Home Novel Keluarga Hakikat Sebuah Derita
Hakikat Sebuah Derita
chema
25/4/2018 12:01:36
41,214
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 8

“Bangun!” 

Suara Adeebah yang nyaring menyebabkan Nurin tersentak. Buku latihan matematik yang tidak sempat dia siapkan ditutup cemas. Walaupun cikgu Raihan baik namun dia cukup tegas dengan setiap tugasan yang diberikan. Sesiapa sahaja yang tidak menyiapkan kerja sekolah yang diberikan pasti tidak terlepas dari menerima hukuman. Cikgu Raihan sedia berdiri dihadapan kelas, nampak cantik berbaju kurung hijau lumut menyebabkan semua pelajar terburu-buru ke tempat masing-masing dan serentak itu mereka memberi salam sebagai tanda hormat.

“Duduk” perintah cikgu Raihan setelah menjawab salam dan mengaminkan doa yang dibacakan oleh Syakir.

“Baik murid-murid, sila letakkan buku latihan matematik yang cikgu berikan semalam diatas meja masing-masing.” Arah cikgu Raihan tegas. Tergesa-gesa murid-muridnya mengeluarkan buku latihan yang diberikan. Ada yang tersengih-sengih ada juga yang kelihatan terpinga-pinga seolah-olah cikgu Raihan tidak ada memberikan kerja sekolah untuk mereka. 

Seorang demi seorang cikgu Raihan memeriksa buku latihan mereka sudah ada tiga orang yang terpaksa berdiri dan bakal menerima hukuman kerana tidak siap atau terlupa membuat kerja sekolah sehinggalah sampai ke giliran Nurin.

Nurin terus berdiri tanpa disuruh walau badannya mula menunjukkan tanda-tanda kurang sihat. Kepalanya menunduk. Buku latihan yang tidak sempat disiapkan itu terpampang diatas meja membuatkan cikgu Raihan terpinga-pinga. 

Nurin, murid yang sangat sukakan pengiraan tidak pernah sekali muridnya itu gagal menyiapkan kerja sekolah yang diberikan melainkan jika Nurin mempunyai masalah tertentu. Cikgu Raihan berdiri disisi Nurin memerhati dengan perasaan tertanya-tanya dia langsung tidak perasan akan lebam-lebam pada wajah Nurin disebabkan muridnya itu hanya menunduk sedari tadi.

Terdengar bisik-bisik anak muridnya mengenai Nurin. Cikgu Raihan segera memaut dagu Nurin dan disitulah terserlah kesan lebam-lebam pada wajah anak muridnya. Kelu tanpa sepatah kata mengundang sebak tidak terhingga. Begitu kuat naluri seorang ibu tatkala itulah air jernih itu menitis laju ke pipi cikgu Raihan lalu dua tangan itu merangkul erat tubuh kecil itu ke dalam dakapan. Hangat. Suasana menjadi sepi. Pegun tanpa sebarang ucap bagai mata-mata yang terbuka itu hanyalah patung-patung yang tidak bernyawa menyaksikan dua jiwa bersatu atas nilai kasih sayang. Nurin yang cuba bertahan menahan perasaan akhirnya tewas juga. Dia tersedu dibahu cikgu Raihan yang telah banyak membantu. Menzahir kasih sayang tanpa kata. Cikgu Raihan ibarat ibu kedua yang sentiasa ada untuknya.

Ada juga pelajar yang turut merasa emosi melihat adengan itu. Hati mereka turut tersentuh menyaksikan teman dan gurunya berpelukan namun mereka tidak menyedari ada insan yang semakin terasa sakit hati melihat keadaan begitu malah jiwa itu terus bersemangat untuk menambahkan luka dihati Nurin. 

“Ya Allah! apa dosa anak ini ya Allah!” Luah cikgu Raihan dalam sendu. Sekali lagi wajah itu diraih. Diperhatikan kesan lebam yang ada diseluruh wajah polos itu. Bagai dihiris dan dicurah cuka hatinya melihat keadaan Nurin begitu. Cikgu Raihan sudah dapat mengagak siapa pelakunya. Tidak ada perasaan belas kasihankah Kadir memperlakukan anaknya begitu. Dia sendiri tidak sanggup melihat Aiman terluka apatah lagi memukulnya dengan tangan sendiri. Tapi Nurin..Nurin baru berusia sepuluh tahun sudah berat menangung beban.  

“Siapa yang pukul Nurin, ayah?”  suara cikgu Raihan bergetar menahan sebak.

Nurin tetap diam.

Cikgu Raihan hela nafas berat. Tidak perlu bertanya beberapa kali kerana dia sendiri sudah ada jawapannya. Dahi Nurin disentuh. Panas. 

“Awak demam ni cikgu bawa awak ke klinik ya”

Nurin cepat-cepat menggeleng. Dia tidak mahu menyusahkan guru kelasnya. Lagipula dia tidak suka menjadi perhatian. Ramai pelajar yang tidak sukakanya apabila dia sering menjadi perhatian guru-guru terutamanya cikgu Raihan.

“Jangan degil Nurin nanti sakit awak melarat cikgu bawakan Nurin ke klinik. Cikgu tak boleh biarkan Nurin macam ni kita buat pemeriksaan doktor” Cikgu Raihan tetap berkeras dia tidak akan membiarkan Nurin menghalangnya. Ayah Nurin patut diajar. 

“Terima kasih cikgu tapi Nurin tak nak ke klinik nanti doktor tanya siapa yang pukul Nurin. Nurin tak nak disebabkan Nurin ayah masuk penjara.” Ujar Nurin dengan mata yang basah lalu diseka dengan hujung tudung sekolahnya. Walaupun ayahnya telah menderanya jauh di sudut hati dia tetap menyanyangi ayah. Siapa yang sanggup menghantar ayah sendiri ke penjara. 

Cikgu Raihan terpasung kata. Dadanya kembali sebak melihat kasih sayang Nurin kepada orang tuanya dan kata-kata itu terus mematikan tindakannya. Nurin seorang anak yang penyanyang tidak pernah kenal erti dendam. Kepala si Nurin dirangkulnya erat. Dicium unbun-ubun itu dengan penuh perasaan sambil disaksikan oleh anak muridnya yang lain termasuklah Adeebah yang terasa semakin benci melihat Nurin. Hatinya bagai ditoreh melihat kasih sayang cikgu Raihan terhadap Nurin. Semakin dia merancang untuk menyakiti hati Nurin semakin sayang pula cikgu Raihan kepada Nurin.


“Kesian kan Nurin kenapa ayah dia pukul dia?”

“Entah. Ayah dia kalah judi agaknya” Syakir mengutarakan pendapat sendiri. Sememangnya Syakir tahu ayah Nurin selalu sahaja melepak didalam sebuah pondok dikebun makcik Senah. 

“Macam mana kau tahu ayah dia kalah judi?”

“Bapak aku cakap kalau orang kalah judi selalunya marah-marah habis barang dia baling lepas tu pukul-pukul orang sebab itulah bapak aku marah aku lalu dekat dengan pondok judi tu takut nanti kena pukul.” Terang Syakir penuh semangat. Beberapa orang rakan sebayanya itu hanya mengangguk membenarkan apa yang diceritakan Syakir seolah-olah itulah yang terjadi kepada Nurin semalam.

“Bukanlah!” Satu suara kedengaran nyaring membantah membuatkan empat orang rakan sekelasnya yang sedang berkumpul itu terperanjat. Tertahan nafas Adeebah menahan marah. Pondok yang dikatakan mereka tadi itulah tempat melepak ayahnya juga dan disebabkan itulah Adeebah naik angin apabila rakan-rakan sekelas menyalahkan pondok judi itu. Samad tidak pernah naik kaki dan tangan kepadanya. ayah selalu memberi perhatian kepadanya berbanding emak yang sentiasa sibuk dengan urusannya.

“Kau orang nak tahu kenapa Nurin kena pukul sampai lebam macam tu, itu sebab cikgu Bakri yang bagitahu bapak Nurin yang anaknya mencuri semalam.” Terang Adeebah tanpa menyedari Aiman terdengar penerangannya itu sedang menahan perasaan. 

“Adeebah!” 

“Abang Aiman..”tersipu-sipu Adeebah jadinya apabila tidak disangka-sangka Aiman yang tidak pernah mahu beramah mesra dengannya tiba-tiba menegur. Cepat-cepat langkah kaki diatur meninggalkan rakan sekelasnya itu lalu mendekati Aiman yang sedang menanti. Dadadnya berombak melihat wajah Aiman. Sejak dari awal tahun lagi dia ingin mendekati Aiman tapi tidak pernah kesampaian.

“Abang Aiman panggil Deebah. Kenapa” soal Adeebah malu-malu walhal perlakuannya itu mengundang rasa meluat Aiman dan rakan-rakannya.

“Betul ke apa yang Aiman dengar, cikgu Bakri yang bagitahu ayah Nurin kejadian semalam.”

“Betul tu abang Aiman, pak long Kadir sendiri yang cakap cikgu Bakri yang bagitahu.” Terang Adeebah bersungguh-sungguh. Aiman mendengus. Dia tidak berpuas hati dengan cara cikgu Bakri memberitahu kejadian itu kepada ayah Nurin. Patutlah pagi tadi dia nampak cikgu Bakri seperti orang bersalah ketika menyapa Nurin. 

“Kalau aku dapat tangkap siapa yang sengaja pedajalkan Nurin, memang tahulah nasibnya. Deebah tahu tak siapa yang tuduh Nurin?” soalan tanpa diduga dari Aiman itu membuatkan Adeebah sedikit mengelabah. Dengan pantas kepalanya digeleng.  

Aiman terus berlalu dari situ meninggalkan Adeebah terkebil-kebil seorang diri. Nafas lega dihela panjang bagaikan lehernya baru sahaja terlepas dari tali jerutan. Hati Adeebah tetap sakit apabila Aiman semakin memberi perhatian kepada Nurin. 

Adeebah mendengus. Melihat susuk tubuh Aiman berlalu meninggalkannya dia semakin panas hati. Dikepal penumbuknya sekuat hati. Kenapa Nurin sering menjadi perhatian Aiman kenapa tidak dia.





Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.