Awal pagi dia masuk ke pejabat. Bilangan staf yang sudah tiba boleh dikira dengan jari. Sama seperti semalam, hanya Ben yang berada di meja kerja di dalam kumpulan itu. Sibuk memeriksa laporan yang diterima daripada ahli tim yang lain untuk dilengkapkan ke dalam templat. Sebenarnya setelah agak lama berada di dalam tim itu, serba sedikit profil lelaki bernama Benjamin itu dikutip. Dia belum berkesempatan berbual apatah lagi bercakap sepatah dua dengan lelaki yang bertubuh sasa seperti jurulatih kecergasan itu. Bukan anti tetapi wajah kurang mesra itu menjadi halangan. Dengan kepala yang dicukur botak nak pandang pun dia takut. Tetapi, setiap pagi apabila tiba di pejabat selamba sahaja dia mengucap selamat kepada lelaki itu walaupun tidak berbalas.
"Err, Anne!"
Terpana. Namanya kedengaran di seru oleh Ben. Segera dia menoleh ke arah lelaki itu.
"You boleh ke PJ Seksyen 14?"
Dikawal air muka yang jelas terkejut dengan nada yang agak lembut itu.
"Untuk apa?"
"Kalau you tak boleh tak apa." sahut Ben masih lagi dalam nada yang sama.
Dia terasa seperti berada di alam mimpi. Sikap Ben itu pertama kali dilihatnya.
"Eh, taklah... Saya cuma nak tahu, kenapa?.."
Cepat-cepat dia memotong. Bimbang pertanyaannya tadi disalah anggap.
"Ada test yang tertinggal untuk dibuat. You tahu guna Iperf? "
Pantas dia mengangguk. Ujian itu digunakan untuk menyemak network bandwidth dengan lebih terperinci. Dipelajari daripada Dr. Adrian ketika berada di Kota Kinabalu sebelum ini. Nampaknya berguna juga ilmu dan kemahiran yang ditimba ketika sedang berkerja itu.
"Siapa punya site tu?" soalnya.
"Mine."
Oh! Pura-pura berbaik untuk meminta pertolongan atau benar-benar ikhlas? Keraguan itu dipendamkan. Pura-pura atau tidak, permintaan lelaki itu bertepatan dengan perancangannya ketika ini.
"Oo... Jadi, bila kena buat?" soalnya dengan satu senyuman.
"Lepas lunch you boleh pergi?"
Dia mengangguk. Pucuk dicita ulam mendatang. Ada alasan untuk berada di Petaling Jaya!
"Alright. Nanti I email details. Waktu you nak buat nanti call I terlebih dahulu untuk I pastikan lat long dan, bila dah siap print screen result and terus email pada I. Kalau boleh sebelum jam empat." arah Ben kemudian.
Satu garisan senyuman tergaris di wajah lelaki itu disambut dengan senyuman lebar olehnya. Lalu, lelaki itu kembali sibuk meneruskan kerja-kerjanya. Terasa tembok yang menjarakkan mereka selama ini runtuh sedikit demi sedikit meskipun bisikan hati meminta untuk terus berwaspada. Tapi, boleh jadi kempen Respect! yang diuruskan oleh Jabatan Sumber Manusia yang telah hampir satu minggu berjalan itu mula menunjukkan kesan. Kempen yang berteraskan kerjasama tanpa membezakan jantina itu menjadi sebutan dan mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan staf syarikat. Setiap hari ada sahaja aktiviti di ruang lobi yang luas itu dijalankan. Dan sudah tentu aktiviti yang melibatkan kerjasama di antara staf lelaki dan wanita!
Dia meregangkan tangan yang terasa kebas dan jemari yang kelenguhan. Detap-detup bunyi jarinya dipatah-patahkan. Laporan yang diterima daripada Nazril siap sebelum waktu tengah hari.
'Yeay!'
Perut tiba-tiba berbunyi ketika baru sebentar dia mahu meraikan kejayaan menyiapkan laporan itu lebih awal dari masa yang dijangkakan.
'Alahai, sikit lagi nak lunch. Sabarlah perut!'
Dipujuk si perut yang meminta diisi. Namun boleh pula ianya berkeroncong sakan!
Bingkas, dia bangun. Laci dibuka dan sepaket tisu diselit dalam poket seluar sebelah kanan. Telefon pintar ke dalam poket kiri sementara duit syiling dalam satu bekas kecil disauk. Digenggam kemas lalu dia keluar dari pejabat. Lif ke teres diambil. Berlenggang dia berjalan menuju ke mesin layan diri kemudian, ke snek bar. Memperoleh apa yang dihajati dia duduk di bangku bawah pelindung layar. Terik. Cepat-cepat tin minuman bergas itu dibuka lalu diteguk sedikit. Lega. Paket tisu dikeluarkan dari poket palazo. Ditarik sehelai daripada bungkusan yang sedia terbuka lalu dialaskan di bawah tin minuman yang diletakkan di sisinya itu.
Jajan! Makanan ringan berperisa kacang pis itu turut dibukakan. Baru sahaja mahu mencekau isinya, bungkusan itu tiba-tiba dirampas darinya. Terbeliak biji matanya melihat Dr. Adrian yang menjadi si perampas.
"Stop eating this rubbish!"
Mulut Suraya separuh terbuka. Terkejut. Pertama-tama bersuara setelah tiga hari tidak bertegur sapa, amarah itu yang dia dapat!
Sebenarnya, setelah episod perbualan ringkas di telefon kelmarin, hanya mesej di telefon sahaja yang diterima daripada lelaki itu. Dia pula langsung tidak membalas. Apa yang boleh dibalas jika siang dan malam menghantar emoji berbentuk hati. Seganlah!
"Kalau macam tu, tukarlah mesin junk food tu jadi mesin makanan sihat." balasnya dengan geram. Dicapai tin minuman pula. Tidak dihiraukan renungan tajam yang sedang menyaksikan gelagatnya itu.
"Satu lagi... Berhenti minum air bergas tu! That bleach you're taking is only making you less fertile!" Marah Dr. Adrian lagi.
Burrrr!!!
Bersembur minuman yang baru diteguk.
'Kurang subur? Ciss! Dia kata aku kurang subur?'
Tin minuman diletak kasar. Beberapa helai tisu ditarik dan dia mengelap bibirnya yang memuncung geram.
"Saya tahu awak lapar, Suraya. Nah, makan ni. Kalau tak cukup jom keluar lunch." tutur Dr. Adrian dengan suara yang mengendur lalu menghulurkan satu bungkusan kertas kepadanya.
Lelaki itu masih berdiri dan entah mengapa perasaannya makin terhiris dengan layanan kasar yang diterima sebentar tadi. Datang-datang ambil barang orang lepas tu marah-marah pulak.
"Suraya, I'm sorry, okay. Makan. Daripada makan junk food, it's better if you have these rolls. Saya buatkan untuk awak," ucap Dr. Adrian lembut.
Suraya termenung sejenak. Perasaan yang menjauh tiba-tiba kembali mendekat.
"And, saya nak mintak maaf pasal perkara hari tu."
Suara yang masih lembut itu mula berjaya memujuk hatinya supaya berhenti merajuk. Bukankah dia sendiri telah membuat keputusan setelah memikirkan perkara itu dengan sedalamnya sebelum ini. Dia mahu memberi lelaki itu peluang untuk menebus kesalahannya kelmarin. Lagipun, tempoh mereka berada di dalam perhubungan itu masih terlalu awal. Mungkin lelaki itu memerlukan masa untuk berkongsi perkara yang boleh dikatakan terlalu peribadi itu.
"Saya nak bagi tadi tapi takde peluang. You looked as busy as you can be."
Suraya mengangkat wajah. Segaris senyuman dilirik pendek. Lelaki itu membalas. Tipis.
"Terima kasih." ucapnya perlahan lalu disambut huluran yang sejak tadi terarah kepadanya.
Diintai. Satu bekas makanan dengan sebotol air. Dikeluarkan air mineral tersebut. Dibuka penutupnya untuk sedikit tegukan.
"Saya tak dapat temankan awak... Saya turun dulu. Enjoy your food. Dan ingat, berhentilah minum air bergas tu. I don't want my babies to grow up in a toxic womb."
Hampir-hampir Suraya tersedak sekali lagi. Bulat biji matanya dijengilkan ke arah lelaki itu. Dr. Adrian sempat tertawa sebelum melangkah laju meninggalkannya.
Command Prompt ditutup. Email juga ditutup kemudian, komputer riba itu pula langsung ditutup lalu dimasukkan ke dalam beg galas. Siap tugasan yang dipinta oleh Ben.
"Urm, Zaf... Turunkan saya dekat ArmCorp."
"Eh, kenapa pulak madam? Tak balik ofis ke?" laju Zaf menyoal.
Sejak akhir-akhir ini remaja itu gemar pula memanggilnya dengan panggilan madam. Sebelum ini Miss Anne. Kini, dah tukar pula.
'Hmm... Macam-macam.'
"Saje... Jalan-jalan. Lagipun kerja dah settle. You pun boleh balik." bohongnya. Sebenarnya semasa menunggu kedatangan Zaf di lobi tadi, dia telah menghubungi Gary. Temujanji dibuat dan mereka akan bertemu pada jam 5.00 petang di gudang. Ada lebih kurang satu jam sebelum waktu itu tiba. Dia merancang untuk turun di Armcorp kemudian mengambil perkhidmatan e-hailing sebelum ke gudang yang berada di Seksyen 16 itu pula.
"Okay. Nanti madam terus balik rumah tau...Tapi, kalau Dr. Adrian tanya saya habislah saya kena marah nanti." luah Zaf sedikit gusar.
"Eh, marah apa pulak? Saya yang mintak you hantarkan ke situ jadi kenapa nak marah pulak? Takde apalah, Zaf. Dr. Adrian tak tanya punyalah."
"Madam tak tahu perangai Dr. Adrian tu macam mana..."
"Jadi, you tahulah? Eh, macam mana you boleh kenal Dr. Adrian? You muda sangat tau tapi dah berkerja. Tak minat belajar ke?" soalnya bertubi-tubi. Terdetik di hati untuk mengetahui serba sedikit latar belakang pemandunya itu. Selama lebih dari satu bulan berkenalan, ringkas benar maklumat remaja itu yang diketahuinya.
"Kami dah kenal lama, lah..."
"Lama? Jadi you tahu macam-macamlah tentang Dr. Adrian?"
"Eh eh, tiba-tiba je tanya pasal Dr. Adrian. Kenapa? Suka kat dia, ek?"
Terkedu. Terlupa pula akan status yang disembunyikan daripada pengetahuan ramai itu. Dia, langsung terdiam.
"Erm, kenapa tak sambung study? " soalnya dengan wajah bersahaja dipamerkan.
Zaf tergelak kecil. Menyedari soalan cepu emasnya tadi berjaya membuatkan Suraya mengubah topik. Semakin lama mengenali Suraya barulah Zaf mengerti mengapa Dr. Adrian boleh tersungkur dalam tempoh yang singkat terhadap gadis itu. Selain berperwatakan menarik, sikap polos bagai anak remaja itu jelas terserlah. Namun, apabila sedang berkerja mod remaja itu bertukar sekelip mata. Kematangannya terserlah.
"Cuti belajar."
"Hah? Cuti belajar? Baru masuk belajar dah bercuti pulak? Kenapa? Sakit ke?" soal Suraya lagi.
Dan, perkara terpenting yang membuatnya selesa apabila bergaul dengan gadis itu adalah sikap mengambil berat yang tampak ikhlas tanpa perlu dibuat-buat.
"Taklah. Saje. Cari pengalaman kerja." sahut Zaf senang.
"Oh. Jadi, you ambil course apa?"
"IT."
"Oo..." ucap Suraya ringkas lalu disambung perbualan kosong itu sehinggalah tiba ke destinasi yang dipinta.
"Bye, Zaf. Hati-hati." ujarnya sedikit tidak sabar.
Lantas dia turun dari kenderaan dan menunggu sehingga kereta yang dipandu oleh Zaf beredar jauh sebelum kereta yang dinantikan pula tiba.
Dia turun dari kereta jenis sedan itu setelah selesai membayar menggunakan kaedah e-wallet. Bangunan warehouse dua tingkat yang dicat biru cerah diperhati. Telefon pintar dikeluarkan lalu nombor Gary ditekan untuk memaklumkan kepada lelaki itu akan kehadirannya. Kemudian telefon itu ditukar kepada mod senyap. Dia melewati pintu pagar dan mendaftar di pondok pengawal sebelum menuju ke pintu utama. Di ruang legar yang sepi itu dia menanti kedatangan Gary sendirian.
"Miss Anne?"
Laju dia berpaling. Melihat seorang pemuda Cina berketinggian sederhana, kurus serta bercermin mata dengan senyuman yang mesra datang mendekati.
"Yup." sahutnya sambil tersenyum manis.
"Ada hal apa network team datang ke warehouse?" tanya pemuda itu dengan wajah kehairanan.
Sumpah. Pertanyaan itu umpama satu tamparan deras mengenai wajah. Muka terkejut itu segera disembunyikan. Dengan perasaan berdebar dia menyusun kata-katanya dengan penuh hati-hati,
"Oh. I nak tau kalau-kalau you ada simpan modem dari batch pertama. I nak pinjam, boleh?"
Fuhh! Lancar dia berbohong. Sebenarnya, dia tidak memerlukan alatan tersebut. Dia cuma memerlukan sedikit masa pemuda itu. Untuk mengutip sebarang maklumat yang dipunyai dalam misi siasatannya itu.
"Oohhh... You datang under Dr. Adrian ke? Kenapa tak bagitau awal-awal tadi?.." getus Gary sebelum senyum tipis.
Kelat senyuman yang terukir di bibir Suraya. Tiada anggukan tiada gelengan. Dia selesa membiarkan lelaki itu percaya dengan andaian tersebut.
"Tunggu sekejap." tutur Gary mengundurkan diri.
Suraya menarik nafas yang tenang. Tidak perlu menunggu lama, Gary kembali dengan dua buah kotak comel di tangan.
"Anything else?" tanya pemuda itu lagi.
Suraya mengangguk perlahan.
"Erm, sebenarnya berapa banyak modem yang diluluskan oleh Dr. Adrian, eh?" soalnya tanpa ragu-ragu. Reaksi spontan yang diterima dari lelaki itu menambah keyakinan padanya bahawa Gary boleh dipercayai untuk dijadikan rujukan.
"Thousands."
Mak aii!!
Terkulat-kulat Suraya sebaik mendengar jumlah bilangan alatan itu. Lidahnya langsung kelu. Ruang fikiran juga tiba-tiba kosong. Wajah tanda tanya Gary dibalas lompong.
"Erm, erm... Gary?.." serunya perlahan.
"Yes?"
"Ada tarikh ke untuk setiap batch modem yang dikeluarkan?"
"Oo... Mestilah. Setiap hari modem tu semua akan lalui proses pre-configuration terlebih dahulu sebelum distribute."
"Maksud I, ada tak tarikh yang memastikan pertukaran spesifikasi modem?"
"Oo.. mestilah ada, maa..."
"Bila tu?"
"Lebih kurang setahun lepas."
"Jadi, kenapa tukar spec?"
"Lebih up to date dengan teknologi yang kita gunakan."
"Bila dah tukar?"
"Lagi teruk."
Suraya mati kutu. Tidak nampak kesempurnaan yang boleh ditemukan jikalau kesemua proses jelas menampakkan kekurangan dan kelemahan.
"Bimbangkan Dr. Adrian ke?" tanya Gary merenungnya dalam sebelum segaris senyuman kelihatan.
"Hmm.. I rasa ramai yang risaukan Dr. Adrian sekarang." luah Suraya tanpa segan. Kebuntuan jelas terpampang. Untuk apa dia bersembunyi lagi tentang tujuannya ketika ini.
"Jangan bimbanglaa... Dr. Adrian luluskan tak bermakna dia bersubahat. Kita doakan yang terbaik untuk dia, okay?" tutur Gary dengan prihatin.
Suraya termakan. Meski perasaannya ketika ini tawar mengenangkan segala usahanya berhasil sia-sia, satu senyuman tetap dilemparkan sebelum dia mengambil keputusan untuk mengundurkan diri.