Fikirannya makin tenang. Bukan dengan ubatan tetapi, hanya dengan mendengar suara Suraya. Baru sebentar dia menghubungi gadis itu. Berbual lebih kurang kerana dia enggan mengganggu jadual kerja isterinya itu.
Peristiwa semalam, masih menjadi tanda tanya kepadanya. Dia hairan bagaimana sisi gelap yang sekian lama berjaya dihapuskan itu tiba-tiba memunculkan diri. Mungkin, dia sebenarnya sedang tertekan. Terlalu tertekan dengan satu per satu masalah yang menimpa kebelakangan ini. Entahlah.
Enggan mengusutkan lagi fikiran yang serba kusut, dia menuju ke arah platform. Duduk di tengah-tengah lalu menarik sebuah meja beroda mendekati dirinya. Aplikasi YouTube di dalam komputer riba dibuka. Sebuah video muzik daripada band kegemaran terpapar. Roland TD 11 Module yang menjadi gajet untuk memainkan fail audio dengan seleksi lagu-lagu yang disimpan di dalam sebatang USB stick mula menggemakan lagu.
Fon kepala yang tersangkut di bahu dibawa rapat menutupi telinga. Dua batang kayu yang runcing dan ringan berwarna hitam putih dicapai lalu, setelah selesa duduknya, kedua tangan mula mengetuk snare dan cymbal. Kaki kanan menunjal toms. Kaki kiri seirama terangkat. Starlight dendangan Muse menghiburkan halwa telinga.
Sebuah lagu yang menjadi kenangan. Kerana lagu itu dipilih olehnya ketika menyertai sebuah pertandingan nyanyian di universiti dahulu. Dan, lagu itu telah membawa band yang dianggotainya menjadi juara keseluruhan. Juga, hari yang meninggalkan satu kenangan yang tak kan mungkin dilupakan kerana pada hari itulah dia bertemu dengan Tan Sri Johari buat pertama kali. Lantas, menjadi permulaan dalam jejaknya di TSL Communications.
"Tahniah Adrian Rudy." ucap satu suara.
Keriangan meraikan kemenangan itu di belakang pentas persembahan terganggu dengan kehadiran seorang lelaki di usia hampir setengah abad. Mengenakan pakaian sut pejabat yang kemas dengan sepasang cermin mata berkanta tebal di wajah lelaki itu seperti mengenali dirinya. Tetapi, itulah pertama kali dia melihat lelaki itu.
Diamati sepintas lalu. Nak kata pensyarah, tak mungkin. Wajah itu terlalu asing dalam kalangan ahli kediaman blok akademik ini. Ladang ilmu ini bukanlah tempatnya. Seakan medan itu tidak layak untuknya yang menyarung sut yang direka oleh seorang tukang jahit ternama melainkan bidang korporat yang sepadan dengan penampilannya itu. Jelas, lelaki itu hadir sebagai tetamu yang menjadi penonton acara persembahan yang berlangsung sebentar tadi.
"Terima kasih. Encik cari siapa?" soalnya sekadar berbasa basi. Barangkali bapa kepada salah seorang ahli band mereka.
"Kamulah."
Dia terpempan seketika. Mungkin telahannya sebentar tadi silap. Mungkin benar itulah rakan sejawat yang diperkatakan oleh Profesor Emrizal yang sudah setahun mengasaknya dengan pertanyaan untuk menyambung pelajaran di peringkat PhD pula.
Kata Profesor Emrizal, peluang keemasan sukar untuk datang berkali-kali. Andai dilepaskan memang teramat rugi. Bukan dia tidak berminat untuk menyambung pelajaran ke peringkat itu. Namun, dia enggan menjadi produk separuh masak seperti siulan beberapa orang pensyarah terhadap kualiti keluaran pelajar sepertinya itu. Memperoleh rapid lane untuk ke peringkat tinggi itu terasa berat amanahnya. Mampukah dia menanggung gelaran setinggi itu?
"Mari. Kita duduk berbincang di tempat lain." ujar lelaki itu dengan hemah bergaya.
Sah. Bukan orang awam yang datang bertamu. Dengan adab dan sopan, dilayani kunjungan itu. Dibawa ke sebuah lapangan di luar dewan besar universiti. Di bawah pohon yang rendang dengan bangku-bangku batu banyak bersusun mereka duduk di situ. Tidak jauh dari kedudukan mereka sebuah kereta bergerak perlahan dari kawasan parkir dan berhenti berdekatan. Dia memandang sekilas. Melihat bayang-bayang sang pemandu yang masih setia berada di dalam kenderaan itu. Barangkali pemandu peribadi tetamunya itu.
"Ada apa cari saya?" soalnya membuak ingin tahu. Jikalau benar sangkaannya, akan diluahkan secara berdepan. Bukan dia enggan menyambung pelajaran. Dia mencintai bidang ilmu. Juga gemar menyumbang pengetahuan yang dimiliki.
Bersama Profesor Emrizal dia dibawa mengiringi lelaki itu ke pelbagai seminar dan pameran. Dalam dan juga luar negara. Mendalami dan terus menambah pengetahuan dalam bidang yang dirasakan makin pesat membangun di tanah air.
Namun, ingin sekali dia bercuti sebentar. Melepaskan lelah dari kegilaan menjadi seorang pelajar dan pekerja separuh masa yang telah memakan hampir keseluruhan detik hidupnya itu.
Kejayaan mendapat first class honours mendapat perhatian rakan sejawat Profesor Emrizal yang bersungguh-sungguh menawarkan diri sebagai bakal penyelianya. Proposal dan sponsor telah tersedia menanti. Hanya menunggu dirinya memberi kata putus. Tingkah itu memaksanya berada dalam situasi tersepit. Bukan takut untuk bersuara tetapi teringatkan persahabatan yang terjalin di antaranya dengan Profesor Emrizal membuatkan keinginan itu tidak mampu disampaikan.
"I, Tan Sri Johari. Your uncle."
Pang!!
Pukulan angin sejuk berasal dari Tenggara itu terasa perit mengenai pipinya. Telahannya seratus peratus silap. Tanpa sengaja dipandang lelaki itu atas dan bawah. Seorang Tan Sri bertepatan pada pesona yang dibawa. Lagaknya mewah. Bapa saudara? Baru sekarang mahu mencari dan mengakuinya sebagai anak saudara setelah hampir suku abad membiarkan dia hidup dalam kesempitan. Untuk apa?
Dan, namanya Johari? Belum pernah dia mendengar bapanya menyebut nama itu kecuali satu. Jay. Adakah ini Jay yang dikatakan oleh bapanya? Ombak emosi mula membadai. Kedua belah tangan erat menggenggam buku lima.
"Ada apa Tan Sri cari saya?" soalnya dengan tenang. Persona yang dipakai diaplikasikan daripada nasihat yang diperolehi daripada Profesor Emrizal sebelum ini.
"Bila you masuk dalam perbualan, jangan terus menjawab," tutur profesor itu ketika mereka berada di dalam sebuah perut bas ekspres yang menuju ke Singapura. Mengunjungi republik itu untuk menghadiri sebuah konvensyen teknologi.
"Kamu blink kemudian, count to three. Barulah kamu jawab."
"Kenapa kena kira?"
"Kalau kamu tak bisa kira, gunakan saja alif ba ta." Profesor Emrizal membuat lelucon.
Dia pula ketawa terbahak-bahak kerana geli hati.
"Ini disebut sebagai response time. Juga, waktu inilah kita gunakan untuk mengawal ekspresi dan riak wajah. Selain untuk memahami butir bicaranya." terang Profesor Emrizal lagi.
Dia terangguk-angguk faham. Sejak mengenali pensyarahnya itu, dia mendapati lelaki itu seseorang yang gemar berkongsi pelbagai topik perbualan. Dari latar muzik, politik, seni dan pelbagai lagi. Kerana itulah dia senang berdampingan dengan lelaki yang berusia awal empat puluhan itu.
"Adrian boleh panggil Uncle kerana perkataan tu paling tepat untuk pertalian kita." ujar Tan Sri Johari diiringi dengan satu garis senyuman.
Lamunannya pecah berderai. Dia diam. Lelaki itu juga. Tetapi, pandangan mata itu seperti sedang mengamati. Atau meneliti. Seperti tercari-cari sesuatu pada dirinya yang menjadi penanda itulah individu yang dicari selama ini.
"Macam mana dengan study? Uncle dengar you dapat first class degree. Tahniah, Adrian." puji Tan Sri Johari kemudian.
Dia, tetap membisu. Tetapi hati, mengecam kejahatan yang berpunca daripada lelaki itu.
"Untuk apa Uncle datang jumpa saya?"
Dipaksakan bibir memanggil lelaki itu dengan panggilan yang diingini padahal mulutnya enggan sekali menyebut. Asing!
"Kerja di syarikat milik Tun Sidek. Arwah datuk you."
"Maksud Uncle?"
"You sebagai pewaris Tun Sidek berhak ke atas syarikat tersebut. Mungkin juga sudah suratan, bidang yang you ambil tak lari dari apa yang arwah datuk you usahakan. Telekomunikasi."
Terkedu. Meski dia tidak mengenali siapa Tun Sidek tetapi entah kenapa dia menyetujui persamaan itu di dalam diam. Hati mula berbelah bagi. Bersetuju bermaksud dia bakal bertemu dengan lelaki itu saban hari. Menolak bererti melepaskan peluang untuk mencari bapanya dalam waktu yang terdekat.
Nanti! Dia perlu punyai strategi. Tak kan masuk ke medan lawan tanpa sebarang persediaan?
"Orang yang berdendam dan merancang untuk membalas dendam hanya akan menyakiti dirinya sendiri, you know."
Ucapan Profesor Emrizal menarik perhatiannya ketika mereka tiba di stesen KL Sentral setelah tiga hari berada di Singapura.
"Prof macam ada pengalaman. Ada ke?" soalnya ingin tahu. Jika lelaki itu menyelidiki dirinya dengan mendalam, boleh jadi bila-bila masa dia bakal mendedahkan betapa banyak sekali perancangan balas dendam yang diperam dalam otaknya ketika ini. Kepada siapa lagi dendamnya itu disimpan jikalau bukan kepada orang yang telah menyebabkan dia dan papa terputus hubungan.
"Well, satu masa dulu. Kamu tahukan?.. Sisi aku lebih terarah dalam kelompok nerdy,"
Pecah tawanya mendengar pengakuan profesor itu. Tetapi, sebentar saja. Dia tidak sabar mahu mendengar kisah lampau lelaki itu.
"Nope. Saya tak rasakan Prof seorang yang nerd. Mungkin karakteristik Prof yang buat orang lain salah faham." tuturnya memberi pendapat.
Profesor Emrizal lantas menoleh ke arahnya. Satu senyuman tipis diukirkan.
"Aku dulu di SMP budak yang sering kena buli. Tugas aku salin kerja sekolah mereka. Kalau aku enggan, aku dipukul. Lama-kelamaan aku tak sanggup bertahan. Senyap-senyap, aku pelajari silat sedangkan ibu aku tak beri izin," cerita Profesor Emrizal sambil menyusun langkah yang teratur menuju ke arah laluan keluar dari stesen mega itu.
"Aku buat rancangan untuk balas dendam tepat sebelum Peperiksaan Nasional dijalankan."
"Jadi, selama Prof di SMP, Prof sentiasa dibuli?" celahnya lalu dijawab dengan anggukan oleh lelaki itu.
"Aku puas bila aku dapat belasah mereka walaupun cuma seorang saja yang dapat aku kerjakan. Tapi," Profesor Emrizal terdiam sejenak. Juga berhenti dari melangkah. Jam tangan di pergelangan tangannya dilirik sepintas lalu.
Dia yang mengekori mengikuti sahaja rentak lelaki itu.
"Hati aku langsung tak tenang. Jadi, aku ceritakan segala-galanya pada ibu." sambung Profesor Emrizal lalu kembali berhenti dari melangkah.
Mereka berdua sedang berdiri di sebuah laluan bertangga. Bersimpang-siur pengunjung yang lalu-lalang tidak diendahkan.
"Jadi?" soalnya menagih penamat cerita.
"Ibu marahi aku dan suruh aku tumpukan perhatian pada pelajaran. Bukan jadi pahlawan atau penegak kebenaran. Katanya, naikkan nilai diri dengan ilmu bukan dengan lagak. Kerana aku anak yang taat, aku turuti. Sepuluh tahun kemudian, aku benar-benar terhutang budi dengan ibu."
"Kenapa?"
"Aku pulang ke kampung dan mereka yang buli aku sedang membersihkan parit walhal aku, baru pulang dari Amerika dengan hasil doctorate."
Dia, terpegun mendengar kisah profesor yang disanjungi itu.
"Jadi, Prof menyerah kalah? Baru separuh jalan melawan, Prof tarik diri?" ujarnya sedikit tidak puas hati dengan alur kisah membalas dendam yang tergantung itu.
"Bukan begitu, Adrian," tutur Profesor Emrizal sebelum menghantar satu pandangan penuh bermakna.
"Kekalahan sebenar adalah tunduk pada nafsu. Kejayaan sebenar adalah melawan bisikan nafsu. Aku menarik diri untuk menaikkan taraf diri aku dan kembali dengan trofi kemenangan. Mereka pula? Terserah untuk terus berdendam atau gigit jari melihat kejayaan aku."
Dia langsung diam tidak menyahut. Perbezaan buah fikiran itu menganggu dirinya. Lelaki itu enggan memanjangkan sejarah. Walhal dia ingin sekali merobek sejarah lalu dan menjadikan ia sebagai penanda ingatan. Ingatan terhadap orang yang memberikan penderitaan demi penderitaan yang ditanggung selama ini.
"So, you terima atau tak, Adrian?"
Pertanyaan dari lelaki di hadapannya itu mengejutkan dirinya dari terus hanyut dalam lamunan.
"Saya terima. Tapi, bersyarat," ujarnya setelah beberapa ketika diam membuat pertimbangan.
Reaksi Tan Sri Johari jelas terkejut meski sebentar. Ah, sesi memanaskan badan yang agak menarik. Dia menyukai peralihan kuasa mengawal keadaan yang memihak padanya ketika ini.
"Saya sedang bersiap untuk menyambung pelajaran. Dalam masa beberapa tahun setelah selesai pengajian, saya akan menuntut janji tetapi hanya ingin dikenali sebagai Dr. Adrian."
Tan Sri Johari terkedu. Begitu juga dengan dirinya yang sukar mempercayai bagaimana sisa kekuatan yang terselit itu lancar melempiaskan rencana. Spontan.
"I like your confidence."
Dengan itu termeterai satu perjanjian di antaranya dengan Tan Sri Johari. Namun, itu hanyalah syarat pertama yang dikemukakan sebelum lebihan dua syarat lagi diletakkan. Usai berbual sepatah dua kata lelaki itu menghilangkan diri di dalam perut kenderaan mewah yang diparkir berhampiran mereka sebentar tadi. Setelah ia bergerak jauh, barulah dia menarik nafas yang lega. Telefon pintar di dalam poket jeans pantas dikeluarkan. Hanya dua kali deringan dan panggilan yang dibuat bersambut.
"Zia, tolong aku..."
Lolongan yang datang daripada telefon pintar yang berada di atas meja Jepun itu menghentikan ketukan yang diberikan mengikut rentak tersendiri pula. Lamunan tamat. Starlight juga telah lama tamat. Diletakkan drumstick dan dia bergegas mendapatkan panggilan yang dinantikan sejak dari malam tadi.
"Dah dapat. Semuanya berpunca dari sorang perempuan."
"Maksud kau?"
"Mrs. Peter punya angkara!"
"Alright. Forward pada aku semuanya."
"Siap, bos!"
Panggilan diputuskan. Dia kembali ke tengah. Sekali lagi Starlight dimainkan dan dia tenggelam dalam bunyi ketukan drum yang dilakukan berserta melodi lagu yang membelai dirinya itu. Lantas, kata-kata Zik kelmarin dijadikan azimat.
"Jadikan diri kau sendiri sebagai umpan."