Home Novel Keluarga Jangan Jauhi Aku
Jangan Jauhi Aku
nuroll shazlinda hairul
13/1/2015 14:54:52
16,988
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 1 (part 1)

HANIS baharu sahaja usai Solat Subuh. Telekung dibukanya lalu dilipat. Begitu juga dengan sejadah. Kedua-duanya diletakkan di ampaian. Tingkap biliknya dibuka. Angin pagi menyapa lembut wajahnya. Kedinginan jelas terasa. Dia mengucap syukur dengan nikmat hidup yang telah diberi kepadanya. Hari ini dia masih dapat melihat keindahan ciptaan ILAHI. Dia masih dapat menatap wajah ahli keluarganya. Sesungguhnya itu adalah nikmat yang berharga buatnya.

“Ya ALLAH, permudahkanlah segala urusanku hari ni. Jangan disulitkan. Amin.”

Hanis melakukan regangan ringan. Udara segar pagi itu dihirup nyaman. Matanya dipejamkan rapat. Senyuman terukir di bibirnya. Sedang dia menikmati udara segar, telefon bimbitnya berbunyi.

“Aduhai, baru nak nikmati kedinginan pagi, dah ada yang kacau,” rungutnya.

Dia mencapai telefon bimbitnya, terbeliak matanya melihat wajah yang tertera di skrin.

Amboi, awal pagi betul Win telefon aku, omel Hanis sambil menekan butang jawab.

“Assalamualaikum Win,” ucap Hanis ceria. Lebar senyumannya. Kalaulah Arwina boleh nampak senyumannya yang melebar itu, sudah pasti dia akan diperlinya.

“Waalaikumussalam. Hanis, jangan lupa hari ni tahu!” terjah Arwina tiba-tiba. Teruja!

Hanis menjauhkan telefon bimbitnya dari telinga. Mendengar jeritan Arwina, boleh membuatkan gegendang telinganya bergegar.

“Win, kalau ya pun kau nak jerkah aku, boleh perlahan sikit tak? Nanti tak pasal-pasal pada usia aku yang baru nak mencecah 20 tahun ni, aku dah mengalami masalah kurang pendengaran akibat jerkahan berbisa kau tu,” rungut Hanis. Geram.

Arwina sudah ketawa. Hanis sudah dapat membayangkan mimik muka Arwina yang sedang seronok mentertawakannya.

“Apa yang lucu sangat tu, Cik Arwina?” soal Hanis sinis.

“Luculah. Takkanlah aku baru jerkah sikit, kau dah boleh mengalami masalah kurang pendengaran. Hebatlah aku kalau macam tu, betul tak?” Sengaja Arwina menyakat Hanis.

“Eleh! Kau tak percaya ya. Nanti kau, kalau tiba-tiba aku tak dengar, kaulah puncanya. Masa tu nanti, aku tuntut ganti rugi kat kau,” ugut Hanis. Suaranya sengaja diseriuskan.

“Alah, janganlah macam tu. Kalau aku tak ada duit masa tu, aku nak ganti dengan apa? Aku ganti dengan diri aku boleh tak? Aku jadi kembar siam kau. He! He! He!” Arwina terus-terusan mengusik.

“Jadi kembar siam aku? Tak nak aku! Eee... geli!” Sengaja dia menggedikkan suaranya.

“Eleh, geli konon. Yang selama hari ni, kau dan aku macam belangkas tu, tak geli pulak? Poyo aje kau ni kan. Dah, tak payah nak geli sangat. Aku callkau ni pun sebab nak ingatkan kau aje. Jangan lupa pulak hari ni kita ada date.” Arwina sempat mengusik Hanis sambil mengingatkan sahabatnya itu tentang hari bersejarah mereka.

“Ya, aku tahulah. Kau ni pun, takkanlah aku nak lupa hari bersejarah,” balas Hani.

“Aku ingatkan kau aje. Mana tahu kalau tiba-tiba kau terlupa ke.”

“Terima kasih Win atas keprihatinan kau. Seingat aku, dari semalam kau dah ingatkan aku. Kau dah lupa ke? Berapa banyak kali kau ingatkan aku semalam?” tanya Hanis kembali.

“He! He! He! Janganlah marah. Sentap pulak member aku ni,” ujar Arwina sambil ketawa kecil.

“Aku bukan marah. Sentap pun tak. Aku cuma nak kau ingat semula aje.”

“Kalau macam tu aku datang ambil kau dalam pukul 10.30 pagi,” beritahu Arwina.

“Okey, aku tunggu kau. Pastikan tepat jam 10.30 pagi kau dah terpacak kat rumah aku. Faham?”

“Ewah, ewah... mengarah pulak dia. Aku yang memandu atau kau yang memandu sekarang ni?” tanya Arwina. Sengaja mengusik Hanis.

“Kaulah yang memandu. Tapi, aku yang arahkan kau untuk ambil aku,” jawab Hanis sambil ketawa kecil.

“Baik, bos,” ujar Arwina turut sama ketawa.

“Kau rasa gementar tak? Aku dari semalam tak boleh nak tidur. Kerisauan tu membuatkan aku jadi burung hantu semalam,” beritahu Arwina. Sengaja mengubah topik perbualan.

“Oh, sebab tulah kerja kau semalam asyik ganggu tidur aku aje, kan?” balas Hanis.

“Kau marah ke aku kacau kau? Janganlah marah. Kau pun tahukan, aku nak kacau siapa lagi kalau tak kau.” Arwina bersuara simpati. Mengharapkan ihsan Hanis konon-kononnya.

“Aku tak marahlah Win. Tak payah kau nak buat suara sedih kau itu. Geli tahu tak?” Hanis sudah menggeletek kegelian.

“Eleh, geli konon.” Suara Arwina seakan-akan merajuk.

“Merajuk pulak dah. Tak kuasa aku nak pujuk. Kau jangan bimbanglah Win. Aku yakin kau pasti akan dapat keputusan yang baik,” pujuk Hanis.

“Amboi, yakinnya kau dengan tahap kecerdikan aku ni. Bukan kau tak tahu aku ni macam mana. Aku merasakan keputusan aku tu dah macam telur di hujung tanduk aje tahu,” ujar Arwina dengan suara yang begitu serius.

Hanis ketawa mendengar kata-kata Arwina.

“Kenapa kau gelakkan aku? Aku salah cakap ke?” soal Arwina hairan.

“Tak salah. Tapi, sejak bila pula kau pandai guna peribahasa ni?”

“Sejak tadi,” jawab Arwina bersahaja.

“Hmm... yalah tu. Win, sekarang aku nak tolong ibu aku kat dapur. Adik-adik aku nak pergi sekolah tu. Nanti kita jumpa, okey.”

“La, dah tak nak layan aku ke?” usik Arwina nakal. Dia sengaja membuat nada merajuk.

“Bukan tak nak layan, tapi aku rasa dari semalam aku dah layan kau. Sekarang ni, aku nak tolong ibu aku dulu. Dahlah, jangan nak menggedik dengan aku. Saja aje kau kan.”

“He! He! He! Alah, aku acah aje. Dahlah, pergilah tolong ibu kau. Pukul 10.30 nanti aku terpacak terus depan pintu rumah kau.” Arwina membuat janji.

“Ya, aku tunggu kau datang jemput aku. Assalamualaikum Win.”

“Macam halau aku aje?” Sekali lagi Arwina mengusik.

“Win!”

“He! He! He! Janganlah marah. Saja nak usik kau. Waalaikumussalam.”

Talian telefon terus dimatikan oleh Arwina. Hanis menggeleng sambil tersenyum mengenangkan telatah Arwina. Itulah satu-satunya sahabat yang dia ada. Arwinalah sahabat kala susah dan senang.

Telefon bimbit yang digunakan sekarang ini pun hadiah daripada Arwina untuk hari lahirnya yang ke 17, dua tahun yang lalu. Untuk dia memiliki telefon bimbit sendiri sememangnya dia tidak mampu.

Kehidupannya sekeluarga hanya sederhana. Ayahnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Namun, cukup untuk menampung mereka enam beranak. Ayahnya membantu Encik Rahim menjual ikan di pasar. Selepas itu, ayahnya akan mengambil upah memotong rumput dan membersihkan perumahan atau kebun jiran tetangganya. Apa sahaja yang mendatangkan kewangan secara halal, ayahnya tidak pernah menolak rezeki yang datang.

Ibunya pula suri rumah sepenuh masa. Namun, setiap pagi ibunya akan menghantar nasi lemak dan kuih-muih ke warung Pak Ali. Selain daripada itu, ibunya mengambil upah menjahit pakaian dan langsir. Dia akan membantu ibunya membuat kuih-muih dan nasi lemak. Dengan duit yang ibu dan ayahnya dapat itulah yang membesarkan mereka empat beradik.

“Jauh along termenung,” tegur Puan Hanim.

“Tak adalah, bu. Hanya terkenangkan susah payah ibu dan ayah. Along janji, lepas ni ayah dan ibu tak perlu susah-susah lagi. Along akan mengubah nasib hidup kita agar menjadi lebih baik. Along janji ibu.”

“Along, ibu dan ayah tak pernah rasa susah untuk membesarkan anak-anak. Itu tanggungjawab kami. Bahkan, ibu dan ayah bangga ada anak seperti along dan adik-adik. Ibu nak along belajar rajin-rajin. Kejayaan kamu semua adalah kebanggan ibu dan ayah. Kami tak mengharapkan apa-apa balasan pun. Cukuplah sekadar menjadi anak yang solehah dan sentiasa mendoakan kami. Itu sudah memadai.”

“Ibu, along sayang ibu. Doakan kejayaan along ya, ibu.”

“Insya-ALLAH. Ibu sentiasa doakan kejayaan anak-anak ibu. Dahlah tu, tolong ibu hantarkan nasi lemak dan kuih-muih ni ke kedai Pak Ali.”

“Baik, ibu.”

“Selamat pagi ibu, along,” sapa Maisarah dan Miasarah serentak.

“Selamat pagi,” jawab Hanis dan Puan Hanim serentak.

“Along, debar tak?” tanya Maisarah. Punggungnya sudah dilabuhkan ke kerusi.

“Sikitlah,” ujar Hanis sambil menunjukkan isyarat tangan kepada Maisarah.

“Alah, Mia yakin along mesti dapat keputusan cemerlang. Lagipun, alongkan pelajar terbaik sekolah,” celah Miasarah.

“Mia, semua itu urusan ALLAH. Along dah berusaha, berdoa dan bertawakal kepada-NYA. Jadi, kalau ALLAH izinkan along berjaya, Insya-ALLAH. Kalau tak ada rezeki, along reda dengan ketentuan-NYA.”

“Hmm, along dah mula nak bersyarahlah Mia,” usik Maisarah.

Miasarah ketawa mendengar kata-kata kembarnya.

“Itulah, bila along cakap, Mai dan Mia kata along bersyarah. Habis itu macam mana?” soal Hanis kepada adik-adiknya.

“Err... senang aje along, tak payah cakap,” sakat Miasarah pula.

Hanis memandang geram adik-adiknya itu.

“Cepat makan tu. Kejap lagi bas sekolah sampai, kau orang baru terhegeh-hegeh nak pakai kasut,” bebel Hanis.

“Hisy, along ni kuat membebellah. Ibu pun tak macam itu,” rungut Miasarah.

“Macam mana along tak membebel, ni dah pukul berapa? Mai dan Mia sibuk mengunyah lagi. Along selalu macam ni dah terpacak kat luar, tunggu bas tahu.”

“Sabarlah, along. Bas tu mesti tunggu kami. Jangan risau ya. Lebih baik sekarang ni along hantar nasi lemak dan kuih-muih ibu itu ke warung Pak Ali. Nanti marah pulak pelanggan Pak Ali tu, sebab tak dapat makan nasi lemak dan kuih-muih ibu tercinta,” ujar Maisarah sambil mengenyitkan mata kepada Miasarah.

Hanis beristighfar.

“Tengok, along dah lupa nak hantar nasi lemak dan kuih-muih ke warung Pak Ali. Melayan kerenah kau oranglah ni!”

“Eh, kami pulak yang disalahkan.” Laju sahaja Maisarah menjawab.

“Sudahlah itu, pagi-pagi begini pun nak usik-mengusik. Cepat pergi, along. Jangan dilayan Mai dan Mia tu,” sampuk Puan Hanim yang sedari tadi hanya memerhati tingkah anak-anaknya.

“Yalah ibu. Along pergi dulu. Ibu, nanti along terus ke pasar. Along nak jumpa ayah.”

“Yalah, tapi cepat balik.”

“Baik, ibu. Assalamualaikum.”

Hanis bersalaman dengan ibunya. Maisarah dan Miasarah turut bersalaman dengannya.

“Semoga berjaya along,” ucap Maisarah.

“Along, Mia tahu along boleh! Sayang along.”

“Terima kasih.”

Hanis berlalu meninggalkan rumah.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.