Home Cerpen Lucu Akulah Si cantik Sabihah
Akulah Si cantik Sabihah
chema
25/4/2018 12:47:52
7,374
Kategori: Cerpen
Genre: Lucu

“Eh!..Eh! kenapa ambil kunci motor saya ni makcik !” Tercengang tuan motorsikal apabila motorsikalnya berhenti mengejut dihadapan seorang perempuan yang tiba-tiba muncul dari dalam semak.

Sabihah pekakkan telinga.. Siapa suruh mereka lalu lalang dihadapan rumahnya. Kunci motorsikal itu digengam erat sebelum kunci yang diambil dari motorsikal Honda Wave itu terus dibalingkan ke halaman rumahnya yang bersemak. Lalang-lalang yang tumbuh separas pinggang orang dewasa menjadikan peratusan untuk menjumpai kunci motorsikal itu amat tipis sekali.

“Hoi!”

Pekikan amarah yang keluar dari mulut pemuda itu langsung tidak menakutkan Sabihah malah suara itu bagai mengapi-apikan lagi rasa amarah yang membuak-buak dalam dirinya. Sabihah membetulkan kacamatanya yang melorot. Sebelah tangannya berada dipingang seolah-olah bersedia melawan kata dengan pemuda yang masih terpinga-pinga dengan tindakannya sebentar tadi.

“Hei makcik dah gila ke apa, kenapa makcik campak kunci motor saya dalam semak hah”!Tiba-tiba pemuda itu turun dari motornya dan melangkah ke hadapan Sabihah. Dia langsung tidak mengenali perempuan yang tiba-tiba bertindak tanpa berfikir itu.Dia cuma melalui jalan itu untuk ke rumah rakannya. Tindakan perempuan yang berada dihadapannya itu amat membingungkan. Pertengkaran mulut itu mendapat perhatian jiran-jiran berdekatan. Mereka segera datang dan ingin tahu secara lebih dekat apa yang terjadi walaupun mereka sudah dapat meneka apa yang telah terjadi sebenarnya.

“Ini jalan aku! Aku tak suka orang lalu dihadapan rumah aku. Kau faham tak? Ikut suka hati akulah apa aku nak buat dengan jalan rumah aku ni. Kau boleh cari jalan lain. Jangan lalu ikut sini!” Balas Sabihah sepenuh tenaga. Termengah-mengah nafasnya selepas itu. Dia puas dapat membaling kunci motorsikal lelaki itu kedalam semak. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu lagi menadah telinga mendengar bunyi bising motorsikal yang lalu lalang dihadapan rumahnya atau lebih tepa tlagi lebih dikenali pondok usang oleh penduduk disitu.

Rumah peninggalan mak Wok sudah lama tidak terurus sejak Sabihah menghuninya seorang diri selepas kematian mak Wok. Rumah yang sepatutnya menjadi rumah pusaka itu hanya didiami oleh Sabiha. Dia tidak suka adik beradiknya tinggal bersama.

“Dah..kamu tak payah layan sangat Sabihah tu, dia memang macam tu.” salah seorang pakcik yang menyaksikan kejadian tadi cuba menenangkan lelaki yang masih dalam kebingungan.

“Macammana saya nak balik pakcik kunci saya dia dah buang dalam semak tu.” terangnya masih tidak dapat menerima apa yang berlaku.

“Nanti kita selesaikan kat rumah pakcik.” Pujuk pakcik itu dengan lembut. Kepala digeleng sebelum matanya merenung Sabihah yang masih berdiri tercegat.

“Sabihah kau jangan buat hal lagi nanti orang kampung laporkan kau pada polis, susah kau nanti.”

“Pergilah..hah! pergilah laporkan pada polis, apa aku peduli. Kau ingat aku takut…****..*****..?” kemuncak kemarahan Sabiah mula memaki hamun pakcik Omar sebelum kakinya melangkah naik ke rumah yang bagaikan sudah bertahun-tahun ditinggal orang.  Sempat pula dia menghembur kemarahan kepada jiran-jiran yang menyaksikan.

“Apa pandang-pandang. Kau orang memang g**a..s***n…” Kedengaran suara maki hamun Sabiha sekali lagi. Beberapa orang penduduk kampong yang dimaki itu geleng kepala ada juga yang memaki kembali Sabiha dengan perkataan kesat. Mujur tiada perkelahian. Pakcik Omar cukup risau kalau-kalau ada perkelahian. Bukan sediki tSabihah akan dipukul orang kampung yang berdendam dan sakit hati dengannya.Pernah Sabihah dipukul hingga masuk hospital nasib baik juga tidak jadi kes polis. Jika dilaporkan kepada polis sekalipun Sabihah akan dibebaskan. Pernah juga jiran tetangga menyuarakan untuk menghantar Sabihah ke rumah orang sakit jiwa namun dihalang oleh adik beradik Sabihah pula.

“Siapa nama kamu  pakcik rasa kamu ni bukan orang kampung sini kan.” soal pakcik itu setelah memperkenalkan diri sebagai pakcik Omar.

“Zaki nama saya Zaki pakcik..saya nak ke rumah kawan saya Awe.” Beritahu Zaki setelah dipelawa duduk oleh tuan rumah.

“Oh Awe, anak Ngah tu kan pakcik kenal sangat Awe tu. Kamu dah telefon dia?”

“Dah pakcik sekejap lagi dia sampai.”

“Pakcik minta maaflah bagi pihak Sabiha tu. Orang luar memang tak kenal dia, kami ni yang duduk berjiran dengan dia dah lali sangat dengan perangainya tu.” Ujarpakcik Omar lalu tangannya lincah menyalakan sebatang rokok daun. Disedut dalam-dalam rokok daun itu bagaikan sedang menggali kisah hidup seorang wanita bernama Sabiha.

“Orang kampung kat sini buat tak tahu je dengan dia tu lagipun kalau dilayan lagilah dia buat perangai. Kami ni pun dah tak tahu nak nasihatkan dia macam mana. Kalau dinasihat nanti menjadi-jadi lagi kelakuan dia, caci maki tu dah jadi mainan dimulutnya, bertempik terlolong-lolong ikut suka hati dia.” pakcik Omar menarik nafas dalam.  

“Kamu ni entah orang yang ke berapa kena macam tu sebelum ni dah ramai sangat yang kena. Ada tu dia halang jalan orang tiba-tiba dia rampas kunci kereta. Sampai bertumbuk pun ada. Ramai yang bengang dengan dia tu, tapi itulah apa yang pakcik cakapkan tadi lama-lama penduduk kat sini buat tak tahu je dengan dia tu. Dah malas nak ambil tahu. Tapi kadang-kadang timbul juga rasa kasihan kami kalau tiba-tiba dia datang minta tolong ke apa. Hmm..entahlah.” Ujar pakcik Omar tanpa diminta. Zaki mula berminat untuk mengetahui kisah selanjutnya.

 

“Apa yang jadi dengan dengan makcik tu pakcik. Pakaiaannya nampak kemas, sekali pandang macam orang kerja bagus-bagus. Pegawai bank?” soal Zaki tanpa berfikir.Ialah berkot bagai, bersolek cantik siapa pun tidak menyangka yang makcikb erpakaian kemas itu ada penyakit mental.

Pakcik Omar tergelak dengan pujian melambung dari Zaki itu.

“Dia tak kerja Zaki. Pernah kahwin tapi takde anak, kena cerai dengan suami selepas tiga bulan kahwin. Yalah siapa tahan dapat isteri perangainya macam tu. Pakcik bukan nak buruk-burukan Sabihah tu tapi itulah agaknya balasan tuhan kepada dia.”

“Kenapa pakcik? Apa yang makcik tu dah buat sampai macam tu sekali hidup dia.” Zaki semakin berminat untuk mengetahui kisah makcik bernama Sabihah itu. Apakah ada sesuatu yang telah terjadi kepada Sabihah. Dia cuba memasang telinga tidak sabar mahu mendengar kisah Sabihah selanjutnya. Zaki yakin pakcik Omar menyimpan rahsianya.

Lama pakcik Omar terdiam. Rokok daun yang sudah kematian api sengaja dibiarkan bermain-main dibibir kehitamannya. Redup mata tua itu meresahkan jiwa muda Zaki yang ingin mengetahui apa sebenarnya yang terjadi.

“Panjang ceritanya. Kamu masih ada mak?” tiba-tiba Zaki dikejutkan dengan soalan itu.

Zaki angguk. Terbayang dimata wajah ibunya yang sudah lama tidak dihubungi. Entah apa yang dilakukan ibunya ketika ini. Anak muda itu menelan liur. Dia akan menelefon ibunya sebentar nanti untuk bertanya khabar. Tumpuan terus diberikan kepada pakcik Omar yang sedang merenung ke arah rumah usang itu. Sepertinya pakcik Omar sedang mengingati kembali detik-detik sejarah kehidupan Sabihah.

“Hmm..jagalah hati orang tua jangan disakiti hati mereka, jangan kamu menyesal bila dai dah takde nanti. Sabihah jadi macam tu sebab kifarah dosanya pada mak Wok. Dahulu…”   

 

Sabihah merenung wajahnya dicermin. Tersungging senyuman manis dikedua ulas bibirnyayang merah bak delima itu tetapi tidak lama apabila matanya terpaku pada gigi putihnya yang tercalit sedikit warna merah. Dengan sebal dia mencapai sehelai tisu berdekatan lalu dikesat agar wajahnya tidak nampak cacat dengan kesilapan kecil begitu. Bedak muka berjenama Miami itu disapu sekali lagi dipipi tembamnya seolah-olah lapisan bedak sebelumnya itu tidak mencukupi untuk menampakkan kecantikannya.

Sabihah tidak peduli dengan suara panggilan daripada ibunya sejak dari tadi. Dia hanya dengan dunianya yang ingin bebas dari suara-suara yang menyakitkan telinga.Biar beribu kali panggilan ibunya itu menghujam telingan bagi Sabihah panggilan itu tidak lebih baik daripada panggilan peminta sedekah. 

Usai berpuas hati dengan tahap kecantikannya itu. Sabihah capai sehelai blazer hitam yang tergantung didinding biliknya. Blazer itu nampak cantik dipadankan dengan blouse kuning terangnya. Rambut hitamyang belum sepenuhnya kering itu ditutupnya dengan tudung bawal lalu dipulas-pulas dan disanggulkan ke atas kepalanya. Sabihah senyum sekali lagi memandang diri sediri dicermin usang itu.

Perfect!”

Dengan satu kenyitan mata dia mula berpusing-pusing menuju ke pintu biliknya dan ketika itu dia sempat menyabar tas tangan yang baru dibelinya dipasar malam minggu lepas.

“Hah!ada pun kau? Aku panggil sampai nak tercabut anak tekak kau langsung tak menjawab, keluar-keluar dengan pakaian cantik macam ni. Kau nak ke mana Biha.”Soal Mak Wok dengan nada geram.

“Nak keluar” balas Sabihah tanpa memandang ke arah mak Wok yang berdiri tercegat berdekatannya.

“Tahulah nak keluar sebab tu kau pakai cantik cantik macam ni takkan kau nak ke dapur kan.Kau nak kemana?”

“Mak! boleh tak jangan masuk campur hal aku. Ikut suka hati aku lah nak ke mana pun.mak peduli apa. Apa mak ingat kerja aku asyik duduk terperap dalam rumah ni aje ke?” tengking Sabihah.

“Apa nak jadi dengan kau ni Biha, makin lama makin kuat kau melawan. Kau jangan jadi anak derhaka Sabihah!”

“Sikit-sikit anak derhaka, apa mak ingat mak tu baik sangat ke?” Tengking Sabihah sekuat hati. Dadanya berombak kecang. Dia tidak suka keluar rumah dalam keadaan marah-marah bimbang boleh merencatkan moodnya ketika itu. Dia tidak peduli kalau ada jiran-jirannya mendengar makiannya. Yang penting dia tidak suka dihalang kalau dia ingin ke mana-mana dia tidak peduli hati orang tuanya.

Mak Wok tersentap tangan kanannya memegang dada. Terasa ngilu disitu saat kata-kata itu bagai pedang menikam jantungnya. Tajam sungguh kata-kata yang keluar darimulut Sabihah untuknya. Salah apa yang pernah dia lakukan sehingga anaknya memperlakukan dirinya sebegitu.

“Kalau aku rasa aku ingat jalan balik nanti aku balik. Tak payah tunggu.” Angkuh sungguh kedengaran suara yang melantun keluar itu. langsung tidak kesal dengan apa yang dilontar sebentar tadi seolah-olah mak Wok hanyalah patung dirumah itu

 “Keluar rumah pandai pula pakai cantik-cantiktapi tinggal bilik macam tongkang pecah tu siapa pulak nak kemas. Apa nak jadi dengan kau ni Biha. Perempuan apa macam ni perangainya.” Luah mak Wok geram.

“Kalau mak rajin sangat nak kemas mak kemaslah. Lagipun mak duduk kat rumah tak buat apa-apa kan setakat masak je. Nanti kalau kemas bilik aku tu kemas cantik-cantik ya.” Sepasang kasut bertumit 2 inci disarung ke kaki.Berhati-hati menuruni tangga kayu yang semakin nampak uzurnya. Dia tidak memandang pada tubuh tua yang memerhatikan langkahnya itu. Tidak peduli lagi hati tua itu terguris atau terluka.

Mak Wok hanya memandang kesal ke arah susuk tubuh Sabihah yang berjalan meninggalkannya. Setitis air mata tua itu menitik, terzahir tanpa kata. Bertapa dirinya cukup sengsara mempunyai anak seperti Sahiba.

Sabihah bukannya anak tunggal mak Wok. Selain Sabihah mak Wok mempunyai empat lagi orang anak. Dahulu mereka tinggal bersama namun sejak perangai Sabihah yang suka memaki hamun dan berkelahi akhirnya adik beradik Sabihah sepakat untuk berpindah lagipun mereka sudah pun berumahtangga cuma yang tinggal Sabihah seorang yang lambat jodohnya.

 

“Biha,tolong ambilkan air untuk mak. Pinta mak Wok dari tempat pembaringannya. Mak Wok tidak berdaya untuk bangun. Badannya lemah dan sakit-sakit. Demamnya melarat setelah terkena hujan ketika mengangkat kain jemuran apabila balik dari kenduri kahwin sanak saudaranya. Sabihah yang pulang lebih awal itu langsung tidak menghiraukan kain baju yang dijemurnya pagi itu. Rumah mereka bukan ada mesin basuh, hanya menggunakan tulang empat keratnya sepenuhnya.

“Biha..aku nak air.” Laung mak Wok lagi apabila panggilannya tidak dihiraukan Sabihah dia tidak berdaya. Kepalanya pening kalau berdiri. Jadinya dia hanya berbaring dalam keadaan lemah. Dia sudah memaklumkan kepada Sabihah supaya menghubungi kakaknya namun Sabihah hanya bersikap endah tak endah.

“Sabihah!..”

“Aku dengarlah! Jangan nak memekak boleh tak! Kalau tahu badan tu tak larat jangan buat kerja bodoh panggil nama aku berkali-kali. Kau tak sakit telinga ke dengar orang asyik duk  melaung je kerjanya. Tak padan dengan sakit!” jerkah Sabiha sebaik keluar dari bilik mengejutkan mak Wok. Mata tua itu berkaca.

“Nah!Lepas ni jangan nak panggil-panggil aku lagi.”

Satu termos air panas diletakkan sebelah tempat pembaringan mak Wok. Air kosong yang selalu disejukkan mak Wok telah habis diteguk Sabihah pagi tadi yang tinggal hanyalah air didalam termos dijadikan air panas itu sahaja yang ada. Sabihah tidak kuasa mahu menyejukkan air itu untuk mak Wok, dibiarkan mak Wok buat sendiri.

“Aku nak air kosong sejuk Biha” rintih mak Wok. Sebak.

“Aku dah bagi tu minum jelah banyak bunyi pulak. Kalau nak sejuk kau biarkan dulu sejuk air tu. Hah nanti minumlah…B***h!”

Air matamak Wok menitis lagi. Disapunya perlahan dengan tangan terketar-ketar. Tekaknya sangat haus namun diberikan Sabiha air panas yang belum disejukkan. Termos disisinya perlahan-lahan dituang ke dalam cawan. Dia akan minum jika air panas itu telah sejuk nanti.

“Kaudah telefon kakak, Biha”

“Dah! tapi diaorang sibuk. Ala tak payah lah nak menyusahkan diaorang. Lagipun aku tak sukalah diaorang datang sini. Rimas tau tak!” Bohong Sabiha sambil menilik mukanya dicermin bedak segi empat itu. Dia tidak memberitahu seorang pun adik beradiknya mengenai kesihatan emak mereka.

“Assalamualaikummak..”

Sabiha mendengus. Dia tahu suara siapa yang memberi salam itu. Untuk tidak menambahkan lagi rasa sakit hatinya Sabihah berlalu masuk ke biliknya. Malas dia mahu bertentang mata dengan Saodah.

“Astarfirullah mak, kenapa ni mak..kenapa sampai terbaring macam ni.” Saodah terus menerpa emaknya yang terbaring tersesak-esak itu.

“Kauorang semua nak aku mati kan sebab itulah tak datang jenguk aku. Sibuk sangatkan pergilah balik Odah biar aku mati sorang-sorang kat sini.”

“Mak jangan cakap macam tu Odah datang ni mak. Biha mana mak..”soal Saodah sambil membetulkan pembaringan mak Wok. Ditinggikan sedikit bantal itu supaya mak Wok lebih selesa.

“Kenapa Biha tak telefon Odah bagitahu kesihatan mak. Biha oo Biha kenapa kau tak bagitahu aku mak sakit hah! Kalau kau tak nak jaga mak sekalipun kau bagitahulah kami. Kau memang gila kan! “suara Saodah mula meninggi. Dia mula melangkah menghampiri pintu bilik Sabiha. Diketuk-ketuknya sekuat hati suapaya Sabihah keluar dari biliknya. Dia tidak peduli lagi. sampai hati Sabihah buat emaknya begitu.

Bunyi kelalutan dirumah itu telah menimbulkan perhatian jiran tentangga. Pakcik Omar dan beberapa lagi jiran tentangga mula menghamprii rumah mak Wok. Bimbang perkara-perkara yang tidak dingini berlaku pakcik Omar menyuruh anaknya menelefon adik beradik Sabihah yang lain supaya datang melihat keluarganya. Amukan Saodah meresahkan hati pakcik Omar dan jiran tentangga. Mereka segera naik ke rumah itu dan melihat mak Wok terbaring kelesuan. Beberapa orang jiran itu menenangka nmak Wok yang kelihatan nazak. Sabihah masih lagi tidak keluar dari biliknya.Saodah pula cuba ditenangkan oleh pakcik Omar.

“Kalau umur kamu panjang Omar, Bedah, Senah kau tengoklah macam mana hidup Sabihah nanti.”

“Itulah kata-kata keramat yang keluar dari mulut mak Wok sebelum nafasnya terhenti.”Luah pakcik Omar melepas nafas panjang.

       “Jadi semua yang berlaku pada makcik tadi disebabkan kata-kata yang keluar dari mulut ibunya." Soal Zaki dan pakcik Omar hanya mengangguk lemah.

 

 

-TAMAT-

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.