Wahai Nabi! Katakanlah kepada
isteri-isterimu, anak-anak perempuan mereka dan isteri-isteri orang mukmin,
hendaklah mereka menjatuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh, muka dan dada mereka.
Yang demikian itu supaya mereka itu lebih mudah untuk dikenali dan mereka tidak
akan diganggu. Dan Allah Yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang. ( Surah
Al-Ahzab ayat 59 )
-9-
Mardina termenung seketika.
Kemunculan Mak Esah dan Puan Rusila sudah diatur rapi oleh Allah. Ia ada
hubung-kait dengan Rumah Nur Mukmin. Allah telah memberikan jalan yang mudah
untuknya.
Lalu, tugas dan tanggungjawab
kemanusiaan dirasakan akan bermula. Seperti bermula tugasnya di HE Holdings,
legasi perniagaan yang menjadi kebanggaan Datuk Iskandar ini.
Sejak sebulan menerajui HE Holdings,
Mardina memang semakin sibuk. Perhatiannya banyak tertumpu di sini. Memang
tidak mudah untuk menguruskan empayar perniagaan hartanah yang begitu besar.
Mujurlah dia dibantu oleh ketua-ketua jabatan dan kaki tangan yang cekap dan
setia.
“Saya memang kena banyak belajar dari
kamu semua. Jadi, saya minta kita bekerjasama dalam menjalankan tugas supaya
kita dapat melakukannya dengan sempurna. Kalau kamu tidak berpuas hati dengan
cara saya, kamu boleh tegur saya. Saya mahu kita bekerja dengan tenang, tidak
ada curiga-mencurigai. Ingat, kamu bekerja untuk mencari rezeki demi keluarga,”
kata Mardina pada hari pertama dia bertugas. Alhamdulillah, dia mendapat kerjasama
yang baik dari semua staff.
Tugas-tugas di HE Holdings, tidak
langsung menghalang langkahnya ke Rumah Nur Mukmin. Setiap hari walau sesibuk
mana pun, dia masih sempat memikirkan hal Rumah Nur Mukmin. Hampir setiap hari
dia akan ke sana menjenguk Aishah dan Mastura yang mula selesa dengan keadaan
baru mereka.
“Kak Dina, semuanya dah siap. Bilik-bilik
dan tempat belajar serta tempat bermain semua dah kami kemas. Dapur juga sudah
penuh dengan berbagai stokmakanan.Bilakah saudara-saudara kami itu akan
sampai?” Tanya Mastura dua tiga hari lepas. Mardina diam berfikir. Benar kata
mereka, bila rumah itu akan berpenghuni?
“Kenapa Dina tak ke Pejabat Kebajikan
Masyarakat saja. Mereka mungkin boleh tolong Dina,” usul Mak Leha ketika dia
membawa balik hal itu ke rumah. Hanya dengan Mak Leha dia berani mengadu dan
meluahkan semua rasa yang ada dihatinya.
“Sebenarnya, kalau boleh Dina tak mahu
ambil anak-anak yatim dari sana. Kerana setiap orang yang ada di bawah jabatan
itu, sudah diatur kehidupan yang terbaikoleh pihak kerajaan.Dina nak yang
betul-betul susah dan belum ada jaminan dan pertolongan dari sesiapa,”
“Maksud Dina? Dina nak cari
sendiri?” Tanya Mak Leha. Mardina angguk.
“Susah juga kalau macam tu?”
“Dengan bantuan Allah, semuanya
akan menjadi senang. Kita hanya perlukan masa saja,” putus Mardina dengan
pasrah. Ternyata kepasrahannya itu telah mendapat pertolongan dari Allah.
Kemunculan Puan Rusila hari itu, adalahjawapan
pada sebuah penantiannya yang ikhlas. Hasratnya dan hajat Siti Fatimah akan segera
terlaksana. Hatinya berbunga riang. Tidak sabar menanti petang untuk membawa
khabar gembira itu kepada Mastura dan Aisyah.
Telefon dicapai, nombor Rumah
Nur Mukmin di dail. Tidak lama, suara salam Mastura kedengaran di hujung
talian.
“Mas, rumah kita akan
berpenghuni tidak lama lagi,”
“Maksud Kak Dina?”
“Kita akan ambil alih
tanggungjawab Puan Rusila. Mas kemaslah apa yang patut. Siapkan bilik untuk
anak-anak dan orang tua,”
“Hal itu Kak Dina jangan
bimbang. Semuanya dah siap,”
“Kalau macam tu, tunggu akak
datang petang ni,” kata Mardina. Talian diputuskan. Di bibir Mardina menguntum
sebuah senyum, senang.
Mardina membelek beberapa buah
fail. Semuanya berjalan dengan lancar. Setakat ini tidak ada kerjanya yang
tertangguh.Dia tahu HE
Holdings adalah sebuahsyarikat pemaju hartanah yang berjaya. Hampir setiap
tahun ada saja projek baru yang dibangunkan. Nama syarikat itu gah di mata
masyarakat.Mardina
bangga dengan usaha Datuk Iskandar dan Datin Marisa selama ini.
Namun ada sesuatu yang
dirasakan kurang sempurna di syarikat itu. Sejak hari pertama melangkah masuk
ke bangunan itu, dia sudah meletakkan iltizam bahawa ketidaksempurnaan itu
perlu disempurnakan. Yang bengkok perlu diluruskan. Yang batil perlu disekat,
yang benar perlu dilakukan. Dia ingin semua pekerja yang ada di bawah naungan
HE Holdings bukan saja mendapat gaji yang baik malah juga mendapat keredaan
Allah.
Dia menekan intercom.
“Nori, masuk sekejap,” suruh
Mardina. Mungkin masanya sudah sampai untuk dia bertindak. Melengahkan masa
bererti memberi lebih banyak peluang kepada syaitan untuk menggoda. Dia akan
bermula dengan satu hal yang remeh tapi sebenarnya sesuatu yang wajib.
“Ya, Cik Mardina,” Nori masuk
dengan sebuah buku catatan di tangannya.
“Nori, tolong aturkan satu
perjumpaan kecil dengan semua staff
wanita di semua jabatan petang esok. Pastikan semua hadir,” kata Mardina
kepada setiausaha yang memang setia itu.
Nori termangu-mangu, cuak untuk
mencatatkan arahan itu.
“Staff wanita sahaja Cik
Dina?” Akhirnya rasa sangsi itu diluahkan.
“Ya. Hanya staff wanita.
Semua. Tak
kira apa pangkat. Kalau boleh dari pegawai hingga kepada ke tukang cuci dan
tukang sapu,” tegas Mardina.
“Baik Cik Dina,” kata Nori
walaupun dia masih curiga dengan arahan itu. Selama dia bertugas di syarikat
itu, belum pernah ada perjumpaan begitu. Biasanya kalau mesyuarat, hanya
ketua-ketua jabatan. Kalau tukang sapu dan pembuat teh, Bahagian Sumber Manusia
yang memantau mereka.
Nori melangkah keluar.
“Cik Dina nak kopi?” Tanya Nori
ketika tangannya memegang tombol pintu.
“Boleh juga, suruh Kak Melia
buatkan saya kopi,” suruh Mardina.
“Saya boleh buatkan kopi untuk
Cik Dina,” kata Nori menghulur khidmat.
“Hmm..maafkan saya Nori. Hari
ni saya rasa tekak saya nak minum kopi Kak Melia saja,” kata Mardina
berseloroh. Nori angguk perlahan, kemudian dengan senyum sangsi dia melangkah
keluar.
“Kenapa kau senyum ni?” Tegur
Safura ketika berselisih di luar pejabat Mardina.
“Cik Mardina nak kopi,”
“Itupun lucu ke? Biasalah bos
suruh setiausaha buat kopi. Itu tugas turun temurun. Tak ada peliknya,”
“Yang peliknya, dia tak nak aku
yang buat,”
“Habis, dia nak siapa buatkan?”
“Kak Melia..” Nori terus
berjalan ke belakang, mencari Kak Melia pembuat minuman yang memang diupah
untuk tugas itu. Semua lima puluh orang kaki tangan dalam He Holdings itu akan
dijaga minumannya oleh wanita itu sejak bertahun-tahun. Namun belum pernah
sekali dia melakukannya untuk Datuk Iskandar. Kini, Mardina pula yang meminta
begitu. Nori hairan.
“Cik Nori nak milo ke?” Tegur
Kak Melia ketika Nori masuk ke pantri.
“Bukan saya kak, tapi Cik
Mardina. Dia suruh akak buatkan dia secawan kopi,”
“Eh! Kenapa kakak? Selalunya
Cik Nori yang buat,” Kak Melia terkejut. Wajahnya terselubung keliru dan
hairan.
“Entahlah kak..tiba-tiba hari
ni dia kata tak selera nak minum kopi saya. Dia nak kopi akak juga. Pergilah,
hantarkan kopi,” kata Nori. Wajah keliru Kak Melia ditinggalkan dengan senyum.
Mardina pula selepas Nori
keluar, termenung sambil menconteng-conteng sehelai kertas. Dia teringat pada
Mak Esah yang sudah dua hari di hospital tanpa waris. Dia teringatkan sindiket
pelacuran yang dikatakan oleh Mastura dan Aishah. Dia teringatkan anak-anak
yatim dan orang-orang tua yang dikatakan oleh Puan Rusila. Dan dia teringatkan
mama, papa dan adiknya yang semakin jarang ditemui. Akhirnya dia rasa, rencah
kehidupan manusia ditentukan Allah dengan cara yang berbeza.
Pintu diketuk. Apa yang sedang
difikirkan, berguguran.
“Masuk,” suruhnya. Muncul wajah
tenang Kak Melia di muka pintu dengan secawan kopi di tangannya. Wajahnya cuak.
“Cik Nori kata Cik Mardina nak
kopi,” kata Kak Melia sambil meletakkan cawan kopi di hadapan Mardina. Aroma
bau kopi yang masih berasap itu menyegarkan minda Mardina. Dia angguk dan
menghadiahkan sebuah senyuman kepada wanita itu sebagai tanda terima kasih.
“Kak, duduklah. Ada hal yang
saya nak tanya akak,” kata Mardina ketika Kak Melia ingin bergerak keluar.
Wajah Kak Melia berubah. Dia gugup. Kerusi empok yang ada di hadapannya
direnung seketika. Belum pernah seorang pembancuh minuman sepertinya duduk di
kerusi seempok itu.
“Kak, kenapa ni? Duduklah,”
ulang Mardina lagi. Kak Melia duduk. Namun hatinya masih diusung cuak. Dia
bimbang kalau dia diberhentikan kerja. Siapakah yang akan memberi makan kepada
anak-anak saudaranya yang masih kecil itu.
“Jangan takut kak. Saya hanya
nak tahu kehidupan kakak. Kak Melia tinggal di mana?”
“Saya menyewa flat di Datuk
Keramat, Cik Dina,”
“Saya ada dengar dari staff
di sini bahawa akak membela beberapa orang anak yatim di rumah. Benarkah?”
“Benar Cik Dina. Dia anak-anak
arwah adik saya,”
“Berapa orang semuanya?”
“Tiga. Semuanya masih kecil,”
“Anak akak sendiri?”
“Anak saya satu saja,”
“Habis bila akak keluar bekerja
ni, siapa yang jaga budak-budak tu?”
“Suami saya. Kami bergilir.
Suami saya ambil shif petang. Pagi dia akan jaga sementara anak saya pulang
dari sekolah,”
“Suami akak kerja apa?”
“Tukang sapu DBKL,” jawab Kak
Melia jujur. Mardina menguis-nguis hujung pennya sambil berfikir. Dengan
pendapatan yang tidak seberapa itu, tentu kehidupan mereka amat payah.
“Kak, macam mana kalau saya
ringankan sikit beban kakak,” kata Mardina selepas lama berdiam diri. Kak Melia
segera mengangkat mukanya. Wajah Mardina direnungnya.
“Maksud Cik Dina?”
“Serahkan anak-anak yatim itu
kepada saya. Biar saya yang menjaganya,”
“Tapi..itu amanah adik saya.
Saya dah janji dengan dia untuk membesarkan anak-anak itu walau dengan apa cara
sekalipun. Saya sayangkan mereka Cik Dina. Saya tak boleh nak berpisah dengan
mereka. Suami saya juga sayangkan mereka,” jawab Kak Melia, matanya mula
berair.
“Saya tahu kakak sayangkan
mereka. Sebab itu saya nak bantu kakak. Saya ada buka sebuah rumah kebajikan.
Saya sedang mencari anak yatim dan orang-orang susah. Niat saya ikhlas kak.
Tapi, saya tak paksa. Kalau kakak setuju, saya bersyukur kepada Allah. Kalau
tak setuju, tak apa,” jelas Mardina. Kak Melia merenung wajah Mardina. Lama
tanpa berkelip. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang didengarnya.
“Akak fikirlah dulu. Bincang
dengan suami. Kalau kakak rasa nakkan masa depan budak-budak tu lebih terjamin,
kakak serahkanlah mereka kepada saya. Saya takan putuskan hubungan akak dengan
mereka. Akak boleh datang melawat mereka bila-bila masa yang akak suka,” ujar
Mardina lagi.
“Kalau macam tu, biar akak
bincang dengan abang dulu..” jawab Kak Melia perlahan. Mardina angguk. Sebelum
Kak Melia bangun untuk keluar, Mardina menyelitkan sekeping duit kertas seratus
ringgit ke genggamannya.
“Ini untuk mereka. Saya tahu
kesusahan kakak. Tapi akak kena sabar. Allah akan memberi ganjaran yang besar
kepada sesiapa yang membela anak-anak yatim dengan baik dan penuh kasih
sayang,” kata Mardina sambil menepuk-nepuk belakang tangan Kak Melia.
“Terima kasih Cik Dina..hanya
Allah yang membalas kebaikan ini..” Kak Melia tidak mampu menahan lagi limpahan
air matanya. Semuanya terburai seperti sebuah empangan yang pecah!
Dia teresak. Sendu dan sayu.
Mardina pula berlapang dada dan
bersyukur kepada Yang Maha Pencipta kerana telah memberikannya peluang dan
keupayaan untuk bersedekah dan saling membantu sesama insan.
**
Pulang dari pejabat, Mardina
singgah di Rumah Nur Mukmin. Kemudian dia mengajak Aishah dan Mastura mencari
rumah Puan Rusila selepas menelefon wanita itu.
“Kita nak ambil mereka hari
ni?” Tanya Aishah.
“Kita tengok dulu. Kalau Shah
dan Mas dah bersedia, apa salahnya? Hal yang baik tak elok dilambatkan. Lagi
kita berlengah, pahala pun ikut berlengah,”
Kedua-dua gadis itu angguk.
Sejak berada di rumah itu dan mengenali Mardina, mereka rasa semakin tenang dan
bahagia. Mereka rasa seperti sudah diketemukan dengan keluarga sendiri.
Rumah Puan Rusila sepi. Loceng
di pagar ditekan beberapa kali, namun tidak ada yang keluar membuka pagar.
Lama. Namun Mardina sabar, tidak berganjak dari situ.
“Tak ada orang agaknya,” kata
Mastura.
“Tak mungkin, sebab tadi akak dah
beritahu Puan Rusila kita nak datang,”
“Kita tunggu sekejap,” Mardina
duduk di atas tembok depan rumah itu.
Tidak lama, sebuah kereta
berhenti. Mereka menoleh.
“Minta maaflah Cik Dina, masa
Cik Dina telefon tadi, saya on the way ke klinik,” Puan Rusila keluar
dari kereta dan membuka pagar.
“Kenapa? Siapa sakit?”
“Mak Cik Sarah tu..tiba-tiba
sakit perut. Tu yang saya berkejar ke klinik. Maklum orang tua, tak boleh
ditunggu,” jawab Puan Rusila. Mardina angguk.
“Tak ada orang lain di rumah
ni?”
“Ada. Mereka ada di tingkat
atas. Budak-budak tu pun dah balik sekolah,”
“Habis, tak ada yang menjenguk
ketika kami tekan loceng?”
“Mereka memang tak akan keluar,
saya dah ajar mereka begitu. Kalau saya tak ada, pintu tak boleh dibuka
walaupun kepada orang yang mereka kenali. Untuk keselamatan. Dulu pernah rumah
kami ni cuba diceroboh, sebab tu saya begitu berhati-hati,” kata Puan Rusila
sambil mempersilakan mereka masuk sementara dia berjalan semula ke kereta dan
memandunya masuk ke halaman rumah.
Mereka masuk. Puan Rusila naik
ke tingkat atas. Tidak lama, beberapa orang kanak-kanak yang berumur antara 5
hingga 12 tahun keluar dan bersalaman dengan budi bahasa yang sopan. Selepas
bersalam mereka tidak menunggu di situ, terus naik semula ke tingkat atas.
“Marilah ke bilik belakang tu,”
ajak Puan Rusila. Mardina tidak membantah. Dia bangun dan mengekori Puan
Rusila. Aishah dan Mastura juga.
Di sebuah bilik yang agak luas
terdapat beberapa buah katil dan almari yang kemas tersusun.
“Mak! Kita ada tamu hari ni!”
kata Puan Rusila kepada lima orang tua yang sedang berehat. Mereka menoleh.
Senyum. Mardina membalasnya, mesra. Kemudian terus berjalan ke arah orang-orang
tua itu dan bersalam.
“Siapa ni Sila?” Tanya salah
seorang dari mereka kepada Puan Rusila.
“Saya Mardina mak,” jawab
Mardina sebelum sempat Puan Rusila memperkenalkannya.
“Mardina..siapa?” Tanya seorang
yang lain pula.
“Mak semua akan tinggal dengan
dia nanti. Mak dah dapat rumah baru,”
“Sila nak ke mana? Kenapa kami
nak dihantar ke rumah baru?”
Puan Rusila tunduk. Wajahnya
mula terselubung pilu. Dia sedang mencari-cari jawapan yang terbaik untuk
menjawab. Kalau boleh tidak mahu warga tua itu tersinggung hati.
“Mak, Kak Sila ada. Dia tak ke
mana-mana. Cuma, dia nak mak semua bertukar angin, bertukar rumah. Dia akan ada
bersama mak semua nanti..” Mardina menjawab. Puan Rusila berpaling ke arah
Mardina. Mardina mengerdipkan mata dengan anggukan perlahan.
“B..benar mak..” Puan Rusila
teragak-agak. Mardina faham. Tidak mudah untuk wanita itu membuat keputusan. Tidak
mudah untuk berpisah dengan orang-orang yang sudah diberi kasih sayang.
“Mak..” Puan Rusila menahan
esakan.
“Mak berehatlah, kami keluar
dulu,” kata Mardina sambil menarik tangan Puan Rusila. Dia tidak mahu kesedihan
yang mula terkesan di wajah wanita itu mampu dibaca oleh warga tua yang
mengharap kasih itu.
“Sebenarnya, saya tak sanggup
nak berpisah dengan mereka. Dah bertahun-tahun saya jaga dan belai mereka.
Anak-anak itu, dari kecil hingga sebesar ini. Saya tak tahu macam mana hidup
saya kalau mereka tiada. Kalau tidak kerana penyakit saya, saya tak akan buat
keputusan ini..”
“Kak..keputusan yang akak buat
ni yang terbaik untuk mereka. Akak kena redha dan pasrah. Keputusan akak
menandakan kasih sayang akak yang tulus kepada mereka,”
“Benar, benar. Hanya ini yang
mampu saya buat,” Puan Rusila menyeka air mata yang mula mengalir di pipi. Dia
menarik nafas, mencari kekuatan diri sendiri.
“Bila saya boleh bawa mereka?”
“Hah? Cik Dina dah bersedia?”
“Ya..terlanjur rumah itu belum
berpenghuni. Apa salahnya rumah yang kosong itu segera dipenuhkan dengan
kebajikan,”
Puan Rusila tunduk. Sekali lagi
dadanya sebak.
“Kak, percayalah. Kami semua
akan menjaga mereka sepertimana akak menjaganya,” kata Mardina sambil menarik
tangan Puan Rusila dan menggenggamnya. Wajah wanita itu direnung tenang.
“Bukan akak tak yakin. Akak
tahu Cik Dina akan jaga mereka, mungkin lebih baik dari apa yang mereka terima
dari akak. Tapi..akak bimbang kalau mereka belum bersedia. Akak pun belum
cerita apa-apa pada budak-budak tu. Akak tak sampai hati..”
“Kalau macam tu, macam mana
akak ikut tinggal dengan kami untuk sementara. Jadi mereka tak rasa mereka akan
berenggang dengan akak,”
“Bolehkah?” Puan Rusila
mengangkat muka. Mardina angguk perlahan.
“Apa salahnya..kami pun perlu
tahu gelagat dan ragam mereka. Kita perlu bersuai-kenal,”
“Baik juga cadangan Cik Dina
tu..”
“Jangan panggil saya Cik Dina,
panggil Dina cukup,” ujar Mardina mengerdipkan mata kepada Puan Rusila. Wanita
itu senyum. Jelas dadanya mula lapang dan semangatnya mula pulih.
Hati Mardina semakin lapang dan
senang.
Tugas kemanusiaan semakin
menghampirinya..