Assalamualaikum Pak Ali,” tegur
Hanis mesra seperti selalu.
“Waalaikumussalam.
Lambat Hanis sampai hari ini?” tanya Pak Ali.
“Biasalah Pak Ali.
Melayan kerenah si kembar tu dulu,” beritahu Hanis sambil menyusun nasi lemak
ke dalam pinggan lalu diletakkan ke meja. Kuih-muih diletakkan ke dalam pinggan
lalu diletakkan di tempat yang telah disediakan oleh Pak Ali.
“Pak Ali, Hanis
balik dulu ya.”
“Ha, yalah. Err...
Hanis!” panggil Pak Ali.
Hanis berpaling,
memandang Pak Ali.
“Ada apa Pak Ali?”
tanya Hanis sopan.
“Hari inikan
keputusannya?” tanya Pak Ali.
Hanis mengangguk
dengan ukiran senyum teroles di bibirnya.
“Pak Ali doakan
Hanis berjaya.”
“Insya-ALLAH. Terima
kasih Pak Ali.”
“Sama-sama.”
Pak Ali melihat
langkah Hanis yang semakin laju dan terus menghilang daripada pandangannya. Dia
kasihan melihat Hanis, namun dalam waktu yang sama dia kagum dengan gadis itu.
Kadangkala dia cemburu dengan Encik Hariz. Walaupun lelaki itu tidak kaya
dengan wang ringgit, tetapi dia kaya dengan anak-anaknya yang baik dan bijak.
Bahkan, Encik Hariz selalu menjadi bapa contoh di kampung mereka.
Dari kejauhan Hanis melihat kesibukan
ayahnya bersama Encik Rahim. Hanis mendapatkan ayahnya. Dia memberi salam
kepada ayahnya dan Encik Rahim yang sedang sibuk melayan pelanggan. Mereka
berpaling ke arah Hanis lalu menjawab salam yang diberikan olehnya.
“Kenapa along
datang sini? Kenapa tak duduk aje kat rumah? Nantikan along nak pergi sekolah,”
tanya Encik Hariz.
“Ayah, along
datang ni nak minta ayah doakan along.”
“Ayah selalu
doakan along. Bukan along aje, untuk adik-adik pun ayah doakan.”
“Terima kasih
ayah. Hmm...” Hanis ingin menyatakan sesuatu kepada ayahnya, tetapi dia berasa
serba salah.
“Along nak apa?
Ayah akan usahakan selagi mampu.”
Melihat sahaja
tingkah Hanis, dia sudah dapat membaca isi hati anaknya. Dia yakin, pasti ada
sesuatu yang ingin diminta Hanis.
Hanis memandang ke
arah Encik Hariz. Menatap wajah ayahnya, dia berasa tidak sampai hati untuk
meminta. Dia berasa serba salah. Dia bimbang jika permintaannya akan
menyusahkan ayahnya.
“La, kenapa diam?
Along beritahu along nak hadiah apa?” tanya Encik Hariz lagi.
“Along bukan nak
hadiah, tapi along teringin nak makan ayam KFC. Ayah boleh belikan tak? Tak
perlu beli yang mahal. Dapat yang dua ketul atau tiga ketul pun tak apa. Kita
kongsi makan sama-sama, boleh?” soalnya ragu-ragu.
Encik Hariz
ketawa. Pelanggan yang ada di situ memandang ke arahnya. Mungkin terkejut
kerana tiba-tiba sahaja dia ketawa.
“Ayah ingatkan
apalah tadi. Boleh, along. Balik kerja nanti ayah belikan.”
“Betul ke ni ayah?
Tak menyusahkan ayah ke?” tanya Hanis. Dia begitu teruja.
“Tak.” Encik Hariz
meyakinkan anaknya. Mana mungkin dia menolak permintaan anaknya itu. Apatah
lagi, Hanis bukanlah seorang yang meminta-minta melainkan jika dia benar-benar memerlukannya.
“Terima kasih
ayah. Along sayang ayah.” Hanis memeluk erat tubuh ayahnya. Bibirnya menyentuh
pipi tua Encik Hariz. Walaupun dia sudah berusia 20 tahun, tapi tingkahnya tidak
ubah seperti anak kecil. Sikap periang dan manjanya ada kalanya mengalahkan
adik-adiknya.
“Ayah bau ikan
ni.” Encik Hariz menolak tubuh Hanis perlahan.
“Alah, along dah
biasalah,” ujar Hanis dengan bibirnya memuncung tajam.
“Ayah tahulah
along dah biasa, tapi nanti bau ikan tu melekat pada along, baru tahu.”
“Biarlah melekat
pun. Ayah along kan jual ikan. Tak gitu pak cik?”
Encik Rahim yang
sedang sibuk melayan pelanggan sekadar mengangguk dengan senyuman.
“Ayah, along balik dulu ya. Nak tolong ibu. Lepas
tu, along nak pergi sekolah ambil keputusan. Nanti Win jemput along.”
“Yalah. elok-elok
balik tu.”
“Insya-ALLAH
ayah.”
“Hanis,” panggil
Encik Rahim.
Hanis berpaling.
“Hanis, semoga
berjaya. Nanti cakap dengan Win bawa kereta itu hati-hati. Bukan Hanis tak tahu,
dia tu kalau dah dapat bawa kereta, mahu dia drift aje.”
“Insya-ALLAH,
nanti Hanis akan sampaikan pesanan pak cik. Terima kasih pak cik,” ucap Hanis
sebelum berlalu pergi.
Encik Hariz dan
Encik Rahim menyambung kembali melayan pelanggan mereka. Apabila tiada lagi
pelanggan, Encik Hariz mengambil botol airnya lalu diteguknya perlahan.
Encik Rahim
mengeluarkan sesuatu dari poketnya lalu dihulurkan kepada Encik Hariz.
“Hariz, kau ambil
duit ni. Nanti kau belikan KFC untuk keluarga kau,” ujar Encik Rahim sambil
menghulurkan not RM50 kepada Encik Hariz.
“Eh, tak apalah
Rahim. Aku ada duit.” Encik Hariz menolak pemberian Encik Rahim dengan sopan.
Dia malu untuk mengambil duit tersebut. Kawannya itu telah banyak membantunya
di kala susah.
“Janganlah begitu.
Aku ikhlas. Kau ambil aje duit ni. Duit yang kau dapat tu, kau simpan. Boleh
buat belanja harian keluarga kau. Yang ni, kau guna buat beli KFC. Nah, ambil.
Jangan tolak rezeki. Anggap ni rezeki anak-anak kau.”
Encik Rahim
meletakkan duit tersebut ke tapak tangan Encik Hariz lalu digenggamnya tangan
itu. Encik Hariz terharu dengan pemberian kawannya itu.
“Terima kasih
Rahim. Aku tak tahu macam mana nak balas budi baik kau. Hanya ALLAH sahaja yang
dapat membalasnya.”
“Budi aku tak
perlu dibalas. Aku ikhlas tolong kau. Ini semua rezeki keluarga kau. Dah,
sambunglah kerja. Ada pelanggan tu.”
Encik Hariz
mengangguk perlahan. Dia kembali melayan pelanggannya yang sibuk memilih ikan.
Encik Rahim
memandang Encik Hariz dengan penuh kagum. Dia sendiri tidak pasti sekiranya dia
berada di tempat Encik Hariz, mampukah untuk dia menempuh hidup seperti itu?
Dia terbayangkan anaknya, Arwina. Adakah Arwina akan menjadi seperti Hanis jika
dia seperti Encik Hariz? Encik Rahim memanjatkan rasa syukur kerana diberi
nikmat kesenangan dalam hidupnya.