglah kita hari ni, ye."

Usikan Latifah serta-merta mematikan lamunan Hanis.

"Tapi, tak adil. Terperuk dalam stor. Entah kenapalah ayah suruh kupas bawang dekat sini tadi." rungut Hanis dengan perasaan terkilan.

"Kira okay, lah. Dalam ni taklah panas sangat. Selesa je..." kata Suraya memujuk temannya itu.

Namun, jauh di sudut hati dirinya sekali turut dipujuki. Ketika pertelagahan kecil antara Hanis dan Encik Syed Yusuf berlangsung, dia segera menjadi orang tengah. Ditarik tangan Hanis dengan seguni kecil bawang turut dibawa bersama-sama. Dia, enggan melihat Hanis berbantah-bantah bapanya di hadapan orang ramai. Lagipun, kedudukan stor ini lebih baik dari duduk di dapur yang terkebelakang kedudukannya. Dari stor ini, mereka masih dapat melihat keadaan di luar meski tidak sepenuhnya.

"Kak Ipah dengar tempat kerja Yaya dekat dengan tempat kerja Hanis. Jadi, korang berdua ni duduk serumahlah?"

Serentak Suraya dan Hanis bertukar lirikan. Bertempiaran khayalan masing-masing melarikan diri. Persoalan Latifah langsung tidak mengejutkan mereka kerana mereka berdua sedar, kawasan kediaman mereka itu tidaklah sebesar mana. Meski perumahan mereka merupakan lot rumah yang berasingan, tetapi, berita kecil pun boleh jadi berita besar. Ada sajalah perkara yang mahu dijadikan berita sensasi!

"Ha'ah. Kami pergi kerja pun sama-sama, kak. Naik tren aje sebab tempat kerja kami berbeza tiga stesen sahaja. Entahlah... Mungkin betul apa yang Mak Long selalu sebut-sebut tu. Kami ni memang kembar lain mak agaknya. Susah benar nak berpisah jauh-jauh ni." jelas Suraya panjang lebar sambil tersengih-sengih.

Semenjak kecil, mereka berdua sering dilabel sebagai kembar lain mak oleh jiran-jiran setempat. Asal ke mana-mana pasti berdua. Pakaian juga gemar sedondon. Bila jatuh sakit pula terkadang serentak!

"Untung korang berdua. Dapat merasa belajar tinggi-tinggi dan berkerja di bandar besar. Kak Ipah ni macam nilah dari dulu. Terperap aje di kampung." tutur Latifah sayu.

Pandangan Suraya dan Hanis kembali berpapasan. Latifah, anak jati kampung itu. Cuma takdir hidupnya tidak seperti orang lain. Dia sebatang kara di dunia ini semenjak kecil. Tetapi, apa yang Suraya tahu, Latifah seorang yang gemar mencuba sesuatu yang baharu.

"Kak Ipah, walau menetap di kampung tak menghalang kita untuk berjaya. Dah terlalu banyak kisah orang yang tinggal di luar bandar tapi berjaya dalam bidang masing-masing." tutur Suraya buat mengambil hati Latifah dari bersedih tidak tentu hala.

"Apa cita-cita Kak Ipah?" soal Hanis tiba-tiba.

Latifah kelihatan tertunduk sebentar sebelum mengangkat pandangannya.

"Akak nak ada bisnes sendiri."

"Wowww!!"

Lantas Suraya dan Hanis menyahut. Berasa kagum dengan impian yang dimiliki oleh wanita itu.

"Bisnes apa, kak? Ceritalah... ceritalah... Tak sabar Yaya nak tau." ucap Suraya bersemangat.

Wajah Latifah merona. Segan bila hasrat yang dipendam ingin dikongsikan dengan dua orang gadis di hadapannya itu.

"Erm...Akak nak jadi pengedar sejuk beku lauk pauk katering," maklum Latifah sebelum segaris senyuman terukir di bibirnya.

"Katering ayah?" tanya Hanis.

"Ha'ah. Kak Ipah dah pernah suarakan pada Pak Long dan Mak Long tentang perkara ni. Mereka suruh Kak Ipah tambah ilmu dulu."

"Maksud Kak Ipah?" tanya Hanis lagi.

"Komputer."

"Oo..." Serentak Suraya dan Hanis menyahut.

"Tapi, akak tak pandai komputer." luah wanita itu perlahan.

"Laa... Kak Ipah jangan risaulah. Anis dengar, pusat komputer taman kita dah ada tenaga pengajar. Kali ni, diorang buat kelas komputer pada waktu malam dan hujung minggu. Mungkin sasaran mereka untuk golongan pekerja yang nak belajar. Rugi tak digunakan kemudahan tu, kak. Nanti, Anis tanya Abang Chik. Dia kerap pergi ke situ, kan?" usul Hanis lagi. Nampak benar Hanis bersungguh-sungguh mahu melihat Latifah mengubah nasib hidupnya itu.

"Kak Ipah, kalau akak nak tau belajar komputer tak sesusah mana pun. Yaya pasti sekejap aje akak akan mahir gunakan komputer tanpa bantuan sesiapa." dorong Suraya pula. Tidak berbelah-bagi memberi perangsang dan semangat.

"Hmm...Kalau macam tu nanti Kak Ipah sendiri cakap dengan Abang Chik."

Suraya dan Hanis bertukar lirikan. Masing-masing tersenyum simpul dalam diam.

Tepat jam 3.00 petang, tetamu mulai hadir ke majlis itu. Telah sekian lama hasrat kedua orang tuanya mahu mengadakan kenduri itu dipendam. Sejak dia tamat belajar lagi dia mendengar hasrat itu dari mulut kedua orang tuanya. Tetapi, hasrat itu tidak kesampaian kerana dia sendiri menolak majlis itu diadakan. Sehinggalah apabila dia berjaya beroleh pekerjaan sekali lagi kedua orang tuanya meluahkan hasrat yang sama. Kali ini mereka melakukan tindakan strategik. Siap-siap menguruskan hal ehwal majlis lalu menghebahkan ia kepada sebilangan tetamu. Dia pula yang terakhir dapat tau!

Sambil berjalan perlahan ke arah khemah majlis, sesekali dia memerhati suasana yang sedang berlangsung. Lorong dua hala yang lebar di hadapan rumah terpacak dengan dua buah khemah yang besar dan sebuah bersaiz kecil hinggakan terpaksa mengambil sebahagian ruang di hadapan rumah Aunty Lela. Jiran berketurunan India yang baik hati itu mengizinkan kawasan hadapan rumahnya itu digunakan.

"Yaya!.." gamit Puan Norlin yang sedang duduk di sebuah meja berhampiran dengan pintu pagar kediaman mereka.

Suraya pantas menoleh. Sambil tersenyum simpul, dia mendekati mummy. Di samping ibunya itu terdapat beberapa tetamu yang tidak dia kenali.

"Yaya ni, Nor?" soal salah seorang wanita yang agak sebaya umurnya dengan mummy.

Tanpa berlengah, Suraya menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan tetamu yang menegur itu

"Si kembar Hanis ni." sampuk Puan Sharifah Hassanah berjenaka.

Suraya tidak mengenali gerangan tetamu tersebut. Tetapi, mengikut perbualan yang berlangsung, tetamu itu seseorang yang dikenali dan agak rapat. Dia melemparkan pandangan ke arah Hanis pula. Gadis itu tak jemu-jemu menatap telefon di tangan! Dia ditampar rasa bengang. Lalu dihampiri teman karibnya itu dan melabuhkan punggung di atas sebuah kerusi yang kosong. Jari telunjuknya memanah tepat ke pinggang temannya itu. Hanis kelihatan tersentak sebelum tersipu malu. Cepat-cepat telefon itu disimpan ke dalam poket baju kurung yang dipakai. Cantik betul Hanis pada petang ini mengenakan kurung berona biru lembut dan tudung bawal berwarna keemasan. Kena dengan kulit hitam manis dan wajah jelita yang diwarisi dari Puan Sharifah Hassanah yang berketurunan Jawi Peranakan itu.

"Hisy budak-budak ni... Tak kenal ke Mak Jah kantin ni?" rungut Puan Sharifah Hassanah dengan riak kesal melihat gelagat kedua anak gadis itu.

Suraya dan Hanis berpandangan seketika sebelum masing-masing ketawa kecil.

"Laa... Mak Jah nampak lain. Dulu, masa sekolah menengah berisi sangat. Sekarang, kurus sangat pulak. Tak cam tadi." akui Hanis lalu diiyakan oleh Suraya.

"Ha'ah. Makin cantik pulak. Mak Jah sihat, tak?" kata Suraya pula.

"Alhamdulillah, sihat. Sebelum ni Mak Jah sakit. Kena kencing manis. Itu pasal badan jadi macam ni. Tapi, sekarang dah sembuh dah dari penyakit tu." cerita Mak Jah ceria.

Masing-masing meluahkan rasa kesyukuran tatkala mendengarnya.

"Bila lagi?" soal Mak Jah seraya membuatkan lapan pasang mata terpaku ke arahnya.

"Laa... Kahwinlah... Belajar dah habis, sekarang dah kerja. Tunggu apa lagi... hah, Long?.. Nor?.. Kalau dah ada calon tu nikahkan aje..." kempen Mak Jah selamba.

Ucapan itu lantas membuatkan Suraya dan Hanis berbalas isyarat mata.

"Alaahhh Kak Jah... Ada jodoh nanti segera kami buat. Kak Jah orang pertama saya jemput!" seloroh Puan Sharifah Hassanah. Dia tidak gemar apabila urusan peribadi itu sengaja digembar-gemburkan. Namun, demi perasaan hormat dia bertindak sesuai mengikut keadaan.

Suraya dan Hanis sama-sama menahan perasaan geli hati. Tak jadi nak angkat kaki. Gembira kerana orang tua mereka arif dalam mengulas isu yang sering mencabar mental dan emosi para ibu yang mempunyai anak gadis yang sudah menginjak dewasa. Melihatkan arah perbualan yang mula menyimpang, mummy mengubah topik perbualan bertanyakan tentang keadaan anak-anak tetamu itu pula. Lega!

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.