Home Novel Keluarga Jangan Jauhi Aku
Jangan Jauhi Aku
nuroll shazlinda hairul
13/1/2015 14:54:52
16,995
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 1 (Part 2)

Assalamualaikum Pak Ali,” tegur Hanis mesra seperti selalu.

“Waalaikumussalam. Lambat Hanis sampai hari ini?” tanya Pak Ali.

“Biasalah Pak Ali. Melayan kerenah si kembar tu dulu,” beritahu Hanis sambil menyusun nasi lemak ke dalam pinggan lalu diletakkan ke meja. Kuih-muih diletakkan ke dalam pinggan lalu diletakkan di tempat yang telah disediakan oleh Pak Ali.

“Pak Ali, Hanis balik dulu ya.”

“Ha, yalah. Err... Hanis!” panggil Pak Ali.

Hanis berpaling, memandang Pak Ali.

“Ada apa Pak Ali?” tanya Hanis sopan.

“Hari inikan keputusannya?” tanya Pak Ali.

Hanis mengangguk dengan ukiran senyum teroles di bibirnya.

“Pak Ali doakan Hanis berjaya.”

“Insya-ALLAH. Terima kasih Pak Ali.”

“Sama-sama.”

Pak Ali melihat langkah Hanis yang semakin laju dan terus menghilang daripada pandangannya. Dia kasihan melihat Hanis, namun dalam waktu yang sama dia kagum dengan gadis itu. Kadangkala dia cemburu dengan Encik Hariz. Walaupun lelaki itu tidak kaya dengan wang ringgit, tetapi dia kaya dengan anak-anaknya yang baik dan bijak. Bahkan, Encik Hariz selalu menjadi bapa contoh di kampung mereka.

Dari kejauhan Hanis melihat kesibukan ayahnya bersama Encik Rahim. Hanis mendapatkan ayahnya. Dia memberi salam kepada ayahnya dan Encik Rahim yang sedang sibuk melayan pelanggan. Mereka berpaling ke arah Hanis lalu menjawab salam yang diberikan olehnya.

“Kenapa along datang sini? Kenapa tak duduk aje kat rumah? Nantikan along nak pergi sekolah,” tanya Encik Hariz.

“Ayah, along datang ni nak minta ayah doakan along.”

“Ayah selalu doakan along. Bukan along aje, untuk adik-adik pun ayah doakan.”

“Terima kasih ayah. Hmm...” Hanis ingin menyatakan sesuatu kepada ayahnya, tetapi dia berasa serba salah.

“Along nak apa? Ayah akan usahakan selagi mampu.”

Melihat sahaja tingkah Hanis, dia sudah dapat membaca isi hati anaknya. Dia yakin, pasti ada sesuatu yang ingin diminta Hanis.

Hanis memandang ke arah Encik Hariz. Menatap wajah ayahnya, dia berasa tidak sampai hati untuk meminta. Dia berasa serba salah. Dia bimbang jika permintaannya akan menyusahkan ayahnya.

“La, kenapa diam? Along beritahu along nak hadiah apa?” tanya Encik Hariz lagi.

“Along bukan nak hadiah, tapi along teringin nak makan ayam KFC. Ayah boleh belikan tak? Tak perlu beli yang mahal. Dapat yang dua ketul atau tiga ketul pun tak apa. Kita kongsi makan sama-sama, boleh?” soalnya ragu-ragu.

Encik Hariz ketawa. Pelanggan yang ada di situ memandang ke arahnya. Mungkin terkejut kerana tiba-tiba sahaja dia ketawa.

“Ayah ingatkan apalah tadi. Boleh, along. Balik kerja nanti ayah belikan.”

“Betul ke ni ayah? Tak menyusahkan ayah ke?” tanya Hanis. Dia begitu teruja.

“Tak.” Encik Hariz meyakinkan anaknya. Mana mungkin dia menolak permintaan anaknya itu. Apatah lagi, Hanis bukanlah seorang yang meminta-minta melainkan jika dia benar-benar memerlukannya.

“Terima kasih ayah. Along sayang ayah.” Hanis memeluk erat tubuh ayahnya. Bibirnya menyentuh pipi tua Encik Hariz. Walaupun dia sudah berusia 20 tahun, tapi tingkahnya tidak ubah seperti anak kecil. Sikap periang dan manjanya ada kalanya mengalahkan adik-adiknya.

“Ayah bau ikan ni.” Encik Hariz menolak tubuh Hanis perlahan.

“Alah, along dah biasalah,” ujar Hanis dengan bibirnya memuncung tajam.

“Ayah tahulah along dah biasa, tapi nanti bau ikan tu melekat pada along, baru tahu.”

“Biarlah melekat pun. Ayah along kan jual ikan. Tak gitu pak cik?”

Encik Rahim yang sedang sibuk melayan pelanggan sekadar mengangguk dengan senyuman.

“Ayah, along balik dulu ya. Nak tolong ibu. Lepas tu, along nak pergi sekolah ambil keputusan. Nanti Win jemput along.”

“Yalah. elok-elok balik tu.”

“Insya-ALLAH ayah.”

“Hanis,” panggil Encik Rahim.

Hanis berpaling.

“Hanis, semoga berjaya. Nanti cakap dengan Win bawa kereta itu hati-hati. Bukan Hanis tak tahu, dia tu kalau dah dapat bawa kereta, mahu dia drift aje.”

“Insya-ALLAH, nanti Hanis akan sampaikan pesanan pak cik. Terima kasih pak cik,” ucap Hanis sebelum berlalu pergi.

Encik Hariz dan Encik Rahim menyambung kembali melayan pelanggan mereka. Apabila tiada lagi pelanggan, Encik Hariz mengambil botol airnya lalu diteguknya perlahan.

Encik Rahim mengeluarkan sesuatu dari poketnya lalu dihulurkan kepada Encik Hariz.

“Hariz, kau ambil duit ni. Nanti kau belikan KFC untuk keluarga kau,” ujar Encik Rahim sambil menghulurkan not RM50 kepada Encik Hariz.

“Eh, tak apalah Rahim. Aku ada duit.” Encik Hariz menolak pemberian Encik Rahim dengan sopan. Dia malu untuk mengambil duit tersebut. Kawannya itu telah banyak membantunya di kala susah.

“Janganlah begitu. Aku ikhlas. Kau ambil aje duit ni. Duit yang kau dapat tu, kau simpan. Boleh buat belanja harian keluarga kau. Yang ni, kau guna buat beli KFC. Nah, ambil. Jangan tolak rezeki. Anggap ni rezeki anak-anak kau.”

Encik Rahim meletakkan duit tersebut ke tapak tangan Encik Hariz lalu digenggamnya tangan itu. Encik Hariz terharu dengan pemberian kawannya itu.

“Terima kasih Rahim. Aku tak tahu macam mana nak balas budi baik kau. Hanya ALLAH sahaja yang dapat membalasnya.”

“Budi aku tak perlu dibalas. Aku ikhlas tolong kau. Ini semua rezeki keluarga kau. Dah, sambunglah kerja. Ada pelanggan tu.”

Encik Hariz mengangguk perlahan. Dia kembali melayan pelanggannya yang sibuk memilih ikan.

Encik Rahim memandang Encik Hariz dengan penuh kagum. Dia sendiri tidak pasti sekiranya dia berada di tempat Encik Hariz, mampukah untuk dia menempuh hidup seperti itu? Dia terbayangkan anaknya, Arwina. Adakah Arwina akan menjadi seperti Hanis jika dia seperti Encik Hariz? Encik Rahim memanjatkan rasa syukur kerana diberi nikmat kesenangan dalam hidupnya.

Previous: Bab 1 (part 1)
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.