2
Hanis membelek tubuhnya di hadapan cermin.
Baju kurung tersarung cantik pada tubuhnya. Tudungnya dibetulkan. Dia
meniup-niup hujung tudungnya dengan tiupan angin dari bibirnya. Dia kemudian
menyapu wajahnya dengan bedak talkum Shurah. Bibirnya dioles dengan lipbalm berwarna merah. Senyuman terukir
di bibirnya. Puas hati dengan penampilannya yang sederhana. Kemudian, dia
berlalu ke halaman rumah. Dia melihat ibunya sedang tekun mencabut rumput di
dalam pasu.
“Ibu,” sapa Hanis
lembut.
Puan Hanim
berpaling dan memandang ke arah anaknya. Dia melihat Hanis dengan senyuman yang
mekar.
“Cantik anak ibu,”
puji Puan Hanim sambil mengesat peluh.
“Anak ibu, kan?”
usik Hanis manja.
“Win belum sampai
lagi ni. Hanis janji dengan dia pukul berapa?” tanya Puan Hanim apabila melihat
Arwina masih belum kelihatan di halaman rumahnya.
“Hmm... biasalah
Win tu bu. Katanya pukul 10.30, ni dah pukul 10.35 tak muncul-muncul lagi.”
“Ooo... kejap lagi
sampailah itu,” ujar Puan Hanim.
Tidak lama
kemudian, sebuah kereta masuk ke halaman rumah. Puan Hanim dan Hanis memandang
ke arah kereta tersebut.
“Panjang umur,”
ujar Hanis dan Puan Hanim serentak.
Arwina membunyikan
hon. Dia kemudian keluar dari kereta lalu mendapatkan Puan Hanim dan Hanis. Dia
bersalaman dengan mereka.
“Assalamualaikum
mak cik. Maaf, Win lambat sikit. Lima minit aje lambat, tak apa kan?” tanyanya
sambil bersalaman dengan Puan Hanim.
“Mak cik okey aje.
Takut yang tu yang tak okey,” ujar Puan Hanim sengaja mengusik Arwina.
“Itu bisa diatur
mak cik,” ujar Arwina dengan kenyitan nakal.
Puan Hanim
mengukir senyum.
“Kenapa kau
lambat?” tanya Hanis.
“Alah, Hanis, lima
minit aje pun kau dah kecoh. Lainlah kalau aku lupa jemput kau, bolehlah kau
marah. Ini aku dah terpacak kat rumah kau pun masih nak bebel lagi ke?”
“Ewah, ewah...
pandainya dia menjawab.”
Arwina menyengih
hingga menampakkan barisan giginya yang teratur kemas.
“Wah, kau nampak
comellah Hanis!” usik Arwina teruja. Sengaja dia mengubah topik perbualan.
“Hmm, nak kata aku
dah semakin gemuklah tu.”
“Sikitlah,” ujar
Arwina sambil mengenyitkan mata. “Ni sampai ke kalau aku nak peluk kau ni?”
usik Arwina lagi.
“Melampaulah kalau
kau dah tak boleh peluk aku.” Hanis menjawab dengan nada bergurau.
Mereka bertiga
ketawa. Puan Hanim senang melihat keletah anaknya dan Arwina.
“Sudah-sudahlah tu
berguraunya. Dah hari-hari jumpa pun, lagaknya macam tak pernah jumpa
bertahun-tahun,” celah Puan Hanim.
“Mak cik cemburu
ke?” usik Arwina.
“Hisy, tak kuasa
mak cik nak cemburu dengan kau orang.”
“Seronoknya kau
usik mak aku,” sampuk Hanis. Arwina menyengih.
“Jomlah Hanis. Dah
lambat ni. Mak cik, kami minta diri dulu ya,” pinta Arwina sopan sambil
menyalami tangan Puan Hanim.
“Yalah. Mak cik
doakan Win akan lulus dengan cemerlang.”
“Insya-ALLAH,
terima kasih mak cik.”
Arwina memeluk erat Puan Hanim lalu pipi tua
itu diciumnya. Kasihnya pada Puan Hanim tidak ubah seperti kasihnya kepada
ibunya sendiri, Puan Dian.
Puan Hanim dan
Puan Dian dua orang sahabat yang baik, sama seperti Arwina dan Hanis. Lagipun,
dengan air tangan Puan Hanim jugalah dia membesar selama ini. Mana tidaknya,
waktunya lebih banyak dihabiskan di rumah ini berbanding rumahnya sendiri.
“Ibu, along pergi
dulu.”
“Ibu doakan along
dan Win akan mendapat keputusan yang cemerlang,” doa Puan Hanim.
“Insya-ALLAH bu.”
Hanis memeluk erat ibunya. Pipi ibunya dicium.
“Amin,” ucap
Arwina.
“Kami pergi dulu.
Assalamualaikum,” ucap Hanis dan Arwina serentak.
Arwina memakirkan keretanya. Dia melihat
rakan-rakan mereka sudah ramai yang berada di sekolah.
“Kau rasa tak apa
yang aku rasa Hanis?” tanya Arwina. Mukanya jelas menampakkan riak bimbang.
“Aku rasa apa yang
kau rasa. Macam tak nak keluar pun ada ni.”
“Minta-mintalah
keputusan aku okey. Kalau tak, teruk aku kena marah dengan ayah dan ibu aku
nanti.”
“Aku yakin kau
boleh Win. Lagipun, kita dah usaha. Jomlah.”
Mereka keluar dari
kereta. Mereka mendapatkan rakan-rakan yang lain. Mereka dapat melihat wajah-wajah
yang gembira, tidak kurang juga yang kelihatan sayu.
“Eh, Win, Hanis,”
laung Syafiqah.
Hanis dan Arwina
membalas lambaian tangan Syafiqah. Mereka mendekati Syafiqah.
“Baru sampai ke?”
tanya Syafiqah.
“A’ah,” jawab
Hanis dan Arwina serentak.
“Kau dah ambil
keputusan ke?” soal Arwina ingin tahu.
“Dah. Aku dapat
3.6 aje.”
“Alhamdulillah,”
ujar Hanis gembira.
“Tapi aku kalau
boleh nak dapat sekurang-kurangnya 3.8,” ujar Syafiqah dengan nada kurang puas
hati.
“3.6 tu dah kira
baguslah,” ujar Arwina. Dalam diam dia sedang memujuk hatinya yang dilanda
debar.
“Aku doakan kau
dengan Hanis berjaya.”
“Terima kasih,”
ucap Arwina dan Hanis serentak.
“Aku gerak
dululah,” pinta Syafiqah. Mereka saling berbalas salam dan pelukan.
“Berdebarnya!”
ujar Arwina. Kedua-dua tangannya memegang dada dengan riak wajah yang cuak.
“Kau ni overlah Win.” Hanis menepuk belakang
Arwina.
“Oit! Suka hati
kau aje kan tepuk aku. Sakitlah! Nak berlakon sikit pun tak boleh,” rungut
Arwina.
“Dah, tak payah
nak berlakon. Jom kita teruskan langkah kaki kita ke dewan,” ajak Hanis lalu
menarik tangan Arwina.
“Err... perlu ke
kau nak guna ayat langkah kaki kita tu?” tanya Arwina.
“He! He! He!”
Hanis menghadiahkan sengihan.
Geram Arwina
melihat keletah Hanis. Akhirnya dia malas mahu melayan kerenah Hanis. Mereka
laju mengatur langkah menuju ke dewan. Mereka mencari guru kelas mereka. Sebaik
mereka melihat kelibat Cikgu Razif yang sedang duduk di satu sudut, mereka
pantas menuju ke arah Cikgu Razif.
“Hanis, Arwina,
apa khabar?” tanya Cikgu Razif mesra sambil mencari kertas keputusan mereka.
“Alhamdulillah,
sihat,” jawab Hanis dan Arwina serentak.
“Tahniah Arwina,
kamu lulus dengan cemerlang,” ujar Cikgu Razif.
Mata Arwina bercahaya.
“Betul ke cikgu?”
soal Arwina mahukan kepastian lalu menyambut kertas keputusan yang diberikan
oleh Cikgu Razif. Dia terkejut menilik kertas keputusan tersebut.
“Hanis! Aku lulus.
Aku dapat 3.85.” Arwina memeluk erat tubuh Hanis. Air matanya mengalir tanpa
dapat ditahan.
Hanis membalas
pelukan Arwina. Dia mengucapkan syukur atas kejayaan Arwina.
“Hanis, tahniah
awak lulus dengan cemerlang dan awak merupakan pelajar terbaik sekolah ni dan
terbaik di peringkat negeri.”
Hanis terkasima.
Dia bagai tidak percaya dengan apa yang didengarinya.
“Betul ke cikgu?”
tanya Hanis ragu-ragu. Bimbang jika dia tersalah dengar. Almaklumlah dia ni
kadang-kadang suka berimaginasi.
“Betul.” Cikgu
Razif mengiakan sambil mengangguk.
Hanis menyambut
huluran kertas keputusan daripada Cikgu Razif. Dengan lafaz bismillah, dia
melihat keputusannya.
“Win, aku dapat four flat!” jerit Hanis tidak
semena-mena. Dia bagai terlupa dia berada di mana ketika itu.
“Ehem!” Cikgu
Razif berdeham. Hanis dan Arwina memandang Cikgu Razif. Mereka menyengih sambil
menunjukkan isyarat peace kepada
Cikgu Razif. Muka kedua-dua mereka memerah kerana menahan malu.
“Maaf, cikgu.
Teruja sangat!” beritahu Arwina.
“Cikgu faham.”
“Tahniah Hanis.
Aku tahu kau boleh lakukannya.”
“Ibu, ayah, Hanis
dapat four flat,” bisik Hanis
perlahan. Kalaulah ibu dan ayahnya ada di situ saat ini, pasti dia akan memeluk
erat kedua-dua orang tuanya itu.
“Terima kasih
cikgu,” ucap Hanis.
“Win, Hanis, ni
hadiah untuk kamu berdua.” Cikgu Razif menghulurkan dua bungkusan yang berbalut
kemas. Satu diberikan kepada Hanis dan satu lagi diberikan kepada Arwina.
“Untuk apa ni
cikgu?” tanya Arwina hairan.
“Untuk kejayaan
kamu berdua dan sebagai pendorong semangat untuk kamu berdua terus berusaha
lebih gigih lagi. Saya doakan kamu berdua berjaya di luar sana.”
“Terima kasih
cikgu,” ucap Hanis dan Arwina serentak.
“Jasa cikgu kami
takkan lupakan,” ucap Hanis lembut.
“Betul kata Hanis
tu cikgu. Macam mimpi aje buat saya bila dapat keputusan sebaik ni,” ujar
Arwina pula.
“Dah jadi
tanggungjawab saya sebagai guru untuk mendidik kamu semua. Selebihnya,
terpulang pada diri sendiri, sama ada nak berusaha atau tak.”
“Betul kata cikgu
tu. Hmm... betul sangat-sangat.” Arwina menyokong kata-kata Cikgu Razif.
“Kami minta diri
dulu cikgu. Assalamualaikum,” pinta Hanis.
“Waalaikumussalam.”
Malas Hanis mahu
berlama-lama di situ. Sebenarnya, dia sudah tidak sabar untuk pulang.
Mereka berlalu
meninggalkan dewan. Cikgu Razif menghantar mereka dengan senyuman penuh bangga.
“Win, aku nak ke
surau dulu. Aku nak buat sujud syukur,” pinta Hanis.
“Jomlah.”
Mereka mengatur
langkah ke surau.