HANIS baharu sahaja usai Solat Subuh. Telekung dibukanya lalu
dilipat. Begitu juga dengan sejadah. Kedua-duanya diletakkan di ampaian.
Tingkap biliknya dibuka. Angin pagi menyapa lembut wajahnya. Kedinginan jelas
terasa. Dia mengucap syukur dengan nikmat hidup yang telah diberi kepadanya.
Hari ini dia masih dapat melihat keindahan ciptaan ILAHI. Dia masih dapat
menatap wajah ahli keluarganya. Sesungguhnya itu adalah nikmat yang berharga
buatnya.
“Ya ALLAH, permudahkanlah
segala urusanku hari ni. Jangan disulitkan. Amin.”
Hanis melakukan
regangan ringan. Udara segar pagi itu dihirup nyaman. Matanya dipejamkan rapat.
Senyuman terukir di bibirnya. Sedang dia menikmati udara segar, telefon
bimbitnya berbunyi.
“Aduhai, baru nak
nikmati kedinginan pagi, dah ada yang kacau,” rungutnya.
Dia mencapai
telefon bimbitnya, terbeliak matanya melihat wajah yang tertera di skrin.
Amboi, awal pagi
betul Win telefon aku, omel Hanis sambil menekan butang jawab.
“Assalamualaikum
Win,” ucap Hanis ceria. Lebar senyumannya. Kalaulah Arwina boleh nampak
senyumannya yang melebar itu, sudah pasti dia akan diperlinya.
“Waalaikumussalam.
Hanis, jangan lupa hari ni tahu!” terjah Arwina tiba-tiba. Teruja!
Hanis menjauhkan
telefon bimbitnya dari telinga. Mendengar jeritan Arwina, boleh membuatkan
gegendang telinganya bergegar.
“Win, kalau ya pun
kau nak jerkah aku, boleh perlahan sikit tak? Nanti tak pasal-pasal pada usia
aku yang baru nak mencecah 20 tahun ni, aku dah mengalami masalah kurang
pendengaran akibat jerkahan berbisa kau tu,” rungut Hanis. Geram.
Arwina sudah
ketawa. Hanis sudah dapat membayangkan mimik muka Arwina yang sedang seronok
mentertawakannya.
“Apa yang lucu
sangat tu, Cik Arwina?” soal Hanis sinis.
“Luculah.
Takkanlah aku baru jerkah sikit, kau dah boleh mengalami masalah kurang
pendengaran. Hebatlah aku kalau macam tu, betul tak?” Sengaja Arwina menyakat
Hanis.
“Eleh! Kau tak
percaya ya. Nanti kau, kalau tiba-tiba aku tak dengar, kaulah puncanya. Masa tu
nanti, aku tuntut ganti rugi kat kau,” ugut Hanis. Suaranya sengaja
diseriuskan.
“Alah, janganlah
macam tu. Kalau aku tak ada duit masa tu, aku nak ganti dengan apa? Aku ganti
dengan diri aku boleh tak? Aku jadi kembar siam kau. He! He! He!” Arwina
terus-terusan mengusik.
“Jadi kembar siam
aku? Tak nak aku! Eee... geli!” Sengaja dia menggedikkan suaranya.
“Eleh, geli konon.
Yang selama hari ni, kau dan aku macam belangkas tu, tak geli pulak? Poyo aje
kau ni kan. Dah, tak payah nak geli sangat. Aku callkau ni pun sebab nak ingatkan kau aje. Jangan lupa pulak hari
ni kita ada date.” Arwina sempat
mengusik Hanis sambil mengingatkan sahabatnya itu tentang hari bersejarah
mereka.
“Ya, aku tahulah.
Kau ni pun, takkanlah aku nak lupa hari bersejarah,” balas Hani.
“Aku ingatkan kau
aje. Mana tahu kalau tiba-tiba kau terlupa ke.”
“Terima kasih Win
atas keprihatinan kau. Seingat aku, dari semalam kau dah ingatkan aku. Kau dah
lupa ke? Berapa banyak kali kau ingatkan aku semalam?” tanya Hanis kembali.
“He! He! He! Janganlah
marah. Sentap pulak member aku ni,” ujar Arwina sambil ketawa kecil.
“Aku bukan marah. Sentap pun tak. Aku cuma nak
kau ingat semula aje.”
“Kalau macam tu
aku datang ambil kau dalam pukul 10.30 pagi,” beritahu Arwina.
“Okey, aku tunggu
kau. Pastikan tepat jam 10.30 pagi kau dah terpacak kat rumah aku. Faham?”
“Ewah, ewah...
mengarah pulak dia. Aku yang memandu atau kau yang memandu sekarang ni?” tanya
Arwina. Sengaja mengusik Hanis.
“Kaulah yang
memandu. Tapi, aku yang arahkan kau untuk ambil aku,” jawab Hanis sambil ketawa
kecil.
“Baik, bos,” ujar
Arwina turut sama ketawa.
“Kau rasa gementar
tak? Aku dari semalam tak boleh nak tidur. Kerisauan tu membuatkan aku jadi
burung hantu semalam,” beritahu Arwina. Sengaja mengubah topik perbualan.
“Oh, sebab tulah
kerja kau semalam asyik ganggu tidur aku aje, kan?” balas Hanis.
“Kau marah ke aku
kacau kau? Janganlah marah. Kau pun tahukan, aku nak kacau siapa lagi kalau tak
kau.” Arwina bersuara simpati. Mengharapkan ihsan Hanis konon-kononnya.
“Aku tak marahlah
Win. Tak payah kau nak buat suara sedih kau itu. Geli tahu tak?” Hanis sudah
menggeletek kegelian.
“Eleh, geli
konon.” Suara Arwina seakan-akan merajuk.
“Merajuk pulak
dah. Tak kuasa aku nak pujuk. Kau jangan bimbanglah Win. Aku yakin kau pasti
akan dapat keputusan yang baik,” pujuk Hanis.
“Amboi, yakinnya
kau dengan tahap kecerdikan aku ni. Bukan kau tak tahu aku ni macam mana. Aku
merasakan keputusan aku tu dah macam telur di hujung tanduk aje tahu,” ujar
Arwina dengan suara yang begitu serius.
Hanis ketawa
mendengar kata-kata Arwina.
“Kenapa kau
gelakkan aku? Aku salah cakap ke?” soal Arwina hairan.
“Tak salah. Tapi,
sejak bila pula kau pandai guna peribahasa ni?”
“Sejak tadi,”
jawab Arwina bersahaja.
“Hmm... yalah tu.
Win, sekarang aku nak tolong ibu aku kat dapur. Adik-adik aku nak pergi sekolah
tu. Nanti kita jumpa, okey.”
“La, dah tak nak
layan aku ke?” usik Arwina nakal. Dia sengaja membuat nada merajuk.
“Bukan tak nak
layan, tapi aku rasa dari semalam aku dah layan kau. Sekarang ni, aku nak tolong
ibu aku dulu. Dahlah, jangan nak menggedik dengan aku. Saja aje kau kan.”
“He! He! He! Alah,
aku acah aje. Dahlah, pergilah tolong ibu kau. Pukul 10.30 nanti aku terpacak
terus depan pintu rumah kau.” Arwina membuat janji.
“Ya, aku tunggu
kau datang jemput aku. Assalamualaikum Win.”
“Macam halau aku aje?”
Sekali lagi Arwina mengusik.
“Win!”
“He! He! He!
Janganlah marah. Saja nak usik kau. Waalaikumussalam.”
Talian telefon
terus dimatikan oleh Arwina. Hanis menggeleng sambil tersenyum mengenangkan
telatah Arwina. Itulah satu-satunya sahabat yang dia ada. Arwinalah sahabat
kala susah dan senang.
Telefon bimbit
yang digunakan sekarang ini pun hadiah daripada Arwina untuk hari lahirnya yang
ke 17, dua tahun yang lalu. Untuk dia memiliki telefon bimbit sendiri
sememangnya dia tidak mampu.
Kehidupannya
sekeluarga hanya sederhana. Ayahnya kais pagi makan pagi, kais petang makan
petang. Namun, cukup untuk menampung mereka enam beranak. Ayahnya membantu
Encik Rahim menjual ikan di pasar. Selepas itu, ayahnya akan mengambil upah
memotong rumput dan membersihkan perumahan atau kebun jiran tetangganya. Apa
sahaja yang mendatangkan kewangan secara halal, ayahnya tidak pernah menolak
rezeki yang datang.
Ibunya pula suri rumah sepenuh masa. Namun,
setiap pagi ibunya akan menghantar nasi lemak dan kuih-muih ke warung Pak Ali.
Selain daripada itu, ibunya mengambil upah menjahit pakaian dan langsir. Dia
akan membantu ibunya membuat kuih-muih dan nasi lemak. Dengan duit yang ibu dan
ayahnya dapat itulah yang membesarkan mereka empat beradik.
“Jauh along
termenung,” tegur Puan Hanim.
“Tak adalah, bu.
Hanya terkenangkan susah payah ibu dan ayah. Along janji, lepas ni ayah dan ibu
tak perlu susah-susah lagi. Along akan mengubah nasib hidup kita agar menjadi
lebih baik. Along janji ibu.”
“Along, ibu dan
ayah tak pernah rasa susah untuk membesarkan anak-anak. Itu tanggungjawab kami.
Bahkan, ibu dan ayah bangga ada anak seperti along dan adik-adik. Ibu nak along
belajar rajin-rajin. Kejayaan kamu semua adalah kebanggan ibu dan ayah. Kami
tak mengharapkan apa-apa balasan pun. Cukuplah sekadar menjadi anak yang
solehah dan sentiasa mendoakan kami. Itu sudah memadai.”
“Ibu, along sayang
ibu. Doakan kejayaan along ya, ibu.”
“Insya-ALLAH. Ibu
sentiasa doakan kejayaan anak-anak ibu. Dahlah tu, tolong ibu hantarkan nasi
lemak dan kuih-muih ni ke kedai Pak Ali.”
“Baik, ibu.”
“Selamat pagi ibu,
along,” sapa Maisarah dan Miasarah serentak.
“Selamat pagi,”
jawab Hanis dan Puan Hanim serentak.
“Along, debar
tak?” tanya Maisarah. Punggungnya sudah dilabuhkan ke kerusi.
“Sikitlah,” ujar
Hanis sambil menunjukkan isyarat tangan kepada Maisarah.
“Alah, Mia yakin
along mesti dapat keputusan cemerlang. Lagipun, alongkan pelajar terbaik
sekolah,” celah Miasarah.
“Mia, semua itu
urusan ALLAH. Along dah berusaha, berdoa dan bertawakal kepada-NYA. Jadi, kalau
ALLAH izinkan along berjaya, Insya-ALLAH. Kalau tak ada rezeki, along reda
dengan ketentuan-NYA.”
“Hmm, along dah
mula nak bersyarahlah Mia,” usik Maisarah.
Miasarah ketawa mendengar
kata-kata kembarnya.
“Itulah, bila
along cakap, Mai dan Mia kata along bersyarah. Habis itu macam mana?” soal
Hanis kepada adik-adiknya.
“Err... senang aje
along, tak payah cakap,” sakat Miasarah pula.
Hanis memandang
geram adik-adiknya itu.
“Cepat makan tu.
Kejap lagi bas sekolah sampai, kau orang baru terhegeh-hegeh nak pakai kasut,”
bebel Hanis.
“Hisy, along ni
kuat membebellah. Ibu pun tak macam itu,” rungut Miasarah.
“Macam mana along
tak membebel, ni dah pukul berapa? Mai dan Mia sibuk mengunyah lagi. Along
selalu macam ni dah terpacak kat luar, tunggu bas tahu.”
“Sabarlah, along.
Bas tu mesti tunggu kami. Jangan risau ya. Lebih baik sekarang ni along hantar
nasi lemak dan kuih-muih ibu itu ke warung Pak Ali. Nanti marah pulak pelanggan
Pak Ali tu, sebab tak dapat makan nasi lemak dan kuih-muih ibu tercinta,” ujar
Maisarah sambil mengenyitkan mata kepada Miasarah.
Hanis
beristighfar.
“Tengok, along dah
lupa nak hantar nasi lemak dan kuih-muih ke warung Pak Ali. Melayan kerenah kau
oranglah ni!”
“Eh, kami pulak
yang disalahkan.” Laju sahaja Maisarah menjawab.
“Sudahlah itu, pagi-pagi
begini pun nak usik-mengusik. Cepat pergi, along. Jangan dilayan Mai dan Mia
tu,” sampuk Puan Hanim yang sedari tadi hanya memerhati tingkah anak-anaknya.
“Yalah ibu. Along
pergi dulu. Ibu, nanti along terus ke pasar. Along nak jumpa ayah.”
“Yalah, tapi cepat
balik.”
“Baik, ibu.
Assalamualaikum.”
Hanis bersalaman
dengan ibunya. Maisarah dan Miasarah turut bersalaman dengannya.
“Semoga berjaya
along,” ucap Maisarah.
“Along, Mia tahu
along boleh! Sayang along.”
“Terima kasih.”
Hanis berlalu
meninggalkan rumah.